SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

BIMBINGAN DALAM KASIH

Soalan & Jawapan: Bimbingan Dalam Kasih
Soalan 1
Saya pernah dengar seseorang berkata, ‘biarlah anak-anak pilih jalan sendiri bila besar nanti.’ Tapi bukankah Allah perintahkan kita jaga diri dan keluarga daripada api neraka? Sampai tahap mana pemimpin keluarga patut ‘biarkan’, dan sampai bila mereka kena terus dibimbing?
JAWAPAN :

Ungkapan seperti "biarlah anak-anak pilih jalan sendiri bila besar nanti" kini biasa didengar, seolah-olah agama dan cara hidup boleh dipilih sesuka hati tanpa bimbingan ibu bapa.

Sedangkan dalam Islam, Allah SWT dengan tegas mengamanahkan setiap pemimpin keluarga, khususnya bapa untuk memastikan keselamatan agama dan akhirat ahli keluarganya. Allah SWT berfirman:

يَـٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu-batu.” [Surah at-Tahrim, ayat 6]

Di dalam tafsir As-Sa’di mengatakan perihal ayat itu:

مَوْصُوفَةٌ بِهذِهِ الأَوْصَافِ الفَظِيعَةِ، وَوِقَايَةُ الأَنْفُسِ بِإِلْزَامِهَا أَمْرَ اللهِ، وَالقِيَامُ بِأَمْرِهِ امْتِثَالًا، وَنَهْيِهِ اجْتِنَابًا، وَالتَّوْبَةُ عَمَّا يُسْخِطُ اللهَ وَيُوجِبُ العَذَابَ، وَوِقَايَةُ الأَهْلِ
Maksudnya: “Digambarkan dengan sifat-sifat yang dahsyat ini, dan memelihara diri adalah dengan mewajibkan diri melaksanakan perintah Allah, melaksanakan suruhan-Nya sebagai tanda patuh, menjauhi larangan-Nya, bertaubat daripada perkara yang membangkitkan kemurkaan Allah dan yang membawa kepada azab, serta memelihara ahli keluarga.” [Tafsir as-Sa’di, hlm. 874]

Berdasarkan ayat Al-Quran dan tafsiran tafsir as-Sa’di tersebut menunjukkan bahawa ia tidak sekadar menyuruh kita menyelamatkan diri sendiri, tetapi turut menuntut agar kita melindungi keluarga, khususnya anak-anak.

Anak-anak merupakan amanah yang dianugerahkan Allah SWT. Ibu bapa wajib melaksanakan amanah ini dengan mendidik mereka menjadi insan yang beriman dan bertakwa.

Oleh itu, sesuai dengan sabda nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA:

‌كُلُّكُمْ ‌رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ رَاعٍ عَلَى رَعِيَّتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُ
Maksudnya: “Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, seorang hamba yang menjaga harta tuannya dan bertanggungjawab ke atasnya, seorang wanita adalah pemimpin di dalam rumahnya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya.” [HR Bukhari, 7138]

Jika anak itu sudah baligh sekalipun, ibu bapa tetap mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak mereka, walaubagaimanapun caranya tentulah berubah. Anak yang telah baligh memang memikul dosa dan pahala sendiri sebagai mukallaf, tetapi ibu bapa tidak terlepas sepenuhnya daripada amanah mendidik dan menasihati, terutamanya jika anak itu masih tinggal bersama atau belum matang secara akal dan emosi.

Bahkan, dalam Surah Hud, Nabi Nuh tetap menyeru anaknya agar beriman, meskipun anak itu sudah dewasa dan memilih jalan sendiri:

يَـٰبُنَىَّ ٱرْكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ ٱلْكَـٰفِرِينَ
Maksudnya: “Wahai anakku! Naiklah bersama kami dan janganlah engkau bersama orang-orang kafir.” [Surah Hud, ayat 42]

Ini menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak tidak terhenti walaupun mereka sudah baligh. Ibu bapa tetap berperanan sebagai penasihat dan pendidik.

Kesimpulannya, memberi anak kebebasan memilih dalam hal seperti kerjaya, minat atau hobi adalah wajar. Namun, dalam soal agama dan akidah, ibu bapa tetap bertanggungjawab menegur dan membimbing jika anak tersilap, walaupun mereka sudah baligh dan dewasa.

