ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

Soal & Jawab

Krisis Empati Dalam Era Digital
KRISIS EMPATI DALAM ERA DIGITAL

SOAL & JAWAB

Soalan 1: Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya tertarik dengan sifat pemalu Uthman RA yang sering disebut sebagai keistimewaan beliau. Boleh ustaz jelaskan bagaimana sifat malu itu sebenarnya menjadi kemuliaan dan kekuatan dalam diri seorang Muslim?

Jawapan:
1. Sifat malu merupakan antara perhiasan iman yang menjadikan seseorang Muslim terpelihara daripada kehinaan dan dosa.

2. Dalam diri Uthman bin Affan RA, sifat malu bukan sekadar ciri peribadi yang lembut atau sopan, tetapi menjadi asas kemuliaan dan kekuatan spiritual yang mengawal setiap tindakan dan pertuturan.

3. Definisi malu atau (حَيَاءً) diterangkan oleh para ulama:

-Imam al-Jirjani: “Penyempitan jiwa daripada sesuatu dan meninggalkannya kerana takut akan celaan terhadapnya.”
-Al-Hafiz Ibnu Hajar: “Akhlak yang mendorong pemiliknya untuk menjauhi perkara yang buruk dan mencegahnya daripada berkurang dalam menunaikan hak orang yang berhak.”
-Disebutkan dalam al-Tibyan Tafsir Gharib al-Quran: “Perubahan dan kelembutan yang menimpa seseorang kerana takut terhadap sesuatu yang boleh dicela dan dikeji, tempatnya pada wajah, dan sumber penghalangnya dari hati.”
[Rujuk: Mausu’ah al-Akhlak al-Islamiyyah, jld. 1, hlm. 207]

4. Rasulullah SAW bersabda:

وَأَصْدَقُهُمْ حَيَاءً عُثْمَانُ

Maksudnya: “Yang paling benar sifat malunya ialah Uthman.” [HR al-Tirmizi, 3791]

- Asal sifat yang benar itu terpakai pada ucapan atau bicara seseorang, namun istilah “benar” dipakai pada sifat malu Uthman RA kerana berterusannya sifat itu pada dirinya sehingga beliau tidak dikenali melainkan dengan sifat itu.

5. Dalam sebuah hadis, ketika mana Abu Bakar dan Umar RA datang berjumpa dengan Nabi SAW untuk menyampaikan hajat mereka kepadanya, Baginda dalam keadaan berbaring sambil memakai selimut Aisyah RA. Namun, ketika Uthman RA ingin bertemu dan menyampaikan hajatnya pula, Baginda bangun untuk duduk dan berkata kepada Aisyah RA untuk menutup tubuhnya dengan sempurna. Setelah Uthman beredar, Aisyah RA bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa Baginda menukar posisi daripada baring kepada duduk bila Uthman datang bertemu dengannya. Jawab Baginda:
إِنَّ عُثْمَانَ رجل حي. وَإِنِّي خَشِيتُ، إِنْ أَذِنْتُ لَهُ عَلَى تِلْكَ الحال، أن لا يبلغ إلي حاجته
Maksudnya: “Sesungguhnya Uthman ialah seorang lelaki yang pemalu, dan aku khuatir jika aku mengizinkannya masuk dalam keadaan itu, dia tidak akan dapat menyampaikan hajatnya kepadaku.” [HR Muslim, 2402]

6. Al-Munawi berkata tentang sifat pemalu Uthman RA: “Kedudukan Uthman adalah kedudukan sifat malu, dan sifat malu itu merupakan cabang yang lahir daripada rasa mengagungkan orang yang dilihatnya dan memuliakan kedudukannya, disertai dengan rasa kekurangan yang dirasakan pada dirinya sendiri. Maka seolah-olah dirinya dikuasai oleh rasa mengagungkan Allah Yang Maha Benar, dan dia melihat dirinya dengan pandangan kekurangan dan kelemahan, kedua-duanya merupakan akhlak yang agung bagi hamba-hamba yang didekatkan kepada Allah. Oleh sebab itu, kedudukan Uthman menjadi tinggi, maka kekasih Allah daripada makhluk-Nya berasa malu terhadapnya.” [Rujuk: Faid al-Qadir, jld. 4, hlm. 302]

7. Sifat malu itu ada beberapa jenis seperti yang disebutkan:
a) Jenis malu mengikut perihal wujudnya ia
- Malu fitrah: Sifat yang lahir sejak kecil, seperti malu apabila baju tersingkap. Ia merupakan anugerah Tuhan kepada semua hambaNya.
- Malu yang diusahakan: Sifat yang dididik melalui ilmu agama sehingga menghindarkan dirinya dari dosa dan beramal dalam ketaatan.
b) Jenis malu berkait dengan urusan pahala dosa
- Malu syar’i: Sifat malu dengan Tuhan, malu untuk melakukan dosa, sifat malu yang terpuji.
- Malu bukan syar’i: Sifat malu yang tidak selari dengan kehendak syarak, malu untuk berbuat kebaikan, malu dilihat ketinggalan trend maka dia melakukan perkara yang dilarang. Ini terzahir kerana kelemahan dan kehinaan diri sendiri.

Sabda Rasulullah SAW: إِذَا لَمْ تَسْتَحِي فَافْعَلْ مَا شِئْتَ Maksudnya :“Apabila engkau tidak merasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau kehendaki.” [HR al-Bukhari, 3483]

9. Disebutkan faedah sifat malu:
- Salah satu cabang daripada iman.
- Menjauhi maksiat kerana berasa segan di hadapan Allah SWT.
- Melaksanakan ketaatan terdorong oleh rasa cinta kepada Allah SWT.
- Menjauhkan diri daripada kehinaan di dunia dan akhirat.
- Memberi seseorang penampilan yang penuh wibawa, sehingga dia tidak melakukan perkara yang menjejaskan maruah dan penghormatan, serta tidak menyakiti orang yang layak dimuliakan.
- Ia mendorong seseorang untuk menghiasi dirinya dengan segala yang indah dan terpuji, serta menjauhi segala yang buruk dan tercela.
[Rujuk: Mausu’ah al-Akhlak al-Islamiyyah, jld. 1, hlm. 217]

10. Jika seorang Muslim menerapkan dalam dirinya dengan sifat malu yang sebenar, maka akan hadir kemuliaan serta kewibawaan sehingga mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT dan disegani manusia.

11. Maka, seharusnya seseorang meneladani sifat malu seperti Uthman RA dalam urusan-urusan yang berhajat kepadanya agar kita mendapat kemuliaan sepertiman Uthman RA mendapatkannya.

Soalan 2: Assalamualaikum ustaz dan dai. Dikenali sebagai seorang yang sangat dermawan, Uthman RA pernah membeli telaga Rumah untuk kegunaan umat Islam. Boleh ustaz kongsikan kisah di sebalik sumbangan besar ini dan bagaimana semangat beliau boleh dijadikan contoh untuk masyarakat hari ini?

Jawapan:
1. Kedermawanan Sayyidina Uthman bin Affan R.A bukan sekadar kisah sejarah yang diceritakan dengan rasa kagum, tetapi satu contoh nyata bagaimana harta yang diberkati boleh menjadi jalan menuju syurga.

2. Dalam kehidupan beliau, sifat dermawan lahir daripada hati yang ikhlas dan penuh kasih terhadap umat Islam. Antara sumbangan agungnya ialah pembelian telaga Rumah di Madinah.

3. Kisah tentang telaga Rumah atau بِئْرُ رُومَةَ disebut oleh beberapa ulama dalam kitab-kitab mereka:
- Peristiwa ini berlaku pada waktu awal kaum Muslimin berada di Madinah dan sangat berhajat kepada air.
- Ibnu Battal menceritakan: “Telaga Rumah dimiliki oleh seorang Yahudi yang menguncinya dan sering tiada di tempat, sehingga apabila kaum Muslimin datang untuk minum, mereka tidak mendapati air dan pulang dalam keadaan dahaga.”
- Al-’Aini menukilkan daripada al-Kalbi bahawa umat Islam biasa membeli sekantung air dengan harga 1 dirham.
- Maka, Rasulullah SAW menggalakkan para sahabat untuk membeli telaga al-Rumah dan menyedekahkan kepada kaum Muslimin, serta menjanjikan syurga bagi yang melakukannya.
- Maka, Uthman RA yang membelinya. Menurut riwayat Ibnu Abd al-Bar, pada asalnya pemilik Yahudi itu enggan menjual keseluruhannya, maka Uthman RA membeli separuh telaga itu dengan harga 12,000 dirham dan menjadikannya milik kaum Muslimin.
- Mereka bersetuju untuk membuat giliran pengambilan air, di mana giliran Uthman RA pada satu hari, giliran Yahudi itu pada keesokannya, dan begitulah seterusnya.
- Apabila tiba giliran hari Uthman RA, maka umat Islam menimba air cukup untuk 2 hari, iaitu pada hari itu dan juga hari keesokannya. Ini menyebabkan umat Islam tidak membeli air dari Yahudi tersebut pada hari gilirannya kerana mereka telah pun menimba pada hari sebelumnya.
- Melihat keadaan ini, Yahudi itu berkata: “Engkau telah merosakkan perigi aku”. Lalu, dia menawarkan kepada Uthman untuk membeli separuh yang lain dengan harga 8,000 dirham. Akhirnya, jadilah kesemua bahagian telaga Rumah itu milik Uthman yang dia berikan untuk manfaat umat Islam.
- Telaga ini masih wujud hingga ke hari ini. Ia berada kira-kira 1 km dari Masjid al-Qiblatain, iaitu di Jalan Abu Bakar al-Siddiq.
[Rujuk: Al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab, jld. 3, hlm. 1039-1040]
[Rujuk: ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, jld. 12, hlm. 190-191]
[https://zulkiflialbakri.com/2799-kisah-pemilikan-telaga-rumah/]

4. Kisah ini memberi suntikan semangat dalam usaha menyumbangkan harta dan usaha dengan keikhlasan. Uthman RA membuktikan bahawa kekayaan dan harta bukanlah ibu kepada kejahatan, namun ia merupakan peluang untuk berbakti. Beliau menginfakkan hartanya pada saat masyarakat sedang memerlukan sumber air, menunjukkan bahawa keberkatan harta bergantung kepada seberapa banyak ia dikongsi, bukan disimpan. Dalam konteks hari ini, ia mengajar bahawa setiap Muslim, tidak kira miskin atau kaya, mampu berinfaq mengikut kemampuan, kerana nilai sebenar bukan pada jumlah yang diberi, tetapi pada keikhlasan hati yang mendasarinya. Amalan ini boleh dilihat melalui sumbangan kepada tabung kebajikan, pembinaan sekolah agama, hospital wakaf, atau bantuan kepada golongan miskin tanpa mengharapkan pujian atau ganjaran duniawi. Ia mencerminkan semangat memberi demi manfaat bersama dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

5. Kisah ini juga membentuk kesedaran tentang tanggungjawab sosial dalam Islam. Tanggungjawab bukan sekadar urusan individu dengan Allah, tetapi juga dengan sesama manusia. Uthman RA memandang keperluan masyarakat sebagai amanah yang perlu dipenuhi. Beliau mempunyai kemampuan harta dan pada waktu itu umat Islam amat memerlukan air. Maka, amanahnya (harta) disalurkan pada urusan tanggungjawab (keperluan air bagi masyarakat Muslim). Inilah asas kepada budaya wakaf, sedekah jariah, dan infaq umum dalam tamadun Islam sebagai sistem yang memastikan keadilan sosial dan kesejahteraan masyarakat berterusan. Pada zaman kini, kesedaran ini boleh diterjemahkan melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti program sukarelawan, kebersihan awam, atau bantuan bencana. Sumbangan dalam tanggungjawab sosial bukan semata-mata harta, tetapi masa, usaha, idea. Ini semua merupakan sumbangan yang kita boleh berikan mengikut kemampuan, kemahiran dan kesesuaian masing-masing. Ia menunjukkan bahawa setiap Muslim berperanan dalam menjaga keseimbangan sosial dan memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam kehidupan bermasyarakat.

6. Maka, jadilah seperti Uthman RA yang tidak berat menyumbangkan hartanya untuk manfaat umat Islam sehingga mengalir pahala jariyah daripada perbuatannya.

Soalan 3: Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya pernah dengar yang Uthman RA digelar Zu al-Nurrain kerana mengahwini 2 anak perempuan Baginda Muhammad SAW. Apa keistimewaan Uthman sehingga beliau dikahwinkan oleh Baginda sendiri, bukan seorang, tetapi 2 orang anak Baginda?

Jawapan:
1. Uthman bin Affan, khalifah ketiga daripada Khulafa’ al-Rasyidin, bukan sahaja dikenali sebagai salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang terawal memeluk Islam, tetapi juga sebagai seorang pemimpin yang penuh kasih sayang, dermawan, dan berani. Beliau mendapat julukan Zu al-Nurrain, yang bermaksud Pemilik Dua Cahaya, kerana telah mengahwini dua orang puteri Rasulullah SAW, iaitu Ruqayyah dan Ummu Kulthum.

2. Keistimewaan beliau bukan sahaja terletak pada perkahwinan tersebut, tetapi juga pada pengorbanan dan sifat kepimpinannya yang tiada tandingan. Dalam sejarah Islam, Uthman bin Affan dikenali sebagai seorang yang amat kaya namun sangat dermawan, memberikan segala hartanya untuk tujuan dakwah dan membantu umat Islam, terutamanya pada saat-saat yang genting.

3. Dalil Quran فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ Maksudnya: "Oleh itu (janganlah engkau khuatir) kerana Allah akan memeliharamu dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." [Surah al-Baqarah, ayat 137]

4. Ayat ini mengingatkan kita tentang perlindungan Allah terhadap hamba-Nya yang sabar dan tabah menghadapi ujian. Keteguhan hati Uthman bin Affan dalam menghadapi serangan daripada musuh-musuh Islam adalah satu contoh yang jelas bagaimana Allah SWT menjaga orang yang beriman dan berjuang di jalan-Nya. Ketika Uthman R.A. dikepung, beliau tetap tenang dan mengingatkan umat Islam akan perlindungan Allah, sama seperti ayat ini yang memberikan keyakinan bahawa Allah akan melindungi mereka dari kejahatan dan musuh.

5. Huraian: "Uthman bin Affan adalah seorang tokoh yang luar biasa dalam sejarah Islam, dikenali dengan gelaran Zu al-Nurrain kerana mengahwini dua anak perempuan Rasulullah SAW. Keistimewaan beliau bukan sahaja terletak pada kedudukannya sebagai khalifah, tetapi juga pada sifatnya yang sangat dermawan, terutama dalam membantu perkembangan dakwah Islam." [Siyar A‘lam al-Nubala’, Bhg. Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 149]

6. Tafsiran daripada Imam al-Dzahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ menguatkan lagi keistimewaan Uthman, yang bukan hanya dipandang tinggi kerana kedudukan beliau sebagai khalifah, tetapi juga kerana sifat dermawan yang menjadi peranan utama dalam menyokong perjuangan dakwah Islam. Sejak awal beliau memeluk Islam, Uthman R.A. menunjukkan keteguhan dan komitmennya terhadap agama, memberikan hartanya tanpa mengira waktu dan keadaan.

