SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

IBU 'SEKOLAH' PERTAMA

Soalan & Jawapan: Ibu Sebagai Sekolah Pertama dan Kisah Teladan
Soalan 1
Mengapa ibu disebut sebagai “sekolah pertama” bagi anak-anak? Adakah ia berkait dengan gesaan agama dalam memilih isteri yg beragama sebagai ibu kepada anak nanti?
JAWAPAN :

Ibu disebut sebagai "sekolah pertama" bagi anak-anak kerana peranan utamanya dalam mendidik, membentuk akhlak, dan memberikan asas kehidupan kepada mereka sejak kecil. Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi. [HR al-Bukhari, 1385]

Perkara ini juga sangat berkait dengan gesaan Islam dalam memilih isteri yang beragama sebagai ibu kepada anak-anak kelak. Sabda Nabi SAW:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Maksudnya: Wanita dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan beruntung. [HR Muslim, 1466]

Hadith ini jelas menunjukkan kepentingan memilih isteri yang beragama kerana ibu yang solehah akan mendidik anak-anak dengan nilai-nilai Islam.

Namun begitu, perlu juga difahami bahawa ia bukanlah semata-mata menjadi tanggungjawab ibu sahaja. Bapa juga perlu menjadi teladan yang baik sebagai pelengkap kepada “sekolah” anak-anak tersebut. Ibarat guru disiplin (IBU) di sesebuah sekolah berperanan mendidik ke semua murid dan perlu dibantu oleh guru besar (BAPA) bagi memastikan semua yang diajar dipraktikkan dengan baik.

Soalan 2
Kisah ibu nabi Musa yg kental imannya ketika diperintahkan Allah SWT menghanyutkan anaknya. Bagaimana kisah ini dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada ibu sekarang tentang kebergantungan kpd Allah dalam mendidik anak?
JAWAPAN :

Perihal ibu Nabi Musa telah dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah SWT:

إِذْ أَوْحَيْنَآ إِلَىٰٓ أُمِّكَ مَا يُوحَىٰٓ ٣٨ أَنِ ٱقْذِفِيهِ فِى ٱلتَّابُوتِ فَٱقْذِفِيهِ فِى ٱلْيَمِّ فَلْيُلْقِهِ ٱلْيَمُّ بِٱلسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّۭ لِّى وَعَدُوٌّۭ لَّهُۥ ۚ وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةًۭ مِّنِّى وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِىٓ ٣٩ إِذْ تَمْشِىٓ أُخْتُكَ فَتَقُولُ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ مَن يَكْفُلُهُۥ ۖ فَرَجَعْنَـٰكَ إِلَىٰٓ أُمِّكَ كَىْ تَقَرَّ عَيْنُهَا وَلَا تَحْزَنَ ۚ
Maksudnya: “Ketika Kami mengilhamkan kepada ibumu suatu ilham. Iaitu, “Letakkan anakmu di dalam sebuah peti dan alirkannya ke dalam sungai, kemudian arus sungai akan membawanya ke tebing lalu dipungut oleh musuh-Ku dan musuhnya iaitu Firaun.” Kami telah campakkan kepadamu perasaan belas kasihan supaya kamu dikasihi orang yang melihatmu dan supaya kamu diasuh dalam pemeliharaan-Ku. Nikmat Kami juga atasmu wahai Musa ketika kakakmu memerhatikan peti itu, lalu dia berkata kepada mereka yang mengambilnya, “Mahukah kamu aku tunjukkan seorang yang boleh memeliharanya dengan baik?” Maka Kami telah kembalikan kamu kepada ibumu dengan selamat supaya dia gembira dan tidak lagi bersedih” [Surah Taha, ayat 38-40]

Berdasarkan kisah ibu Nabi Musa, kita dapat belajar nilai penting yang perlu ada kepada ibu bapa khususnya seorang ibu dalam membesarkan anak-anak. Antaranya ialah:

  • Keteguhan iman dan kepatuhan terhadap perintah Allah walaupun ianya ialah sesuatu yang berat. Perintah Allah ialah keutamaan dalam setiap perkara walaupun ianya bertentangan dengan kehendak hati. Kerana siapa yang mendahulukan Allah dalam setiap perkara, maka ALlah akan menjaganya. Seperti pesanan dalam hadis Nabi: “Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu.” [HR al-Tirmizi, 2516]
  • Kekuatan kebergantungan kepada Allah dalam setiap urusan. Tiada kekuatan lain yang boleh melindungi manusia melainkan kekuatan dari Allah. Perlindungan dari manusia ibarat rumah labah-labah yang rapuh.
  • Kesabaran dan keyakinan terhadap pertolongan Allah. Sabda Nabi SAW: “Jika engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah. Jika engkau memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah. Dan ketahuilah, sekiranya seluruh umat berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan sekiranya mereka berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadamu, mereka tidak akan mampu melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan ke atasmu. Telah diangkat pena dan telah kering lembaran (takdir telah ditetapkan).” [HR al-Tirmizi, 2516]
  • Berani melepaskan anak untuk keadaan yang lebih baik. Dengan keyakinan terhadap hikmah perintah Allah, walaupun terasa berat, namun ketika melihat terdapat manfaat dan kebaikan buat anak, ibu hendaklah berani mengambil keputusan tersebut.

Kisah ibu Nabi Musa adalah bukti bahawa Allah tidak akan mengecewakan hambaNya yang bertawakal dan bersabar. Setiap ibu bapa semestinya mempunyai cabaran yang tersendiri dalam membesarkan dan mendidik anak-anak yang merupakan amanah Allah. Setiap cabaran dalam mendidik anak-anak ialah sebagai jalan untuk menaiktaraf kualiti diri dan iman sebagai seorang ibu. Hakikatnya dengan kekuatan hubungan antara si ibu dengan Allah, semakin berkesan didikannya terhadap anak sebagai sekolah pertama dalam keluarga.

Seorang ibu yang taat dan bertakwa kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan sentiasa bersama dalam setiap langkahnya membesarkan anak. Allah pasti akan memberikan segala kecukupan buatnya dalam menguruskan setiap amanah. Firman Allah SWT: “Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. [Surah al-Talaq, ayat 2-3]

Soalan 3
Dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan trend di media sosial, apa peranan ibu dalam memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan perkara negatif yang berada di media sosial seperti konten yang bertentangan dengan nilai Islam?
JAWAPAN :

Pendidikan anak-anak adalah amanah besar yang mesti dilaksanakan oleh ibu bapa, khususnya ibu. Pendidikan ini bukan sekadar memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik, tetapi juga membentuk peribadi mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur negatif yang bertentangan dengan nilai Islam, termasuk dalam dunia digital dan media sosial.

Asas utama dalam mendidik anak-anak ialah menanamkan akidah yang benar sejak kecil. Seorang ibu harus memastikan bahawa anak-anak mengenal Allah, memahami keesaan-Nya (tauhid), dan menyedari bahawa segala perbuatan mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

وَإِذْ قَالَ لُقْمَـٰنُ لِٱبْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَـٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌۭ
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". [Surah Luqman, ayat 13]

Dengan keimanan yang teguh, anak-anak akan mempunyai imunisasi dalaman yang kuat untuk menolak pengaruh negatif media sosial. Mereka akan lebih mudah menapis maklumat yang bercanggah dengan Islam dan memahami bahawa tidak semua yang viral itu benar dan baik.

Ibu bapa wajib menjadi contoh terbaik dalam akhlak. Media sosial sering kali memperlihatkan budaya hedonisme, kebebasan tanpa batas, dan sikap tidak hormat kepada ibu bapa serta guru. Maka beberapa tindakan pencegahan perlu diambil segera;

  • Mengajarkan anak-anak tentang penjagaan lisan, tidak menyebarkan fitnah, dan menghormati orang lain.
  • Memupuk sikap sabar, jujur, dan menjaga maruah diri.
  • Menyuburkan suasana rumah dengan perbincangan ilmu dan nilai-nilai Islam agar anak-anak tidak terlalu bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan inspirasi dan hiburan.

Para ibu juga mesti memainkan peranan dalam mengawal serta memantau sumber maklumat dan hiburan anak-anak. Dalam konteks dunia moden, kita boleh menetapkan beberapa garis panduan;

  • Menetapkan batasan waktu penggunaan media sosial.
  • Menyediakan alternatif hiburan yang bermanfaat seperti buku-buku Islam, permainan yang meransang minda.
  • Menggunakan pendekatan tolerasni dan dialog, bukan sekadar larangan semata-mata.