Soalan 2
Sebagai ibu bapa, kadang kita cepat marah bila anak buat salah, tapi lambat menasihati dengan hikmah. Bagaimana kita boleh contohi Nabi SAW yang mendidik dengan kasih sayang dan bukan dengan herdikan?
JAWAPAN :

Ibu bapa sering kali letih secara fizikal dan mental. Tekanan ini, jika tidak diurus dengan baik, menjadikan emosi mudah terganggu.

Apabila anak-anak melakukan kesilapan, ibu bapa secara automatik berinteraksi dengan kemarahan, kerana itulah emosi yang paling cepat muncul ketika penat dan tertekan.

Namun, dalam banyak keadaan, kita gagal menasihati anak dengan hikmah dan kasih sayang. Ini menyebabkan anak takut tetapi tidak faham.

Padahal, cara Nabi Muhammad SAW sangat berbeza. Baginda mengajar dengan kesabaran, kelembutan dan dialog yang membina. Sebagai contoh, ketika Baginda SAW melihat seorang budak tangannya bergerak ke sana sini dalam bekas makanan, bersabda Nabi SAW:

يَا غُلَامُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ
Maksudnya: “Wahai anak kecil, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah dari bahagian yang dekat denganmu.” [HR Bukhari, 5061]

Daripada kisah ini, kita belajar bahawa pendidikan bukan sekadar hukuman, tetapi proses membimbing dengan empati.

Lebih dari itu, Anas bin Malik RA, seorang remaja yang tinggal bersama Nabi SAW selama sepuluh tahun berkata:

خَدَمتُ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عَشرَ سِنينَ، فما أمَرَني بأمرٍ فتوانيتُ عنه أو ضيَّعتُه، فلامَني، فإنْ لامني أحدٌ مِن أهل بيتِه إلَّا قال: دعُوه، فلو قُدِّرَ -أو قال: لو قُضِيَ- أن يكونَ كان
Maksudnya: “Aku telah berkhidmat kepada Nabi ﷺ selama sepuluh tahun. Tidak pernah Baginda menyuruhku melakukan sesuatu, lalu aku melambatkannya atau melakukannya dengan cuai, kemudian Baginda mencelaku. Jika ada seseorang dari ahli keluarganya mencelaku, Baginda akan berkata: 'Biarkan dia. Sekiranya telah ditakdirkan perkara itu berlaku, maka ia pasti akan berlaku.” [HR Bukhari, 6038]

Ini menggambarkan betapa lembutnya akhlak Nabi SAW, khususnya dalam mendidik anak-anak. Baginda tidak mencela, kerana kesilapan itu biasa bagi kanak-kanak dan menjadi ruang untuk mereka belajar.

Pernah pada suatu hari, seorang anak kecil sedang bermain dengan burung peliharaannya. Apabila burung itu mati, Nabi SAW melihat dia bersedih, lalu bertanya kepadanya dengan nada yang sangat lembut. Nabi SAW berkata kepadanya:

‌يَا ‌أَبَا ‌عُمَيْرٍ، ‌مَا ‌فَعَلَ ‌النُّغَيْرُ
Maksudnya: “Wahai Abu Umair, apa yang berlaku kepada burung kecilmu?” [HR Bukhari, 5778]

Dalam masa yang sama, Nabi SAW tidak pernah melaknat anak-anak atau bercakap buruk, bahkan bersabda:

‌إِنِّي ‌لَمْ ‌أُبْعَثْ ‌لَعَّانًا، وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diutus sebagai pelaknat, tetapi aku diutus sebagai rahmat.” [HR Muslim, 2599]

Daripada semua kisah ini, jelaslah bahawa pendekatan Nabi Muhammad SAW dalam mendidik anak-anak sarat dengan kasih sayang, kesabaran dan hikmah. Baginda tidak terburu-buru menghukum, sebaliknya membimbing dengan penuh empati dan kelembutan.

Soalan 3
Ramai suami tegas dalam bab kewangan rumah, tapi longgar dalam soal iman dan akhlak keluarga. Bagaimana nak seimbangkan peranan sebagai penyara dan juga sebagai pembimbing rohani?
JAWAPAN :

Para suami perlu memahami skop ketua keluarga menurut neraca agama. Tanggungjawab itu bukan sahaja pada segmen keduniaan bahkan merangkumi hal ehwal iman dan akhlak juga. Allah berfirman ;

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ
Maksudnya : Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, [Surah an-Nisa’, ayat 34]

Istilah Qawwam bukan hanya bermaksud menyara, tetapi memelihara dan memimpin dengan hikmah serta tanggungjawab. Jika seorang suami tegas dalam bab kewangan tetapi lalai dalam bab agama dan akhlak, maka ia belum menunaikan makna keseluruhan qawwam itu.

