ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 5 MINIT

PANDUAN ISLAM DALAM PENGURUSAN HARTA KETIKA BERDEPAN CABARAN EKONOMI GLOBAL

Panduan Islam Dalam Pengurusan Harta Ketika Berdepan Cabaran Ekonomi Global

Mukaddimah:

Di tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat, dunia kini disaksikan berlakunya konflik berskala besar melibatkan Iran, United States (US) dan Israel yang telah memasuki tahap perang langsung selepas operasi ketenteraan gabungan dilancarkan terhadap wilayah Iran pada akhir Februari 2026. Ketegangan ini bukan sahaja memakan korban nyawa dan memusnahkan harta, malah membawa kesan yang melampaui arena geopolitik — termasuk lonjakan harga global, gangguan rantaian bekalan, kenaikan kos tenaga, dan ketidakstabilan ekonomi dunia yang dirasai oleh negara-negara pengimport minyak, serta ketidakpastian pasaran global.

Dalam konteks ketidaktentuan seperti ini, persoalan tentang kecermatan penggunaan sumber, pengurusan kewangan dan sikap berjimat cermat menjadi lebih penting dari sebelumnya. Kesan konflik global bukan sahaja mencetuskan cabaran ekonomi makro seperti inflasi dan tekanan pasaran komoditi, tetapi juga menghimpit kehidupan biasa rakyat di pelbagai negara, terutama golongan berpendapatan rendah yang paling terdedah kepada reaksi harga terhadap kejutan geopolitik.

Islam, melalui ajaran syariah, menyediakan satu rangka etika yang lebih dari sekadar prinsip ekonomi ia ialah satu cara hidup yang menggabungkan pengurusan harta dengan tanggungjawab moral, sosial dan spiritual. Prinsip ini bukan sekadar menasihati agar tidak boros, tetapi memberi panduan praktikal yang sangat relevan apabila dunia dilanda krisis. Dalam suasana peperangan yang tidak menentu dan ketidakstabilan ekonomi yang semakin meluas, nilai-nilai berjimat cermat menurut kaca mata Islam bukan sahaja membantu individu bertahan, tetapi juga membina masyarakat yang lebih stabil dan bertanggungjawab secara ekonomi dan sosial.

Prinsip berjimat cermat dalam Islam bukan sekadar menahan diri daripada berbelanja secara berlebihan, tetapi merangkumi sikap kesederhanaan, perancangan kewangan yang berhemah, penghindaran pembaziran, dan perkongsian harta bagi manfaat masyarakat. Melalui panduan ini, seorang Muslim diajar untuk mengurus sumber yang dimiliki dengan penuh tanggungjawab, sekaligus membina disiplin diri dan kesedaran akan amanah yang diberikan oleh Allah. Artikel ini akan berkongsi beberapa panduan Islam dalam pengurusan harta sebagai persediaan untuk berdepan cabaran ekonomi global.


Panduan Islam

Mengutamakan keperluan berbanding kehendak

Islam mengajar seseorang agar membezakan antara perkara yang benar-benar diperlukan dan perkara yang hanya bersifat keinginan. Dalam kerangka Maqasid Syariah, keperluan manusia dibahagikan kepada beberapa tahap seperti daruriyyat (keperluan asas), hajiyyat (keperluan tambahan) dan tahsiniyyat (perkara pelengkap).

Daruriyyat (keperluan asas): makanan, pakaian, tempat tinggal, keselamatan, dan ibadah. Ini adalah keperluan kritikal untuk kelangsungan hidup dan kesejahteraan rohani. Mengutamakan daruriyyat memastikan seseorang tidak terjerumus dalam pembaziran atau hidup mewah tanpa keperluan.

Hajiyyat (keperluan tambahan): kemudahan hidup yang memudahkan urusan harian, seperti peralatan rumah tangga, kenderaan sederhana, atau pendidikan. Hajiyyat membantu meningkatkan keberkesanan hidup tetapi bukan sesuatu yang mesti dimiliki.

Tahsiniyyat (perkara pelengkap): barang atau perkhidmatan yang menambah keselesaan atau kemewahan. Islam mengingatkan agar tahsiniyyat tidak dijadikan keutamaan sehingga mengabaikan daruriyyat atau menimbulkan pembaziran.

Pembahagian ini memberi panduan syariah yang jelas: seseorang mesti memastikan harta digunakan dahulu untuk keperluan asas, kemudian keperluan tambahan, dan barulah jika mampu, untuk perkara pelengkap. Al-Qur’an juga telah menegaskan:

وَءَاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (26) إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا (27)

Maksudnya: “Dan berikanlah haknya kepada kaum kerabat, orang miskin, dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membazir secara berlebihan. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Surah Al-Isra’ (26-27)

Pembaziran adalah perbuatan yang dibenci Allah. Membelanjakan harta untuk kehendak semata-mata, yang tidak memberikan manfaat nyata kepada diri atau masyarakat, termasuk dalam kategori israf. Dalam konteks moden, ini boleh dikaitkan dengan perbelanjaan tidak terancang, gaya hidup mewah tanpa keperluan, dan hutang tidak produktif yang jelas bertentangan dengan prinsip syariah.

