ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 5 MINIT

YAHUDI BANI QURAIZHAH

Panduan Islam Dalam Pengurusan Harta Ketika Berdepan Cabaran Ekonomi Global

Yahudi Sering Mungkir Janji

Bani Quraizhah adalah salah satu kumpulan Yahudi sebagaimana yang lainnya dari kalangan mereka yang melanggar janji, dan mengkhianati kaum Muslimin ketika situasi yang paling sulit. Mereka bersekongkol dengan pasukan Ahzab dalam memerangi muslimin, tanpa mempedulikan apa yang telah mereka sepakati bersama sebelumnya.

Pengkhianatan dan pelanggaran janji serta kesepakatan merupakan akhlak yang telah pun sebati pada orang-orang Yahudi, sehingga mereka tidak sanggup berpisah dengannya. Ini sebagaimana Allah SWT menyifatkan mereka dalam al-Quran:

أَوَ كُلَّمَا عَـٰهَدُوا۟ عَهْدًۭا نَّبَذَهُۥ فَرِيقٌۭ مِّنْهُم ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan apakah setiap kali mereka mengikat janji, sekelompok dari mereka melemparkannya? Bahkan sebahagian besar mereka tidak beriman”.

Surah al-Baqarah (100)


Permulaan Peperangan Bani Quraizhah

Imam Bukhari meriwayatkan, bahawa Aisyah RA menceritakan, katanya : Ketika Nabi SAW pulang dari peperangan Khandaq, Baginda pun meletakkan senjata dan mandi. Lalu malaikat Jibril AS mendatangi Baginda dan berkata: "Engkau telah meletakkan senjata? Demi Allah, kami (para malaikat) belum pun meletakkannya, maka keluarlah menuju ke arah mereka." Baginda SAW bertanya: "Ke arah mana?" Jibril AS menjawab: "Ke sana! (sambil menunjuk ke arah Bani Quraizhah)”. Lantas Nabi SAW pun keluar menuju ke arah mereka.

Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat untuk turut serta dan segera keluar menuju ke arah Bani Quraizhah sebelum mereka berlindung di dalam benteng-benteng dan mengambil perlengkapan untuk itu. Perintah bersegera ini jelas melalui sabda Baginda SAW:

لا يُصَلِّيَنَّ أحَدٌ العَصرَ إلَّا في بَني قُرَيظةَ.

Maksudnya: “Janganlah sekali-kali salah seorang dari kalian solat Ashar kecuali di Bani Quraizhah”.

Lalu sebahagian mereka mendapati waktu Asar telah masuk ketika masih di tengah perjalanan. Sebahagian mereka berkata: "Kita tidak akan solat melainkan setelah kita sampai di perkampungan Bani Quraizhah", sebahagian sahabat yang lain pula berkata: "Bahkan kita tetap akan solat sekarang. Baginda SAW tidaklah bermaksud demikian (melarang solat tepat waktu) terhadap kita." Hal itu kemudian diceritakan kepada Nabi SAW, dan Baginda SAW tidak menyalahkan satu pun dari mereka.

Maka 3,000 pejuang dari kaum Muslimin bersegera menuju Yahudi Bani Quraizhah, dan mengepung mereka di benteng-benteng mereka selama 25 malam, hinggalah pengepungan itu melelahkan mereka dan Allah mencampakkan rasa takut ke dalam hati mereka. Selama tempoh itu, orang Yahudi tidak menemui jalan keluar, dan tidak menemui alasan untuk membela pengkhianatan mereka yang hampir saja membinasakan kaum Muslimin.


Hukuman Ke Atas Bani Quraizhah

Aisyah RA menceritakan, sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Hibban: Rasulullah SAW mendatangi mereka dan mengepung mereka selama 25 malam. Ketika pengepungan semakin berat dan cubaan semakin memuncak, dikatakan kepada mereka:

انزِلوا على حُكمِ رَسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ

Maksudnya: "Turun menyerahlah kalian kepada keputusan Rasulullah SAW."

