ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 9 MINIT

BERMOTIVASI DENGAN AGAMA: ISU EHATI

ISU EHATI

Krisis Akhir Zaman dan Penolakan Wahyu

Kita sedang hidup di ambang akhir zaman. Zaman di mana manusia semakin jauh daripada agama, semakin jauh daripada fitrah, dan semakin sombong dalam menilai kehidupan. Masalah yang muncul akibat kerosakan iman, keluarga dan masyarakat cuba diselesaikan dengan pendekatan-pendekatan asing yang tidak bersumber daripada wahyu. Al-Quran, Sunnah dan sirah nabi ditinggalkan. Sebagai ganti, manusia mencipta ‘jalan keluar’ mengikut hawa nafsu dan kehendak diri. Mereka semakin yakin bahawa falsafah-falsafah cendekiawan lebih efektif dan tidak lagi memerlukan garis panduan Tuhan. Sedangkan Allah jua lah yang menciptakan mereka dari tiada kepada ada, dan Dia lah jua yang mengetahui masalah yang dihadapi hambanya serta menyediakan solusi yang terbaik bagi segala kegusaran dan kesedihan yang dihadapi hamba-hambaNya. Namun keangkuhan telah menjadikan manusia berani menyusun undang-undang sendiri dalam mengatur hidup mereka di dunia ini.

Firman Allah SWT:

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونََيْبَةً

Maksudnya : Apakah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan (yang disembah), padahal Allah telah menyesatkannya dengan pengetahuan dan menutup pendengaran serta hatinya, dan meletakkan tutupan pada penglihatannya? Siapakah yang dapat memberi petunjuk kepadanya setelah Allah? Maka, apakah kamu tidak mengambil pelajaran? [Surah Al-Jathiya, ayat 23]

Dalam kekeliruan inilah muncul program-program seperti eHATI. Atas nama pemulihan emosi dan kasih sayang, ia didakwa membantu wanita yang tersakiti dalam perkahwinan. Namun realitinya, eHATI menampilkan pendekatan yang sangat membimbangkan: menyerap fahaman luar agama, normalisasi ritual sensual, serta mempromosikan fahaman bahawa wanita tidak memerlukan lelaki. Semua ini berselindung di balik konsep ‘healing’, ‘empowerment’ dan ‘self-worth’.

Masalah sebegini sebenarnya bukan baharu. Ia telah pun wujud sejak zaman dahulu. Bahkan Al-Quran merakam kisah Bani Israel yang hanya mengambil sebahagian ajaran agama, lalu menolak yang lain apabila tidak selari dengan hawa nafsu mereka.

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

Maksudnya: Apakah kamu beriman dengan sebahagian daripada Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? [Surah al-Baqarah, ayat 85]

Inilah juga yang berlaku hari ini. Golongan tertentu menerima ayat-ayat agama apabila ia sesuai dengan emosi dan kehendak mereka, tetapi apabila syariat menuntut pengorbanan, ketaatan dan menegur keinginan diri, mereka menolaknya atau memutar belit maknanya.

eHATI: Program Pemulihan atau Eksploitasi Terselindung?

Program eHATI yang rancak menjalankan program-program ‘motivasi’ dan dipopularkan melalui media sosial dan laman rasmi mereka didakwa sebagai platform pemulihan emosi untuk wanita yang terluka. Namun kegiatan yang dilaporkan baru-baru ini daripada para peserta program itu sendiri adalah sangat membimbangkan. Antara tentatif program tersebut ialah tarian separa bogel dalam gelap, ritual batin ‘rahim’ yang diambil dari ajaran sinkretisme, secara halus menolak institusi keluarga patriarki, serta mencemarkan konsep perkahwinan dan poligami.

Masyarakat Malaysia menzahirkan kebimbangan besar terhadap pengaruh pemikiran liberal dan sinkretik yang bercampur aduk dengan spiritualiti palsu yang dipromosi oleh program seperti ini. Pihak berkuasa kini sedang melakukan siasatan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

Apabila manusia menggantikan petunjuk Tuhan dengan ekspresi tubuh dan bisikan jiwa yang tidak dipandu syariat, mereka tidak akan menemui penyembuhan sebenar, malah hanya menyelam lebih dalam ke dalam kehancuran rohani.