Selain itu, penekanan pendidikan intelektual dalam Islam. Anak-anak perlu dibimbing untuk berfikir secara kritis dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda atau naratif palsu yang disebarkan di media sosial.

Kesimpulannya, peranan ibu dalam memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan media sosial adalah amat besar. Seorang ibu bukan sahaja perlu menjadi pengawas, tetapi juga sahabat dan murabbi kepada anak-anak, agar mereka membesar dengan kefahaman Islam yang kukuh dan mampu menangkis cabaran dunia digital yang semakin mencabar.

Soalan 4
Hadis menyebut individu yang perlu berbakti ialah ibu dan diulang 3 kali. Persoalan saya, adakah ini gmbaran bahawa peranan ibu dalam mendidik anak-anak lebih besar berbanding bapa?
JAWAPAN :

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَحَقُّ بِحُسْنِ الصُّحْبَةِ قَالَ ‏ "‏ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ ثُمَّ أَدْنَاكَ أَدْنَاكَ ‏"‏‏
Maksudnya: “Seorang lelaki bertanya, 'Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?' Baginda menjawab, 'Ibumu.' Lelaki itu bertanya lagi, 'Kemudian siapa?' Baginda menjawab, 'Ibumu.' Lelaki itu bertanya lagi, 'Kemudian siapa?' Baginda menjawab, 'Ibumu.' Lelaki itu bertanya lagi, 'Kemudian siapa?' Baginda menjawab, 'Bapamu, kemudian yang paling dekat denganmu dan seterusnya yang paling dekat.” [HR Muslim, 2548]

Dalam al-Quran Allah menyebutkan kewajipan untuk mentaati kedua ibu bapa selepas dari menyebutkan perintah tauhid iaitu mentauhidkan Allah dan larangan mensyirikan Allah dengan segala sesuatu. Namun, berdasarkan hadis tersebut menjelaskan bahawa kedudukan ibu dilebihkan berbanding seorang bapa.

Imam al-Haris al Muhasibi menyatakan bahawa dariapda hadis ini terdapat makna tafdhil (keutamaan) ibu ke atas bapa melalui dalil yang disebutkan dalam hadis ini. Keutamaan itu diberikan kepada seorang ibu menunjukkan banyaknya pengorbanan seorang ibu khususnya kesulitan dan keletihan fizikal dan emosi yang ditanggung oleh seorang ibu ketika melahirkan, menyusukan dan merawat anak sepanjang dia membesar.

Namun, mesej daripada hadis ini bukanlah untuk merendahkan kedudukan seorang ayah atau menafikan penghormatan yang wajib diberikan kepada seorang ayah. Hakikatnya, agama meletakkan kewajipan untuk berbuat baik dan memuliakan kedua-duanya.

Berkaitan peranan dalam mendidik anak, hakikatnya kedua- dua ibu dan bapa mengambil peranan penting dan besar mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing. Buat seorang ibu, kebiasaannya akan mempunyai lebih banyak masa bersama anak dan mengambil bahagian yang lebih kerap dalam menjaga dan membentuk peribadi dan cara fikir anaknya disebabkan banyaknya masa bersama.

Sedangkan bapa mungkin lebih berperanan dalam urusan mencukupkan keperluan keluarga, mencari nafkah dan menguruskan urusan keluarga. Bapa kebiasaannya idola yang dikagumi oleh seorang anak dengan sifat kewibawaannya, sedangkan seorang ibu pula menjadi tempat bermanja dan merasa kasih sayang dari rawatan dan penjagaan seorang ibu.

Sekiranya ibu dan bapa boleh mengambil peranan dan bahagian masing-masing dalam mendidik anak, sudah pasti anak akan mendapat didikan yang cukup dan berkesan, dan akhirnya membina peribadi yang berjiwa kuat dan tinggi nilai peribadi.

Soalan 5
Bagaimana seorang ibu dapat terus menjadi pendidik dan penasihat walaupun anak sudah dewasa dan berumah tangga?
JAWAPAN :

Ibu bukan sekadar penjaga dan pendidik di usia kecil, tetapi akan terus menjadi penasihat sepanjang hayat, termasuk setelah anak dewasa dan berumah tangga. Peranan seorang ibu tidak terhenti hanya kerana anaknya sudah mencapai kematangan, sebaliknya ia bertransformasi kepada bimbingan yang lebih halus dan penuh hikmah.