Dalam konteks islam, keluarga buka sahaja seputar kewangan dan kos sara hidup. Bahkan ia meliputi pendidikan agama, adab dan memelihara dari azab api neraka.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [Surah at-Tahrim, ayat 6]

Keseimbangan dalam pengurusan harta dan pendidikan iman yang baik akan menjemput keberkatan dalam institusi keluarga. Adalah kurang tepat jika kita menganggap kebahagiaan keluarga itu datang semata-mata dengan mengurus kewangan yang bijak.

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ
Maksudnya : Dan perintahkanlah keluargamu untuk solat serta bersabarlah atasnya. Kami tidak meminta rezeki darimu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah untuk orang yang bertakwa, [Surah Taha, ayat 132]

Suami harus jadi pemimpin berkaliber. Keseimbangan antara tanggungjawab material dan spiritual bukan satu pilihan, bahkan ia tuntutan syarak. Segala amanah ini akan dipersoalkan di akhirat kelak.

والرجلُ راعٍ على أهلِ بيتِهِ وهو مسؤولٌ عنهم والمرأةُ راعيةٌ على بيتِ بعلها وولدِهِ وهي مسؤولةٌ عنهم وعبدُ الرجلِ راعٍ على بيتِ سيدِهِ وهو مسؤولٌ عنهُ ألا فكلُّكم راعٍ وكلُّكم مسؤولٌ عن رعيتِهِ
Maksudnya : Lelaki adalah pemimpin dalam keluarganya dan dia bertanggungjawab atas mereka. Wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab atas mereka. Hamba adalah pemimpin terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab atasnya. Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya." [HR Bukhari, 2554]
Soalan 4
Bagaimana kisah Nabi Nuh AS dan anaknya yang enggan mengikuti ajaran baginda boleh kita jadikan sebagai ibrah dan panduan dalam membimbing anak-anak di zaman sekarang yang selalu memberontak?
JAWAPAN :

Hidayah adalah milik Allah. Kita hanya mampu berusaha untuk mengajak seseorang kembali kepada agama, selebihnya serah kepada Allah.

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ
Maksudnya: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak boleh memberi petunjuk kepada siapa yang engkau cintai. [Surah al-Qasas, ayat 56]

Kasih sayang seorang bapa walau sebesar mana pun, tidak akan mampu memberi hidayah melainkan dengan izin Allah. Peristiwa banjir ketika zaman Nabi Nuh a.s membuktikan perkara ini ketika baginda berusaha untuk mengajak anaknya kembali beriman.

يَا بُنَيَّ ارْكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ الْكَافِرِينَ . سَآوِي إِلَىٰ جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ . لَا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ
Maksudnya : Wahai anakku! Naiklah (ke kapal) bersama kami, dan janganlah engkau bersama orang-orang kafir. Aku akan mencari perlindungan ke sebuah gunung yang akan melindungiku dari air bah ini. Tiada yang dapat melindungi dari ketetapan Allah pada hari ini kecuali yang diberi rahmat. [Surah Hud, ayat 42-43]

Dari sudut laras bahasa "بُنَيَّ" yang digunakan Nabi Nuh a.s menyeru dengan ungkapan kasih sayang dan belas kasihan. Baginda melihat anaknya seperti yang sangat memerlukan rahmat serta simpati.

ini menunjukkan betapa lembutnya pendekatan Nabi Nuh, menggunakan bahasa yang penuh kasih sayang walaupun dalam situasi sangat getir dan genting. Manifestasi cinta seorang bapa yang tidak pernah putus asa, walaupun terhadap anaknya yang sudah jelas enggan menerima kebenaran.

Anak Nabi Nuh AS tidak lagi melihat ayah sebagai tempat rujukan keselamatan atau kepercayaan. Dengan sikap egonya dia menolak mentah-mentah pelawaan ayahnya dari menyelamatkannya.

سَآوِي إِلَى جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ
Maksudnya : Aku akan mencari perlindungan ke sebuah gunung yang akan melindungiku dari air bah ini. [Surah Hud, ayat 42]

Kemudian respon Nabi Nuh a.s luahan kesal seorang bapa yang masih mahu menyelamatkan anaknya, tetapi baginda menyedari bahawa kuasa hidayah bukan di tangannya.