Jelas sekali dapat difahami dari ayat ini bahawa Islam mengaitkan pengurusan harta dengan keadilan sosial. Dengan membezakan antara keperluan dan kehendak, seseorang bukan sahaja menjaga dirinya daripada pembaziran tetapi juga memberi ruang untuk membantu orang lain melalui zakat, sedekah, dan sumbangan sosial. Ini menunjukkan bahawa sikap berjimat cermat adalah satu ibadah kerana ia menegakkan keadilan ekonomi dan sosial serta memberi manfaat kepada masyarakat secara lebih luas.


Mengamalkan perancangan kewangan

Dalam Islam, pengurusan harta bukan sekadar soal kemampuan individu, tetapi suatu tanggungjawab syariah kerana setiap harta adalah amanah daripada Allah. Perancangan kewangan (financial planning) bukanlah konsep asing dalam konteks Islam, walaupun istilah moden ini tidak digunakan secara langsung dalam teks klasik. Prinsip-prinsip yang mendasari perancangan kewangan dapat dilihat daripada beberapa aspek syariah seperti galakan menyimpan sebahagian dari pendapatan (Hifz al-Mal). Menyimpan sebahagian pendapatan untuk keperluan masa depan, persediaan kecemasan, pendidikan, atau pelaburan yang sah, termasuk dalam kategori menjaga harta dengan tanggungjawab.

Kisah Nabi Yusuf a.s. dalam Quran menampilkan contoh perancangan kewangan dan pengurusan sumber yang cemerlang. Ketika baginda ditanya tentang tujuh tahun kemarau yang akan menimpa Mesir, Nabi Yusuf menasihati raja supaya menyimpan hasil tuaian pada tahun-tahun subur untuk menghadapi tahun kekurangan. Allah berfirman:

قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًۭا فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِى سُنۢبُلِهِۦٓ إِلَّا قَلِيلًۭا مِّمَّا تَأْكُلُونَ (47) ثُمَّ يَأْتِى مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ سَبْعٌۭ شِدَادٌۭ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًۭا مِّمَّا تُحْصِنُونَ (48) ثُمَّ يَأْتِى مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌۭ فِيهِ يُغَاثُ ٱلنَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُون (49)

Maksudnya: "Yusuf menjawab: 'Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan (47) Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih) (48) Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya) (49).'"

Surah Yusuf (47-49)

Dari perspektif perancangan kewangan Islam, kisah ini menekankan beberapa prinsip penting iaitu pentingnya:
i) perancangan awal dengan menyimpan sebahagian hasil sebelum kekurangan berlaku,
ii) pemeliharaan harta dengan memastikan simpanan tidak disalahgunakan dan digunakan pada waktu yang tepat,
iii) kebijaksanaan dalam pengurusan risiko dengan mengurus sumber untuk menghadapi kemungkinan buruk (krisis),
iv) kesedaran amanah dengan memastikan harta rakyat disimpan dan diagihkan dengan adil sebagai menunaikan tanggungjawab sosial.

Kisah Nabi Yusuf a.s. menjadi panduan praktikal bahawa perancangan kewangan bukan sekadar urusan duniawi, tetapi juga amanah yang diperintahkan Allah untuk memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelangsungan hidup dalam menghadapi ujian.


Mengelakkan hutang-hutang yang tidak produktif

Begitu juga peringatan Islam untuk menjauhi hutang-hutang yang tidak produktif boleh membebankan individu dan mengganggu kestabilan keluarga. Islam secara tegas melarang pengumpulan hutang tanpa keperluan dan mendorong umatnya untuk hidup dalam batas kemampuan.

Perkara ini dapatlah difahami melalui doa yang diajar oleh Baginda SAW:

أنَّ رَسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم كان يَدعو في الصَّلاةِ: اللهُمَّ إنِّي أعوذُ بكَ مِن عَذابِ القَبرِ، وأعوذُ بكَ مِن فِتنةِ المَسيحِ الدَّجَّالِ، وأعوذُ بكَ مِن فِتنةِ المَحيا، وفِتنةِ المَماتِ، اللهُمَّ إنِّي أعوذُ بكَ مِنَ المَأثَمِ والمَغرَمِ، فقال له قائِلٌ: ما أكثَرَ ما تَستَعيذُ مِنَ المَغرَمِ! فقال: إنَّ الرَّجُلَ إذا غَرِمَ حَدَّثَ فكَذَبَ، ووعَدَ فأخلَفَ.