7. Dalil Hadis Nabi SAW مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ Maksudnya: "Tidak akan membahayakan Uthman apa yang dia lakukan setelah hari ini. Tidak akan membahayakan Uthman apa yang dia lakukan setelah hari ini." [HR Tirmizi, 3701]

8. Hadis ini jelas menunjukkan pengiktirafan Nabi SAW terhadap sumbangan Uthman RA, terutamanya ketika beliau menyumbang sejumlah besar harta untuk Perang Tabuk. Uthman RA menjadi simbol kesetiaan yang tidak pernah goyah terhadap perjuangan Islam. Nabi SAW berulang kali menegaskan bahawa apa yang Uthman lakukan selepas peristiwa itu tidak akan memberi keburukan kepadanya, sebagai penghargaan terhadap pengorbanannya.

9. Syarah Hadis : "Nabi SAW mengungkapkan bahawa segala sumbangan dan pengorbanan Uthman RA untuk umat Islam akan mendapat pengampunan Allah." [Fadha’il al-Sahabah oleh Imam Ahmad, 1/456]

10. Dalam Fadha’il al-Sahabah, Imam Ahmad menyatakan bahawa Nabi SAW mendoakan pengampunan untuk Uthman RA atas segala perbuatan baik yang telah dilakukan, sama ada yang disembunyikan mahupun yang ditunjukkan. Doa Nabi ini menunjukkan bahawa Uthman bukan sahaja seorang yang dermawan, tetapi juga seorang yang sangat dihargai dalam pandangan Nabi SAW kerana kesetiaannya dan pengorbanannya dalam menyokong agama Islam.

11. Kesimpulan: Uthman bin Affan adalah contoh pemimpin yang sebenar dalam sejarah Islam. Kehidupannya adalah pengajaran tentang bagaimana seorang individu yang diberkati dengan kekayaan dan kedudukan harus menggunakan keistimewaan tersebut untuk agama dan umatnya. Perkahwinannya dengan dua puteri Rasulullah SAW adalah simbol kasih sayang Nabi terhadap beliau, tetapi sumbangannya kepada umat Islam melalui hartanya dalam Perang Tabuk dan dalam banyak situasi lainnya, menggambarkan komitmen beliau terhadap agama yang jauh lebih besar.

12. Keteguhan beliau dalam menghadapi ujian, baik di medan perang mahupun dalam menghadapi kematian, menempatkan beliau di kedudukan yang tinggi dalam sejarah Islam. Sifat dermawan dan pengorbanan beliau, yang tak mengenal lelah, menjadi contoh bagi kita semua dalam menjalani kehidupan ini. Sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis dan ayat Quran, Allah akan melindungi mereka yang berjuang untuk-Nya, dan seperti Uthman, tidak ada apa yang akan membahayakan mereka yang ikhlas berjuang di jalan-Nya.

Soalan 4: Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya selalu dengar orang sebut tentang Mushaf Uthmani dan Resam Uthmani bila bercakap tentang al-Quran. Betulkah semua itu hasil usaha Khalifah Uthman RA yang menyatukan bacaan al-Quran? Dan apakah hikmah di sebalik usaha besar itu?

Jawapan:
1. Mushaf Uthmani dan Resam Uthmani memang sering disebut-sebut dalam perbincangan mengenai al-Quran. Kedua-duanya adalah hasil usaha besar yang dilakukan oleh Khalifah Uthman bin Affan RA yang bertanggungjawab untuk menyatukan bacaan al-Quran dan menghindari perpecahan dalam kalangan umat Islam. Namun, adakah usaha ini semata-mata berkaitan dengan bacaan, atau adakah terdapat hikmah yang lebih mendalam di sebaliknya? Mari kita jawab soalan ini dengan merujuk kepada sejarah dan dalil yang berkaitan.

2. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hijr, ayat 9: إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ Maksudnya: "Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Zikr (al-Quran), dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." [Surah Al-Hijr, ayat 9]

3. Dalam Tafsir al-Razi (Al-Tafsir al-Kabir, jilid 8, hlm. 99), beliau menjelaskan bahawa Allah SWT menjamin pemeliharaan al-Quran dari perubahan atau penyelewengan. Pemeliharaan ini bukan hanya dalam bentuk hafalan, tetapi juga dalam bentuk penulisan dan penyebaran yang seragam agar al-Quran tetap terpelihara dengan baik. Usaha Khalifah Uthman dalam menyatukan bacaan al-Quran adalah sebahagian daripada penjagaan ini.

4. Pada zaman Rasulullah SAW, wahyu al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun, dan ditulis di pelbagai media seperti kulit binatang, tulang, daun, dan batu. Para sahabat menghafal al-Quran dan menyimpannya dalam bentuk catatan yang berlainan. Sebagai contoh, Sayyidina Abu Bakar r.a. menyimpan mushaf yang pertama, sementara sahabat yang lain seperti Abdullah bin Mas'ud dan Ubai bin Ka'ab juga mempunyai mushaf mereka sendiri. Namun, perbezaan ini tidak mengganggu kesatuan umat Islam pada masa itu, kerana al-Quran masih dapat dihafal dan diajarkan dengan cara yang betul.

5. Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas bin Malik RA: "خَرَجَ حُذَيْفَةُ بْنُ الْيَمَانِ عَلَىٰ عُثْمَانَ فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ إِنَّ النَّاسَ قَدِ اخْتَلَفُوا فِي قِرَاءَتِهِمْ حَتَّىٰ كَادُوا أَنْ يَكُونُوا فِي فِتْنَةٍ." Maksudnya: "Hudzaifah bin al-Yaman datang kepada Uthman dan berkata: Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya umat Islam telah berbeza-beza dalam bacaan mereka hingga hampir menyebabkan fitnah (perpecahan)." [HR Al-Bukhari, Hadis 4991]

6. Zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar al-Khattab: Pengumpulan Pertama al-Quran. Selepas peristiwa Perang Yamamah, di mana ramai penghafal al-Quran syahid, Khalifah Abu Bakar r.a. memutuskan untuk mengumpulkan al-Quran dalam satu mushaf lengkap, kerana bimbang bahawa al-Quran akan hilang bersama mereka yang menghafalnya. Zayd bin Thabit telah dilantik untuk mengetuai usaha pengumpulan ini. Mushaf Abu Bakar disimpan oleh Sayyidatina Hafsah setelah Abu Bakar wafat.

7. Dari Zayd bin Thabit RA, beliau berkata: "فَقَالَ عُمَرُ: إِنَّا كُنَّا نُحْشِرُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَكُونُ بَعْضُهُ مَعَ بَعْضٍ..." Maksudnya: "Sayyidina Umar berkata: 'Kami mengumpulkan wahyu pada zaman Rasulullah SAW dan sebahagiannya berada bersama sebahagian yang lain...'" [HR Al-Bukhari, 4992]

8. Zaman Khalifah Uthman bin Affan: Penyusunan Semula al-Quran. Pada zaman Khalifah Uthman RA, umat Islam telah berkembang luas di wilayah yang jauh dan terdapat perbezaan bacaan antara satu wilayah dengan wilayah lain. Hudzaifah bin al-Yaman melaporkan bahawa pertikaian antara para penghafal dan pengajar bacaan al-Quran semakin serius, dan ini menimbulkan kebimbangan akan perpecahan. Untuk mengatasi masalah ini, Khalifah Uthman memerintahkan penyalinan mushaf al-Quran yang seragam dan penghantaran mushaf tersebut ke setiap wilayah utama.

9. Dalil Hadis "فَجَمَعَ النَّاسَ عَلَى مُصْحَفٍ وَاحِدٍ..." Maksudnya: "Maka dia (Uthman) mengumpulkan umat Islam pada satu mushaf yang sama..." [al-tashil Jld. 8 hlmn 52-53]]

10. Setelah mushaf disalin semula, Khalifah Uthman mengarahkan agar salinan mushaf dihantar ke Mecca, Syam, Basrah, Kufah, Iraq, dan Madinah. Di setiap wilayah, seorang imam (qari) yang berkelayakan dihantar untuk mengajar umat Islam berdasarkan mushaf tersebut. Semua mushaf yang tidak seragam dimusnahkan.

11. Resam Uthmani merujuk kepada penulisan al-Quran dengan menggunakan kaedah tulisan yang seragam, iaitu berdasarkan bahasa Quraisy kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa mereka. Ini memastikan bahawa bacaan al-Quran tetap sesuai dengan bacaan yang diterima oleh Rasulullah SAW.

12. Usman RA memberikan arahan: قال عثمان للرهط القرشيين الثلاثة: "إذا اختلفتم أنتم وزيد بن ثابت في شيء من القرآن، فاكتبوه بلسان قريش، فإنما نزل بلسانهم." Maksudnya: "Jika kalian berbeza pendapat dengan Zayd bin Thabit mengenai sesuatu daripada al-Quran, maka tulislah dengan bahasa Quraisy, kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa mereka." [Fath al-Bari, 6/537]

13. Perintah ini menunjukkan bahawa apabila terdapat perbezaan dalam penulisan antara Zayd bin Thabit dan para sahabat Quraisy, mereka diarahkan untuk menulisnya dengan bahasa Quraisy, kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa mereka, iaitu bahasa Arab Quraisy. Ini adalah untuk menjaga keseragaman dan kesucian penulisan al-Quran di seluruh umat Islam, mengelakkan kekeliruan dan penyimpangan dalam bacaan.

14. Hikmah di Sebalik Usaha Uthman

i) Menyatukan Umat Islam: Dengan adanya satu mushaf yang seragam, perbezaan bacaan yang berlaku antara wilayah yang berlainan dapat diselesaikan, sekaligus mengelakkan perpecahan dalam umat Islam.

ii) Mengelakkan Perpecahan: Perbezaan dalam bacaan boleh menyebabkan konflik dalam kalangan umat Islam. Usaha Khalifah Uthman untuk menyatukan bacaan al-Quran adalah langkah yang bijak untuk mengelakkan perpecahan yang boleh mengancam kesatuan umat Islam.

Pemeliharaan al-Quran: Dengan memastikan adanya satu mushaf yang diakui oleh seluruh umat Islam, usaha ini juga menjamin bahawa al-Quran yang kita baca hari ini adalah asli dan tidak tercemar oleh perubahan atau penyelewengan.

15. Mushaf Uthmani dan Resam Uthmani adalah hasil daripada usaha besar yang dilakukan oleh Khalifah Uthman bin Affan RA untuk menyatukan bacaan al-Quran dan menghindari perpecahan dalam kalangan umat Islam. Usaha ini membawa hikmah yang besar, termasuk kesatuan umat Islam di bawah satu mushaf dan jaminan pemeliharaan al-Quran dari perubahan. Dengan ini, kita dapat membaca dan memahami al-Quran yang terpelihara, sama seperti yang diterima oleh Rasulullah SAW.

16. Semoga kita terus menghargai al-Quran dan memeliharanya dengan sebaik-baiknya, sebagai petunjuk hidup yang tidak akan pernah berubah.

Soalan 5: Assalamualaikum ustaz dan dai. Di zaman pemerintahan Khalifah Uthman RA, empayar Islam berkembang sangat luas hingga ke Afrika Utara dan Azerbaijan. Apakah faktor yang mendorong kepada perluasan itu, dan apakah iktibar yang boleh kita ambil daripadanya?

Jawapan:

1. Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, empayar Islam berkembang pesat hingga mencakupi wilayah yang sangat luas, termasuk Afrika Utara dan Azerbaijan. Salah satu faktor utama yang mendorong perluasan ini adalah kekuatan tentera Islam yang terlatih dan bersemangat juang tinggi.

2. Di bawah kepimpinan Khalifah Uthman, pasukan-pasukan Islam berjaya menawan kawasan baru melalui siri peperangan yang penuh dengan strategi cemerlang, seperti yang terbukti dalam penaklukan Ifriqiyya (Afrika Utara). Pasukan Islam di bawah pimpinan Abdullah Ibn Zubayr dan Abdullah Ibn Sa’ad Ibn Abi Sarh berjaya mengalahkan pasukan Rom yang dipimpin oleh Gregory Patrician, seterusnya membuka laluan untuk menakluk Tripoli, Tunisia, dan Maghribi.

3. Selain itu, salah satu faktor penting adalah pengaruh ketangguhan panglima-panglima Islam yang tidak gentar menghadapi cabaran dalam meluaskan empayar. Keberanian dan strategi yang bijak dalam menghadapi pertempuran sengit menentang pasukan Rom telah membawa kepada kemenangan yang besar.

4. Kejayaan ini bukan sahaja memperluas wilayah Islam, tetapi juga menguatkan kedudukan politik dan ekonomi umat Islam di rantau tersebut. Dalam tempoh hanya enam tahun pertama, kerajaan Islam telah mencakupi Afrika Utara dan kawasan timur yang lebih luas, termasuk sempadan Anatolia.

5. Pemerintahan Khalifah Uthman juga menyaksikan perubahan penting dalam struktur pentadbiran dan pengurusan wilayah-wilayah yang baru ditakluk. Khalifah Uthman memainkan peranan yang besar dalam memperkukuh pemerintahan di kawasan-kawasan ini dengan menghantar pegawai-pegawai yang kompeten dan memastikan kestabilan dalam setiap wilayah yang ditawan. Pembukaan wilayah-wilayah baru ini memberi kesan besar kepada penyebaran Islam, meningkatkan pengaruh agama dan peradaban Islam ke seluruh dunia.

6. Namun, kejayaan yang dicapai oleh Khalifah Uthman ini juga membawa kepada beberapa cabaran yang lebih besar. Dengan berkembangnya empayar Islam, terdapat juga masalah dalam pengurusan dan pengaruh luar yang semakin besar. Ketegangan politik dan pergolakan dalam kerajaan Islam mula timbul akibat daripada pengaruh pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan pemerintahan. Walaupun pada awalnya kerajaan Islam berkembang dengan pesat, krisis dalaman dan fitnah mula mengganggu perjalanan pemerintahan, yang akhirnya menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

7. Dari peristiwa ini, terdapat beberapa iktibar yang boleh diambil.
- Pertama, kejayaan dalam memperluas empayar Islam memerlukan kepimpinan yang kuat dan bijaksana, serta semangat juang yang tinggi dari semua pihak yang terlibat.
Kedua, kemajuan yang pesat juga memerlukan perhatian terhadap kestabilan dalam pentadbiran dan pengurusan. Ketiga, pengajaran utama dari pemerintahan Khalifah Uthman adalah pentingnya menangani konflik dalaman dan menjaga persatuan umat Islam, kerana perpecahan dalaman boleh membawa kepada kehancuran walaupun di luar kelihatan gagah.

Soalan 6: Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya ada dengar bahawa Khalifah Uthman RA wafat bukan kerana sakit tua, tetapi akibat pengkhianatan. Boleh ustaz ceritakan apa yang sebenarnya berlaku, dan apakah pengajaran besar yang kita boleh ambil daripada peristiwa itu?