Mengadu kepada Allah dalam Kesedihan: Kisah Nabi Ya'kub AS

Penyembuhan sebenar bagi hati dan jiwa tidak akan dapat dicapai melalui ritual songsang atau kaedah yang tidak jelas, tetapi hanya dengan petunjuk Allah SWT. Kebergantungan kepada Allah adalah satu-satunya jalan yang hakiki untuk meraih ketenangan jiwa. Dalam setiap ujian hidup, kita dipanggil untuk berdoa kepada Allah, memohon petunjuk-Nya, kekuatan-Nya, dan rahmat-Nya.

Firman Allah SWT ketika menceritakan tentang doa Nabi Ya’kub AS:

إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ

Maksudnya : "Sesungguhnya aku hanya mengadukan kesedihanku dan keluh kesahku kepada Allah." [Surah Yusuf, ayat 86]

Ayat ini menggambarkan keadaan Nabi Ya'kub yang sedang menanggung kesedihan yang sangat mendalam akibat kehilangan anak kesayangannya, Nabi Yusuf. "Bassi" bermaksud kekecewaan atau keluh kesah yang mendalam, dan "Huzni" pula menunjukkan perasaan sedih yang berlarutan. Baginda terlalu banyak menangis sehingga hilang deria penglihatannya, walaupun begitu, Nabi Ya'kub tetap tidak mengadu kepada anak-anaknya atau orang lain, tetapi terus mengadu kepada Allah, kerana hanya Allah yang dapat memahami perasaan yang ada dalam hatinya.

Ini mengajarkan kita bahawa dalam setiap kesulitan, pengaduan yang sebenar haruslah kepada Allah, kerana hanya Dia yang mengetahui segala isi hati dan mampu memberikan jalan keluar yang terbaik. Setiap ujian yang dihadapi, perlu dihadapi dengan doa, usaha dan tawakkal, kerana dengan itu, kita pasti mampu menyelesaikannya.

Allah berfirman:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: Allah tidak memberikan ujian melainkan apa yang mampu dihadapi. [Surah al-Baqarah, ayat 286]

Poligami: Antara Hukum Ilahi dan Persepsi Liberal

Sebelum Islam, poligami diamalkan di dalam semua budaya dan bangsa tanpa batasan, terutama di kalangan raja-raja dan pemerintah, yang menggunakan amalan ini untuk memperkukuhkan kuasa dan pengaruh mereka. Mempunyai banyak isteri dan gundik menunjukkan status sosial mereka. Sejarah membuktikan bahawa peradaban seperti Romawi, Yunani, China, dan India, wanita sering diperlakukan seperti objek atau harta yang dimiliki dan boleh diwarisi. Islam merupakan satu-satunya agama yang menyelamatkan maruah dan kemuliaan wanita dengan menghadkan poligami sebagai satu bentuk keadilan dan rahmat, bukan kezaliman. Ia hadir bukan untuk menyakitkan wanita, tetapi sebagai solusi kepada keperluan masyarakat terutamanya dalam konteks menjaga kemaluan dan harga diri.

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً

Maksudnya: “Maka kahwinilah mana-mana perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja. ” [Surah al-Nisa’, ayat 3]

Betapa hebatnya hukum Allah meletakkan syarat untuk berpoligami adalah lelaki tersebut mampu berlaku adil dalam memberikan hak kepada isteri-isteri mereka. Jika tidak, lelaki itu disarankan untuk menikahi hanya seorang wanita. Ini menunjukkan bahawa melindungi hak wanita adalah lebih utama dari memenuhi kehendak para lelaki yang ingin menikahi lebih dari satu.

Namun hari ini, perkahwinan kedua sering dianggap lebih teruk daripada skandal. Seorang suami yang memilih untuk berkahwin lagi akan dipandang serong, dicemuh, dipulau dan digambarkan sebagai pengkhianat. Sebaliknya, pasangan yang menjalinkan hubungan di luar ikatan perkahwinan seperti ‘boyfriend’, ‘girlfriend’, ‘side-chick’, ‘sugar daddy’, mendekati zina dan bersentuhan dengan bukan mahram dianggap biasa.

Firman Allah:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. [Surah Al-Isra’, ayat 32].

Feminisme Radikal dan Keruntuhan Fitrah

Islam tidak memaksa poligami. Tetapi apabila hukum itu dihina dan dianggap ‘tidak berperikemanusiaan’, itu satu bentuk penolakan terhadap hukum Allah yang terang dan nyata. Yang halal dibenci, tetapi yang haram seperti hubungan sulit, zina dan hubungan bebas semakin diterima. Inilah petanda masyarakat sedang rosak dari dalam.

