SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
TUJUH PEMUDA BERIMAN
- Penerbit : Adib
Pada asasnya, kita perlu memahami bahawa semua kisah Al-Quran merupakan kisah yang istimewa dan tidak ada bandingannya dengan kisah-kisah selainnya, kerana Al-Quran itu sendiri merupakan mukjizat yang melemahkan apa saja selainnya.
Allah SWT berfirman tentang kisah dalam Al-Quran merupakan ‘ahsanul qasas’:
Disebutkan dalam Aysar al-Tafasir berkenaan ayat dia atas:
Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi menyebutkan dalam kitabnya al-Qasas al-Qurani beberapa tujuan kisah-kisah dalam al-Quran:
- Menjadikan manusia berfikir dan mengfungsikan akalnya untuk menilai kebenaran, dan membangkitkan manusia dengan kesedaran. (لعلهم يتفكرون)
- Sebagai pengajaran, iktibar dan nasihat buat mereka yang berakal sihat dan benar. (عبرة لأولي الألباب)
- Menguatkan hati Nabi SAW dan orang beriman. (ما نثبت به فؤادك)
Berkaitan kisah Ashabul Kahfi, terdapat beberapa pandangan yang melihat kisah ini lebih istimewa daripada kisah-kisah Al-Quran yang lain. Antara pandangan tersebut menyebutkan:
- Kisah Ashab al-Kahf dalam al-Quran unik kerana ia tidak melibatkan wanita dan peristiwa-peristiwanya bersifat pasif, tiada konflik atau pertentangan yang kuat.
- Biasanya dalam cerita lain, kehadiran wanita dan konflik menjadikan kisah lebih menarik dan penuh emosi.
- Namun, al-Quran menghidupkan kisah Ashab al-Kahf dengan cara ajaib: suasana, tempat, dan watak-watak, walaupun pasif, digambarkan seolah-olah hidup, bergerak, dan memberi kesan yang kuat.
- Penyampaian ini menggantikan peranan wanita dan konflik aktif, menjadikan cerita tetap menarik, berkesan, dan penuh pengajaran.
Jika dibandingkan dengan kisah Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf, dan Nabi Musa yang menghadapi penentangan dan konflik jelas dengan kaum mereka, kisah Ashab al-Kahfi berbeza sama sekali. Di sini, tiada perseteruan terbuka atau musuh yang nyata, watak-wataknya pasif dan lebih bersifat menunggu perlindungan Allah.
Bahkan, dapat diperhatikan juga bahawa seluruh peristiwa dalam kisah-kisah yang terdapat dalam Surah al-Kahfi bersifat luar biasa dan mukjizat, yang akal manusia tidak mampu membayangkannya dalam realiti kehidupan. Tidur para Ashabul Kahfi dalam keadaan yang begitu menakjubkan sepanjang tempoh yang sangat panjang, kemudian kebangkitan mereka selepas ratusan tahun, itu semua merupakan kisah yang melangkaui akal fikrian kita manusia.
Kisah Ashabul Kahfi merupakan mukjizat yang mampu menundukkan akal, yang mengajak manusia untuk berhenti lama merenunginya, lalu akhirnya manusia tidak menemukan sebarang sandaran melainkan Allah Yang Maha Berkuasa. Kisah Ashabul Kahfi berkhidmat kepada seruan tauhid mengesakan Allah SWT.
Kisah Ashab al-Kahfi bukan sekadar cerita pemuda lari ke gua. Ia adalah pendidikan dalam usaha pembinaan masyarakat yang benar.
Allah SWT tunjuk bagaimana segolongan pemuda yang beriman, berprinsip, dan berani membuat keputusan “mahal”, meninggalkan zon selesa. Akhirnya menjadi model dan contoh bahawa perubahan masyarakat sering bermula daripada golongan muda yang jelas tujuan dan sanggup membayar harga bagi setiap pengorbanan.