Jawapan:

Peristiwa yang berlaku pada masa pemerintahan Saidina Uthman bin Affan adalah satu tragedi besar dalam sejarah Islam. Walaupun beliau merupakan khalifah yang berjaya membawa Islam ke puncak kegemilangan, dengan banyak wilayah baru dibuka dan ekonomi umat Islam berada dalam keadaan yang mewah, beliau akhirnya dibunuh akibat pengkhianatan. Penyebab utama kepada peristiwa ini adalah fitnah yang dimulakan oleh Abdullah bin Saba', seorang Yahudi munafik yang menyebarkan dakyah dan kebohongan untuk menjejaskan kredibiliti Uthman. Pada akhir pemerintahan Uthman, fitnah dan kekacauan semakin memuncak. Banyak orang mula percaya kepada pembohongan dan serangan terhadap Uthman, yang dikempenkan oleh musuh-musuh Islam. Pada musim haji tahun 33 Hijrah, sekumpulan pemberontak yang terpedaya dengan dakyah tersebut mengepung rumah Saidina Uthman. Mereka memberi pilihan sama ada beliau meletakkan jawatan atau dibunuh. Uthman dengan tegas menolak untuk meletakkan jawatan, sambil berkata, "Jawatan Khalifah adalah pakaian yang Allah pakaikan kepada aku. Aku tidak akan mencabutnya selama-lamanya." Walaupun para sahabat besar seperti Abu Hurairah, Abdullah bin Abbas, dan Hasan dan Husain ingin memerangi pemberontak-pemberontak itu untuk menyelamatkan Uthman, beliau enggan melakukannya. Uthman tidak mahu melihat pertumpahan darah sesama umat Islam, dan beliau tidak sanggup melihat orang lain mati kerana dirinya. Beliau memilih untuk tetap bersabar dan menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT. Pada suatu malam, Uthman bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar dan Umar. Rasulullah SAW berkata, "Marilah berbuka bersama kami," yang Uthman fahami sebagai petanda ajalnya sudah tiba. Keesokan harinya, beliau berpuasa dan mengenakan pakaian yang sopan, kerana beliau takut auratnya akan terbuka apabila dibunuh. Pada hari Jumaat, 18 Zulhijjah 33 Hijrah, Uthman menerima takdir Allah. Ketika beliau sedang membaca Al-Quran, rumahnya diserbu dan beliau ditetak hingga syahid. Peristiwa pembunuhan Uthman memberikan pengajaran besar kepada umat Islam. Ia mengajar kita pentingnya berhati-hati dengan propaganda musuh, terutamanya Yahudi dan munafik yang sering mencari peluang untuk melemahkan Islam dari dalam. Selain itu, tindakan Uthman yang enggan tunduk kepada desakan pemberontak juga memberi pengajaran bahawa kita tidak boleh mengalah pada tekanan, walaupun ia bermaksud mengorbankan nyawa. Kesimpulannya, Uthman mengajar kita untuk mempertahankan kepimpinan Islam dengan keberanian dan keimanan yang teguh, dan memastikan bahawa segala urusan diserahkan kepada Allah, kerana hanya Dia yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Soalan 7: Assalamualaikum ustaz dan dai. Seorang pemimpin biasanya dilihat perlu tegas dan berani. Tetapi Uthman RA terkenal dengan sifat lembut dan pemalu. Jadi, bagaimana beliau menzahirkan ketegasan dalam kepimpinannya walaupun terkenal dengan kelembutan hati?

Jawapan:

Pada asasnya, kita perlu fahami bahawa ketegasan tidak membawa makna pembawaan yang keras atau menekan, bahkan lebih teruk lagi jika sebuah kepimpinan itu menzalimi rakyat atas dasar membawa nilai ‘ketegasan’. Ketegasan dalam makna yang sebenar ialah ketetapan prinsip dalam melindungi kebenaran dan menjaga hak-hak yang perlu dilunaskan. Maka, nilai ketegasan dalam memimpin bukanlah satu perkara yang mustahil bagi seseorang yang mempunyai personaliti yang lembut dan pemalu. Ketegasan bukan hanya terpamer pada cara bercakap, namun antara yang utama juga ialah pada cara berfikir dan membuat keputusan. Saidina Uthman RA terkenal dengan kelembutan hati, dan sifat ini dapat dilihat melalui beberapa aspek kepimpinannya. Beliau adalah seorang yang sangat pemalu, dan ini jelas berbeza dengan kepemimpinan yang sering dikaitkan dengan keberanian dan kekasaran. Salah satu sifat lembut yang dimiliki oleh Uthman RA adalah sifat empati dan belas kasihan kepada orang-orang yang lemah, seperti yang ditunjukkan melalui banyak peristiwa semasa pemerintahannya. Namun, kelembutannya ini bukanlah kelemahan, sebaliknya ia merupakan kekuatan dalam membawa umat Islam kepada kasih sayang dan keadilan. Saidina Uthman RA juga dikenali sebagai seorang yang tidak suka bertindak kasar atau terburu-buru dalam membuat keputusan. Beliau sentiasa mempertimbangkan dengan teliti sebelum membuat sebarang tindakan. Hal ini jelas kelihatan bahkan sehingga ketika berlaku pergolakan dan pengepungan di rumah Saidina Uthman RA. Beliau bertegas tidak mahu berlaku pertumpahan darah kerana untuk membelanya. Beliau berkata kepada para sahabat RA yang berkumpul di sekitar rumahnya, yang sedang bersedia menghadapi para penentang itu dengan senjata: “Sesungguhnya orang yang paling aku perlukan adalah seorang lelaki yang menahan tangan dan senjatanya!” Saidina Uthman juga berkata kepada Abu Hurairah RA yang telah datang dengan pedang terhunus dan bersiap-siap untuk membelanya: “Ketahuilah, jika engkau membunuh satu orang sahaja maka seolah-olah engkau telah membunuh seluruh manusia.” Saidina Uthman berkata kepada al-Hasan, al-Husain, Ibn Umar, Abdullah bin al-Zubair, dan para pemuda dalam kalangan sahabat yang datang untuk melindunginya: “Aku meminta dan memohon kepada kamu semua dengan nama Allah, jangan ada darah yang tertumpah demi membelaku.” Beginilah gambaran bahawa kelembutan yang ada pada kepimpinan Saidina Uthman bukanlah bermaksud kelemahan, kepimpinan beliau menunjukkan hikmah dan cermat dalam memelihara keadaan dan maslahah umum supaya tidak berlaku mudarat yang lebih besar. Selain itu, bukti ketegasan Saidina Uthman juga dapat dilihat ketika mengadili keluarganya sendiri dan menegakkan hudud pada mereka. Hal ini berlaku apabila didatangkan Al-Walid bin Uqbah yang telah mengambil arak dengan kesaksian dua orang saksi dihadirkan. Walaupun Saidina Uthman mempunyai hubungan rapat dengan Al-Walid bin Uqbah, namun blelia tetap tegas berprinsip dan menjalankan amanahnya dengan jujur. Hal ini menjelaskan bahawa kelembutan tidak menghalang Saidina Uthman bin Affan untuk tetap bersikap adil dan cermat dalam memimpin. Mungkin sesetengah kepimpinan yang menggunakan pembawaan lembut seringkali goyah dan akhirnya bertoleransi pada beberapa hal yang melibatkan kepentingan peribadinya, namun hal itu tidak berlaku kepada Saidina Uthman RA. Bersikap tegas mengandungi mesej hikmah (kebijaksanaan) dalam memimpin. Bapa yang tegas bukan semestinya sentiasa pukul anak ketika anak bermasalah, namun dia akan menguruskan masalah itu dengan nilai adil (meletakkan setiap perkara pada tempatnya) dan nilai kebijaksanaan. Lembut dan keras ialah dua elemen yang ketika berjaya diadun dan diletak sesuai pada setiap tempatnya, maka itulah makna ketegasan. Sebagaimana Al-Quran juga datang sebagai berita gembira dan ancaman dalam mendidik manusia. Firman Allah SWT: قَيِّمًۭا لِّيُنذِرَ بَأْسًۭا شَدِيدًۭا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًۭا Maksudnya: “(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.” [Surah al-Kahfi, ayat 2]

Soalan 8: Assalamualaikum ustaz dan dai. Ramai yang rasa tugas berdakwah ni hanya tanggungjawab ustaz atau orang agama, sedangkan diri sendiri langsung tak mahu ambil peduli. Bagaimana kita nak sedarkan mereka yang bersikap begini yang hanya fikir urusan diri tanpa rasa tanggungjawab terhadap kebaikan orang lain?

Jawapan:

Dalam masyarakat hari ini, tanggungjawab berdakwah sering disalah erti. Ramai melihat dakwah seolah-olah tugas eksklusif golongan agama seperti ustaz, pendakwah, atau mereka yang petah berbicara di mimbar. Sedangkan hakikatnya, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ialah nadi umat Islam yang ingin menegakkan kebenaran. Fenomena yang semakin ketara dalam masyarakat hari ini ialah apabila segelintir individu menganggap bahawa tanggungjawab menyampaikan dakwah hanya terletak di bahu ustaz, guru agama, atau golongan berpendidikan tinggi dalam bidang syariah. Pandangan ini sebenarnya menunjukkan kekeliruan terhadap konsep dakwah itu sendiri. Dakwah bukanlah amanah eksklusif bagi segelintir manusia, tetapi merupakan tanggungjawab kolektif seluruh umat Islam, sesuai dengan kemampuan masing-masing. Apabila tanggungjawab ini dipinggirkan, masyarakat akan kehilangan suara yang mengajak kepada nilai dan kebenaran, lalu ruang itu diisi oleh bisikan maksiat dan kejahilan yang semakin menular. Kita perlu faham bahawa kesedaran tentang dakwah perlu bermula daripada kefahaman bahawa ia tanggungjawab setiap individu Muslim, bukan hak milik golongan agama semata-mata. Setiap individu yang mengucap dua kalimah syahadah telah memikul amanah untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran mengikut kadar kemampuan. Dakwah tidak semestinya di pentas atau mimbar, tetapi boleh berlaku dalam bentuk nasihat, teguran lembut, atau teladan yang baik. Islam tidak pernah mengehadkan dakwah hanya kepada mereka yang mempunyai gelaran. Setiap orang yang memahami kebaikan walau sekecil mana, memiliki tanggungjawab untuk menyampaikannya kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda: بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً Maksudnya: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” [HR al-Bukhari, 3461] Hadis ini menunjukkan galakan dan dorongan untuk menyampaikan ilmu sama ada berbentuk amar makruf atau nahi munkar walaupun sedikit, dengan syaratnya ianya benar dan sahih. Sehinggalah setiap orang terdorong untuk saling menasihati dan berpesan-pesan dalam keimanan. Dalam konteks moden, dakwah bukan sekadar di masjid atau pentas ceramah, tetapi boleh berlaku di tempat kerja, di media sosial, bahkan melalui akhlak seharian. Seorang pekerja yang jujur, pelajar yang amanah, atau jiran yang penyayang, semuanya sedang berdakwah melalui teladan. Tidak dinafikan, ramai yang merasakan dirinya tidak layak untuk berdakwah atas beberapa faktor seperti bukan pelajar atau berlatar belakangkan agama, atau merasakan diri lebih rendah berbanding orang lain. Semua orang perlu sedar bahawa dakwah bermula dengan pembaikan diri dan akhlak peribadi. Asas dakwah ialah niat yang ikhlas untuk menyeru kepada kebenaran bermula dari diri sendiri. Apabila seseorang memperbaiki dirinya, mencontohkan adab yang baik, dan menjadi inspirasi kepada orang lain, dia sebenarnya telah menjalankan dakwah secara halus tetapi berkesan. Hatta sekecil-kecil perkara seperti senyum dan memberi salam merupakan dakwah yang amat besar nilainya. Dakwah melalui akhlak jauh lebih kuat meninggalkan kesan dalam hati manusia daripada kata-kata semata-mata. Kita juga perlu sedar bahawa meninggalkan dakwah boleh mengundang kerosakan sosial dan kemurkaan Allah SWT. Apabila manusia hanya memikirkan dirinya tanpa memperjuangkan kebaikan bersama, masyarakat akan dihanyutkan oleh arus maksiat dan kezaliman. Kesedaran ini perlu ditanam agar umat tahu bahawa diam terhadap dosa bukan tanda selamat, tetapi tanda lalai. Allah SWT berfirman: وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).” [Surah al-Anfal, ayat 25] Bala bukan sahaja menimpa penzalim, tetapi mereka yang melihatnya tapi tidak mencegahnya. Maka, perbuatan tidak mencegah itu merupakan kezaliman atas dirinya sendiri. Secara praktikalnya, peranan dakwah boleh dihidupkan dengan membina budaya peduli dan saling menasihati. Pendidikan di rumah, sekolah, dan komuniti harus menekankan bahawa setiap tindakan kecil yang membawa manfaat kepada orang lain juga dikira sebagai dakwah. Memberi nasihat kepada rakan, menegur dengan lembut, menyebar ilmu bermanfaat di media sosial. Semuanya cara yang sesuai dengan zaman dan kemampuan masing-masing. Bila masyarakat memahami bahawa dakwah bukan kerja eksklusif, tetapi tanggungjawab kolektif, maka umat ini akan kembali hidup sebagai khairul ummah iaitu sebaik-baik umat yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kesedaran ini perlu dihidupkan semula agar masyarakat tidak terus bersikap acuh tak acuh terhadap pembentukan akhlak dan iman sesama insan. Jika setiap individu mengambil peranan untuk menyeru kepada kebaikan walau sekadar dengan tutur kata dan contoh diri, masyarakat akan menjadi lebih harmoni, berakhlak dan berjiwa Islam yang sebenar. Hanya dengan kefahaman dan keprihatinan inilah umat mampu bangkit sebagai penyampai kebenaran yang berperanan dalam memperindah dunia dengan cahaya iman.

Soalan 9: Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada yang ajak orang buat baik, tapi mengajak seolah-olah memaksa dengan alasan “perkara ini penting”. Adakah cara itu dibolehkan dalam Islam?

