SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

MASJID DAN KOMUNITI

Soalan & Jawapan: Masjid dan Komuniti
Soalan 1
Saya pernah bawa anak kecil ke masjid, tapi ditegur kerana dianggap bising. Sedangkan saya cuma nak biasakan dia dengan suasana masjid. Apa panduan Islam dalam meraikan kehadiran anak-anak kecil di rumah Allah?
JAWAPAN :

Masjid merupakan pusat komuniti yang menghimpunkan semua orang tanpa mengira usia bagi mengimarahkannya dan mewujudkan budaya kekitaan dan kemasyarakatan yang utuh. Ia bukan semata-mata dibuka untuk mereka yang ingin beribadah tanpa gangguan dan mewujudkan perpisahan dengan masyarakat.

Dalam sebuah hadis, Buraidah RA berkata:

خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ الْحَسَنُ، وَالْحُسَيْنُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، عَلَيْهِمَا قَمِيصَانِ أَحْمَرَانِ يَعْثُرَانِ وَيَقُومَانِ، فَنَزَلَ فَأَخَذَهُمَا، فَصَعِدَ بِهِمَا الْمِنْبَرَ، ثُمَّ قَالَ: صَدَقَ اللَّهُ: {إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ} [التغابن: ١٥] رَأَيْتُ هَذَيْنِ فَلَمْ أَصْبِرْ ثُمَّ أَخَذَ فِي الْخُطْبَةِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW sedang berkhutbah kepada kami, lalu datanglah Hasan dan Husain RA, kedua-duanya memakai baju kecil berwarna merah, berjalan sambil tersandung dan bangun semula. Kemudian, baginda turun (dari mimbar), lalu mengambil mereka dan naik semula ke atas mimbar bersama mereka. Kemudian baginda bersabda: “Benarlah firman Allah: “Sesungguhnya harta kamu dan anak-anak kamu adalah satu ujian.” (Surah al-Taghabun, ayat 15). “Aku melihat kedua-dua ini (cucuku), maka aku tidak dapat bersabar.” Lalu baginda meneruskan khutbahnya.” [HR Abu Daud, 1109]

Dalam hadis yang lain, Syaddad RA berkata ketika Rasulullah SAW mengimami sahabat ketika solat Isyak, baginda sujud dengan sujud yang panjang. Syaddad RA mengangkat kepala dan melihat cucu baginda berada di atas baginda ketika sujud. Usai solat, jemaah bertanya mengapa baginda sujud dengan lama. Mereka menyangka sesuatu telah berlaku atau wahyu turun padanya. Baginda berkata:

كُلُّ ذَلِكَ لَمْ يَكُنْ، وَلَكِنَّ ابْنِي ارْتَحَلَنِي، فَكَرِهْتُ أَنْ أُعْجِلَهُ، حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ
Maksudnya: “Tidak berlaku apa-apa dari semua itu. Tetapi cucuku telah menunggang belakangku, dan aku tidak suka untuk menyegerakannya turun sebelum dia selesai dengan keinginannya.” [HR al-Nasa’i, 1141]

Rasulullah SAW memberi isyarat bahawa masjid bukanlah tempat yang diharamkan untuk kanak-kanak. Sebaliknya, ia merupakan ruang tarbiah iman dan pendidikan awal mereka.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي لَأَقُومُ إِلَى الصَّلَاةِ وَأَنَا أُرِيدُ أَنْ أُطَوِّلَ فِيهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَأَتَجَوَّزُ كَرَاهِيَةَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمِّهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku berdiri untuk mendirikan solat dalam keadaan aku ingin memanjangkannya, lalu aku terdengar tangisan seorang bayi, maka aku pun meringankan solat itu kerana aku tidak suka menyusahkan ibunya.” [HR Abu Daud, 789]

Ini kerana tangisan bayi itu mengganggu hati ibunya yang merupakan jemaah dalam solat itu. Baginda meringankan solat agar ibunya dapat segera menenangkannya. Tangisan bayi itu boleh sahaja mengganggu jemaah lain. Namun, baginda tidak melarang untuk membawa anak-anak ke masjid.