Tidak sedikit pengiktirafan watak pemuda yang Allah sebutkan dalam Al-Quran. Antaranya ialah:
- Ashabul Kahfi yang menyelamatkan diri dari kekufuran. Firman Allah SWT: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” [Surah al-Kahfi, ayat 13]
- Kembara ilmu Nabi Musa yang disertai Yusha' bin Nun dalam proses pembinaan pelapis. Firman Allah SWT: “Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini.” [Surah al-Kahfi, ayat 62]
- Nabi Ibrahim yang meruntuhkan kesyirikan kaumnya dengan menghancurkan berhala. Firman Allah SWT: “(Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya.” [Surah Al-Anbiya’, ayat 60]
Jika kita perhatikan keadaan Ashabul Kahfi, yang menyelamatkan diri dari kekufuran, memilih jalan yang asing daripada orang kebanyakan, dan mengorbankan kehidupan selesa yang sudah sedia ada. Semua ini memerlukan nilai keberanian yang besar dan modal penting iaitu tenaga, umur, ketajaman fikiran dan kekuatan prinsip.
Mungkin timbul persoalan mengapa pemuda bukan orang tua? Tanpa menafikan kedudukan orang yang berusia dan kehebatan pengalaman yang mereka ada, terdapat beberapa pengkhususan ciri yang terdapat pada pemuda yang menyebabkan para pemuda menjadi aset penting dalam membuat perubahan:
- Berani melawan kebiasaan, dan semangat yang membara untuk tidak terikat dengan pengamalan lama tanpa hujah yang kukuh.
- Mampu memikul kerja besar (kerana tenaga dan masa yang panjang).
- Kekuatan fikiran dan rasa ‘curious’ yang tinggi, hasrat ingin tahu jawapan dan kebenaran yang membuak-buak.
Jika kita lihat pelajaran dari Ashabul Kahfi, kita dapati mereka jelas dengan 3 perkara:
- Siapa Tuhan mereka (identity).
- Apa yang mereka tolak (boundary).
- Ke mana mereka pergi (direction).
Realiti hari ini yang berlaku pada para pemuda zaman kini, mereka berdepan banyak pilihan namun keliru dalam menentukan arah. Akses ilmu luas, tapi samar-samar mahu dibawa ke mana, apa yang perlu diperjuangkan. Ada juga mereka yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi, matlamat yang besar tetapi membiarkan diri kosong dari ilmu dan kekuatan rohani. Akhirnya perjuangan berjalan dengan semberono, mengikut kehendak dan selera sendiri. Bahkan, semangat yang awalnya membara mudah menjadi putus ketika hasil tidak seperti yang diingini.
Memanfaatkan waktu muda merupakan keuntungan terbesar buat setiap manusia. Dalam dunia kewangan, kompaun paling berkuasa bila bermula awal. Dalam kehidupan, amal, skill dan disiplin juga kompaun.
Pemuda yang membina kehidupan beragama lebih awal akan “menuai” kestabilan besar pada umur 40-50 tahun. Namun, mereka pemuda yang menangguh dan hidup “ikut mood” akan bayar “cukai penyesalan” kemudian. Kerana itu, masa muda tidak seharusnya disia-siakan dengan hanya ‘follow the flow’.
Bahkan, ketika sudah menempuh usia tua, kita akan berdepan dengan kesukaran. Apabila usia muda berlalu, amat sukar bagi manusia untuk menggerakkan keinginan ke arah yang berbeza daripada arah yang telah dilalui sepanjang fasa panjang hidupnya.
Kesimpulannya, kisah Ashab al-Kahfi menunjukkan pemuda ialah teras pembinaan masyarakat kerana mereka berani membina identiti, menetapkan batas, dan memulakan perubahan walau kecil. Justeru, memanfaatkan usia muda penting kerana ia fasa paling cepat “berkembang” (kompaun) dan paling mudah dibentuk, sama ada dipandu iman atau dihanyutkan arus.