Jawapan :

Dalam usaha menyeru kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, niat seseorang mungkin lahir daripada keikhlasan dan semangat yang tinggi untuk melihat masyarakat berubah ke arah yang lebih baik. Namun begitu, dalam semangat berdakwah itu, ada yang terlanjur mengajak dengan cara yang keras, mendesak, atau seolah-olah memaksa orang lain untuk menerima pandangannya. Walaupun tujuan asalnya baik, namun cara yang terlalu menekan boleh menimbulkan kesan sebaliknya, bukan mendekatkan manusia kepada kebaikan, malah menjauhkan mereka. Justeru, penting untuk difahami bahawa Islam bukan hanya menitikberatkan isi dakwah, tetapi juga cara penyampaian dan hikmah dalam pendekatan. Dakwah perlu disampaikan dengan hikmah, bukan kekasaran dan paksaan. Dakwah yang berkesan bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi menyentuh hati. Islam menolak pendekatan yang bersifat memaksa kerana perubahan iman dan amal hanya boleh berlaku apabila seseorang menerimanya dengan rela hati. Oleh itu, kelembutan dalam menyampaikan mesej adalah kunci untuk membuka ruang dialog dan penerimaan. Mereka yang menyeru kepada kebaikan perlu mencontohi cara Rasulullah SAW yang bersikap tenang dan berhikmah walaupun berhadapan dengan penentangan. Allah SWT berfirman: ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” [Surah al-Nahl, ayat 125] Menurut Imam al-Sa’di: “Setiap orang hendaklah diseru mengikut keadaan, tahap pemahaman, ucapan, dan kesediaannya untuk tunduk kepada kebenaran. … Dakwah juga perlu disampaikan dengan cara yang mudah difahami, dengan kelembutan dan kasih sayang, supaya ia lebih mudah diterima.” [Rujuk: Tafsir al-Sa’di, hlm. 452] Islam mengajar bahawa dakwah bukan sekadar menyampaikan mesej, tetapi menyesuaikan cara dengan keadaan dan jiwa pendengar. Seseorang yang berilmu perlu memahami bagaimana untuk menyentuh hati orang yang masih jauh daripada agama tanpa menyinggung perasaan mereka. Rasulullah SAW sendiri menyesuaikan cara baginda ketika berdakwah kepada orang muda, orang tua, ketua kaum, atau orang awam. Pendekatan yang sesuai dengan keadaan akan menjadikan mesej lebih berkesan dan diterima dengan lapang dada. Pendekatan memaksa boleh menimbulkan penolakan terhadap agama itu sendiri, sedangkan Islam menuntut pendekatan yang bersifat mendidik, bukan sebaliknya. Apabila seseorang dipaksa untuk melakukan kebaikan tanpa diberi ruang memahami sebab dan hikmahnya, dia mungkin menolak bukan kerana tidak setuju dengan kebaikan itu, tetapi kerana tersinggung dengan cara yang keras. Ini akhirnya memberi kesan buruk kepada imej Islam, seolah-olah agama ini bersifat keras dan menghukum. Orang yang merasa dipaksa akan melawan secara pasif atau aktif, dan akhirnya menjauh daripada kebenaran yang ingin disampaikan. Allah SWT berfirman: فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” [Surah Ali ‘Imran, ayat 159] Mengajak orang kepada kebaikan seharusnya disertai dengan pendidikan yang membina kefahaman. Ini bermakna, seseorang yang berdakwah perlu memberi sebab dan hikmah di sebalik sesuatu perintah atau larangan, bukan hanya berkata “ini wajib, itu haram” tanpa penjelasan yang mendidik. Bila manusia faham sebab di sebalik sesuatu suruhan, mereka akan melakukannya dengan rela, bukan kerana tekanan. Sebaliknya, bila mereka hanya dipaksa, ketaatan yang lahir adalah luaran tanpa keyakinan yang kukuh di dalam hati. Islam bukan sekadar mahu manusia “buat baik”, tetapi mahu mereka faham, yakin dan redha dalam kebaikan itu. Orang yang melaksanakan amar makruf nahi munkar perlu memahami satu perkara, tugasnya hanyalah menyebar kebaikan dan mencegah kemungkaran, bukan memaksa perubahan dalam diri seseorang. Hidayah adalah hak mutlak Allah SWT. Sehebat mana seseorang berdakwah, dia tidak mampu memberi petunjuk kepada hati manusia kecuali dengan izin Allah. Maka tugas pendakwah hanyalah menyampaikan mesej dengan cara terbaik dan menyerahkan hasilnya kepada Allah. Pendekatan memaksa bukan sahaja tidak dibenarkan, malah menunjukkan ketidakfahaman terhadap peranan sebenar seorang yang menyebarkan nasihat dan kebaikan. Sifat sabar, istiqamah dan tawakal merupakan lambang kematangan seorang Muslim sejati dalam memberi nasihat dan teguran. Allah SWT berfirman: إِنَّكَ لَا تَهْدِى مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” [Surah al-Qasas, ayat 56] Allah SWT Maha Mengetahui siapa yang inginkan hidayah dan perubahan, maka Dia yang akan beri hidayah melalui usaha kita dengan izinNya. Dia juga Maha Mengetahui siapa yang tidak mahu hidayah dan suka untuk kekal dalam kesesatan. Maka usaha kita merupakan ibadah kepadaNya dan bakal menjadi hujah ke atas mereka di akhirat kelak. Kesimpulannya, Islam menolak pendekatan dakwah yang bersifat memaksa kerana paksaan tidak pernah melahirkan keinsafan sejati. Dakwah ialah seni menyentuh hati dengan hikmah, bukan seni mendesak dengan suara keras. Setiap pendakwah perlu mencontohi kelembutan Rasulullah SAW yang menyeru dengan kasih, mendidik dengan sabar, dan menegur dengan adab. Bila seruan kepada kebaikan dilakukan dengan penuh hikmah, manusia bukan sahaja akan menerima mesej agama, malah akan jatuh cinta kepada keindahan Islam itu sendiri.

Soalan 10: Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang yang nak tegur dan cegah kemungkaran, tapi dia seolah-olah menghukum orang lain. Apa etika dan adab sebenar dalam menegur supaya orang lain rasa senang dan terima dengan teguran kita?

Jawapan:

Menegur dalam Islam bukanlah tindakan menghukum, tetapi satu bentuk tanda kasih sayang dan tanggungjawab terhadap saudara seislam. الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ Maksudnya : “Agama adalah nasihat.” Mereka bertanya, “Untuk siapa (wahai Rasulullah)?” Beliau menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan umat Islam secara umumnya.” [HR Muslim, 82] Asas utama dalam menegur ialah niat dan adab. Jika niat teguran berpunca daripada rasa ingin memalukan, menunjuk pandai atau menegakkan ego, maka teguran itu sudah hilang nilai ibadahnya. Teguran yang jujur harus lahir daripada niat untuk memperbaiki, bukannya memperkecilkan. Pertama, periksa niat sebelum menegur. Teguran yang ikhlas bermula dari hati yang ingin mendidik, bukan hati yang ingin menang hujah. Kita menegur kerana tanggungjawab kepada Allah. Rasulullah SAW mengajar bahawa setiap nasihat mesti dilakukan dengan bijaksana dan mahir menilai situasi. Firman Allah dalam Surah Taha; فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًۭا لَّيِّنًۭا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ Maksudnya : “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” [Surah Taha, ayat 44] Kedua, gunakan bahasa yang lembut dan sesuai dengan keadaan. Jangan menegur di khalayak ramai kerana ia akan menimbulkan rasa malu dan penolakan. Sebaliknya, pilih waktu yang tenang dan suasana tertutup agar hati orang yang ditegur tidak tersinggung. Dalam psikologi dakwah, apabila ego seseorang tercalar, dia akan mempertahankan diri walaupun tahu dirinya salah. Namun jika dia suka berbuat kemungkaran secara terang-terangan, maka tiada masalah untuk menegur di kalangan khalayak ramai. وقال معمر: كان يقال: أنصحُ الناسِ لك منْ خافَ الله فيك. وكان السلفُ أذا أرادوا نصيحةَ أحدِ، وعظوه سرًا حتى قال بعضهم: منْ وعظ أخاه فيما بينه وبينَه، فهي نصيحة، ومن وعظه على رؤوس الناس فإنما وبخه. Maksudnya : “Mua‘mar berkata: “Orang yang paling jujur nasihatnya kepadamu ialah orang yang takut kepada Allah dalam urusannya terhadapmu.” Dan para salaf apabila ingin menasihati seseorang, mereka menasihatinya secara rahsia, hingga sebahagian mereka berkata: “Barangsiapa menasihati saudaranya antara dia dan saudaranya (secara tertutup), maka itulah nasihat yang sebenar; dan barangsiapa menasihatinya di hadapan orang ramai, maka sebenarnya dia sedang mempermalukannya.” [Lihat Jami’ Al ‘Ulum wa Al Hikam, jld. 1, hlm. 225] Ketiga, hormati maruah dan latar sosial orang yang ditegur. Jika dia lebih tua, berilmu atau berjawatan, gunakan pendekatan penuh hormat tanpa nada mengancam kedudukannya. Islam tidak menegur untuk menjatuhkan, tetapi untuk menyelamatkan. Bahkan selepas menegur, dianjurkan untuk meminta maaf bukan kerana salah menegur, tetapi untuk menenangkan hati orang yang ditegur agar tidak terasa hati. Ini adab seorang da‘i yang memahami jiwa manusia. Kesimpulannya, teguran yang diterima ialah teguran yang disampaikan dengan kasih. Bila teguran disulami keikhlasan, kelembutan, dan doa, ia akan menembusi hati sebelum sampai ke telinga. Pepatah Melayu ada mengatakan, “Berjalan sampai ke batas, berlayar sampai ke pulau, benang jangan terputus, tepung jangan terserak”.

Soalan 11: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang-kadang orang nampak cegah kemungkaran ni pada perkara besar macam mencuri dan amik hak orang lain. Macam mana pula perkara-perkara kecil atau yang dianggap remeh?

Jawapan:

Para sarjana Islam menjelaskan bahawa tugas amar ma‘ruf nahi munkar tidak terbatas pada dosa besar seperti mencuri, menipu atau merampas hak orang lain, tetapi turut merangkumi perkara kecil yang sering dianggap remeh. Setiap kemungkaran, kecil atau besar, memiliki kesan langsung terhadap kebersihan hati dan kesejahteraan masyarakat. Menurut Islam, dosa kecil yang dibiarkan tanpa ditegur boleh menjadi benih bagi dosa besar kerana hati manusia perlahan-lahan akan kehilangan rasa peka terhadap salah dan benar. إنَّ المؤمنَ يرَى ذنوبَه كأنه في أصلِ جبلٍ يخافُ أنْ يقعَ عليه وإنَّ الفاجرَ يرَى ذنوبَه كذبابٍ وقع على أنفِه قال به هكذا ، فطار Maksudnya : “Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berada di bawah kaki sebuah gunung, dan dia takut gunung itu akan runtuh menimpanya. Sedangkan orang fajir (pendosa) melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya; dia hanya mengibaskannya begini sahaja, lalu lalat itu pun terbang pergi.” [HR Tirmizi, 2497] Mencegah kemungkaran kecil adalah bentuk sadd zara’i. Dosa kecil yang dibiarkan akan menyebabkan masyarakat mula menormalisasi dosa. Tindakan amar ma‘ruf nahi munkar bukan semata-mata untuk membetulkan orang lain, tetapi untuk memelihara hati agar tetap hidup dan sensitif terhadap dosa. Antara contoh sadd al-zara’ie: Pengharaman berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina. Pengharaman melihat kepada wanita bukan mahram tanpa keperluan. Larangan untuk membenarkan konsert secara besar-besaran yang mengundang budaya hedonistik. Larangan untuk melakukan ihtikar (monopoli), kerana ia merupakan satu jalan untuk menyempitkan urusan manusia dalam makanan asasi mereka. Kebaikan dan kemungkaran tidak diukur dengan besar atau kecilnya perbuatan, tetapi dengan apa yang ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah. Menegur titik kecil yang bakal mengundang dosa lebih besar adalah satu bentuk usaha nahi mungkar. Contohnya seperti bermain-main dengan prinsip akidah dan agama islam. وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا Maksudnya : “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.” [Surah al-An’am, ayat 70] Kesimpulannya, mencegah kemungkaran kecil bukan soal cerewet atau ekstrem, tetapi ia adalah proses tarbiyah jiwa dan pembaikan masyarakat.

Soalan 12: Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang yang tak solat dan tak bayar zakat tapi kata “biarlah, asalkan aku ada iman dalam hati”. Macam mana manifestasi iman yang sebenar? Atau memang iman itu tiada siapa yang tahu melainkan Allah SWT?

Jawapan:

Iman bukan sekadar pengakuan di lidah atau lintasan di hati. Ia adalah nur yang hidup, menzahirkan diri melalui amal dan akhlak. Jika iman benar, pasti ia akan mendorong seseorang untuk tunduk kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Seorang mukmin sejati tidak akan tenang jika meninggalkan solat atau zakat. Kerana iman itu ibarat pokok yang hidup — akarnya di hati, batangnya adalah kata-kata, dan buahnya adalah amal. Tanpa amal, pohon iman itu akan kering dan akhirnya mati. Allah SWT berfirman: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ، وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا، وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ. الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementar hati mereka; apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambahlah iman mereka; dan kepada Tuhan mereka bertawakal. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka.” [Surah al-Anfāl, ayat 2–3] Dalam ayat ini, Allah sendiri mendefinisikan manifestasi iman: hati yang hidup, solat yang ditegakkan, dan zakat yang dizahirkan. Ia bukan sekadar kepercayaan dalaman, tetapi ketaatan lahiriah. Imam Ibn Kathīr menjelaskan: هذه صفات المؤمنين حقًّا، الذين إذا ذكر الله وجلت قلوبهم أي خافت منه، وإذا تليت عليهم آياته زادتهم إيمانًا أي تصديقًا وعملاً. Maksudnya: “Ini adalah sifat orang beriman yang sebenar — apabila nama Allah disebut, hati mereka takut kepada-Nya, dan apabila ayat-ayat-Nya dibacakan, iman mereka bertambah — yakni bertambah dari segi keyakinan dan amal.” [Tafsīr Ibn Kathīr, jilid 2, hlm. 302] Iman menurut Ibn Kathir ialah sesuatu yang bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat. Maka, orang yang tidak solat dan tidak menunaikan zakat sedang menghakis imannya sendiri, walau dia masih mengaku beriman. Rasulullah SAW bersabda: لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang yang tidak ada amanah, dan tiada agama bagi orang yang tidak menunaikan janji.” [HR Ahmad, 12565; sahih] Dan sabda Baginda lagi: الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ Maksudnya: “Perjanjian antara kami (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat. Maka sesiapa yang meninggalkannya, dia telah kufur.” [HR al-Tirmizi, 2621; sahih] Hadis ini menunjukkan bahawa solat bukan ritual kecil — ia tanda wujudnya iman. Bila solat ditinggalkan dengan sengaja dan berterusan, maka ia menggugurkan manifestasi zahir iman seseorang. Imam al-Nawawī menulis: "المراد بالكفر هنا كفر النعمة، أو أنه قريب من الكفر الحقيقي، لأن ترك الصلاة استخفاف بأعظم شعائر الإسلام." Maksudnya: “Maksud kufur dalam hadis ini ialah kufur nikmat, atau ia hampir kepada kufur hakiki, kerana meninggalkan solat bererti memandang ringan terhadap syiar terbesar Islam.” [al-Minhāj Syarh Sahih Muslim, jilid 2, hlm. 68] Kata Imam al-Nawawi, walau seseorang belum keluar dari Islam secara hukum, namun iman dalam hatinya telah sangat lemah dan hampir mati, kerana tidak lagi memuliakan syiar Allah. Kesimpulan: Iman bukan sesuatu yang rahsia tanpa tanda. Ia umpama api dalam hati yang memanaskan amal. Bila seseorang berkata, “Aku beriman dalam hati walau tak solat dan tak bayar zakat,” maka dia sebenarnya mengaku ada api — tetapi tiada asap, tiada panas, tiada cahaya. Itu bukan iman yang hidup, tapi iman yang sedang nazak. Para sahabat dahulu takut kehilangan iman walaupun mereka banyak beramal. Kita pula tenang tanpa amal tetapi mendakwa beriman — ini satu bentuk ghurur (terpedaya dengan diri sendiri). Maka, manifestasi iman sebenar ialah ketaatan yang lahir daripada hati yang takut dan cinta kepada Allah. Solat dan zakat bukan beban, tetapi bukti cinta itu masih hidup. “Sesungguhnya iman itu bukan dengan angan-angan dan bukan pula dengan kata-kata, tetapi ia adalah sesuatu yang berakar di hati dan dibenarkan dengan amal.” [Al-Hasan al-Basrī, Hilyah al-Awliyā’, jilid 2, hlm. 135]

Soalan 13: Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang nampak hakikat iman itu semata-mata apa yang dilakukan untuk dirinya sendiri, bukan untuk manfaat dan kebaikan orang lain. Adakah betul perkara ni, ustaz?