Adapun reaksi kasar sebahagian jemaah masjid kepada kanak-kanak, akan membuatkan mereka membenci dan menghindari masjid. Ia jelas bertentangan dengan sunnah baginda yang meraikan mereka di masjid. Yang lebih utama adalah dengan mengajak mereka dengan senyuman, bimbingan lembut dan didikan kasih sayang sehingga mereka mencintai masjid.

Ini tidak menafikan peranan ibu bapa bagi mengajar anak-anak untuk beradab dan tidak mengganggu jemaah lain di masjid. Kanak-kanak perlu dibesarkan dengan suasana masjid dan dibiasakan hadir kepadanya agar ia menjadi sebahagian kelaziman kepada mereka apabila dewasa kelak.

Soalan 2
Saya pernah lihat orang luar kawasan datang solat di masjid kampung, tapi layanan yang diterima agak dingin. Adakah masjid sewajarnya terbuka kepada semua dan bagaimana adab menyantuni tetamu masjid menurut Islam?
JAWAPAN :

Masjid merupakan rumah Allah SWT dan ia terbuka kepada semua umat Islam yang ingin beribadah dan berdoa kepadaNya. Ia juga merupakan tempat menghimpunkan masyarakat Islam dan membina kekuatan ukhuwah tanpa menyisihkan sesiapa.

Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ
Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.” [Surah al-Taubah, ayat 18]

Imam al-Sa’di menafsirkan ayat ini: “Maka Allah menyifatkan mereka dengan iman yang bermanfaat, dan yang melaksanakan amalan-amalan soleh yang terpenting iaitu solat dan zakat, serta mempunyai sifat takut kepada Allah yang merupakan asas segala kebaikan. Maka merekalah yang benar-benar memakmurkan masjid, dan merekalah penghuninya yang sebenar.” [Tafsir al-Sa’di, hlm. 331]

Maka, sesiapa sahaja daripada kalangan muslim layak untuk berada dan mengimarahkan masjid. Ia bukan dilihat pada dari mana asalnya, ahli kariah atau tidak, tapi ia dilihat daripada imannya. Jika Allah SWT sendiri yang memberi pengiktirafan ini kepada mereka yang layak untuk mengimarahkan rumahNya, maka tidak wajar untuk jemaah menghalang orang lain untuk beribadah di dalamnya.

Ibnu Ishaq menceritakan bahawa ada suatu masa ketika datangnya delegasi Nasrani dari Najran untuk datang bertemu Rasulullah SAW. Ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Muhammad bin Ja‘far bin al-Zubayr: “Ketika delegasi Nasrani Najran tiba di Madinah dan masuk ke masjid Nabi SAW, mereka tiba selepas Nabi selesai solat Asar.” [Sirah Ibnu Hisham, jld. 1, hlm. 574]

Baginda tidak melarang orang bukan Islam daripada masuk masjid untuk bertemu baginda dan berbincang hal berkaitan ketuhanan Nabi Isa AS. Maka, sesiapa sahaja, tidak mengira sama ada dia merupakan ahli kariah atau orang luar, layak diterima masuk dan beribadah di mana-mana masjid dan diberi layanan yang baik kerana ia merupakan akhlak Islam.