Kisah dan ibrah daripada kisah Ashab al-Kahfi menekankan kepentingan bersahabat dengan orang soleh melalui perintah Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi.
Ini menunjukkan bahawa asas persahabatan yang kukuh mestilah dibina di atas dasar keimanan dan keikhlasan, bukannya berdasarkan kedudukan sosial atau kepentingan duniawi semata-mata.
Dalam al-Mausu’ah al-Quraniyyah al-Mutakhassasah disebutkan tentang perihal Ashabul Kahfi:
Ini bertepatan dengan hadis berikut:
Teman yang soleh berperanan sebagai penguat semangat dan pendorong dalam mempertahankan prinsip agama. Dalam menghadapi zaman yang penuh fitnah dan kerosakan, memiliki teman seiman adalah satu bentuk keperluan demi memelihara iman masing-masing. Situasi Ashabul Kahfi yang terselamat daripada arus masyarakat yang menyeleweng kerana mereka bersatu hati dalam kumpulan yang beriman.
Disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Quraniyyah al-Mutakhassasah disebutkan tentang perkara ini: Selepas kesemua mereka bertemu dalam keadaan tidak mengetahui sesama mereka, salah seorang daripada mereka berkata: “Tidaklah yang mengeluarkan kamu daripada kaummu dan membuat kamu menyendiri daripada mereka melainkan sesuatu. Maka, tunjukkanlah setiap daripada kamu tentang urusannya.”
Berkata yang lain: “Aku, demi Allah, telah melihat keadaan kaumnya, dan aku mengetahui bahawa ia batil, yang layak disembah hanya Allah yang menciptakan langit dan bumi beserta apa yang ada di antara keduanya, dan tiada sekutu bagi-Nya.” Perkara ini juga diakui oleh yang lain sehingga mereka bersama dalam keimanan. Mereka mendirikan rumah ibadah untuk menyembah Allah SWT.
Hal ini selari dengan pesanan Nabi SAW untuk bergaul dengan orang-orang "khusus" yang seaspirasi iman dan menjauhi arus penyelewengan golongan awam demi memelihara agama.
Bersama teman soleh juga akan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan kita. Dalam surah al-Kahfi juga dinyatakan terdapat peneman mereka iaitu anjing. Disebutkan dalam Qisah al-Hayah:
Akhir sekali, kisah ini menyimpulkan bahawa pengaruh rakan sebaya adalah sangat besar dalam mencorak kehidupan seseorang, terutamanya ketika berhadapan dengan ujian.
‘Ubaid bin ‘Amir (salah seorang tabi’in) juga berkata:
Mereka dikelilingi kemewahan dan nikmat dunia, namun mereka memilih untuk bersama dengan saudara lain yang beriman, dan beribadah kepada Allah SWT. Dengan adanya pengaruh baik daripada saudara seiman, maka mereka tidak berseorangan, dan godaan dunia menjadi susah untuk menipu mereka.
Oleh itu, kebijaksanaan memilih teman yang benar-benar mahukan kepuasan iman adalah kaedah utama untuk selamat di setiap zaman. Saudara seiman bukan sahaja menjadi tempat bergantung harap yang setia ketika susah, malah menjadi benteng yang menghalang kita daripada terikut-ikut dengan budaya masyarakat yang pincang dan melampaui batas.
Doa yang dilafazkan oleh pemuda Ashabul Kahfi, iaitu permohonan agar dikurniakan rahmat dan petunjuk, membawa hikmah yang besar dalam mendepani situasi di mana prinsip Islam dianggap asing.
Doa ini diucapkan ketika mereka berhadapan dengan tekanan masyarakat Jahiliyyah yang menyesatkan dan memiliki kuasa yang mengancam iman. Ketika mereka pergi ke gua untuk berlindung daripada ancaman dan fitnah kaum mereka, mereka berdoa seperti yang disebutkan dalam ayat berikut:
Imam al-Sa’di: “Mereka menggabungkan antara usaha dan menjauhi fitnah ke tempat yang memungkinkan mereka bersembunyi, serta doa dan memohon pertolongan Allah agar urusan mereka dipermudahkan, tanpa bergantung kepada diri sendiri atau makhluk lain. Oleh itu, Allah mengabulkan doa mereka.”