Jawapan:

Ramai menyangka iman itu hanya urusan peribadi — antara dia dan Allah. “Asalkan aku solat, aku puasa, aku jaga diri.” Tetapi Islam bukan agama yang menutup diri. Iman yang sebenar tidak berhenti di dada, ia mengalir keluar menjadi rahmat kepada manusia lain. Iman tanpa manfaat kepada orang lain adalah iman yang kering, sepi, dan belum sempurna. Sebab itu Rasulullah SAW diutus bukan sekadar untuk menyelamatkan dirinya, tetapi rahmatan lil ‘alamin — rahmat bagi seluruh alam. Dalil al-Quran لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ، وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينَ Maksudnya: “Bukanlah kebajikan itu hanya kamu menghadapkan wajah ke timur atau barat, tetapi kebajikan yang sebenar ialah orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab dan para nabi, serta menginfakkan hartanya — walau dicintainya — kepada kaum kerabat, anak yatim, orang miskin…” [Surah al-Baqarah, ayat 177] Ayat ini mengajar bahawa keimanan sejati melahirkan kepedulian sosial. Ia bukan hanya kepercayaan dalaman, tetapi perbuatan yang menyalurkan manfaat kepada manusia. Imam al-Rāzī menulis: اعلم أن الله تعالى لما بين أن البر ليس في الظواهر المجردة، بيّن أن حقيقته في الأعمال التي يقصد بها وجه الله، وأعظمها نفع الخلق Maksudnya: “Ketahuilah bahawa Allah menjelaskan bahawa kebajikan (iman) bukan pada amalan luaran semata, tetapi hakikatnya ialah pada amalan yang dilakukan kerana Allah, dan yang paling agung daripadanya ialah memberi manfaat kepada makhluk.” [Tafsīr al-Rāzī, jilid 5, hlm. 44] Imam al-Razi menegaskan — tanda iman yang hidup ialah apabila seseorang mendahulukan manfaat kepada manusia lain kerana Allah. Sabda Rasulullah SAW: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” [HR al-Ṭabarānī, al-Mu‘jam al-Awsat, no. 5937 – hasan] Dan sabda Baginda lagi: لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ Maksudnya: “Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” [HR al-Bukhārī, 13; Muslim, 45] Nabi SAW mengikat sempurna iman dengan kasih kepada orang lain. Ini bukti bahawa iman yang hanya mementingkan diri sendiri adalah iman yang belum matang. Imam al-Nawawī mensyarah hadis di atas: "معنى الحديث أن كمال الإيمان لا يحصل حتى يحب لأخيه من الخير ما يحب لنفسه، وذلك يشمل أمور الدنيا والآخرة." Maksudnya: “Maksud hadis ini ialah iman seseorang tidak sempurna sehingga dia mencintai untuk saudaranya segala kebaikan yang dia cintai untuk dirinya, termasuk dalam urusan dunia dan akhirat.” [Syarh Sahih Muslim, jilid 2, hlm. 27] Maka, orang yang beriman benar tidak akan tenang melihat orang lain dalam kesusahan, jahil, atau lapar — kerana iman menuntut kasih dan peduli. Iman yang hanya menjaga diri sendiri tanpa mempedulikan orang lain bukan iman yang sempurna. Ia seperti mata air yang tersimpan dalam tempurung — tidak mengalir, tidak memberi hayat. Seorang mukmin sejati akan mencari jalan untuk menyembuhkan hati manusia, menghapus lapar orang miskin, mengajar yang jahil, dan memimpin yang tersesat. Jika imanmu hanya membuatmu selamat seorang diri, maka itu baru benih iman. Tapi bila imanmu membuatmu ingin menyelamatkan orang lain, maka itulah buah iman yang sebenar. Imam Hasan al-basri berkata: الإيمان ما وقر في القلب وصدقه العمل، ومن لم ينفع الناس بإيمانه فهو مدعٍ لا صادق Maksudnya: “Iman ialah apa yang menetap di hati dan dibenarkan dengan amal. Sesiapa yang tidak memberi manfaat kepada manusia dengan imannya, maka dia hanya mendakwa, bukan orang yang benar.” [Hilyah al-Awliyā’, jilid 2, hlm. 148]

Soalan 14: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan godaan materialistik dan hiburan tanpa henti. Macam mana nak kekalkan iman yang tulen dan mengamalkan amar makruf nahi munkar tanpa hanyut dalam arus dunia yang melalaikan ini?

Jawapan:

Dunia sememangnya menawarkan kita hiburan dan hidangan yang melalaikan jiwa. Bahkan hakikat dunia dan nilainya juga telah dijelaskan dalam Al-Quran. Firman Allah SWT: ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّۭا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمًۭا ۖ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۭ وَمَغْفِرَةٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۭ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ Maksudnya: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak, samalah seperti hujan yang menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan di akhirat ada azab yang berat dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” [Surah al-Hadid, ayat 20] Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan ketika mentafsir ayat ini bahawa kehidupan dunia ini adalah (penuh dengan) hikmah. Kehidupan dunia tidaklah tercela pada zat dunia itu sendiri, namun yang dimaksudkan dengan celaan dalam ayat ini ialah orang yang menggunakan kehidupan dunia bukan untuk ketaatan kepada Allah, tetapi untuk ketaatan kepada syaitan dan menurut hawa nafsu. [Rujuk: Mafaatihul Ghaib, jld. 29, hlm. 463] Dari penerangan ini kiat dapat fahami bahawa dunia itu sendiri bukanlah sesuatu yang hina, bahkan kehidupan dunia merupakan jambatan untuk mendapatkan kebaikan hidup di akhirat melalui ketaataan dan amal soleh yang dilakukan di dunia. Namun, kerugian menimpa mereka yang menjadikan dunia sebagai tempat melalaikan diri dengan maksiat dan mengikut syahwat. Dalam Al-Quran Allah telah menjelaskan bahawa manusia sentiasa diberikan dua jalan, jalan yang baik dan buruk, maka kitalah yang membuat pilihan antara dua jalan tersebut. Firman Allah SWT: وَهَدَيْنَـٰهُ ٱلنَّجْدَيْنِ Maksudnya: “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?” [Surah al–Balad, ayat 10] Jika kita perhatikan, seiring peredaran zaman, media sosial lah yang membentuk nilai, hiburan mencipta budaya, dan kemewahan menjadi ukuran harga diri. Bahkan, wujud ideologi hedonisme; satu cara fikir dan cara hidup yang mengagendakan keseronokan sebagai tujuan hidup, Dari akar ideologi tersebut menyebabkan penganut ideologi ini mengukur hakikat kebenaran berdasarkan nilai keseronokan. Apa-apa yang seruan atau ajaran yang tidak mendatangkan keseronokan, ia dianggap salah. Ideologi ini mungkin tidak ketara jika kita melihat sekitar aktiviti hiburan yang ada di sekeliling kita. Mungkin ada yang berfikir, ‘konsert je, bukan sampai tukar tujuan hidup’. Namun, pada hakikatnya beberapa perkara memang dilakukan secara perlahan-lahan untuk menyerap masuk ideologi hedonisme. Antara tabiat yang timbul kesan daripada penanaman cara fikir ideologi hedonisme: Wujud golongan anti ilmu, kesan dari hidup yang penuh kelalaian yang menjadikan seseorang suka berfikiran singkat dan sukar untuk menjadi rasional dengan ilmu. Angkuh dengan teguran dan bersikap defensif dengan kritikan yang menyentuh gaya hidup berhibur mereka. Fanatik dengan budaya hidup ‘enjoy’. Maka, sebarang dorongan dan nasihat yang dianggap mengganggu keseronokan akan diabaikan. Kesan ini boleh terkena kepada kita atau orang sekeliling kita jika tugas amar makruf nahi munkar ditinggalkan, budaya tegur-menegur dianggap asing. Firman Allah SWT: وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُون Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” [Surah Ali-Imran, ayat 104] Kekuatan amar makruf nahi munkar menjadi kayu ukur kejayaan sesebuah masyarakat. Ramai orang yang boleh mengajak orang lain melakukan kebaikan, tetapi berapa ramai yang berani dan jujur dalam mencegah kemungkaran? Hal inilah yang semakin berkurang dalam masyarakat kita sehingga wujud normalisasi pada perkara kemaksiatan. Beberapa langkah yang mampu dilakukan begi menjaga diri dan tetap menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi munkar: Bina circle yang baik dan mempunyai concern yang sama tentang akhirat. Jika tidak mampu membinanya, maka carilah circle tersebut, dan libatkan diri bersama. Menyaring dunia, bukan melarikan diri daripadanya. Gunakan dunia sebagai ladang amal dan berhikmahlah dalam membezakan antara nikmat dan fitnah. Bina disiplin yang membentuk rutin harian peribadi Muslim dari sudut ibadah dan ilmu. Misalnya, gunakan mutabaah amal sebagai tracker bagi membentuk rutin hidup yang baik. Ianya bukan hanya tentang bagaimana mengurus masa, tapi ia juga membantu mengekang diri dari melakukan perkara yang tidak bermanfaat atau bermaksiat. Kesimpulannya, walaupun beredar zaman, serta bermacam-macam teknologi, kemudahan, budaya dan bentuk hiburan yang wujud, tetaplah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, kerana sesungguhnya sesiapa yang berpegang kepada keduanya tidak akan pernah sesat. Firman Allah SWT: إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” [Surah al-Isra’, ayat 9]

Soalan 15: Assalamualaikum ustaz dan dai. Macam mana sebenarnya saka ni bermula? Sebab syaitan datang dan jadikan seseorang tu tuan dia ke macam mana? Boleh ustaz terangkan?

Jawapan:

Definisi dan Konsep Saka Dalam istilah Islam, saka merujuk kepada gangguan atau pengaruh makhluk halus (jin atau syaitan) yang diwarisi secara turun-temurun daripada keluarga atau keturunan. Ada juga yang memahaminya sebagai ikatan ghaib yang melekat pada seseorang akibat perbuatan silam keluarga, contohnya sihir atau amalan syirik yang tidak dibetulkan. Bagaimana Saka Bermula Saka tidak datang secara automatik daripada syaitan yang menjadikan seseorang itu “tuan” dia. Sebenarnya ia berlaku melalui pendedahan kepada perkara syirik, perbuatan khurafat, atau pengaruh jin yang tidak dibendung dengan ilmu dan perlindungan Allah. Seseorang boleh terdedah kepada saka jika: Terdapat amalan syirik atau khurafat dalam keluarga. Tidak menjaga diri dengan doa, zikir, dan ibadah. Terlibat dalam perbuatan yang mengundang gangguan makhluk halus (contohnya meminta pertolongan jin secara salah). Peranan Syaitan Syaitan sendiri tidak boleh secara automatik “membuat seseorang tuan dia” tanpa izin Allah. Allah SWT berfirman: وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّۢ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍۢ فَلَا رَآدَّ لِفَضْلِهِۦ ۚ يُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ Maksudnya: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. [Surah Yunus, ayat 107] Cara Mengelak dan Memutuskan Saka: Aqidah yang kuat: Menjaga tauhid dan ibadah harian. Doa perlindungan & ayat al-Quran: Ayat Kursi (Surah al-Baqarah: 255) Surah 3 Qul (al-Ikhlas - al-Nas) Istighfar dan zikir harian: Memohon perlindungan Allah dari gangguan makhluk halus. Mengikuti sunnah Rasulullah SAW: Jangan terlibat dengan amalan khurafat atau meminta bantuan jin secara haram. Penyelesaian dan pencegahan adalah melalui aqidah yang kukuh, mendapatkan rawatan Islam dengan zikir & doa serta mengikut sunnah Nabi SAW.

Soalan 16: Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya dengar walaupun orang yang ada saka ni dapat kelebihan, tapi dia pun dapat mudarat sekali, mudarat kepada yang mengamalkan dan yang mewariskan. Apa penjelasannya, ustaz?

Jawapan:

Kita perlu yakin bahawa segala yang berlaku sama ada perkara baik atau buruk adalah dengan izin Allah SWT. Nabi SAW bersabda: إذَا سَأَلْت فَاسْأَلْ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْت فَاسْتَعِنْ بِاَللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوك بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوك إلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَك، وَإِنْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوك بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوك إلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْك؛ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ، وَجَفَّتْ الصُّحُفُ Maksudnya: “Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah, dan apabila kamu memohon pertolongan, mintalah pertolongan hanya kepada Allah. Ketahuilah bahawa seandainya seluruh umat berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberi manfaat melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah untukmu. Dan seandainya mereka berkumpul untuk menimpakan mudharat kepadamu, mereka tidak akan dapat menimpakan mudarat melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah ke atasmu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” [HR al-Tirmizi, 2516] Adapun kelebihan yang muncul adalah kerana bantuan jin atau syaitan memberikan tenaga ghaib atau dorongan tertentu. Mudarat kepada yang mengamalkan: Orang itu terikat dengan pengaruh jin/syaitan, menyebabkan mereka sukar mengawal akhlak, emosi, atau iman. Boleh menyebabkan penyakit fizikal atau mental, kesukaran hidup dan konflik dalam keluarga. Mudarat kepada yang mewariskan (keluarga/keturunan): Gangguan saka boleh mewarisi pengaruhnya kepada keturunan, jika tidak diatasi dengan rawatan, doa, zikir, dan aqidah yang kukuh. Ini berlaku melalui pendedahan keluarga kepada syirik, khurafat, atau lalai dalam ibadah. Kesimpulannya walaupun nampak ada “kelebihan”, ia bukan sesuatu yang dibenarkan syarak kerana mudarat dari segi akhlak, iman, dan rutin kehidupan tetap berlaku. Allah SWT telah berpesan dalam firmannya: وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًۭا يَـٰمَعْشَرَ ٱلْجِنِّ قَدِ ٱسْتَكْثَرْتُم مِّنَ ٱلْإِنسِ ۖ وَقَالَ أَوْلِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلْإِنسِ رَبَّنَا ٱسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍۢ وَبَلَغْنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلْتَ لَنَا ۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثْوَىٰكُمْ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ ۗ Maksudnya: Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". [Surah al-An’am, ayat 128]

Soalan 17: Assalamualaikum ustaz dan dai. Saya selalu dengar orang bercakap tentang saka, sihir dan santau. Tapi apa beza sebenar antara semua ni?

