SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

TEMAN KE SYURGA

Soalan & Jawapan: Teman Ke Syurga
Soalan 1
Nabi SAW pernah bersabda bahawa seseorang tidak sempurna iman jika tidak mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya. Bagaimana ini diterjemahkan dalam sirah nabawiyyah?
JAWAPAN :

Daripada Anas bin Malik Ra, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” [HR Bukhari, 13]

Kita sebagai seorang muslim dituntut untuk sentiasa memuliakan, menghormati dan menyayangi semua peringkat usia. Tidak kiralah orang tersebut lebih muda daripada kita atau sebaliknya. Dalam konteks sirah nabawiyyah, terdapat banyak contoh di mana Nabi Muhammad SAW menekankan nilai kasih sayang dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam. Berikut adalah beberapa contoh dari sirah yang menunjukkan bagaimana hadis ini diterjemahkan dalam kehidupan sirah nabawiyyah:

Persaudaraan di Madinah
Apabila Muhajirin sampai ke Madinah, Nabi SAW mempersaudarakan Abdurrahman Bin Auf dan Saad Bin Rabi, diriwayatkan oleh Abdurrahman Bin Auf:

لَمّا قَدِمْنا إلى المَدِينَةِ آخَى رَسُولُ اللهِ صلّى اللهُ عليهِ وسلّم بَيْنِي وَبَيْنَ سَعْدِ بنِ الرَّبِيعِ
Maksudnya: “Ketika kami tiba di Madinah, Rasulullah SAW mempersaudarakan antara aku dan Sa‘d bin ar-Rabi‘.[HR Tahawi, 6013]

Baiah Ridhwan
Perjanjian ini berlaku semasa Perjanjian Hudaibiyah, yang merupakan perjanjian damai antara Nabi SAW dan kaum Quraisy di Mekah. Ketika itu, Nabi SAW dan para sahabat berhasrat untuk menunaikan Umrah, tetapi mereka disekat oleh pihak Quraisy di luar Mekah.

Orang Quraish menahan Uthman di sisi mereka- mungkin kerana mereka hendak berbincang sesama mereka terlebih dahulu menangani situasi yang terdesak ini dan mendapatkan keputusan yang pasti, setelah itu barulah mereka sampaikan jawapannya kepada Uthman.

Uthman tertahan di Mekah agak lama, sehingga tersebar berita dalam kalangan orang-orang Islam bahawa Uthman telah dibunuh. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Kita tidak akan berundur sehingga menentang kaum itu.” Baginda kemudian memanggil para sahabat untuk berbai’ah, dan mereka pun berebut-rebut datang menyatakan bai’ah bahawa mereka tidak akan lari dari medan.

Rasulullah SAW memegang tangannya sendiri dan bersabda: “Ini bai’ah untuk Uthman.” Setelah bai’ah selesai, Uthman tiba dan turut berbai’ah. Hanya seorang munafik, Jadd bin Qays, yang tidak berbai’ah. [Rujuk: Tarikh at-Tabari, jld. 2, hlm. 632]

Baiah ini dikenali sebagai Baiah Ridhwan, Allah SWT berfirman:

لَّقَدْ رَضِيَ اللَّـهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Nabi SAW dan Abu Bakar
Ketika peristiwa hijrah, Abu Bakar r.a. menemani Rasulullah SAW bersembunyi di Gua Thur bagi mengelakkan dikejar oleh kaum Quraisy.

Allah SWT berfirman:

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, yaitu ketika orang-orang kafir mengusirnya, sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: 'Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Muhammad)

Abu Bakar RA sanggup mengorbankan keselamatan dirinya sendiri untuk menemani Nabi SAW dalam perjalanan hijrah. Semasa di dalam gua tersebut, satu lubang di gua tidak dapat ditutup, lalu Abu Bakar menutupnya dengan kakinya. Seekor binatang berbisa mematuknya, namun beliau tetap diam agar tidak mengejutkan Nabi SAW yang tidur di atas pahanya. Air matanya menitis hingga membuatkan Nabi terjaga.