Islam mengajar beberapa cara menyantuni tetamu masjid:

  • Menyambut dengan wajah ceria dan salam mesra
    Rasulullah SAW bersabda:
    لا تحقرن من المعروف شيئا، ولو أن تلقى أخاك بوجه طلق
    Maksudnya: “Janganlah kamu memandang remeh terhadap kebaikan sekecil apa pun, walaupun hanya dengan bertemu saudaramu dengan wajah yang berseri.” [HR Muslim, 2626]
    Dalam hadis yang lain:
    أفشوا السلام بينكم
    Maksudnya: “Sebarkanlah salam di antara kamu.” [HR Muslim, 54]
  • Tunjuk arah dan bantu jika mereka kelihatan tercari-cari
    Rasulullah SAW bersabda:
    مَنْ دَلَّ على خير فله مثل أجر فاعله
    Maksudnya: “Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka baginya pahala seperti orang yang melakukannya.” [HR Muslim, 1893]
    Meringankan lisan dan tangan dalam memberi tunjuk arah dan membantu apa yang boleh boleh meraih pahala dengan mudah.
  • Tidak menyoal asal-usul secara tajam atau memerhati dengan prejudis
    Allah SWT berfirman:
    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا
    Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.” [Surah al-Hujurat, ayat 12]
    Tidak perlu bertanya soalan sensitif atau yang bernada menghinanya dan sinis.

Masjid adalah rumah Allah. Ia bukan milik sesiapa secara mutlak. Ia terbuka untuk setiap jiwa yang ingin mendekat kepada Tuhannya. Maka, muliakanlah tetamu masjid kerana itu cermin sebenar siapa kita sebagai umat Muhammad SAW.

Soalan 3
Ada sahabat yang baru berhijrah nak mula hadir ke masjid, tapi takut kerana pernah rasa ‘diperli’ oleh jemaah tetap. Apa pendekatan yang Islam ajar dalam menerima orang yang baru kembali kepada agama?
JAWAPAN :

Pertama sekali, kita harus bersyukur dan bergembira dengan niat sahabat kita yang ingin mula hadir ke masjid. Ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif dalam hidup seseorang.

Sikap memandang serong atau memperli orang yang baru kembali kepada agama bertentangan dengan ruh dakwah. Sebagai Muslim, kita diajar untuk bersikap terbuka dan penuh kasih sayang, memberi ruang untuk perubahan, dan tidak mengungkit kisah silam yang telah berlalu. Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ
Maksudnya: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dari dosa).” [Surah al-Ala, ayat 14]

Imam Tabari menejelaskan perihal ayat tersebut di dalam tafsirnya:

قد أَنْجَح وأَدْرَكَ طَلِبَتَه مَن تَطَهَّر مِن الكفرِ ومعاصى اللهِ، وعمِل بما أمَره اللهُ فأَدَّى فرائضَه
Maksudnya: “Sesungguhnya telah berjaya dan mencapai apa yang dicita-citakannya, orang yang membersihkan diri daripada kekufuran dan maksiat kepada Allah, serta melaksanakan apa yang diperintahkan oleh-Nya dengan menunaikan segala kewajipan.” [Rujuk: Tafsir at-Tabari, jld. 24, hlm. 318]

Agama ini menghargai usaha untuk berubah, dan setiap orang berhak mendapat peluang kedua. Orang yang mengejek pula tiada jaminan akan kekal dalam hidayah, kerana hidayah itu milik Allah.

Selepas itu, Islam mengajar kita untuk menyantuni dan bukan menghukum. Suatu hari, Maiz bin Malik datang mengaku berzina kepada Nabi SAW. Baginda beberapa kali cuba memberi peluang untuknya menarik balik pengakuan, namun Maiz tetap bertegas. Akhirnya, Nabi terpaksa mengambil tindakan walaupun pada awalnya enggan.