Jawapan:

Fenomena saka, sihir dan santau bukan perkara baharu dalam masyarakat Melayu. Ia telah lama berakar dalam budaya, sering dikaitkan dengan warisan nenek moyang dan kepercayaan terhadap makhluk halus. Namun, Islam memandang semua ini dengan neraca tauhid, bukan mitos. Apa pun yang berlaku di alam ghaib, semuanya di bawah kekuasaan Allah. Maka memahami perbezaan antara ketiganya bukan sekadar ilmu, tetapi juga langkah untuk memelihara akidah daripada syirik yang tersembunyi. Dalil al-Qur’an وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ Maksudnya: “Dan Nabi Sulaiman tidaklah kafir, tetapi syaitan-syaitanlah yang kafir. Mereka mengajar manusia ilmu sihir.” [Surah al-Baqarah, ayat 102] Ayat ini menjelaskan bahawa sihir adalah ajaran syaitan, bukan ajaran para nabi. Ia satu bentuk pengajaran kufur, kerana melibatkan hubungan manusia dengan syaitan bagi mendapatkan kuasa ghaib untuk menipu, memisahkan suami isteri, mencederakan atau menundukkan kehendak orang lain. Semua itu berlaku hanya dengan izin Allah sebagai ujian, bukan kerana kuasa mutlak sihir. Imam al-Qurtubi menjelaskan: السِّحرُ حقيقَةٌ لا خيَالَ، يُؤثِّرُ في القلوبِ والعقولِ والأبدانِ بإذنِ اللهِ Maksudnya: “Sihir itu satu hakikat, bukan khayalan. Ia boleh memberi kesan kepada hati, akal, dan tubuh manusia dengan izin Allah.” [Tafsir al-Qurtubi, 2/49] Menurut beliau, sihir bukan semata-mata ilusi atau khayalan, tetapi benar-benar memberi kesan secara fizikal dan rohani. Namun kesan itu tidak keluar daripada kehendak Allah, justeru ia menjadi ujian bagi orang beriman — adakah mereka akan kembali kepada Allah atau mencari jalan syirik untuk melawan sihir. Dalil Hadis اجتنبوا السبع الموبقاتِ... قيل: وما هنَّ يا رسولَ اللهِ؟ قال: الشركُ باللهِ، والسحرُ، وقتلُ النفسِ... Maksudnya: “Jauhilah tujuh dosa besar yang membinasakan... Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa...” [HR al-Bukhari, 2766; Muslim, 89] Hadis ini menunjukkan bahawa sihir termasuk dalam tujuh dosa besar yang boleh membawa kepada kebinasaan di dunia dan akhirat. Ini kerana sihir melibatkan kerjasama dengan syaitan serta kebergantungan kepada selain Allah. Imam an-Nawawi menjelaskan dalam Syarh Sahih Muslim: السحرُ من الكبائرِ لأنه لا يكونُ إلا بمعونةِ الشيطانِ، وفيه إضرارٌ بالمخلوقينَ وعداوةٌ لأمرِ اللهِ Maksudnya: “Sihir termasuk dosa besar kerana ia tidak berlaku kecuali dengan bantuan syaitan. Ia mengandungi unsur kezaliman terhadap makhluk dan penentangan terhadap perintah Allah.” [Sharh Sahih Muslim, 2/46] Dengan kata lain, setiap bentuk sihir adalah penyelewengan terhadap keimanan, kerana sihir hanya boleh berfungsi apabila seseorang menjual ketaatan kepada syaitan dengan mengorbankan tauhidnya. Beza Antara Saka, Sihir dan Santau: Secara ringkas, saka ialah gangguan jin yang diwarisi dalam keluarga, biasanya daripada individu yang pernah memelihara jin kononnya untuk menjaga diri, rumah, atau keturunan. Namun, jin ini tidak pernah setia. Mereka menipu manusia agar terus bergantung kepada mereka, dan akhirnya membawa keturunan kepada penyakit rohani, bisikan waswas, dan jauh dari ibadah. Manakala sihir pula ialah ilmu yang dipelajari melalui perantaraan jin dan syaitan, menggunakan jampi, azimat, atau pemujaan. Tujuannya sering untuk mudaratkan orang lain — memisahkan suami isteri, menundukkan kehendak seseorang, atau menimbulkan permusuhan. Amalan ini jelas kufur dan dosa besar. Adapun santau, ia campuran antara unsur fizikal (racun, kaca, rambut, jarum, dan sebagainya) dan unsur ghaib, di mana si pengamal meminta bantuan jin untuk menyampaikan racun ghaib ke dalam tubuh mangsa. Ia suatu bentuk kezaliman yang keji, dan pelakunya berdosa besar di sisi Allah. Syeikh Wahbah az-Zuhayli menulis dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: كلُّ اعتقادٍ بأنَّ الجنَّ يورَثونَ أو يحمونَ الإنسانَ من غيرِ ذكرِ اللهِ فهو باطلٌ وشركٌ خفيٌّ Maksudnya: “Setiap kepercayaan bahawa jin boleh diwarisi atau melindungi manusia tanpa zikir dan izin Allah adalah batil dan termasuk syirik tersembunyi.” [al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/280] Kenyataan ini memperkukuh bahawa mempercayai saka atau jin pelindung tanpa dalil syarak adalah syirik khafi (syirik tersembunyi) — kerana ia meletakkan pergantungan pada makhluk ghaib selain Allah. Kesimpulan: Saka, sihir dan santau semuanya berpunca daripada hubungan manusia dengan jin dan syaitan — sama ada melalui warisan, amalan, atau niat untuk memudaratkan orang lain. Ketiganya bukan sekadar gangguan, tetapi ujian terhadap akidah. Islam tidak menolak kewujudan alam ghaib, tetapi mengajar kita agar tidak takut pada makhluk, sebaliknya bersandar sepenuhnya kepada Allah. Benteng yang sebenar bukan bomoh atau tangkal, tetapi tauhid yang teguh, zikir yang ikhlas, dan bacaan al-Qur’an yang berterusan. وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ Maksudnya: “Barang siapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah sebagai pelindung baginya.” [Surah at-Talaq, ayat 3] Maka, peliharalah akidah dengan doa, ruqyah syar‘iyyah, dan solat yang terjaga. Kerana orang yang bergantung sepenuhnya kepada Allah tidak akan digoyahkan oleh makhluk, tidak akan takut kepada jin, dan tidak akan terpedaya oleh tipu daya syaitan.

Soalan 18: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kadang-kadang ada orang kata, ‘keris ni ada penghuni’ atau ‘gelang ni keras’. Betul ke saka boleh turun melalui barang-barang macam ni? Kalau betul, boleh ke kita bersihkan barang-barang ni dengan cara tertentu, atau memang kena buang terus supaya selamat?

jawapan:

Islam tidak menafikan kewujudan jin dan alam ghaib, tetapi Islam menolak kepercayaan bahawa sesuatu benda boleh mempunyai kuasa sendiri atau menjadi tempat tetap bagi jin tanpa izin Allah. Barang lama seperti keris atau gelang bukan punca kuasa ghaib, tetapi boleh menjadi tempat jin berteduh sekiranya diseru, dijampi atau dipuja oleh manusia. Namun, jika seseorang mempercayai bahawa barang itu mempunyai kuasa pelindung atau pembawa tuah, maka itu termasuk dalam syirik kecil atau besar, bergantung pada niat dan kepercayaan. Dalil al-Qur’an وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِّنَ الْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِّنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا Maksudnya: “Dan sesungguhnya ada sebahagian manusia yang berlindung kepada sebahagian jin, maka jin-jin itu menambahkan bagi mereka dosa dan kesesatan.” [Surah al-Jin, ayat 6] Ayat ini menunjukkan bahawa manusia sejak dahulu berusaha mencari perlindungan daripada jin — dengan jampi, tangkal, atau barang tertentu — namun Allah menegaskan bahawa perbuatan itu hanya menambahkan kesesatan dan ketakutan. Inilah asas kepada kepercayaan terhadap barang “berpenghuni” atau “keras”, yang sebenarnya berpunca daripada hubungan batil antara manusia dan jin. Imam al-Razi menafsirkan ayat di atas dengan katanya: كانوا يظنونَ أنَّ الجنَّ يحفظونَهم، فكانوا يلجأونَ إليهم، فزادَهم ذلك ضعفًا ووهمًا Maksudnya: “Mereka (manusia) menyangka jin dapat melindungi mereka, lalu mereka berlindung kepada jin. Tetapi hal itu hanya menambahkan kelemahan dan khayalan pada diri mereka.” [Tafsir al-Razi, 30/106] Menurut Imam Fakhruddin al-Razi, kebergantungan kepada jin — sama ada melalui jampi, keris, atau gelang — tidak pernah memberi kekuatan, sebaliknya menjadikan hati lemah dan takut kepada makhluk. Inilah punca syirik tersembunyi yang perlu dijauhi. Dalil Hadis مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً فَقَدْ أَشْرَكَ Maksudnya: “Barang siapa menggantungkan tangkal (tamimah), maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik.” [HR Ahmad, 17440; dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah, 492] Hadis ini sangat jelas. Rasulullah SAW melarang umatnya menggantung, memakai, atau mempercayai sebarang benda — termasuk keris, batu, gelang, dan azimat — sebagai pelindung atau penolak bala. Ini kerana kepercayaan seperti itu menafikan hak Allah sebagai Pelindung Mutlak. Imam Ibn Abd al-Barr berkata: كلُّ ما يُعلَّقُ لِرفعِ البلاءِ أو دفعِهِ من غيرِ ذكرِ اللهِ فهو من عملِ الجاهليَّةِ Maksudnya: “Setiap benda yang digantungkan untuk menghindarkan atau menolak bala selain dengan menyebut nama Allah adalah daripada amalan jahiliah.” [al-Tamhid, 17/160] Maknanya, memakai gelang, keris, atau barang lain dengan kepercayaan bahawa ia mempunyai kuasa ghaib termasuk dalam amalan jahiliah yang bertentangan dengan tauhid. Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz menjelaskan: إنْ كانَتِ الأشياءُ الموروثةُ تُستعملُ في التمائمِ أو الشركِ وجبَ إتلافُها، وإنْ كانتْ لا، فيُكتفى بتنظيفِها بذكرِ اللهِ وقراءةِ القرآنِ Maksudnya: “Jika barang-barang warisan itu digunakan untuk tangkal atau perbuatan syirik, wajiblah dimusnahkan. Namun, jika tidak digunakan untuk tujuan itu, cukuplah dengan membersihkannya dengan zikir dan bacaan al-Qur’an.” [Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 8/181] Ini bermakna: Jika barang seperti keris atau gelang digunakan untuk pemakaian mistik atau pemujaan, maka wajib dibuang atau dimusnahkan. Jika barang itu hanyalah barang biasa atau warisan keluarga tanpa unsur syirik, maka boleh disimpan, tetapi dibersihkan dengan doa dan zikir, seperti membaca Surah al-Baqarah atau Ayat Kursi. Cara Membersihkan Barang Lama Niatkan kerana Allah untuk menghilangkan sebarang unsur khurafat. Baca Ayat Kursi, Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Tiup atau sapu pada barang tersebut. Jika masih diragui, maka eloklah dibuang dengan cara baik — contohnya, ditanam atau dilebur, tanpa disanjung atau dipuja. Amalan ini bukan sihir, tetapi bentuk ruqyah syar‘iyyah, iaitu membaca ayat-ayat al-Qur’an untuk perlindungan dan penyucian. Kesimpulan: Sahabat yang dikasihi, Keris, gelang atau batu bukan punca kuasa, dan tiada makhluk yang mampu mendatangkan manfaat atau mudarat tanpa izin Allah. Apa yang disebut “barang keras” hanyalah jin yang menumpang, bukan roh atau “penunggu”. Jin hanya boleh masuk kerana manusia membuka ruang dengan kepercayaan, ketakutan atau amalan syirik. Maka, langkah terbaik bukan sekadar membuang barang itu, tetapi membuang kepercayaan yang salah dari hati. Kerana jin tidak takut pada api atau bunyi logam, tetapi takut pada kalimah Allah dan hati yang bertauhid. إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا Maksudnya: “Sesungguhnya tipu daya syaitan itu amatlah lemah.” [Surah an-Nisa’, ayat 76] Bersihkan hati dengan zikir, ruqyah dan doa, dan Allah akan membersihkan seluruh kehidupanmu daripada apa jua bentuk gangguan.

Soalan 19: Assalamualaikum ustaz dan dai. Apa perbezaan antara saka dan ilmu kebatinan? Sebab kedua-duanya dikatakan bertujuan untuk memberi kekuatan, kan?

Jawapan:

Saka merujuk kepada gangguan spiritual yang dikaitkan dengan makhluk halus yang dipercayai mewarisi penjagaan atau kawalan dari keturunan seseorang. Dalam kebanyakan kes, ia memberi kesan negatif seperti gangguan mental atau fizikal yang tidak diingini. Saka dianggap sebagai satu bentuk gangguan daripada makhluk halus yang boleh menimbulkan masalah, mengakibatkan gangguan emosi atau kesihatan. Sebaliknya, ilmu kebatinan lebih kepada ajaran atau amalan yang dikembangkan oleh individu atau kelompok untuk memperoleh kekuatan, pengetahuan batin, atau kuasa dalam bentuk tertentu. Ilmu ini sering kali digunakan untuk tujuan menguatkan diri, seperti mendekatkan diri kepada kekuatan ghaib. Ia mungkin melibatkan amalan tertentu, meditasi, atau bacaan tertentu untuk mencapai matlamat tersebut. Sebagai contoh, Ilmu Belian ini merupakan satu ilmu yang diamalkan dalam seni pertahanan diri silat. Ilmu ini dapat dikuasai oleh pengamal silat sekiranya mereka beramal dengan bacaan Surah al-Ikhlas sebanyak 70 ribu kali dengan sekali khatam, atau juga disebutkan sebagai Qulhu Sekhatam dan sebagainya. Pada zahirnya, ia mempunyai persamaan dengan isu Amalan Menurun dalam perubatan tradisional, yang bertujuan untuk menghadirkan satu entiti ghaib ke dalam tubuh badan bagi manfaat-manfaat tertentu. “Perbuatan begini disebutkan sebagai tahdhir al-arwah (تَحْضِيرُ الْأَرْوَاحِ), kerana Ilmu Belian itu bertujuan untuk menghadirkan semangat ghaib harimau yang dianggap dapat memberikan kekuatan fizikal kepada pengamalnya. Memetik fatwa oleh Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi berhubung amalan tahdhir al-arwah, beliau menyatakan bahawa ianya tidak mempunyai asas daripada al-Quran dan al-Sunnah serta satu pembohongan semata-mata.” [Lihat al-Fatawa, hlm. 19] Dari segi pandangan Islam, kedua-dua saka dan ilmu kebatinan adalah bertentangan dengan ajaran Islam, kerana Islam mengajarkan agar umatnya bergantung sepenuhnya kepada Allah, bukan kepada makhluk halus atau kekuatan selain daripada Allah. Dalam Islam, sebarang amalan yang melibatkan penyembahan atau meminta pertolongan dari makhluk selain Allah adalah haram dan bertentangan dengan tauhid. وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌۭ مِّنَ ٱلْإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍۢ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًۭا Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” [Surah al-Jinn, ayat 7] Kesimpulannya, Islam menegaskan agar umatnya menjauhi kedua-duanya untuk memastikan tidak terjebak dalam amalan yang merosakkan akidah dan keimanan.