Kesimpulannya, para sahabat nabi sangat memaknai kandungan hadis tersebut, kasih sayang, pengorbanan, dan semangat persaudaraan yang ditunjukkan merupakan teladan agung dalam membina masyarakat Islam yang kukuh.

Soalan 2
Saya pernah mendengar kisah 3 orang sahabat yang meminta air ketika berperang. Setiap daripada mereka berikan air tu kepada sahabat yang lain sehingga mereka meninggal dunia. Bagaimana kisah itu menonjolkan sifat kasih sayang kepada sahabat?
JAWAPAN :

Ini merupakan sebuah kisah sahabat yang masyhur dan disebut oleh Muhammad Yusuf al-Kandahlawi di dalam kitabnya di bawah tajuk: “Al-Harith, ‘Ikrimah dan ‘Ayyash menanggung kehausan pada Hari al-Yarmuk.” [Hayah al-Sahabah, jld. 1, hlm. 392]

Ia juga disebut dalam kitab al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain:
“Sesungguhnya al-Harith ibnu Hisham, ‘Ikrimah ibnu Abi Jahal dan ‘Ayyash ibnu Abi Rabi‘ah telah cedera parah dan terlantar pada hari Perang al-Yarmuk. Dalam keadaan kehausan yang amat sangat, al-Harith meminta air untuk diminum. Namun ketika air itu dibawa kepadanya, dia melihat ‘Ikrimah sedang memandangnya, lalu dia berkata, “Berikanlah air itu kepada ‘Ikrimah.” Maka air itu dialihkan kepada ‘Ikrimah. Namun ketika ‘Ikrimah hendak meminumnya, dia pula melihat kepada ‘Ayyash ibn Abi Rabi‘ah yang juga dalam keadaan cedera, lalu dia berkata, “Berikanlah kepada ‘Ayyash.” Tetapi sebelum air itu sempat sampai kepada ‘Ayyash, dia telah meninggal dunia, dan akhirnya air itu tidak sempat diberikan kepada sesiapa pun daripada mereka bertiga kerana mereka semua telah wafat, dan tidak seorang pun sempat merasai air tersebut.” [HR al-Hakim, 5058]

Menurut Muhammad bin Abdillah Bamusa, kisah ini tidak sahih dan ramai yang mendaifkannya:

  • Hadis ini terputus (inqita’) kerana terdapat rawi iaitu Habib bin Abi Thabit yang tidak mendapati era Perang Yarmuk. Beliau merupakan perawi thiqah namun banyak membuat tadlis (kesamaran) dan irsal (riwayat secara terputus) hadis.
  • Ibnu Qutaibah pula mengatakan hadis ini palsu kerana ahli sirah mengatakan ‘Ikrimah terbunuh pada hari Ajnadayn, ‘Ayyash meninggal dunia di Makkah dan al-Harith wafat di Syam dalam wabak ta’un.

[Is‘af al-Akhyar bima Isytahara wa Lam Yasih min al-Ahadith wa al-Athar wa al-Qasas wa al-Asy‘ar, jld. 2, hlm. 306-307]

Meskipun status kisah ini dipersoalkan, namun intipati dan ibrah daripada kisah ini sangatlah berharga dalam menonjolkan sifat kasih sayang kepada sahabat. Dalam kisah ini, ia menunjukkan sifat ithar atau mengutamakan orang lain. Firman Allah SWT:

وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ
Maksudnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat.” [Surah al-Hasyr, ayat 9]

Al-Harith berhajatkan air dalam keadaan dia tersangat sakit dan memerlukan, namun dia melihat ‘Ikrimah yang juga memerlukan dia memberi apa yang dia perlukan sangat kepada sahabatnya. Perkara yang sama berlaku apabila ‘Ikrimah melihat al-’Ayyash. Ia merupakan bentuk kasih sayang yang tertinggi.

Kisah ini menunjukkan bahawa ukhuwah Islamiyah bukan sekadar dalam senang, tetapi juga dalam situasi getir dan genting. Mereka tidak berpura-pura, tetapi benar-benar meletakkan kasih sayang sebagai prinsip hidup. Inilah apa yang disebut sebagai pengorbanan tanpa syarat. Ia juga menzahirkan persahabatan yang sebenar-benarnya kerana tiada sikap mementingkan diri dan mengambil kesempatan.