Bagi umat Islam hari ini, doa ini menjadi sandaran rohani untuk memohon perlindungan Allah agar diberi kekuatan dalam menghadapi ujian dan tekanan hidup.
Secara mudah, para pemuda Ashabul Kahfi meminta 2 perkara daripada doa ini:
- Rahmat: Iaitu hidayah dalam agama. Dikatakan, rezeki daripada rahmat Allah SWT. Dikatakan, hijrah di sepanjang hijrah mereka.
- Dimudahkan petunjuk: Iaitu apa yang ada padanya keredaan Allah SWT. Dikatakan, petunjuk untuk melakukan apa yang Allah SWT cintai. Dikatakan, dimudahkan urusan untuk berangkat daripada tempat kaum Musyrik.
Iktibar doa ini bagi kita di zaman ini ialah:
- Kepentingan memohon bimbingan Allah dalam setiap tindakan yang kita pilih, terutamanya apabila berhadapan dengan dilema antara tuntutan duniawi dan prinsip agama, agar kita sentiasa berada di landasan yang benar.
- Kepentingan istiqamah atau keteguhan pendirian di tengah-tengah kerosakan moral. Dalam suasana di mana kebatilan dianggap benar dan Iktibar seterusnya berkait rapat dengan fenomena Ghuraba’ (orang-orang asing) iaitu mereka yang tetap memperbaiki keadaan dan berpegang teguh kepada sunnah tatkala manusia lain telah rosak dan hanyut dengan arus kemodenan yang menyimpang.
Rasulullah SAW bersabda:
Tatkala berpegang dengan kebenaran dianggap salah, umat Islam memerlukan kekuatan dalaman untuk tidak terpengaruh dengan persekitaran yang serba songsang. Doa ini menjadi benteng kekuatan untuk kita kekal mempertahankan identiti dan prinsip Islam walaupun ia kelihatan pelik atau tidak popular di mata masyarakat umum.
Doa ini adalah sebagai perisai untuk menyelamatkan diri daripada arus jahiliyyah moden yang menjadi ikutan majoriti. Kita memohon rahmat Allah agar hati kita tidak dibolak-balikkan oleh fitnah akhir zaman dan agar kita tidak terikut-ikut dengan paradigma songsang manusia hari ini. Dengan melazimi doa ini, kita berharap dapat terus kekal di jalan iman dan selamat daripada ancaman ideologi yang boleh memesongkan akidah kita kepada Allah SWT.
Ashab al-Kahfi ialah golongan soleh yang kecil dalam masyarakat yang korup, dan kerana itu mereka perlu mencari tempat selamat untuk mengekalkan iman dan keselamatan diri.
Allah SWT berfirman:
Dalam Fath al-Bayan disebutkan berkenaan ayat 16 di atas:
Disebutkan dalam Mausu’ah al-Qur’aniyyah al-Mutakhassasah: “Lalu mereka melihat apa yang dilakukan oleh kaum mereka dengan mata hati mereka; maka mereka mengetahui bahawa perbuatan kaum mereka yang sujud kepada berhala-berhala dan menyembelih untuknya itu tidak layak melainkan hanya untuk Allah yang menciptakan langit dan bumi. Maka setiap seorang daripada mereka mula menjauhkan diri daripada kaumnya, memisahkan diri daripada mereka, dan menyendiri di satu sudut.”