لَا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِلَّا مَنْ رَحِمَ
Maksudnya : Tiada yang dapat selamat hari ini melainkan yang dirahmati. [Surah Hud, ayat 43]

Oleh itu, nilai kesabaran dan tidak berputus asa dalam mendidik anak yang memberontak adalah kunci utama. Bersabar dengan melakukan tindakan yang tepat seperti menyantuni dengan baik dan bertegas pada tegahan perkara haram.

Kesimpulannya segala cabaran didikan ini mestilah didasari dengan kasih sayang yang tulus. Ini kerana setiap orang yang menyayangi orang lain maka dia akan disayangi.

فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: مَن لا يَرحَمْ، لا يُرحَمْ
Maksudnya : Barang siapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi . [HR Bukhari, 5997]
Soalan 5
Bagaimana kaedah bimbingan yang dilakukan oleh Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya seperti mana yang diceritakan dalam al-Quran?
JAWAPAN :

Kisah Luqman al-Hakim, seorang lelaki soleh yang diberi hikmah dan kebijaksanaan oleh Allah SWT, menghimpunkan segala macam nasihat, pengajaran dan ibrah yang boleh diambil dalam mendidik dan menasihati anak.

Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan.” [Surah Luqman, ayat 12]

Hikmah yang dimaksudkan ialah kefahaman dalam agama, kewarasan akal, dan ketepatan dalam ucapan. [Al-Tafsir al-Muyassar, jld. 1, hlm. 412]

Allah SWT merakamkan nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran yang boleh dijadikan panduan kepada umat Islam:

Bimbingan berteraskan tauhid
Allah SWT berfirman:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” [Surah Luqman, ayat 13]

Ia menanam kesedaran bahawa hidup ini adalah untuk Allah, dan dengan mengenaliNya maka akan terhimpun pada anak sifat tanggungjawab terhadap pengabdian dirinya kepada Tuhan. Ia juga membina kekuatan jiwa kerana dengannya, anak itu tidak mudah takut pada manusia, tidak taksub kepada makhluk, dan tidak bergantung kepada makhluk dalam urusan hidup. Tauhid menjadikan anak itu kuat, tenang dan yakin dalam menghadapi ujian dunia. Serta membina jati diri muslim di usia muda.

Cara komunikasi dan didikan yang baik
Allah SWT berfirman:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku.” [Surah Luqman, ayat 13]

Penggunaan kalimah ‘بُنَيَّ’ menunjukkan kelembutan dan kasih sayang. Ia memberi makna bahawa nasihatnya itu bukan datang dari rasa marah, kecewa, atau benci, sebaliknya berdasarkan cinta dan keinginan melihat anaknya mendapat kebaikan. Kata-kata yang dipenuhi dengan herdikan, sindiran, dan makian akan menutup hati anak sebelum sempat memahami isi nasihat.

Menjelaskan tanggungjawab yang perlu dilakukan
Allah SWT berfirman:

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ
Maksudnya: “(Luqman berkata kepada anaknya) wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar.” [Surah Luqman, ayat 17]

Luqman menasihati anaknya tentang tanggungjawab hakiki, sesuai dengan tujuan manusia sebagai hamba Tuhan dan khalifah di muka bumi. Tugas antara hamba kepada Tuhannya, dan tugas sosial yang mengajak kebaikan dan menolak kemungkaran demi pembangunan dan maslahat masyarakat.

Didikan dengan penjelasan, bukan sekadar menyuruh dan melarang
Allah SWT berfirman:

لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “(Luqman berkata kepada anaknya) janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” [Surah Luqman, ayat 13]

Ini menjelaskan bahawa menunjukkan bahawa setiap suruhan dan larangan itu bukan membebankan, tetapi untuk menyelamatkan. Pendekatan ini melahirkan kefahaman jelas yang mendalam terhadap nilai-nilai agama. Ia tidak menafikan dan mendiamkan mereka, malah meraikan soalan dan melengkapi sifat ingin tahu mereka.

Mengiktiraf emosi dan keadaan anak
Allah SWT berfirman:

وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ
Maksudnya: “(Luqman berkata kepada anaknya) dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.” [Surah Luqman, ayat 17]

Luqman memahami anaknya tidak akan terlepas daripada ujian, tentangan, penolakan dan kekecewaan. Nasihat ini mengisyaratkan keinginan untuk anaknya menjadi tabah dan kuat dalam kehidupannya. Bimbingan seperti Luqman al-Hakim ini sangat diperlukan kerana didikan beginilah yang membina jiwa rabbani dan masyarakat berakhlak tinggi yang bermula dengan didikan kepada anak-anak.