Soalan 20: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kalau saka boleh diwarisi tanpa waris sedar pun, adakah ia syirik? Bukankah dosa syirik terhadap Allah SWT tidak boleh diwarisi?

Jawapan:

Isu saka sering menimbulkan persoalan besar dalam masyarakat, terutama apabila dikaitkan dengan pewarisan tanpa pengetahuan waris. Sebenarnya, saka itu sendiri tidak mewarisi dosa syirik, kerana dosa hanyalah tanggungjawab individu yang melakukannya dengan niat dan kesedaran. Dalam konteks ini, jika seseorang terdahulu seperti nenek moyang pernah melakukan perjanjian dengan makhluk halus, maka dosanya hanya tertanggung atas dirinya sendiri. Waris yang lahir selepas itu tidak memikul dosa tersebut, selagi dia tidak redha, tidak meneruskan amalan itu, dan tidak menjalin hubungan atau pergantungan dengan makhluk tersebut. Allah SWT berfirman: وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” [Surah al-An’am, ayat 164] Imam al-Sa’di berkata: “Dan jika seseorang menjadi sebab kesesatan orang lain serta dosanya, maka dia menanggung dosa kerana menjadi penyebab itu tanpa mengurangkan sedikit pun dosa orang yang melakukan (kesesatan) secara langsung.” [Rujuk: Tafsir al-Sa’di, hlm. 282] Namun begitu, kesan daripada amalan lama boleh “berpindah” dalam bentuk gangguan, bukan dosa. Ini kerana jin atau makhluk yang pernah terikat dengan nenek moyang boleh terus mengganggu keturunan. Hal ini terutamanya berlaku jika ada ruang lemah dalam aspek iman, amalan, atau perlindungan diri. Maka gangguan itu lebih bersifat ujian, bukan pewarisan syirik. Apa yang boleh membawa kepada syirik ialah apabila seseorang percaya saka itu mampu memberi faedah tanpa izin Allah SWT Seperti memberi rezeki, melindungi, atau menolong tanpa izin Allah, atau menjaga hubungan dengan jin kerana takut atau ingin bantuan ghaib. Syirik ini berlaku sama ada kepada mereka yang melakukan saka itu sendiri atau yang mewarisinya daripada nenek moyang. Ketika itu, individu tersebut terjerumus dalam syirik kerana menggantungkan pergantungan kepada selain Allah SWT. Oleh itu, perbezaan penting di sini ialah antara kesan gangguan dengan amalan yang meneruskan khurafat. Allah SWT berfirman: وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua.” [Surah al-Nisa’, ayat 36] Dalam menangani isu ini, Islam mengajar kita supaya tidak menuduh diri sendiri berdosa syirik tanpa sebab, tetapi juga tidak mengambil mudah gangguan ghaib. Apa yang perlu ialah membetulkan akidah iaitu yakin bahawa segala kuasa hanya milik Allah. Kesimpulannya, saka yang “turun” tanpa pengetahuan waris tidak menjadikan seseorang itu berdosa atau syirik, kerana dosa tidak diwarisi. Namun, individu tersebut perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan gangguan yang boleh memesongkan akidah. Yang penting ialah memperkukuh iman, menjauhkan diri daripada kepercayaan khurafat, dan menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa atas setiap makhluk, sama ada di alam nyata atau ghaib.

Soalan 21: Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada orang yang rasa putus asa sebab diwarisi saka tanpa dia mintak pun perkara tu datang dalam hidupnya. Apa nasihat dan rawatan untuk orang yang mengalami ujian ini?

Jawapan:

Ada insan yang lahir dalam keluarga yang “memegang sesuatu” sebagai satu warisan ghaib yang tidak pernah mereka pilih. Mereka tidak mencari jalan ini, tidak pun memanggil jin, tetapi mendapati diri mereka terikat dengan sesuatu yang tidak kelihatan disebut orang sebagai saka warisan. Sebahagiannya tidak dapat tidur malam, ada yang diganggu mimpi menakutkan, ada yang sakit tanpa sebab perubatan, ada pula yang berperang dengan perasaan sendiri. Lebih menyedihkan, apabila masyarakat yang tidak memahami menuduh mereka “ada jin dalam badan”, “kurang iman”, atau “tak kuat solat”, seolah-olah mereka yang memilih derita itu. Hal ini merupakan hal yang berat, jika kita sendiri yang melihat pun merasa berat, apatahlagi mereka yang terpaksa menanggungnya sendiri. Namun, sebagai sumber yang menguatkan jiwa dan memujuk diri, kita kembali mengingati pesan Allah dalam Al-Quran: لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” [Surah al-Baqarah, ayat 286] Ayat ini menjelaskan bahawa Allah tidak akan membebani hambaNya dengan taklifan dan tanggungjawab yang tidak mampu dilakukan oleh hamba-hambaNya. Maka begitu juga dengan ujian, kesulitan dan musibah yang menimpa seseorang, Allah pasti tidak akan membebani seseorang melebihi kemampuannya. Jika sabar dalam menghadapi ujian dan musibah ialah perkara yang mustahil dilakukan oleh seorang manusia, maka mengapa Allah menciptakan ujian, dan pastinya ianya menjadi sia-saia. Sedangkan mencipta sesuatu yang sia-sia ialah sifat mustahil bagi Allah. Dengan kefahaman sebegini akhirnya menyedarkan kita bahawa, janji Allah tidak akan pernah dimungkiri. Ayat ini bukan sebatas pujukan buat seorang hamba, namun ia membina sebuah keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah. Begitu juga dengan jaminan Nabi SAW dalam sabda baginda: مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلاَّ أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً Maksudnya: “Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit melainkan Dia juga menurunkan penawarnya.” [HR al-Bukhari, 5678] Gangguan saka bukan nasib yang kekal, bukan sumpahan abadi. Ia pasti boleh sembuh, dengan pertolongan Allah, ilmu yang benar, doa yang tulus. Tiada jin yang kekal di sisi manusia apabila Allah menghendaki perpisahan itu. Firman Allah: مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ Maksudnya: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” [Surah al-Taghabun, ayat 11] Daripada ayat ini kita fahami bahawa segala bentuk musibah sama ada dari manusia, jin, makhluk, atau apa jua tidak akan berlaku tanpa izin dan ketentuan Allah. Maka, walaupun ada makhluk yang berniat untuk memudaratkan seseorang, kuasanya tetap tertakluk di bawah kehendak Allah, dan Allah lah yang berkuasa menghilangkannya dan melindungi kiat daripadanya. Terdapat beberapa perkara yang boleh diusahakan bagi mereka yang dalam keadaan ini: Bentengi rumah daripada gangguan dengan menghidupkannya dengan bacaan al-Quran dan pengamalan ayat ruqyah. Dapatkan rawatan dariapda asatizah dan pengamal perubatan Islam yang benar dan amanah dengan perubatannya serta melaksanakannya mengikut garis syariat. Pelihara diri dengan amalan solat dan zikir tertentu yang sentiasa mengikat hubungan dengan Allah dan memberikan kekuatan jiwa. Misalnya mengamalkan bacaan 3 Qul di setiap pagi dan petang. Kepada masyarakat, belajarlah memahami, Berhenti menuduh dan menghina orang yang terpaksa mewarisi saka. Sebaliknya, bantulah mereka dengan ilmu, doa dan kasih sayang. Semoga dengan itu, kita menutup pintu syirik yang diwariskan dan membuka jalan tauhid yang bersinar untuk generasi selepas ini.

Soalan 22: Assalamualaikum ustaz dan dai. Hadis Nabi SAW tentang 73 golongan selalu membuat orang tercari-cari siapa 72 golongan yang sesat itu. Tapi, sebenarnya apa tindakan kita sebagai umat Islam, khususnya bagi orang awam, supaya termasuk dalam golongan al-jama‘ah?

Jawapan:

Banyak orang Islam sering tertarik untuk meneliti 72 golongan yang disebut dalam hadis sebagai sesat, sehingga ramai yang terlalu sibuk meneka siapa golongan itu. Sebenarnya, tumpuan sepatutnya bukan pada menilai orang lain, tetapi pada menjaga diri sendiri agar termasuk dalam golongan al-jama‘ah. Kesilapan ini boleh membawa kepada perpecahan, prasangka, dan penghakiman yang tidak berasas dalam masyarakat. Ramai yang menghabiskan masa meneka, berbincang, malah menghakimi orang lain. Ini menunjukkan kelemahan pemahaman dan kurangnya fokus terhadap diri sendiri dan ajaran Islam yang sebenar. Al-jama’ah ialah sekumpulan kaum Muslimin yang berpegang teguh pada ajaran Baginda SAW melalui al-Quran dan sunnahnya sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabatnya. Dalam sebuah hadis, para sahabat bertanya siapakah 1 golongan daripada 73 golongan itu, yang terselamat daripada neraka. Maka Baginda SAW menjawab: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي Maksudnya: “Apa yang aku dan para sahabatku berada padanya.” [HR al-Tirmizi, 2641] Mereka itulah yang daripada kalangan orang berilmu dan faqih dalam urusan agamanya, yang berjuang di jalan Allah SWT, dan yang menjauhi penyelewengan dan bid’ah. Sabda Baginda SAW: أَلَا إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ افْتَرَقُوا عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ: ثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَهِيَ الْجَمَاعَةُ Maksudnya: “Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari Ahlul Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan: tujuh puluh dua di dalam neraka, dan satu di dalam syurga, iaitu al-jama‘ah.” [HR Abu Daud, 4597] Hakikatnya, masyarakat perlu berusaha dan bersungguh-sungguh menjadi salah seorang yang di dalam golongan al-jama’ah itu. Bukan sebaliknya. Maka, untuk memastikan kita tergolong dalam al-jama’ah seperti yang disebutkan Nabi SAW, terdapat beberapa langkah praktikal bagi masyarakat khususnya orang awam: Berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah Nabi SAW Rasulullah SAW bersabda: تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ Maksudnya: “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepadanya: Kitab Allah dan sunnah NabiNya.” [HR Malik, 1594] Berpegang teguh bermaksud memegang ajaran Islam seerat-eratnya, sentiasa konsisten dalam amalan, tidak bersikap bermudah-mudahan dengan tuntutannya. Ini termasuklah pada urusan akidahnya, feqahnya, muamalatnya, akhlaknya dan segala nasihat Islam. Dengan menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama, seorang muslim dapat membina panduan hidup yang jelas dan konsisten, tanpa tergelincir ke dalam bid‘ah, fahaman ekstrem, atau ajaran sesat. Apabila ada sesuatu idea, fahaman, pemikiran, mahupun ajaran baru datang, maka dia merujuk kepada 2 sumber utama ini. Daripada itu, dia dapat membuat pertimbangan tentang kesahihannya serta mengelakkan diri daripada terpedaya dengan dakyah sesat. Mengikuti ulama yang muktabar Allah SWT berfirman: فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” [Surah al-Nahl, ayat 43] Para ulama’ merupakan mereka yang telah melalui masa yang panjang dalam meneliti dan memahami ilmu-ilmu agama. Mereka dapat melihat sisi yang orang lain tidak dapat lihat dengan menggunakan pertimbangan dan kerangka akal mereka beserta ilmu alat dan maklumat yang mereka miliki. Orang awam biasanya tidak mempunyai ilmu mendalam tentang aqidah, fiqh, atau sejarah Islam. Mengikuti ulama yang diiktiraf adalah cara praktikal untuk memastikan amalan dan pemahaman berada dalam landasan yang betul. Dengan mengikuti mereka, orang awam mengelakkan kesilapan dalam menafsir dan mengamalkan agama. Dengan rujukan ini, kita perlu membuat keputusan berkaitan agama berdasarkan ilmu yang sahih dan bukan nafsu atau budaya. Menjauhi bid’ah dan penyelewangan agama Rasulullah SAW bersabda: مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ Maksudnya: “Barang siapa yang mereka sesuatu dalam urusan (agama) kami yang tidak ada daripadanya, maka ia tertolak.” [HR al-Bukhari, 2697] Orang awam yang tidak mahir dalam urusan agama, akan mudah terikut amalan-amalan dan fahaman-fahaman yang salah tetapi disulam dengan rupa agama. Bid‘ah atau amalan yang tiada sandaran boleh merosakkan ibadah dan amal seseorang walaupun secara zahir kelihatan baik. Kadang-kadang, kesesatan itu berlaku apabila seseorang ingin terlalu mengamalkan agama sehingga melampaui batas dan merosakkan neraca pertimbangannya antara yang benar dan salah. Menjauhi bid’ah dan penyimpangan menguatkan hati dan iman, kerana seseorang sentiasa sedar bahawa hanya Allah yang berhak disembah dan hanya sunnah Nabi yang menjadi panduan. Sebenarnya, apa yang perlu dilakukan oleh masyarakat ialah fokus pada menjadi sebahagian daripada al-jama'ah dan bukan semata-mata mencari siapakah 72 golongan itu. Itulah rahsia dalam meraih syurga dan kemenangan di akhirat.

Soalan 23: Assalamualaikum ustaz dan dai. Sekarang ni ramai orang cepat menuduh orang lain sesat hanya sebab berbeza pandangan. Dalam Islam, macam mana kita sepatutnya menghadapi perbezaan pendapat tanpa cepat menghukum atau menolak orang lain?