Apabila Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat tentang siapa yang paling perlu dimuliakan, baginda menjawab:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ ‏"‏ أُمُّكَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ‏"‏ ثُمَّ أُمُّكَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ‏"‏ ثُمَّ أُمُّكَ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ‏"‏ ثُمَّ أَبُوكَ ‏"
Maksudnya: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ lalu bertanya, "Siapakah orang yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?" Baginda ﷺ menjawab, "Ibumu." Lelaki itu bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Baginda ﷺ menjawab, "Kemudian ibumu." Lelaki itu bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Baginda ﷺ menjawab, "Kemudian ibumu." Lelaki itu bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Baginda menjawab, "Kemudian ayahmu." [HR Muslim, 2548]

Hadith ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan dan peranan ibu dalam kehidupan seorang anak. Namun, bagaimana seorang ibu dapat terus menjadi penasihat yang dihormati tanpa dianggap mengganggu kehidupan anak yang telah berumah tangga?

  • Beri nasihat dengan lembut dan berhikmah.
  • Hormati keputusan anak.
  • Pilih masa yang sesuai untuk memberi nasihat.
  • Menjaga aib anak dan menantu dari diketahui anak-anak yang lain.

Akhir sekali, jangan pandang rendah dengan kekuatan doa seorang ibu kepada anaknya. Ia telah dijanjikan merupakan salah satu dari 3 doa yang mustajab. Sabda Rasulullah SAW:

ثَلاَثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لاَ شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ
Maksudnya: "Tiga doa yang mustajab tanpa ragu-ragu: doa orang yang dizalimi, doa musafir, dan doa ibu bapa kepada anaknya." [HR al-Tirmizi, 1905]
Soalan 6
Bagaimanakah seorang ibu boleh mencontohi sikap sabar dan patuh seperti kisah Siti Hajar yang memahami tugasan suaminya sebagai seorang nabi yang menjalankan perintah dari Tuhan walaupun tidak berbekalkan air atau makanan bersama anak yang masih kecil?
JAWAPAN :

Kisah Siti Hajar adalah satu contoh kisah keimanan yang luar biasa, khususnya dalam aspek tawakal, sabar, dan kepatuhan kepada perintah Allah. Para Ibu hari ini boleh mengambil banyak pengajaran daripada kisah beliau dalam menghadapi cabaran kehidupan moden, termasuk dalam mendidik anak-anak.

Dalam kisah ini juga menekankan bahawa Siti Hajar tidak mempertikaikan keputusan Nabi Ibrahim a.s untuk meninggalkannya bersama anak kecilnya, Nabi Ismail a.s di tengah padang pasir yang tandus. Sebaliknya, beliau bertanya, "Adakah ini perintah Allah?". Apabila mendapat jawapan bahawa ia adalah ketetapan Allah, beliau terus tawakal dan yakin bahawa Allah tidak akan mensia-siakan mereka.

رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةًۭ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
Maksudnya : Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur. [Surah Ibrahim, ayat 37]

Siti Hajar bukan sahaja bersabar ketika ditinggalkan, tetapi beliau juga berusaha untuk mencari jalan keluar. Dalam keadaan tiada makanan dan air, beliau berlari-lari antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali mencari air untuk anaknya.

وجعلت أم إسماعيل ترضع إسماعيل، وتشرب من ذلك الماء. حتى إذا نفد ما في السقاء عطشت، وعطش ابنها، وجعلت تنظر إليه يتلوى. فانطلقت كراهية أن تنظر إليه، فوجدت الصفا أقرب جبل في الأرض يليها، فقامَتْ عليه، ثم استقبلت الوادي تنظر، هل ترى أحداً، فلم ترَ أحداً. فهبطت من الصفا، حتى إذا بلغت الوادي رفعت طرف درعها، ثم سعت سعي الإنسان المجهود، حتى جاوزت الوادي. ثم أتت المروة، فقامَتْ عليها، فنظرت: هل ترى أحداً، فلم ترَ أحداً. ففعلت ذلك سبع مرات
Maksudnya : Kemudian, ibu Nabi Ismail menyusukannya dan minum dari air tersebut. Namun, apabila bekalan air dalam bekas itu habis, dia merasa dahaga, begitu juga anaknya. Dia mula melihat anaknya dalam keadaan kesakitan kerana kehausan. Dengan perasaan berat, dia meninggalkan anaknya dan berjalan ke arah bukit yang paling dekat dengannya, iaitu Bukit Safa. Dia berdiri di atasnya, menghadap ke lembah, dan mula melihat-lihat kalau ada seseorang di sana. Namun, dia tidak melihat sesiapa pun. Kemudian, dia turun dari Bukit Safa, dan apabila tiba di suatu lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya dan berlari dengan usaha yang bersungguh-sungguh sehingga melepasi lembah tersebut. Setelah itu, dia sampai di Bukit Marwah, lalu naik ke atasnya dan melihat sekeliling: "Adakah aku melihat seseorang?" Namun, dia tidak melihat sesiapa pun. Dia mengulangi perkara tersebut sebanyak tujuh kali. [Qasas Al Qurani, Jld 1, hlm. 388]