Lalu mereka meminta pandangan Abu Lubabah bin ‘Abd al-Mundhir RA. Maka beliau memberi isyarat kepada mereka bahawa hukumannya adalah dibunuh. Mereka berkata: “Kami akan ikut keputusan Sa‘ad bin Mu‘az, iaitu ketua kaum Ansar yang merupakan sekutu lama Bani Quraizhah sebelum kedatangan Islam.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “(Baik), kamu ikutlah keputusan yang diputuskan oleh Sa‘ad bin Mu‘az.” Mereka pun akur kepada keputusan tersebut.

Rasulullah SAW kemudian menghantar seseorang kepada Sa‘ad bin Mu‘az RA. Sa’ad telah dibawa dengan menaiki seekor keldai yang dipasang pelana daripada serabut. Beliau dibawa dalam keadaan diangkat kerana luka yang dialaminya dalam peperangan khandaq, dan kaumnya mengelilinginya.

Mereka berkata kepada Sa’ad: “Wahai Abu ‘Amr! Mereka itu (Bani Quraizhah) merupakan sekutu-sekutumu, orang-orang yang berada di bawah perlindunganmu, orang-orang yang pernah berjuang bersama, dan mereka yang engkau ketahui keadaan mereka.” Namun Sa’ad tidak menjawab mereka sedikitpun dan tidak menoleh kepada mereka.

Sehinggalah apabila Sa’ad telah hampir sampai ke kawasan perkampungan mereka, beliau menoleh kepada kaumnya lalu berkata: “Sesungguhnya telah tiba masanya bagiku untuk tidak mempedulikan celaan orang yang mencela dalam urusan Allah.” Apabila Sa‘ad muncul di hadapan Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Bangunlah kamu semua untuk menyambut pemimpin kamu dan turunkan dia.” Lalu Umar berkata: “Pemimpin kami ialah Allah.” Baginda bersabda lagi: “Turunkan dia.” Maka mereka pun menurunkannya. Rasulullah SAW bersabda: “(wahai Sa’ad) Putuskanlah hukum terhadap mereka.” Sa‘ad pun berkata: “Sesungguhnya aku memutuskan hukum terhadap mereka bahawa orang lelaki yang berperang untuk dibunuh, anak-anak mereka dijadikan tawanan, dan harta mereka dibahagikan (sebagai ghanimah).”

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya engkau telah memutuskan hukum terhadap mereka dengan hukum Allah SWT dan hukum Rasul-Nya.”

Rasulullah SAW telah melaksanakan hukum Allah pada mereka, dan jumlah mereka adalah empat ratus penentang. Tidak ada dari wanita mereka yang dibunuh kecuali satu orang wanita yang telah membunuh salah seorang sahabat ketika ia melemparkan batu penggilingan dari atas benteng. Dan anak-anak lelaki yang belum baligh dibebaskan. Kemudian Rasulullah SAW membahagikan harta mereka sesama kaum Muslimin sebagai ghanimah.


Turun Ayat Mengenai Peristiwa Peperangan Bani Quraizhah

Mengenai Bani Quraizhah, turunlah firman Allah Ta'ala:

وَأَنزَلَ ٱلَّذِينَ ظَـٰهَرُوهُم مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ مِن صَيَاصِيهِمْ وَقَذَفَ فِى قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعْبَ فَرِيقًۭا تَقْتُلُونَ وَتَأْسِرُونَ فَرِيقًۭا (٢٦) وَأَوْرَثَكُمْ أَرْضَهُمْ وَدِيَـٰرَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُمْ وَأَرْضًۭا لَّمْ تَطَـُٔوهَا ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرًۭا (٢٧)

Maksudnya: “Dan Dialah yang menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan. Dan Dialah yang menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Surah al-Ahzab (26-27)

Al-Qasimi berkata: “Dan Dia menurunkan orang-orang yang menyokong mereka (iaitu membantu golongan Ahzab) daripada kalangan Ahl al-Kitab, iaitu Bani Quraizhah. Mereka ialah satu kelompok daripada orang Yahudi. Nenek moyang mereka telah datang menetap di wilayah Hijaz setelah mereka melarikan diri daripada penindasan, lalu mereka berpecah dan tersebar di pelbagai penjuru negeri. (Dalam ayat itu disebut) ‘dari benteng-benteng mereka’, iaitu kubu-kubu dan bangunan pertahanan yang mereka diami. Dan Allah mencampakkan rasa takut ke dalam hati mereka, iaitu ketakutan, sebagai balasan yang setimpal (terhadap perbuatan mereka).”