Gerakan feminisme radikal telah mengubah cara wanita melihat diri dan kedudukannya dalam masyarakat. Ia menanam kepercayaan bahawa wanita lebih baik hidup tanpa lelaki, bahawa kepatuhan kepada suami adalah penjajahan, dan bahawa institusi perkahwinan adalah alat patriarki.

Sedangkan dalam Islam, wanita diberi kemuliaan yang besar apabila mereka berperanan dalam lingkungan fitrah mereka, sebagai isteri, ibu, pendidik dan penjaga maruah. Islam tidak menghalang wanita daripada pendidikan atau pencapaian, tetapi ia mengajar peranan dalam keseimbangan.

إِذَا صَلَّتِ ٱلْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ٱدْخُلِى ٱلْجَنَّةَ مِنْ أَىِّ أَبْوَٰبِ ٱلْجَنَّةِ شِئْتِِ الْجَنَّةَ

Maksudnya : Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, dikatakan kepadanya: masuklah ke syurga dari mana-mana pintu yang engkau kehendaki. [HR Ibn Hibban, 4163]

Perkahwinan bukan penindasan. Ia adalah ruang ibadah yang dipenuhi kasih sayang dan tanggungjawab.

Hentikan Normalisasi Maksiat

Dalam dunia hari ini, maksiat semakin dinormalisasikan melalui bahasa yang lembut dan disalut dengan konsep-konsep moden seperti “human rights”, “healing”, “empowerment” dan “kebebasan wanita”. Apa yang pada asalnya mungkar, kini diberi wajah baru, malah diraikan, ditularkan, dan dimartabatkan atas nama “freedom of choice”. Sedangkan Rasulullah SAW telah mengingatkan dengan tegas dalam sebuah hadis:

إِنَّ ٱلنَّاسَ إِذَا رَأَوُا ٱلْمُنْكَرَ فَلَمْ يُغَيِّرُوهُ أَوْشَكَ ٱللَّهُ أَن يَعُمَّهُم بِعِقَابٍ مِّنْهُ

Maksudnya: "Setiap umatku akan diampuni kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Sesungguhnya, antara perbuatan dosa yang terang-terangan adalah seorang lelaki yang berbuat dosa pada malam hari, lalu Allah menutupi dosanya, namun dia bangun pada pagi hari dan menceritakan apa yang telah dia lakukan semalam. Padahal, pada malam itu Allah telah menutupinya." [HR Bukhari, 6069]

Hadis ini memberi amaran kepada umat Islam untuk menjaga aib dan maruah diri mereka, serta tidak membuka pekung diri dengan menceritakan dosa-dosa yang telah mereka lakukan, terutama apabila Allah telah menutupnya.

Solusi: Kembali Kepada Islam Secara Menyeluruh

Allah SWT telah memberikan panduan yang jelas untuk keluar daripada kegelapan dan kebingungan hidup dalam ayat-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. [Surah al-Baqarah, ayat 208]

Ayat ini bukan sekadar seruan, tetapi juga solusi yang jelas. Pertama, islam adalah ‘surrender’ diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Islam bukan ‘pick and choose’ - seperti buffet Ramadan yang kita hanya mengambil makanan mengikut selera dan nafsu kita. Sebaliknya, Islam adalah satu pakej lengkap daripada Allah yang merangkumi semua aspek kehidupan sama ada akidah, ibadah, akhlak, keluarga, ekonomi, dan masyarakat. Kita dituntut untuk menerima Islam secara total dan mematuhi semua panduan yang diajarkan di dalamnya tanpa memilih atau menolak mana-mana hukum yang kita kurang selesa dengannya.

Kedua, Allah memberikan amaran agar jangan sesekali kita mengikuti jejak langkah syaitan”. Syaitan tidak mengajak manusia terus kepada kekufuran, tetapi mengheret perlahan-lahan, ‘step-by-step’ dari yang jauh menjadi dekat, dari dosa kecil ke dosa besar. Hari ini hanya sekadar “suka-suka”, esok menjadi tabiat, lusa ia menjadi prinsip hidup. Maka sesiapa yang meremehkan batas syarak, sebenarnya telah mengorak langkah di atas jalan syaitan walau tidak sedar.

Oleh yang demikian, tiada solusi yang lebih sempurna melainkan dengan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah, tunduk kepada hukum-Nya, dan berhenti bertuhankan nafsu. Bertuhanlah kepada Allah, bukan emosi, bukan dunia, bukan cita-cita tanpa pedoman.

Scroll to Top