Merekalah manifestasi hadis baginda SAW:

إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ، يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin terhadap mukmin yang lain seperti bangunan, saling menguatkan antara satu sama lain.” Lalu Baginda menyilangkan jari-jemarinya (sebagai isyarat kepada perpaduan dan saling sokong-menyokong).” [HR al-Bukhari, 481]
Soalan 3
Ramai orang suruh kita berhati-hati dalam memilih sahabat. Bagaimana persahabatan boleh mempengaruhi semangat ibadah dan keimanan seseorang?
JAWAPAN :

Sahabat ialah figura penting dalam membentuk peribadi seseorang. Walaupun hakikatnya setiap orang itu mestilah bertanggungjawab terhadap jati dirinya sendiri, namun sahabat sangat menyumbang kepada suasana yang kita akan lalui sehari-hari.

Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً
Maksudnya: “ Maksudnya: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” [HR al-Bukhari, 5534]

Bersahabat dengan orang-orang yang baik dan duduk bersama mereka adalah sifat mulia. Ia adalah jalan untuk mendapatkan kejayaan dunia akhirat. Sedangkan bersahabat dengan orang-orang yang buruk dan rosak adalah sifat orang-orang yang lemah jiwa, dan merupakan jalan menuju kerugian dan kebinasaan. Dalam hadis ini, Nabi Muhammad SAW memberikan dua perumpamaan untuk dua jenis golongan manusia, iaitu sahabat yang baik dan sahabat yang buruk. Ini bertujuan untuk mendekatkan kita kepada fungsi persahabatan sebenar.

Terdapat pesan-pesan daripada al-Quran dan hadis tentang memilih sahabat dan berdoa kepada Allah supaya dikurniakan sahabat/pendamping yang baik:

Permohonan Nabi Musa kepada Allah berkaitan Nabi Harun.

هَـٰرُونَ أَخِى (30) ٱشْدُدْ بِهِۦٓ أَزْرِى (31) وَأَشْرِكْهُ فِىٓ أَمْرِى (32) كَىْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًۭا (33) وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا (34)
Maksudnya: “Iaitu Harun saudaraku; (30) Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku (31) Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku (32) Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu (33) Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu (34)” [Surah Taha, ayat 30-34]

Pesan Nabi SAW tentang memilih sahabat.
Nabi SAW bersabda:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
Maksudnya: “Seseorang itu mengikuti agama sahabatnya, maka hendaklah salah seorang di antara kamu memperhatikan siapa yang dia jadikan sahabat.” [HR al-Tirmizi, 2378]

Halatuju (goal) persaudaraan atau persahabatan:

  • Dirahmati Allah:
    إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
    Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [Surah al-Mukminun, ayat 10]
  • Kekal bersahabat kerana ketakwaan:
    ٱلْأَخِلَّآءُ يَوْمَئِذٍۭ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا ٱلْمُتَّقِينَ
    Maksudnya: “Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa (persahabatannya kekal).” [Surah al-Zukhruf, ayat 27]

Bahkan, dalam surah al-Furqan juga telah diceritakan tentang penyesalan mereka yang memilih sahabat yang buruk. Firman Allah SWT:

وَيَوْمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَـٰلَيْتَنِى ٱتَّخَذْتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلًۭا (27) يَـٰوَيْلَتَىٰ لَيْتَنِى لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًۭا (28) لَّقَدْ أَضَلَّنِى عَنِ ٱلذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَآءَنِى ۗ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِلْإِنسَـٰنِ خَذُولًۭا (29)
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?” (27) “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!” (28) “Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).(29)” [Surah al-Furqan, ayat 27-29]

Ketika dilihat ianya memberikan mudarat kepada iman kita, maka kita perlu meninggalkan sahabat yang buruk yang mengajak kita melakukan kemungkaran terhadap Allah (dengan makna tidak melaziminya). Namun, hendaklah kita ingat bahawa konsep memilih sahabat yang baik seperti yang diajarkan dalam Islam tidak bermaksud kita boleh mengabaikan tugas mengajak ke arah perkara ma'ruf (kebaikan). Kita wajib bantu sahabat kita yang masih dalam keadaan yang buruk atau sedang berusaha berubah.