Selepas kesabaran dan ikhtiar Siti Hajar, Allah akhirnya mengurniakan mata air Zamzam yang bukan sahaja menyelamatkan beliau dan Nabi Ismail a.s, tetapi juga menjadi sumber minuman kota Mekah.

فجاءَ المَلَكُ بِها، حتى انتهى إلى مَوضِعِ زَمزَمَ، فضرَبَ بعَقِبِه ففارَت عَيْنًا، فعجِلَتِ الإنسانَةُ، فجعَلَت تَقدَحُ في شَنَّتِها، فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: رحِمَ اللهُ أُمَّ إسماعيلَ، لولا أنَّها عجِلَت؛ لكانت زَمزَمُ عَيْنًا مَعينًا.
Maksudnya : Lalu datanglah malaikat membawanya (Siti Hajar) sehingga sampai ke tempat mata air Zamzam. Maka malaikat itu menghentakkan tumitnya, lalu memancarlah mata air. Kemudian, wanita itu (Siti Hajar) segera bertindak, lalu mula menampung air tersebut ke dalam bekasnya. Rasulullah ﷺ bersabda: "Semoga Allah merahmati ibu Nabi Ismail. Sekiranya dia tidak tergesa-gesa, nescaya Zamzam akan menjadi mata air yang mengalir deras." [HR Bukhari, 3364]

Kisah Siti Hajar bukan sekadar sejarah, tetapi pelajaran hidup bagi semua ibu Muslimah sebagai contoh wanita yang kuat, beriman, sabar, dan tawakal. Seorang ibu masa kini boleh mencontohi beliau dengan bertawakal kepada Allah, bersabar dalam mendidik anak-anak, menyokong perjuangan suami, serta yakin bahawa setiap ujian akan berakhir dengan kemudahan bagi mereka yang sabar. Sesungguhnya kesabaran bukan sekadar menahan ujian, tetapi perlu disertai dengan usaha dan doa yang berterusan.

Soalan 7
Seorang ibu mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang, tetapi datuk dan nenek selalu memanjakan mereka sehingga anak-anak menjadi manja. Bagaimana ibu boleh mengatasi situasi ini tanpa menyakiti hati sesiapa?
JAWAPAN :

Sememangnya ibu yang amat dekat dengan anak-anaknya ingin melihat anaknya membesar dengan baik dan sempurna. Oleh itu, pendidikan dan pentarbiahan kepada anak-anak itu perlu dalam kadarnya. Pemberian kasih sayang juga perlu dihadkan pada kadar yang sepatutnya sahaja kerana jika terlebih, maka akan melahirkan anak yang manja yang langsung tidak boleh ditegur dan dihukum.

Kebiasaannya, datuk dan nenek yang telah senja usianya amat menyayangi cucu mereka demi menumpang kasih. Maka, menjadi cabaran buat ibu untuk membendung situasi ini tanpa mengguris perasaan orang tua.

Justeru, antara langkah yang boleh diambil:

  • Komunikasi Terbuka: Ibu boleh berbincang secara terbuka dengan datuk dan nenek mengenai pendekatan mendidik anak. Luahkan rasa penghargaan atas kasih sayang mereka tetapi jelaskan matlamat ibu dalam mendidik anak-anak.
  • Beri Ruang untuk Kasih Sayang: Ibu boleh membenarkan datuk dan nenek memanjakan anak-anak dalam batas tertentu, tetapi dengan mengingatkan mereka tentang nilai-nilai yang ingin diterapkan.
  • Waktu Berkualiti: Rancang aktiviti keluarga yang memperkukuh hubungan, di mana kasih sayang dan disiplin boleh digabungkan. Ini menggalakkan kerjasama dan pemahaman.