Soalan 6
Boleh ke kita ikut cara pendidikan Barat dalam mendidik anak-anak, atau sepatutnya kita lebih fokus pada cara dan nilai yang ada dalam budaya kita sendiri?
JAWAPAN :

Isu ini menyentuh dua bentuk pendidikan: pendidikan Barat yang sering dilihat progresif dan saintifik disertai ribuan kajian daripada pakar pendidikan, dan pendidikan ketimuran yang lazim dengan idea dan gaya tradisional dan bersifat klasik yang berpaksikan nilai-nilai agama.

Kaedah pendidikan yang terbaik bukan sahaja menerapkan budaya dan ajaran Islam sebagai tujuan dan matlamat utama, tetapi juga mengiktiraf keperluan ilmu dan kemahiran duniawi sebagai alat dalam memacu kemajuan manusia dari segi teknologi, sosial dan falsafah hidup.

Secara asasnya, pendidikan gaya Barat merujuk kepada:

Pendekatan pendidikan yang menekankan kebebasan berfikir, pembelajaran aktif, perkembangan individu secara menyeluruh, dan penggunaan kaedah moden berdasarkan sains, falsafah dan hak asasi manusia.

Antara asas falsafah pendidikan barat ialah:

  • Humanisme: Memartabatkan potensi dan martabat manusia.
  • Rasionalisme: Akal adalah sumber utama pengetahuan dan alat untuk memahami realiti.
  • Empirisme: Semua pengetahuan datang melalui pengalaman dan deria.
  • Pragmatisme: Nilai sesuatu idea atau tindakan diukur berdasarkan kesan dan keberkesanannya dalam kehidupan sebenar.
  • Sekularisme: Pendidikan yang tidak terlalu terikat pada agama.

Manakala, pendidikan gaya tempatan (ketimuran) pula bermaksud:

Suatu pendekatan pendidikan yang berteraskan nilai adab, penghormatan kepada autoriti ilmu, keharmonian sosial, dan keseimbangan antara jasmani, akal dan ruh.

Antara asas falsafah pendidikan tempatan ialah:

  • Agama sebagai paksi dan tujuan utama dalam pendidikan
  • Adab sebagai asas ilmu dan pengiktirafan terhadap kehormatan guru dan autoriti.
  • Seimbang jasmani (jasad), kognitif (akal) dan ruh (jiwa).
  • Hikmah secara berperingkat melalui berguru dan ijazah sanad

Hakikatnya, apa sahaja kaedah pendidikan yang datang dari sesiapa sahaja, jika ia tidak menyalahi syarak dan maqasid, maka ia boleh dipakai dan diterapkan.

Ini sesuai dengan sebuah kata-kata masyhur: “Hikmah (kebijaksanaan) adalah barang yang hilang milik orang beriman. Di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang paling berhak mengambilnya.”

Umat Islam seharusnya mempelajari dan meneroka serta mengambil ibrah daripada sesiapa sahaja kerana tiada halangan yang mengatakan Islam melarang mengambil manfaat daripada orang bukan Islam.

Maka, tidak salah untuk mengambil model mahupun gaya pendidikan Barat untuk diterapkan di pendidikan tempatan dengan syarat:

  • Memperhalusi setiap model, teori pendidikan dan pedagogi daripada Barat agar bertepatan dengan syarak dan membuang segala yang menyalahinya.
  • Mengintegrasi nilai rabbani ke dalam model pendidikan moden sesuai dengan maqasid syariah yang terdiri daripada ubudiyyah, tazkiyah dan mas’uliyyah.
  • Menyerasikan sistem pendidikan Barat dengan nilai dan budaya tempatan serta melihat kepada keperluan yang diperlukan pada satu-satu masa.

Inilah apa yang ingin dibawa oleh Said Nursi, al-Faruqi dan Syed Naquib al-Attas dalam mengislamkan ilmu (termasuk sistem pendidikan dari Barat) agar manfaatnya dapat diperoleh oleh semua umat Islam.