Soalan 4
Jika sahabat kita terang-terang buat kesalahan, seperti mendedah aurat atau tinggal solat, tapi kita diam kerana takut dia kecil hati, adakah itu tanda hikmah atau kelemahan dalam cinta kerana Allah?
JAWAPAN :

Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa mengingatkan dan menasihati kita untuk terus menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Dalam hal ini, apabila kita melihat sahabat kita terang-terangan melakukan kesalahan, seperti mendedahkan aurat atau meninggalkan solat, kita dihadapkan dengan dua perkara penting: adab dalam menasihati dan kewajipan kita untuk menjaga ukhuwah.

Sabda Rasulullah SAW:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak beriman salah seorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri.” [HR al-Tirmizi, 2515]

Jika kita benar-benar mencintai sahabat kita kerana Allah, maka kita seharusnya tidak berdiam diri ketika mereka melakukan kesalahan yang boleh membahayakan agama mereka.

Namun, kita juga perlu memahami bahawa menegur dengan bijaksana itu adalah satu tanda hikmah. Hikmah dalam Islam adalah mengutamakan cara yang paling baik dan sesuai dengan situasi serta perasaan orang yang ditegur. Allah SWT berfirman:

اُدۡعُ اِلٰى سَبِيۡلِ رَبِّكَ بِالۡحِكۡمَةِ وَالۡمَوۡعِظَةِ الۡحَسَنَةِ​ وَجَادِلۡهُمۡ بِالَّتِىۡ هِىَ اَحۡسَنُ​ؕ
Maksudnya: “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.” [Surah al-Nahl, ayat 125]

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lidahnya; dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman.” [HR Muslim, 49]

Diam bukan bererti kita lemah, tetapi mungkin kita perlukan kekuatan untuk menegur sahabat kita supaya tidak menimbulkan prasangka atau menjejaskan hubungan persahabatan di kemudian hari. Oleh itu, tetaplah menunaikan kewajipan sebagai seorang sahabat yang baik dan mengasihi antara satu sama lain.

Kasih sayang yang tulus bukan hanya terletak pada mendiamkan diri atau mengabaikan kesalahan yang dilakukan, tetapi pada keberanian untuk menegur dengan penuh kelembutan, berhikmah serta mengharapkan kebaikan untuk sahabat kita.

Soalan 5
Sahabat sejati tidak terus menegur di hadapan ramai, tapi menasihati dengan lembut dan mendoakan dalam diam. Bila kita lihat sahabat makin jauh dari jalan Allah, adakah kita bijak memulakan dengan doa, atau kita terlalu cepat menegur tanpa memahami keadaannya?
JAWAPAN :

Adab dan kesopanan dalam memberi teguran adalah sangat penting dalam Islam, dan ia harus dilaksanakan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Sahabat sejati memang seharusnya menasihati dengan penuh kasih sayang, tanpa menyinggung perasaan atau memalukan seseorang. Dalam situasi seperti ini, kita perlu berhati-hati dalam memilih cara dan waktu untuk menegur, serta memikirkan keadaan orang yang akan ditegur.

Allah SWT berfirman:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّه كَثِيرًا
Maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu semua pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang terbaik, (iaitu) bagi mereka yang mengharapkan (reda dan kasih) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta mereka yang banyak (sentiasa) mengingati Allah.” [Surah Al-Ahzab, 21]

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik dalam memberi nasihat. Baginda menegur dengan cara yang lembut dan penuh kasih sayang, tanpa memalukan sesiapa. Nabi SAW mengajarkan kita bahawa memberi teguran yang baik adalah dengan menunjukkan rasa peduli dan kasih sayang kepada orang lain.