Sambungannya: “Maka mereka menjadi satu tangan dan saudara-saudara yang jujur, lalu mereka menjadikan bagi diri mereka sebuah tempat ibadah untuk menyembah Allah di dalamnya. Kaum mereka pun mengetahui tentang mereka, lalu mengadu perkara mereka kepada raja mereka. Raja itu memanggil mereka menghadapnya, lalu bertanya kepada mereka tentang urusan mereka dan apa yang mereka pegang. Maka mereka menjawabnya dengan kebenaran dan menyerunya kepada Allah Azza wa Jalla.”
Sambungannya: “Dikatakan bahawa raja mereka itu, apabila mereka menyerunya kepada iman, dia enggan menerima, mengancam dan menakut-nakutkan mereka, serta memerintahkan agar ditanggalkan pakaian perhiasan yang mereka pakai daripada kaum mereka. Dia memberi tempoh kepada mereka untuk meneliti urusan mereka, mudah-mudahan mereka kembali kepada agama yang mereka anuti sebelum itu.”
Perhatikan hijrah Rasulullah dan Gua Hira. Gua itu mirip dengan gua Ashab al-Kahfi. Seolah-olah al-Quran menghadirkan kisah Ashab al-Kahfi pada masa itu, menurunkan ayat-ayatnya kepada sekumpulan kecil umat Islam di Mekah yang menghadapi kesusahan, tipu daya, dan ujian dalam agama.
Kisah ini seakan menjadi penguat hati bagi golongan kecil beriman, menunjukkan teladan bagi mereka yang hatinya dipenuhi iman dan perasaan, sebagai panduan naluri semula jadi tanpa perlu nabi atau kitab. Hijrah Ashab al-Kahfi dengan agama mereka juga memperlihatkan jalan keselamatan dan perlindungan dari ancaman dan ujian, berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Tidak mustahil hijrah umat Islam ke Habsyah turut terinspirasi daripada kisah ini.
Realiti umat Islam pada hari ini berbeza dengan zaman Ashab al-Kahfi. Pada zaman mereka, para pemuda itu hidup dalam masyarakat yang hampir keseluruhannya sesat, dan jumlah orang beriman sangat sedikit, serta mereka diancam oleh raja untuk menganut agama mereka. Hari ini, khususnya di Malaysia, umat Islam hidup dalam jumlah yang ramai, dan masyarakat terdiri daripada gabungan orang beriman dan bukan beriman. Dalam masyarakat Muslim juga ada kelompok yang berusaha dalam keimanan dan ada yang berterusan dalam kelalaian.
Dalam kehidupan moden ini, godaan boleh berlaku hanya dengan satu klik: menonton kandungan yang melalaikan, terjebak dalam perbalahan di media sosial, atau membazirkan masa pada hiburan yang tidak bermanfaat. Inilah tipu daya halus masa kini.
Maksud “keluar” dalam konteks moden bukanlah bersembunyi sepenuhnya, tetapi mencari lingkungan atau kelompok yang memupuk keimanan.
“Mencari gua” pada zaman kini boleh difahami sebagai mencari tempat dan lingkungan yang menyokong pertumbuhan iman. Tempat ini boleh berupa masjid, kelas mengaji, pondok, halaqah ilmu, atau kelompok sahabat yang sama-sama berpegang kepada prinsip Islam dan berusaha memperbaiki diri.
Melalui lingkungan sebegini, seorang individu boleh mendapatkan sokongan moral, nasihat, dan dorongan untuk istiqamah dalam amal ibadah, mengekalkan akhlak, dan membentuk ketahanan rohani. Ashabul Kahfi mencari gua untuk memelihara iman dan diri. Hari ini, kita mencari ‘gua’ untuk menyelamatkan iman daripada kelalaian dunia yang halus dan menipu.
Mujahadah di sini menjadi kunci: ia bukan sahaja mengasingkan diri daripada pengaruh buruk, tetapi juga aktif mencari kebaikan dan ilmu, serta memperkuatkan iman dalam tindakan harian.