  • Penggabungan ilmu agama dan sains serta tidak mengetepikan akar budaya dalam pendidikan seperti yang ditunjukkan dalam Risalah al-Nur oleh Said Nursi.
  • Gagasan Islamization of Knowledge yang mengkaji, menyaring, dan menyusun semula seluruh cabang ilmu moden seperti yang diasaskan oleh Ismail al-Faruqi.
  • Membangunkan konsep ta’dib sebagai asas pendidikan dan mengembalikan ilmu kepada peranannya yang sebenar iaitu membimbing manusia kepada hakikat dan Tuhan seperti yang ditegaskan oleh Syed Naquib al-Attas.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” [Surah al-Hujurat, ayat 13]

Tak kira sama ada sesuatu kemahiran atau ilmu itu datangnya daripada mana-mana bangsa, kayu ukur yang sebenar adalah ketakwaan.

Maka, boleh sahaja mengambil sistem pendidikan Barat dan terapkannya dalam sistem pendidikan tempatan (jika ada keperluan atau ingin menambah baik sistem sedia ada) tanpa mengorbankan nilai-nilai Islam yang telah berakar umbi di sini.

Soalan 7
Apa peranan ahli keluarga dalam membantu sesama mereka menyelesaikan bebanan kerja rumah, sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi SAW?
JAWAPAN :

Peranan ahli keluarga dalam menyelesaikan bebanan kerja rumah adalah tanggungjawab bersama, bukan diletakkan sepenuhnya di atas bahu satu pihak sahaja.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW memberikan contoh yang paling indah dan praktikal kepada kita semua:

Membantu Isterinya di Rumah.
Sayyidatina Aisyah RA pernah ditanya: “Apakah yang dilakukan Nabi SAW di rumah?” Lalu beliau menjawab:

كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ ـ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ ـ فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلاَةِ‏.‏
Maksudnya: “Baginda SAW membantu urusan keluarganya. Tetapi apabila masuk waktu solat, baginda pun keluar untuk menunaikannya.” [HR al-Bukhari, 676]

Dalam hadith Musnad Ahmad menyebut:

كَانَ يَخِيطُ ثَوْبَهُ، وَيَخْصِفُ نَعْلَهُ، وَيَعْمَلُ مَا يَعْمَلُ الرِّجَالُ فِي بُيُوتِهِمْ
Maksudnya: “Baginda SAW menjahit bajunya sendiri, menampal kasutnya, dan melakukan apa yang dilakukan oleh lelaki di rumah mereka.” [HR Ahmad, 24903]

Keluarga Bukan Sistem Bos dan Pekerja.
Islam memandang rumah tangga sebagai madrasah cinta dan tanggungjawab bersama, bukan tempat bebankan isteri atau ibu semata-mata.

Allah SWT berfirman:

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [Surah al-Ruum, ayat 21]

Anak-anak perlu dilatih dari kecil untuk:

  • Mengemas selepas makan.
  • Menjaga kebersihan bilik.
  • Membantu adik-beradik yang kecil.
  • Menawarkan diri untuk bantu ibu atau ayah tanpa disuruh.

Sekolah Pertama Anak untuk Belajar Tanggungjawab.
Dalam Islam, rumah bukan sekadar tempat tinggal. Ia adalah madrasah pertama, tempat di mana anak-anak belajar nilai hidup sebelum mereka menjejak kaki ke sekolah formal. Di sinilah mereka mengenal tanggungjawab, disiplin, empati dan adab, bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi melalui latihan dan teladan harian.

Antara nilai asas yang perlu ditanam sejak kecil:

  • Mengemas selepas makan
  • Menjaga kebersihan bilik sendiri
  • Membantu adik-beradik yang lebih kecil
  • Menawarkan diri untuk membantu ibu bapa tanpa perlu disuruh

Ia bertepatan dengan apa yang dipesan oleh Luqman al-Hakim yang disebut dalam al-Quran:

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ
Maksudnya: "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." [Surah Luqman, ayat 17]

Jangan lihat kerja rumah sebagai tugas kecil atau hina. Nabi SAW pun melakukannya bukan sebab terpaksa, tapi sebab itu tanda kasih sayang kepada isteri.

Bila suami bantu isteri:

  • Dia menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.
  • Dia mengukuhkan mawaddah dan rahmah.
  • Dia mendatangkan keberkatan dalam rumah tangga.
  • Anak-anak membesar dengan teladan kasih sayang, bukan kuasa dan tekanan.

Kesimpulannya, keluarga adalah ibarat 1 pasukan. Dan rumah tangga ialah tempat latihan ke syurga.

Scroll to Top