Selepas hukuman selesai, ada sahabat yang mencela Ma’iz, Nabi SAW menegur mereka dengan tegas:

لَقَدْ تَابَ تَوْبَةً ‌لَوْ ‌قُسِمَتْ ‌بَيْنَ ‌أُمَّةٍ ‌لَوَسِعَتْهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan satu taubat yang jika dibahagikan kepada seluruh umat, nescaya ia mencukupi untuk mereka semua.” [HR Muslim, 1695]

Akhir sekali, setiap Muslim khususnya jemaah masjid harus bersikap terbuka menerima mereka yang ingin berubah, serta memberi dorongan dan motivasi agar terus istiqamah. Inilah sikap yang perlu kita pupuk. Allah SWT berfirman:

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam jalan Kami, pasti Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat baik.” [Surah al-Ankabut, ayat 69]

Sebagai umat Islam, kita semua memikul tanggungjawab untuk menyebarkan kasih sayang, memberi ruang kepada perubahan, dan menyantuni sesiapa sahaja yang mendekati agama.

Soalan 4
Di masjid masih ada lagi budaya 'cop tempat' dengan sejadah seawal Subuh, dan kadang buat jemaah lain rasa tak dialu-alukan. Apa pandangan Islam terhadap budaya ini dari sudut adab berjemaah dan ukhuwah?
JAWAPAN :

Masjid adalah milik Allah SWT, dan bukan milik mana-mana individu. Ia harus dimakmurkan oleh seluruh umat Islam tanpa mengira latar belakang agar menjadi tempat yang menyatukan hati, menyebarkan ilmu, dan memupuk kasih sayang serta ketakwaan kepada Allah. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ
Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.” [Surah al-Taubah, 18]

Hal ini harus dibahagikan kepada 3 situasi:

  • Seseorang yang bangun seketika dari tempat duduknya di masjid untuk urusan ringkas seperti mengambil wuduk atau menunaikan hajat, dan dia telah menandakan tempat itu, contohnya dengan rehal atau sejadah, maka dia masih berhak ke atas tempat tersebut. Jika orang lain mengambil tempat itu sementara, dia berhak memintanya beredar apabila kembali
    Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu ‘Awanah bahawa Nabi SAW bersabda:
    مَنْ قَامَ مِنْ مَجْلِسِهِ، ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهِ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ
    Maksudnya: “Sesiapa yang bangun dari tempat duduknya, kemudian dia kembali semula kepada tempat itu, maka dia lebih berhak dengannya (tempat tersebut).” [HR Muslim, 2179]
    Berkata Imam Nawawi perihal hadis ini: “Hadis ini adalah berkenaan orang yang duduk pada suatu tempat di dalam masjid, lalu dia tinggalkan sekejap tempat itu untuk kembali semula, bagi tujuan untuk berwuduk atau menunaikan suatu keperluan yang sedikit. Kemudian dia kembali, maka tidak terbatal haknya ke atas tempat tersebut. Bahkan sekiranya dia kembali, dia lebih berhak ke atas tempat itu untuk solat. Begitu juga, jika ada orang lain yang duduk di tempatnya, dia boleh membangunkan orang tersebut.” [Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, jld. 14, hlm. 161-162]
  • Seseorang yang menempah tempat di masjid dengan meletakkan tanda seperti rehal atau sejadah, sedangkan dia belum tiba atau masih di luar masjid.
    Berkata Imam Nawawi di dalam kitabnya: “Bagi situasi ini, para ulama berbeza pendapat tentang keharusannya. Namun menurut mazhab al-Syafi‘i, seseorang boleh menghantar wakil untuk mengambil tempat duduk di masjid bagi pihaknya. Setelah dia tiba, wakil tersebut akan berganjak dan menyerahkan tempat itu kepadanya. Wakil juga boleh menghamparkan pakaian atau seumpamanya sebagai tanda, dan apabila orang yang diwakili datang, dia boleh solat di situ. Setelah tanda itu dihamparkan, orang lain tidak boleh solat di atasnya, tetapi dibolehkan untuk mengalihkannya dan duduk di situ — dengan syarat tidak mengangkatnya menggunakan tangan. Jika dia tetap melakukannya, maka dia termasuk dalam golongan yang bertanggungjawab (penjamin).
  • Seseorang itu tidak meletakkan sebarang tanda yang menunjukkan bahawa itu adalah tempat duduknya dan dia juga belum lagi berada dalam kawasan masjid. Akan tetapi, tempat tersebut merupakan tempat duduknya setiap kali dia memasuki masjid.
    Hal ini juga berdasarkan riwayat daripada Aisyah RA, di mana beliau bertanya kepada Nabi SAW untuk mendirikan sebuah tempat berteduh buat Nabi SAW di Mina. Lalu Nabi SAW menjawab:
    لَا، مِنًى مُنَاخُ مَنْ سَبَقَ
    Maksudnya: “Jangan (membinanya untuk aku). Mina itu adalah tempat persinggahan siapa sahaja yang lebih dahulu (sampai kepadanya).” [HR Tirmizi, 881]
    Di dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim menyatakan: “Namun, terdapat pengecualian bagi para ulama yang melazimi tempat tertentu di masjid untuk mengadakan pengajian atau tempat itu menjadi lokasi berkumpul membaca al-Quran. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa menurut mazhab Syafi‘i, sesiapa yang konsisten menggunakan sesuatu tempat di masjid untuk memberi fatwa, mengajar al-Quran, atau ilmu-ilmu syarak lain, maka dia lebih berhak ke atas tempat itu. Jika dia hadir, orang lain tidak boleh duduk di tempat tersebut.” [Rujuk: Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, jld. 4, hlm. 162]