Dalam sebuah hadith Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak (dan adab-adab) yang mulia. [HR Ahmad, 8952]

Hadith ini mengingatkan kita bahawa nasihat dan teguran yang baik harus datang dari akhlak yang mulia, bukan untuk mengaibkan atau memalukan seseorang.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَن رَءَا مِنْكُمْ مُّنكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَٰلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya; jika ia tidak mampu, hendaklah dengan lisannya; jika ia tidak mampu, hendaklah dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman. [HR Muslim, 49]

Hadith ini menegaskan bahawa seorang Muslim wajib menegur kemungkaran yang dilihat dengan cara yang paling sesuai. Namun, jika kita tidak mampu untuk menegur dengan tangan (mencegah secara fizikal), maka kita digalakkan untuk menegur dengan kata-kata yang lembut dan penuh hikmah. Jika itu pun tidak mampu dilakukan, kita masih boleh mengubahnya dengan hati, iaitu dengan mendoakan agar orang tersebut diberi petunjuk oleh Allah SWT.

Untuk menegur dengan cara yang tidak memalukan, kita perlu mengikuti beberapa prinsip berikut:

  • Mulakan dengan doa: Doa adalah cara terbaik untuk memulakan niat kita dalam menegur seseorang. Doa kita bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk diri kita agar diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam memberi nasihat.
  • Tegur secara peribadi: Jika kita melihat seseorang yang semakin jauh dari jalan Allah, sebaiknya kita memberi teguran secara peribadi, bukan di hadapan ramai orang. Nabi SAW menegur dengan cara yang halus dan penuh kasih sayang. Kita boleh memilih waktu yang sesuai untuk berbicara dengan lembut, seperti yang dicontohkan oleh Nabi SAW.
  • Gunakan kata-kata yang hikmah: Teguran haruslah dilakukan dengan kata-kata yang penuh kasih sayang dan tidak kasar. Sebagai contoh, "Aku nak share ni dengan kau, mungkin ini boleh membantu kita bersama-sama dalam memperbaiki diri."
  • Menasihati tanpa merendahkan: Teguran membina dan bukan menghina kerana kita tidak mahu menyinggung perasaan orang yang ditegur. Nasihat yang baik adalah yang mengangkat martabat orang tersebut, bukan merendahkannya.
  • Mendoakan dalam diam: Jika kita tidak mampu untuk menegur secara langsung, kita boleh mendoakan sahabat kita dalam diam. Doa adalah cara terbaik untuk membantu sahabat kita kembali ke jalan Allah, dan itu juga merupakan bentuk kasih sayang yang tidak terucap.

Sebagai kesimpulan, kita perlu bijak dalam memilih cara menegur, dan yang lebih utama adalah dengan penuh doa, kasih sayang, dan rasa hormat. Mengingatkan sahabat dengan baik, mengelakkan daripada memalukan mereka, dan selalu berdoa untuk kebaikan mereka adalah cara terbaik dalam menjaga hubungan sesama Muslim.

Soalan 6
Sahabat saya sedang dalam fasa untuk berhijrah namun dia rasa berat untuk berubah. Apa nasihat dan bimbingan yang boleh diberi untuk membantunya?
JAWAPAN :

Hijrah bukan hanya tentang berpindah tempat, tetapi lebih kepada perubahan hati dan niat untuk menjadi lebih baik di sisi Allah. Berikut adalah beberapa nasihat dan bimbingan yang boleh diberikan:

Perbaharui Niat dan Tujuan Hijrah.
Allah adalah setinggi-tinggi tujuan hidup kita, dan segala usaha atau perubahan yang kita lakukan mesti didorong oleh keinginan untuk mendapatkan keredhaan-Nya

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah al-Baqarah, ayat 218]

Hijrah kerana Allah akan memberi kita ketenangan dan istiqamah walaupun ujian datang, kerana kita tahu tujuan kita adalah untuk mendapatkan redha Allah yang kekal. Maka, setiap langkah hijrah kita, walaupun mungkin melalui pasang surut, akan sentiasa kembali kepada Allah sebagai akhir tujuan hidup.

Mulakan dengan Langkah Kecil.
Perubahan tidak perlu dilakukan secara mendadak. Misalnya, jika sahabat itu mahu berhenti dari sesuatu kebiasaan buruk, beri cadangan untuk memperbaiki sedikit demi sedikit. Sebagai contoh:

  • Tanam azam akan berhenti dari kebiasaan buruk itu.
  • Mengurangkan kekerapan dahulu (Contoh: dari setiap hari kepada seminggu sekali).
  • Tambah amal ibadah seperti solat sunnah atau berzikir.
  • Berdoa memohon kekuatan kepada Allah SWT.