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW biasa berdoa dalam solat: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah Al-Masih Dajjal, dan aku berlindung kepada-Mu daripada fitnah kehidupan dan fitnah kematian. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan daripada beban hutang.’ Kemudian seorang sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau banyak memohon perlindungan daripada beban hutang?’ Baginda menjawab: ‘Seseorang yang berhutang, apabila berjanji dia akan mengingkari, dan apabila bercakap, dia akan berdusta.’"

Riwayat Bukhari (832)

Ulama hadis terkemuka yang bernama Badruddin Al-Aini RHM (855H) menyebut bahawa hutang disebut dalam hadis sebagai Al-Maghram (المغرم), yang berasal daripada kalimah (الغرام), bermaksud kejahatan yang kekal dan azab. Ini kerana sifat hutang sering membawa bebanan yang berpanjangan, menimbulkan tekanan psikologi, dan menjadi sumber konflik serta kesulitan dalam kehidupan seseorang. Dalam perspektif Islam, hutang bukan sahaja soal kewangan, tetapi juga amanah yang mesti ditunaikan, dan kegagalan menunaikannya tanpa niat baik boleh membawa akibat buruk di dunia dan akhirat.

Oleh itu, Islam menekankan agar seseorang mengurus kewangan dengan bijak, mengelakkan hutang tidak perlu, dan menunaikan tanggungjawab kewangan dengan penuh amanah. Apatah lagi ketika berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dan kekurangan jaminan sumber pendapatan.


Menyemai Sikap Qana‘ah (Berasa Cukup dan Berpada)

Sikap qana‘ah, iaitu merasa cukup dengan apa yang dimiliki, merupakan salah satu nilai teras dalam Islam yang berkait rapat dengan pengurusan harta dan kewangan. Nilai ini membantu seseorang untuk mengawal nafsu, mengelakkan pembaziran, dan mengurus kewangan secara berhemah. Rasulullah SAW dan para sahabat mencontohkan hidup sederhana dan qana‘ah, walaupun berkemampuan.

Sabda Nabi SAW:

ليس الغِنى عن كَثرةِ العَرَضِ، ولَكِنَّ الغِنى غِنى النَّفسِ.

Maksudnya: "Kekayaan bukan terletak pada banyaknya harta, tetapi kekayaan sebenar adalah kekayaan jiwa."

Riwayat Bukhari (6446)

Ketika krisis ekonomi global melanda dan kenaikan harga berlaku, tekanan psikologi sering timbul. Ramai akan merasa tertekan dan hilang rasional dalam bertindak ketika krisis sedang berlaku. Sikap qana‘ah berfungsi sebagai pelindung mental kerana ia menekankan rasa cukup dengan apa yang dimiliki dan menjadikan individu tidak lagi terdorong untuk memenuhi keinginan tanpa had. Ianya juga membantu dalam pengurusan emosi kerana dengan berasa cukup, seseorang dapat mengurangkan rasa cemburu, iri hati, atau tekanan akibat kenaikan harga yang berlaku. Ia membentuk sikap kesederhanaan hidup dan dapat membantu meningkatkan simpanan kerana apabila seseorang berasa cukup, lebih banyak pendapatan dapat disimpan atau dilaburkan secara produktif. Qana‘ah membantu individu dan keluarga mengurus perbelanjaan secara berhemah, mengutamakan keperluan berbanding kehendak, dan mengelakkan hutang tidak perlu. Sikap ini juga mengurangkan tekanan psikologi akibat persaingan materialisme dan memberi ketahanan kewangan dan spiritual.


Kesimpulan

Sekiranya semua panduan ini diterapkan secara bersungguh-sungguh dan berjaya diaplikasikan, nescaya masyarakat akan dapat membina asas kewangan dan psikologi yang kukuh. Prinsip-prinsip ini bukan sahaja membantu individu dan keluarga mengurus harta dengan amanah, tetapi juga memperkuat ketahanan mental dan spiritual dalam menghadapi tekanan ekonomi dan ketidaktentuan global. Dengan disiplin, kesederhanaan, dan perancangan yang bijak, cabaran seperti lonjakan harga, ketidakstabilan pasaran, dan konflik geopolitik dapat dihadapi dengan tenang dan berkesan. Islam memberikan panduan praktikal dan holistik, menunjukkan bahawa kejayaan dalam menghadapi isu ekonomi global bukan sekadar soal material, tetapi juga soal keberkatan, tanggungjawab sosial, dan ketenangan hati yang berpandukan syariah.

Scroll to Top