Namun, jika kita mampu bertolak ansur dan berlapang dada dalam hal ini, itulah yang paling mulia. Saling memberi ruang dan memahami keadaan sesama jemaah akan mewujudkan suasana masjid yang harmoni, tenang, dan diberkati.

Kesimpulannya, menjaga adab dan saling menghormati di masjid adalah tanggungjawab kita bersama demi memakmurkan rumah Allah dengan penuh keberkatan dan keharmonian.

Soalan 5
Masjid sering dilihat sebagai tempat solat semata-mata. Bagaimana kita boleh hidupkan semula peranan masjid sebagai pusat ilmu, bimbingan sosial, dan tempat berkumpulnya kasih sayang komuniti?
JAWAPAN :

Masjid adalah pusat ilmu. Pada zaman Nabi SAW, masjid menjadi tempat para sahabat menuntut ilmu agama secara menyeluruh. Fungsi ini semakin terpinggir hari ini apabila aktiviti pengajian hanya berlaku dalam bentuk formal dan tidak merangkumi semua lapisan masyarakat.

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ
Maksudnya : Sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya) [Surah at-Taubah, ayat 108]

Maka perlu ada galakan pengajian pelbagai bentuk seperti halaqah ilmiah, kelas asas fardu ain, kursus kemahiran, diskusi kontemporari Islam, bahkan bimbingan akademik untuk pelajar. Program seperti ini dapat meraikan menarik minat seluruh lapisan masyarakat ke arah masjid.

Masjid sepatutnya berperanan sebagai pusat bimbingan sosial terutamanya dalam isu-isu masyarakat seperti tekanan emosi, pergolakan rumah tangga, masalah belia, dan kebajikan fakir miskin. Maka perlu diwujudkan kaunseling keluarga dan belia secara berkala, yang diuruskan oleh kaunselor bertauliah atau ustaz terlatih dalam bidang tersebut.

Masjid juga seharusnya menjadi tempat orang datang bukan sahaja untuk solat, tetapi juga untuk mengeratkan ukhuwah dan semangat kekeluargaan Islam. Anjuran aktiviti kekeluargaan seperti majlis makan malam, sukan, gotong-royong dan sambutan hari besar Islam adalah sesuatu kegiatan yang berimpak tinggi.

Selain itu, dibolehkan juga membina sistem "ambassador masjid" iaitu ada wakil belia dan jemaah senior yang menyambut serta mendekati jemaah baru agar mereka rasa dihargai dan diterima.