Hendaklah diaplikasikan sebaiknya kerana disamping untuk mendidik anak-anak, perasaan dan juga tanggungjawab terhadap orang tua juga perlu dijaga.

Firman Allah SWT:

وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam apa jua urusan.” [Surah Ali Imran, ayat 159]
Soalan 8
Kisah maryam seorang ibu kepada nabi isa yang mana takdirnya melahirkan anaknya tanpa suami. Bagaimana Maryam menghadapi situasi tersebut dan diberi kekuatan dalam mempertahankan diri dan anaknya? Apakah iktibar yang dapat diambil dari kisah ini?
JAWAPAN :

Kisah Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s., adalah salah satu cerita yang penuh dengan ujian, keimanan, dan keajaiban yang memberi banyak pengajaran kepada umat Islam. Maryam dipilih oleh Allah untuk menjadi ibu kepada seorang nabi, tanpa melalui proses perkahwinan yang merupakan ujian besar baginya.

Keadaan dan pendekatan yang diambil oleh Maryam dalam menghadapi ujian tersebut adalah sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran:

Keimanan yang Teguh dan Tawakal kepada Allah: Maryam adalah seorang wanita yang sangat taat kepada Allah. Ketika diberitahu oleh malaikat Jibril bahawa dia akan mengandung seorang anak tanpa suami, dia tidak mempertikaikan ketentuan Allah, sebaliknya dia menyerahkan diri sepenuhnya kepada takdir-Nya.

Firman Allah SWT:

قَالَتْ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى غُلَـٰمٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِى بَشَرٌ وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا
Maksudnya: “Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" [Surah Maryam, ayat 20]

Kekuatan dalam Menghadapi Tuduhan: Setelah melahirkan Nabi Isa a.s., Maryam menghadapi tuduhan berat daripada masyarakatnya yang menyangka dia telah berbuat sesuatu yang tidak senonoh. Maryam tetap mempertahankan diri dengan kesabaran yang luar biasa. Ketika dia disoal oleh kaumnya tentang anak yang dilahirkannya, Allah memerintahkan Nabi Isa a.s. yang baru lahir untuk berbicara, dan dengan izin Allah, Nabi Isa berkata sebagaimana direkodkan:

فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ قَالُوا۟ كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِى ٱلْمَهْدِ صَبِيًّا ٢٩ قَالَ إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ ءَاتَىٰنِىَ ٱلْكِتَـٰبَ وَجَعَلَنِى نَبِيًّا ٣٠
Maksudnya: “Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?" Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.” [Surah Maryam, ayat 29-30]

Bantuan daripada Allah: Sepanjang proses ini, Maryam sentiasa diberi kekuatan oleh Allah. Ketika dia merasa lemah dan dalam kesusahan semasa melahirkan, Allah memberikan kemudahan.

Oleh itu, pengajaran yang dapat diambil:

  • Keimanan yang Tidak Terbatas: Maryam menunjukkan betapa pentingnya meletakkan keyakinan dan tawakal sepenuhnya kepada Allah dalam menghadapi segala ujian. Keimanan yang teguh dan kepatuhan kepada perintah Allah adalah asas kekuatan, meskipun apa yang dihadapi adalah sesuatu yang sangat luar biasa.
  • Kesabaran dalam Menghadapi Tuduhan dan Fitnah: Kisah Maryam mengajar kita tentang pentingnya bersabar dan tidak cepat melatah apabila menghadapi fitnah atau tuduhan. Maryam tetap tenang, menyerahkan semuanya kepada Allah, dan tidak membela dirinya kecuali dengan menunjukkan kebenaran melalui tindakan yang penuh keimanan.
  • Berserah kepada Takdir Allah: Maryam tidak menentang takdir yang telah ditentukan Allah. Dalam menghadapi situasi yang begitu sukar, dia menyerah diri kepada takdir dan tetap menjalani hidupnya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Ini adalah teladan bagi kita untuk menerima takdir dan berusaha sebaik mungkin, walaupun dalam keadaan yang sukar.
Scroll to Top