Pengajaran Dari Peristiwa Peperangan Bani Quraizhah

Adab Berbeza Pendapat

Perang Bani Quraizhah telah menunjukkan adab berbeza pendapat dalam kalangan sahabat. Mereka berbeza pendapat dalam memahami arahan Rasulullah SAW: (Janganlah sekali-kali salah seorang dari kalian solat Asar kecuali di Bani Quraizhah). Sebahagian mereka memahami bahawa yang dimaksudkan adalah perintah untuk bersegera, maka mereka pun solat Asar setelah masuk waktu. Sebahagian lainnya pula mengambil makna lahiriah dari ucapan Baginda SAW, mereka pun tidak solat kecuali setelah tiba di Bani Quraizhah. Namun Nabi SAW tidak mencela seorang pun dari mereka, dan tidak ada satu kelompok pun dari mereka yang menyalahkan kelompok lain atau berbuat buruk kepadanya.

Dalam hal itu terdapat petunjuk penting mengenai penetapan prinsip adab ketika berlakunya perbezaan pendapat, sebagaimana di dalamnya terdapat penetapan prinsip ijtihad dalam menggali hukum-hukum syariat.

Imam Al-Hafizh Ibnu Hajar telah membincangkan kisah ini dengan berkata: “Pendalilan daripada kisah ini bahawa setiap mujtahid itu benar secara mutlak tidaklah jelas. Namun, yang dapat diambil daripadanya adalah tidak adanya celaan terhadap orang yang telah mencurahkan kemampuan dan berijtihad. Maka daripadanya diambil faedah bahawa tidak ada dosa ke atas mereka.

Kesimpulan daripada apa yang berlaku dalam kisah tersebut ialah sebahagian sahabat memahami larangan itu secara zahir (hakiki). Mereka tidak mengambil kira kemungkinan luputnya waktu solat kerana mereka mendahulukan larangan kedua, iaitu perintah agar tidak menunaikan solat kecuali di Bani Quraizhah, berbanding larangan pertama iaitu larangan melewatkan solat dari waktunya.

Mereka juga berhujah bahawa dibolehkan melewatkan solat bagi orang yang sibuk dengan urusan peperangan, sebagaimana yang berlaku pada hari-hari Perang Khandaq.

Manakala sebahagian yang lain pula memahami larangan tersebut bukan secara zahir, tetapi sebagai kiasan yang bertujuan memberi dorongan, galakan dan mempercepatkan perjalanan ke Bani Quraizhah. Jumhur ulama menjadikan kisah ini sebagai dalil bahawa orang yang berijtihad tidak berdosa, kerana Nabi tidak mencela mana-mana daripada dua kumpulan tersebut. Sekiranya terdapat dosa, nescaya Baginda akan mencela pihak yang melakukan kesalahan…”


Keharusan Memerangi Pihak Yang Memungkiri Janji

Para ulama hadis dan sirah telah menyimpulkan daripada kisah Bani Quraizhah tentang dibolehkannya memerangi pihak yang melanggar perjanjian. Imam al-Nawawi juga menjadikannya sebagai tajuk bab bagi hadis tersebut dalam riwayat Muslim.

Oleh itu, perjanjian damai, perjanjian kerjasama, serta jaminan keselamatan antara kaum Muslimin dengan pihak lain wajib dihormati selagi pihak tersebut tidak melanggar janji, perdamaian atau keamanan tersebut. Apabila mereka melanggar, maka pada ketika itu kaum Muslimin dibenarkan untuk memerangi mereka jika terdapat maslahat dan keperluan yang sah di sisi syarak.

Melalui peristiwa peperangan ini juga jelas menunjukkan keyakinan sebahagian orang Yahudi terhadap kenabian Rasulullah SAW, namun mereka menyembunyikannya kerana kebencian dan keingkaran.