Akhir sekali, usaha ini harus disambut dan dijayakan oleh semua lapisan komuniti dalam penduduk setempat. Para pentadbir masjid, para asatizah, belia serta golongan muda dan tua mesti mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan bukan menjadi penghalang utama kemajuan masjid.

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا ٱسْمُهُۥ وَسَعَىٰ فِى خَرَابِهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَن يَدْخُلُوهَآ إِلَّا خَآئِفِينَ ۚ لَهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌۭ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ
Maksudnya : Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar. [Surah al-Baqarah, ayat 114]
Soalan 6
Ada masjid yang sangat aktif dengan program remaja seperti futsal hingga halaqah. Tapi ada juga yang takut buat program kerana ‘takut bising’. Mana keseimbangan yang Islam sarankan?
JAWAPAN :

Pada zaman Nabi SAW, anak-anak para sahabat dibenarkan bermain dalam masjid, bahkan cucu Nabi SAW pernah memanjat di atas belakang Baginda ketika solat.

Para pemuda seperti Usamah bin Zaid, Zayd bin Thabit, dan Ali r.a. diberi ruang dalam masjid untuk belajar, berdiskusi, serta menyusun strategi dakwah dan pertahanan islam.

Masjid memang perlu ada suasana tenang terutama ketika solat dan waktu tazkirah.

عن أبي سعيدٍ قالَ اعتَكفَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ في المسجدِ فسمِعَهم يجْهَرونَ بالقراءةِ فَكشفَ السِّترَ وقالَ ألا إنَّ كلَّكم مُناجٍ ربَّهُ فلا يؤذِيَنَّ بعضُكم بعضًا ولا يرفعْ بعضُكم على بعضٍ في القراءةِ أو قالَ في الصَّلاةِ
Maksudnya : Rasulullah SAW pernah beriktikaf di masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara dalam bacaan (al-Quran), maka baginda membuka tabir dan bersabda: ‘Ketahuilah bahawa setiap kamu sedang bermunajat kepada Tuhannya, maka janganlah sebahagian kamu menyakiti yang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengangkat suara atas yang lain dalam bacaan (al-Quran), atau baginda bersabda: dalam solat. [HR Abu Daud, 1332]

Namun hanya kerana takut bising bukan alasan untuk menyekat pemuda untuk hadir ke masjid. Larangan terhadap suara bising dalam masjid bukan bermaksud menolak aktiviti belia, tetapi membuat kawalan dan mendidik mereka dengan penuh beradab.

Oleh itu, pihak pengurusan masjid perlu lebih bijak dan berhikmah melalui beberapa langkah;

  • Tetapkan waktu & zon aktiviti. Sebagai contoh, waktu antara Maghrib-Isyak untuk halaqah, Sabtu pagi untuk futsal atau aktiviti luar.
  • Wujudkan SOP dan Etika aktiviti belia. Contohnya aktiviti perlu diselia, tiada muzik kuat, tiada pergaulan bebas dan tiada hiburan yang melalaikan seperti pertandingan Mobile Legends.
Soalan 7
Dalam dunia digital hari ini, bagaimana masjid boleh ‘hidup’ bukan saja secara fizikal tetapi juga secara maya agar lebih ramai termasuk generasi muda rasa dekat dan terhubung dengannya?
JAWAPAN :

Dunia digital bukanlah sekadar platform kemajuan teknologi. Ia adalah perkembangan zaman yang perlu sedia diadaptasi oleh semua lapisan umur masyarakat islam. Ia perlu dieksploitasi dengan baik agar tidak menjadi ancaman kepada umat islam.

وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ
Maksudnya : Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah…[Surah al-Anfal, ayat 60]

Generasi muda hidup rapat dengan platform digital. Mereka mencari ilmu, inspirasi, bahkan petunjuk agama di media sosial, YouTube, TikTok dan podcast. Maka institusi masjid perlu mengambil langkah segera untuk memunculkan diri di lapangan media sosial sebagai “One Stop Centre” umat sedunia.