Allah SWT berfirman:
Hari ini, ramai orang mudah terjebak dalam perdebatan tentang perkara yang tiada manfaat nyata, sering bersandarkan kepada sangkaan semata-mata atau hanya ingin menunjuk pandai, sehingga masa terbuang dan hubungan sesama manusia terjejas. Mengkaji sejarah umat terdahulu, termasuk kisah Ashab al-Kahfi, adalah amalan yang mulia kerana ia mendekatkan diri kepada Allah dan memberi pengajaran.
Namun, ia menjadi masalah apabila perdebatan dilakukan dengan hujah yang tidak pasti, hingga menimbulkan pertelingkahan, memecah-belah masyarakat, dan melalaikan diri daripada amal yang lebih bermanfaat.
Oleh itu, menuntut ilmu dan bertanya tentang sejarah atau agama hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas, sikap tawaduk, dan fokus pada manfaat, bukan sekadar untuk bersaing atau mengesahkan sangkaan sendiri.
Berkenaan mereka yang menyebutkan bilangan Ashab al-Kahfi itu, ada yang mengatakan bahawa yang bertanya itu orang Nasrani. Ada juga yang mengatakan bahawa mereka ialah orang Yahudi. Mereka ialah ahli kitab.
Imam al-Sa’di berkata tentang bilangan Ashab al-Kahfi:
- “Allah Taala memberitahu tentang perbezaan pendapat Ahli Kitab mengenai bilangan Ashab al-Kahfi, yang disebabkan oleh mereka meneka tanpa ilmu, dan mereka berkata tentang sesuatu yang tidak mereka ketahui. Mereka mempunyai tiga pendapat:
- Sebahagian berkata: tiga orang, dan yang keempat ialah anjing mereka.
- Sebahagian berkata: lima orang, dan yang keenam ialah anjing mereka.
- Kedua-dua pendapat ini disebut Allah dan dibatalkan, menunjukkan bahawa ia salah.
- Sebahagian berkata: tujuh orang, dan yang kelapan ialah anjing mereka, dan inilah (dan hanya Allah yang lebih mengetahui) pendapat yang benar, kerana Allah membatalkan pendapat yang pertama dan kedua tetapi tidak membatalkan yang ketiga.”
Imam al-Alusi menyebutkan tentang sikap orang yang meneka tanpa bukti dan hujah seperti yang disebut dengan istilah “رَجْمَۢا بِٱلْغَيْبِ”:
Imam al-Sa’di menyebutkan tentang tekaan ahli kitab terhadap bilangan Ashab al-Kahfi:
Imam al-Razi menyebutkan tentang kepentingan bersikap tawaqquf: “Dia bermaksud bukan untuk mendustakan dalam menentukan bilangan tersebut, tetapi mengatakan bahawa penentuan bilangan itu tiada dalil, maka wajib tawaqquf (tidak bersikap pasti).”
Imam al-Sa’di menyebutkan tentang larangan bertanya fatwa pada orang yang tidak tahu: “Dalam ayat ini terdapat dalil larangan untuk merujuk kepada orang yang tidak layak memberikan fatwa, sama ada kerana kekurangannya dalam perkara yang ditanya, atau kerana dia tidak mengambil berat terhadap apa yang diucapkannya, dan tidak memiliki taqwa yang menahannya. Jika larangan tersebut diberi kepada golongan ini, maka larangan itu juga termasuk yang memberi fatwa, bahkan lebih utama dan lebih wajar.”
Imam al-Sa’di juga menyebutkan tentang perdebatan yang tiada manfaatnya: “Adapun perdebatan yang didasarkan pada kejahilan atau meneka perkara ghaib, atau yang tiada manfaatnya, misalnya tentang bilangan Ashab al-Kahfi dan seumpamanya, sama ada kerana pihak lawan bersikap degil, atau perkara itu tidak penting, dan tidak mendatangkan faedah agama dengan mengetahuinya, maka banyak perdebatan dan penyelidikan berantai hanya membazirkan masa dan menjejaskan kasih sayang antara hati tanpa manfaat.”