Ibn Hisham meriwayatkan bahawa Ka‘b bin As’ad, pemimpin Bani Quraizhah, pernah berkata kepada kaumnya:

“Wahai kaum Yahudi, telah datang kepada kamu perkara yang kamu sendiri melihatnya. Aku menawarkan kepada kamu tiga pilihan, maka pilihlah mana yang kamu kehendaki.” Mereka bertanya: “Apakah pilihan itu?” Beliau menjawab: “Kita beriman kepada lelaki ini dan membenarkannya, demi Allah sesungguhnya telah jelas kepada kamu bahawa beliau adalah seorang nabi yang diutus…”

Setelah Sa'ad bin Mu‘az RA menjatuhkan hukum terhadap mereka, Ka‘b bin As’ad dibawa sebelum dihukum bunuh. Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Ka‘b bin As’ad?” Dia menjawab: “Ya, wahai Abu al-Qasim.”

Baginda bersabda:

“Adakah kamu tidak mengambil manfaat daripada nasihat Ibnu Kharash kepada kamu, sedangkan dia telah membenarkan aku? Bukankah dia telah memerintahkan kamu untuk mengikutiku, dan apabila kamu melihatku, hendaklah kamu menyampaikan salam kepadaku?”

Ka‘b menjawab: “Benar, demi Taurat wahai Abu al-Qasim. Jika bukan kerana orang Yahudi akan mencelaku kerana takut kepada pedang, nescaya aku akan mengikutmu. Namun aku tetap berada di atas agama Yahudi.” Lalu Rasulullah memerintahkan agar dia turut dihukum bunuh.

Maka jelaslah bahawa kaum Yahudi pada waktu itu mengetahui kebenaran kenabian Rasulullah SAW melalui kitab Taurat, termasuk tanda-tanda dan sifat-sifat baginda. Namun mereka menolaknya kerana fanatisme, kebencian, dan kesombongan.

Islam dari sudut akidah dan syariatnya adalah agama fitrah yang lurus. Oleh itu, tidak akan ada seseorang yang berakal dan memahami hakikat Islam dengan sebenar-benarnya kemudian menolaknya, melainkan salah satu daripada dua sebab: sama ada dia belum memahami Islam dengan tepat, atau dia telah memahaminya tetapi menolaknya kerana kebencian, kesombongan, atau kepentingan dunia yang dikhuatiri hilang.


Keutamaan Sa’ad Bin Muaz RA

Dalam peperangan ini juga terdapat banyak keutamaan dan keistimewaan bagi Sa'ad bin Mu‘az RA. Rasulullah SAW memberi beliau kuasa untuk memutuskan hukum terhadap Bani Quraizhah, dan Baginda SAW menerima serta mengesahkan apa sahaja keputusan beliau.

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya engkau telah memutuskan hukum terhadap mereka dengan hukum Allah SWT dan hukum Rasul-Nya”.

Rasulullah SAW juga bersabda kepada kaum Ansar ketika Sa‘ad datang: “Berdirilah kalian menuju pemimpin kalian.”

(Riwayat al-Bukhari)

Daripada Jabir bin Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Arasy bergetar kerana kematian Sa'ad bin Mu‘az.”

(Riwayat al-Bukhari)

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA, Nabi SAW bersabda: Dihadiahkan kepada Nabi SAW sehelai pakaian sutera. Lalu para sahabat baginda mula menyentuhnya dan merasa kagum dengan kelembutannya. Maka Nabi SAW bersabda: “Adakah kamu semua kagum dengan kelembutan pakaian ini? Sesungguhnya sapu tangan Sa‘ad bin Mu‘az lebih baik daripada ini, atau lebih lembut daripadanya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Daripada Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda tentang Sa'ad: “Arasy bergetar kerana kematiannya, pintu-pintu langit dibuka untuknya, dan tujuh puluh ribu malaikat menghadirinya…”

(Riwayat al-Nasa’i)


Kesimpulan

Dengan tertumpasnya Bani Quraizhah, Madinah menjadi bersih sepenuhnya daripada ancaman Yahudi yang berpotensi melakukan perancangan jahat, tipu daya dan pengkhianatan. Sekaligus, harapan Quraisy untuk mendapatkan sekutu di dalam Madinah juga musnah.

Sesungguhnya, perlindungan terhadap keselamatan dalaman negara Islam daripada unsur perosak dan konspirasi merupakan antara manhaj nabawi yang ditunjukkan oleh Rasulullah kepada umat ini. Ia juga merupakan salah satu hasil besar daripada peristiwa peperangan yang penuh keberkatan ini.

Scroll to Top