Ini bertepatan dengan hadith Nabi SAW:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مِنَ الأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ، فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا، وَإِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: "Wahai sekalian manusia, ambillah dari amal-amal yang kamu mampu lakukan, kerana sesungguhnya Allah tidak pernah merasa bosan hingga kamu merasa bosan. Dan sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah adalah yang dilakukan secara terus-menerus walaupun sedikit." [HR al-Bukhari, 5861]

Dukungan dari Sahabat dan Komuniti.
Sahabat yang baik sangat penting dalam proses hijrah. Berada dalam komuniti yang soleh dapat memberikan sokongan yang kuat kepada kita yang sedang berhijrah.

Nabi SAW bersabda:

الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
Maksudnya: "Seseorang itu tergantung pada agama sahabatnya, maka hendaklah kamu memperhatikan siapa yang kamu jadikan sahabat." [HR al-Tirmizi, 2378]
Soalan 7
Jika sahabat kita mudah terpengaruh dengan dunia hiburan dan trend, adakah kita mampu imbangkan pengaruh itu dengan membawa dia ke majlis ilmu dan lingkungan yang lebih positif?
JAWAPAN :

Membawa sahabat yang terpengaruh dengan dunia hiburan dan trend kepada majlis ilmu dan lingkungan yang lebih positif adalah langkah yang sangat baik. Namun, langkah ini tidak boleh tergesa-gesa. Perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata, dan kita perlu memberi ruang untuk sahabat kita berproses.

Dalam Islam, Allah SWT menekankan kepentingan ilmu dalam kehidupan seorang Muslim. Allah SWT berfirman:

يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ
Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” [Surah al-Mujadalah, ayat 11]

Orang yang berilmu diberi kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Oleh itu, membawa sahabat ke majlis ilmu adalah cara terbaik untuk mengubah pengaruh negatif dunia hiburan, kerana ilmu itu sendiri memiliki kekuatan untuk mengubah pandangan dan keutamaan hidup seseorang.

Rasulullah SAW juga menegaskan dalam hadis:

‌الْمَرْءُ ‌عَلَى ‌دِينِ ‌خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ
Maksudnya: “Seseorang itu bergantung kepada agama teman rapatnya, maka lihatlah dengan siapa dia berkawan.” [HR Ahmad, 8417]

Hadis ini mengingatkan kita bahawa teman dan persekitaran sangat berpengaruh dalam membentuk peribadi seseorang. Oleh itu, mendekatkan sahabat kepada orang-orang yang soleh dan majlis ilmu adalah langkah yang tepat untuk menyeimbangkan pengaruh ini.

Kita sebagai sahabat juga perlu menjadi penyokong positif dengan menunjukkan contoh yang baik. Kita boleh menjadi pendorong kepada sahabat kita untuk mengambil langkah pertama ke arah perubahan ini dengan menjadi contoh yang baik.

Mendekatkan mereka kepada majlis ilmu serta menyedarkan mereka bahawa makna sebenar kehidupan terletak pada ilmu yang diperoleh. Di samping itu, berikan dorongan dan motivasi agar mereka terus bersemangat dalam menuntut ilmu. Nabi SAW bersabda:

‌مَنْ ‌سَلَكَ ‌طَرِيقًا ‌يَلْتَمِسُ ‌فِيهِ ‌عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.” [HR Ahmad, 8316]

Maka, dengan menyebut kelebihan dan fadhilat menuntut ilmu serta menghadiri majlis ilmu, seseorang akan lebih mempunyai dorongan (push factor) untuk berubah. Namun, ini juga memerlukan kebijaksanaan supaya kita tidak menggunkan nada memaksa.

Kesimpulannya,memang tidak mudah untuk mengubah kebiasaan dan pengaruh yang sudah terbangun kuat, tetapi dengan usaha yang berterusan dan menggunakan pendekatan yang penuh kasih sayang, kita boleh membantu sahabat kita.

Scroll to Top