Masjid perlu aktif di Instagram, TikTok, Facebook dan YouTube dengan berkongsi tazkirah pendek, video aktiviti remaja dan komuniti, poster waktu solat dan kuliah, serta story live suasana azan, solat Jumaat dan Qiamullail bagi mendekatkan hati masyarakat secara maya.

Langkah-langkah ini penting supaya institusi masjid dilihat terkehadapan selaras dengan kemajuan islam. Bahkan ia akan meruntuhkan konotasi negatif tentang kejumudan islam yang telah berakar zaman-berzaman.

Namun dalam dakwah digital, masjid perlu menjaga prinsip keaslian dakwah dan sentiasa waspada agar tidak terikut dengan budaya pop dan pemikiran hedonisme yang hanya menabur FOMO hiburan tanpa nilai sebenar kepada anak muda. Perkara viral dan trending bukanlah sesuatu yang wajar ditunggang oleh masjid demi meraih populariti semata-mata.

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ
Maksudnya : Dan di antara manusia ada yang membeli perkataan yang melalaikan guna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa ilmu. [Surah Luqman, ayat 6]

Kesimpulannya, institusi masjid perlu berperanan sebagai pusat yang membentuk generasi umat menelusuri jejak Nabi SAW dan para sahabat. Meskipun zaman sentiasa berubah, perubahan ini sepatutnya menjadi anjakan paradigma bagi para asatizah dan pentadbir masjid untuk terus relevan dalam mendidik, membimbing, dan menyantuni masyarakat dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Soalan 8
Saya pernah hadir ke satu masjid waktu zohor semasa musafir, tapi suasana sangat sunyi, pintu pun berkunci. Adakah ini menepati konsep masjid sebagai tempat singgahan dan rahmat kepada musafir?
JAWAPAN :

Masjid sepatutnya menjadi tempat yang terbuka, menyambut, dan memberi kemudahan kepada musafir, kerana inilah sunnah Nabi SAW dan fungsi asal masjid dalam Islam.

Allah SWT berfirman:

وَأَنَّ ٱلْمَسَـٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ أَحدًا
Maksudnya: “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah, maka janganlah kamu menyembah sesuatu pun di dalamnya selain Allah.” [Surah al-Jinn, ayat 18]

Ini menunjukkan masjid adalah milik Allah dan tempat untuk semua umat Islam mendekatkan diri kepada-Nya termasuk musafir. Masjid adalah pintu rahmat bukan tempat yang ditutup untuk hamba Allah yang ingin mencari ketenangan dan ibadah.

Menjawab persoalan di atas, adakalanya terdapat masjid yang berkunci atas alasan keselamatan dan sebagainya. Jika masjid menjadi tempat yang 'tertutup' atau sunyi walau di waktu solat, kita harus menilai kembali peranannya dalam masyarakat.

Maka perlunya saranan dari ahli kariah atau masyarakat setempat mengemukakan kepada pihak pengurusan masjid supaya:

  • Mewujudkan ruang rehat sementara
    Ruang kecil dengan sejadah, kipas dan rak Al-Quran boleh membantu musafir yang keletihan, sambil memastikan kebersihan dan keselamatan dikawal.
  • Menetapkan ahli jawatankuasa khusus untuk kebajikan musafir
    – untuk menyantuni musafir atau pengunjung luar, serta menyelaras bantuan asas jika perlu (air minuman, makanan ringan, maklumat arah).
  • Menyediakan papan tanda atau info mesra pelawat
    – Seperti jadual waktu solat, nombor yang boleh dihubungi jika pintu berkunci, serta peringatan adab di masjid.
  • Mengadakan kempen kesedaran komuniti
    – Memberi penerangan kepada penduduk sekitar tentang adab melayani musafir dan membuka ruang kepada mereka, agar masyarakat lebih terbuka dan mesra tetamu.
Scroll to Top