Jawapan:

Perbezaan pendapat adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan umat Islam, sama ada dalam soal ibadah, fiqh, atau masalah sosial. Namun, kini ramai orang cepat menuduh sesat atau salah hanya kerana pandangan berbeza. Sikap ini boleh menimbulkan perpecahan, merosakkan ukhuwah, dan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Islam memberikan panduan jelas bagaimana seorang Muslim menghadapi perbezaan pendapat dengan hikmah, adab, dan akhlak yang mulia. Berkata Zarruq daripada Ibnu Furak: “Tersilap memasukkan seribu orang kafir dengan syubhat Islam lebih baik berbanding tersilap mengeluarkan (mengkafirkan) seorang Islam dengan syubhat kekufuran.” [Rujuk: Qawa’id al-Tasawwuf, hlm. 31] Rasulullah SAW melarang kita untuk bermudah-mudahan menuduh orang sebagai sesat: أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ: يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا Maksudnya: “Barangsiapa seorang lelaki berkata kepada saudaranya: ‘Wahai kafir!’, maka salah seorang dari keduanya akan terkena akibatnya.” [HR al-Bukhari, 6104] Mereka mungkin menuduh seseorang sesat hanya kerana pendapat atau cara amalan berbeza, walhal perbezaan itu merupakan sebuah kemudahan dan ruang untuk mencambahkan kefahaman dan kemajuan. Perbuatan ini boleh bertukar menjadi fitnah dan pertelingkahan, yang melemahkan ukhuwah. Orang yang terlalu fokus pada sesat atau tidak sesat merasa diri lebih “betul” daripada orang lain. Ini membawa kepada kesombongan yang jelas bertentangan dengan ajaran akhlak Islam. Imam al-Ghazali mengatakan bahawa ramai orang terlalu mudah menuduh seseorang kafir hanya kerana golongan itu tersilap dalam berijtihad. Padahal, kesilapan dalam ijtihad tidak sama sekali menjadikan seseorang tergolong dalam kelompok yang mendustakan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ، مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمِ الْجَمَاعَةَ Maksudnya: “Berpeganglah kamu pada al-jamaah dan jauhilah perpecahan, sesungguhnya syaitan bersama orang yang sendirian dan ia paling jauh dari dua orang. Barangsiapa menginginkan kelapangan surga, hendaklah ia berpegang pada al-jamaah.” [HR al-Tirmizi, 2165] Mereka yang berpecah dan tidak bersatu hati, maka mereka mudah dihasut syaitan dan diapi-apikan perasaan mereka sehingga berlaku penyelewangan dan kesesatan. Walaupun pada zahirnya mereka seakan-akan berjidal atau mencari kebenaran, namun hakikatnya hati-hati mereka dikuasai nafsu dan dendam sesama saudara seagama. Akhirnya, keluarlah mereka yang cuma menjenamakan kumpulan mereka dengan kecenderungan masing-masing sehingga menolak kebenaran hakiki semata-mata menunjukkan “Akulah yang benar, engkau sesat.” Islam menekankan pentingnya tetap dalam al-jama‘ah, iaitu golongan yang berpegang kepada al-Quran, sunnah, dan kepimpinan yang sah. Walaupun terdapat perbezaan kecil, tidak patut memutuskan silaturahim atau menuduh sesat, selagi seseorang itu tidak keluar dari prinsip asas agama. Fokus utama ialah menjaga persatuan dan kesatuan umat Islam, bukan mencari kesalahan orang lain. Dengan ini, kita mengelak daripada menjadi sebahagian daripada golongan yang menyeleweng atau berpecah. Umat Islam hari ini perlu mengambil sikap hormat terhadap pandangan yang sahih, walaupun berbeza dengan kita. Menuduh sesat tanpa bukti hanya menyebabkan permusuhan dan perpecahan. Terdapat beberapa cara untuk kita berinteraksi dalam perbezaan pendapat: Menghormati perbezaan pendapat Setiap orang berbeza pendapat kerana berbeza pendekatan, kaedah, cara pandang, pengalaman, data dan keutamaan. Pandangan yang berbeza membenarkan kita melihat sisi yang kita tidak dapat lihat melalui rangka fikiran kita. Ia juga memberi peluang untuk kita menyemak semula pandangan kita. Menuduh sesat tanpa bukti hanya menyebabkan permusuhan dan perpecahan. Mengambil pendekatan hikmah dan berlapang dada Jangan cepat menghukum, fahami konteks dan asas pandangan tersebut. Berdialog dengan ilmuwan atau pihak yang berpengetahuan sebelum membuat kesimpulan. Fokus kepada memperbetulkan diri sendiri dan menjaga akhlak, bukan menegur orang lain dengan kasar. Sikap ini mengekalkan keharmonian sosial dan ukhuwah serta mengelakkan fitnah dan kekeliruan dalam masyarakat. Menjaga akhlak dan niat Perbezaan pendapat harus dihadapi dengan niat untuk mencari kebenaran, bukan untuk menang sendiri atau menghina orang lain. Akhlak yang baik membantu seseorang menghormati pandangan lain dan mengekalkan persatuan. Niat yang benar memastikan kritikan atau nasihat bersifat membina, bukan menjatuhkan martabat orang lain. Kesimpulannya, menghadapi perbezaan pendapat dalam Islam memerlukan hikmah, kesabaran, dan akhlak yang mulia. Umat Islam harus menghormati pandangan lain, tetap berpegang pada al-jama‘ah, dan jauhi perpecahan, kerana seperti yang disebut dalam hadis, syaitan paling dekat dengan orang yang bersendirian, manakala berpegang pada jamaah membawa kelapangan syurga.

Soalan 24: Assalamualaikum ustaz dan dai. Zaman sekarang ni, kita nampak ramai orang bercakap hal agama ikut rasa dan logik sendiri, kadang-kadang tanpa rujuk al-Quran, sunnah, atau pandangan ulama. Apa sebenarnya bahaya bila seseorang mula menjadikan hawa nafsu dan fikiran sendiri sebagai ukuran dalam beragama, ustaz?

Jawapan:

Fenomena manusia bercakap tentang agama tanpa ilmu adalah tanda zaman yang semakin jauh dari petunjuk wahyu. Apabila lidah berbicara tanpa panduan al-Quran dan Sunnah, maka yang berbicara bukan lagi hati yang tunduk kepada Allah, tetapi hawa nafsu yang dijadikan “tuhan yang lebih dipatuhi” dalam diri. Bahayanya bukan sekadar salah bicara, tetapi membawa kepada penyimpangan akidah, perpecahan umat, dan akhirnya menjerumuskan seseorang ke lembah kesesatan. Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama sebagai fitnah ilmu, di mana manusia menolak kebenaran kerana lebih mempercayai logik dan perasaan sendiri daripada wahyu Allah. Dalil al-Quran أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ “Tidakkah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, lalu Allah menyesatkannya dengan ilmu (yang ada padanya).” [Surah al-Jāthiyah, ayat 23] Ayat ini menggambarkan betapa dahsyatnya keadaan orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai sumber penentuan dalam urusan agama. Menurut Imam al-Razi, orang seperti ini bukan tidak berilmu, tetapi ilmunya tidak membawanya tunduk kepada kebenaran — kerana dia menyelewengkan ilmu untuk membenarkan keinginannya sendiri. Kebenaran bukan lagi dicari untuk diamalkan, tetapi untuk dipilih-pilih agar sesuai dengan nafsu. Imam al-Rāzi menafsirkan: وَالْمُرَادُ أَنَّهُ تَرَكَ عِبَادَةَ اللَّهِ، وَصَارَ يَعْبُدُ هَوَاهُ فِي كُلِّ مَا يَهْوَى وَيُرِيدُ “Yang dimaksudkan ialah dia meninggalkan pengabdian kepada Allah, lalu menjadi hamba kepada hawa nafsunya dalam setiap apa yang dia inginkan dan sukai.” [Tafsir al-Kabīr, 27/621] Maknanya, sesiapa yang tidak menjadikan wahyu sebagai neraca penentu, maka dia akan menjadikan diri dan fikirannya sebagai “agama”. Sedangkan akal manusia itu terbatas dan mudah tertipu oleh godaan syaitan. Dalil Hadis إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ اتِّبَاعُ الْهَوَى وَطُولُ الْأَمَلِ، فَأَمَّا اتِّبَاعُ الْهَوَى فَيَصُدُّ عَنِ الْحَقِّ “Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan atas kamu ialah mengikuti hawa nafsu dan panjang angan-angan. Adapun mengikuti hawa nafsu, ia menghalang seseorang daripada kebenaran.” [HR al-Bayhaqi, Syu‘ab al-Imān, no. 10458 – hasan] Imam Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan: فَاتِّبَاعُ الْهَوَى يُفْسِدُ الْعَقْلَ وَيُعْمِي الْبَصِيرَةَ، فَلَا يَعُودُ يَرَى الْحَقَّ حَقًّا وَلَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا “Mengikut hawa nafsu itu merosakkan akal dan membutakan pandangan hati, sehingga seseorang tidak lagi mampu melihat kebenaran sebagai kebenaran, dan kebatilan sebagai kebatilan.” [Jāmi‘ al-‘Ulūm wa al-Hikam, 2/320] Apabila hati telah tertutup oleh hawa nafsu, maka ayat-ayat Allah tidak lagi memberi kesan. Orang seperti ini akan mencari dalil bukan untuk tunduk kepada kebenaran, tetapi untuk menguatkan pendapat dirinya sendiri. Aplikasi Dalam Kehidupan Seharian Dalam media sosial: Jangan terburu-buru memberi pandangan agama atau menilai sesuatu hukum hanya berdasarkan logik atau emosi. Tahan diri daripada menulis sebelum menilai: “Adakah ini pandangan saya atau panduan Allah?” Dalam membuat keputusan hidup: Setiap keputusan — rezeki, cinta, kerja, politik — mesti dinilai dengan neraca syarak, bukan neraca perasaan. Tanyakan: “Apakah pandangan agama tentang tindakan ini?” sebelum bertindak. Dalam menuntut ilmu: Apabila berbeza pandangan dengan ulama, adabnya bukan menolak, tetapi mencari kefahaman. Ulama bukan penghalang kebebasan berfikir, tetapi penjaga agar fikiran tidak tersasar. Dalam pergaulan dan gaya hidup: Jangan jadikan “saya rasa tak apa” sebagai fatwa. Gaya hidup Islam bukan dibentuk oleh trend manusia, tetapi oleh sempadan Allah. Dalam dakwah dan perbincangan: Hujah dengan ilmu dan kasih sayang. Jangan gunakan emosi, sindiran atau logik semata. Dakwah tanpa ilmu adalah jalan pintas menuju fitnah. Kesimpulannya, bahaya menjadikan hawa nafsu dan logik semata-mata sebagai ukuran dalam beragama ialah hilangnya rasa tunduk kepada wahyu dan hilangnya keberkatan ilmu. Orang yang berbuat demikian akan terperangkap dalam kebenaran palsu — merasakan dirinya betul padahal jauh dari jalan Rasulullah SAW. Agama ini bukan milik perasaan, tetapi milik Allah yang mesti difahami melalui panduan al-Quran, Sunnah, dan para ulama yang warasah anbiya’. Maka setiap Muslim wajib menundukkan akalnya di bawah wahyu, bukan meletakkan wahyu di bawah akalnya. Renungan: Bila hati mula menolak dalil dan lebih percaya pada “rasa betul” sendiri, itu tanda Allah sedang mencabut nur hidayah sedikit demi sedikit. Dan itulah fitnah terbesar akhir zaman — apabila manusia berani berbicara tentang agama, tanpa takut kepada Tuhan agama itu sendiri.

Soalan 25: Assalamualaikum ustaz dan dai. Ada pandangan luar yang mengatakan umat Islam berpecah kerana wujudnya pelbagai mazhab dalam akidah dan fiqh. Benarkah perbezaan mazhab itu menjadi punca perpecahan umat Islam, ustaz?

Jawapan:

Dalam sejarah Islam, muncul pelbagai mazhab fiqh dan akidah hasil ijtihad para ulama yang bersungguh-sungguh memahami wahyu. Sebahagian pihak luar — malah ada juga dalam kalangan umat Islam sendiri — menyangka bahawa mazhab-mazhab ini adalah sebab umat berpecah. Namun hakikatnya, perbezaan mazhab bukanlah perpecahan, bahkan ia tanda keluasan rahmat dan keagungan syariat Islam. Perpecahan yang tercela ialah apabila manusia mengikuti hawa nafsu dan fanatik mazhab tanpa ilmu, sebagaimana yang diingatkan oleh Rasulullah SAW bahawa umatnya akan berpecah kerana meninggalkan al-Quran dan Sunnah. Adapun perbezaan yang berpunca daripada ijtihad dan ilmu, ia termasuk dalam sabda Baginda SAW: «إِذَا اجْتَهَدَ الْحَاكِمُ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا اجْتَهَدَ فَأَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ» Maksudnya: “Apabila seorang hakim (mujtahid) berijtihad lalu tepat ijtihadnya, dia mendapat dua pahala; dan jika dia tersilap, dia mendapat satu pahala.” [HR al-Bukhari, 7352; Muslim, 1716] Hadis ini menjadi kaedah pokok dalam usul fiqh bahawa perbezaan hasil ijtihad bukanlah dosa, bahkan dikira amal yang diberi ganjaran. Dalil al-Quran وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا Maksudnya: “Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.” [Surah ali ‘Imrān, 3:103] Menurut Imam Fakhr al-Rāzī: وَاخْتِلَافُهُمْ فِي الْفُرُوعِ لَيْسَ مِنَ التَّفَرُّقِ فِي الدِّينِ، بَلْ هُوَ مَظْهَرٌ لِسَعَةِ رَحْمَةِ اللَّهِ فِي التَّشْرِيعِ Maksudnya: “Perbezaan mereka dalam cabang hukum (fiqh) bukanlah perpecahan dalam agama, bahkan ia tanda keluasan rahmat Allah dalam pensyariatan. [Tafsir al-Kabīr, 8/514] Ayat ini tidak menuntut keseragaman pandangan, tetapi kesatuan hati dan akidah di atas jalan kebenaran. Perbezaan dalam cabang hukum tidak menafikan kesatuan dalam asas iman. Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadis ijtihad: وَفِيهِ أَنَّ الْمُجْتَهِدَ إِذَا بَذَلَ وُسْعَهُ فِي طَلَبِ الْحَقِّ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ فِي خَطَئِهِ، بَلْ يُثَابُ عَلَيْهِ Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan bahawa mujtahid yang bersungguh mencari kebenaran tidak berdosa jika tersilap, bahkan dia diberi pahala.” [Syarh Sahih Muslim, 12/22] Maka perbezaan hasil ijtihad adalah rahmat, bukan fitnah — asalkan asasnya berpaksikan ilmu, bukan hawa nafsu. Faktor-Faktor Perbezaan Mazhab atau Asbab al-Ikhtilaf al-Fiqhi terbahagi kepada tiga kategori besar: Perbezaan Dalam Riwayah Hadis Antara sebab utama perbezaan fuqaha ialah perbezaan dalam penerimaan hadis dan penilaian kesahihan sanad. Tidak sampai hadis kepada semua ulama Sebahagian fuqaha tidak mendengar atau menerima riwayat tertentu. يقول العلماء: "عدم الاطّلاع على الحديث من أسباب الاختلاف بين الفقهاء" Maksudnya: “Tidak sampai atau tidak diketahui sesuatu hadis oleh sebahagian ulama merupakan salah satu sebab perbezaan mereka.” [Dar al-Iftaa’, Asbab al-Ikhtilaf al-Fiqhi, Jordan] Imam Malik tidak menggunakan sebahagian hadis yang tidak sampai kepadanya melalui sanad penduduk Madinah, sedangkan Imam al-Syafi‘i berhujah dengannya setelah mendapat sanad sahih. [al-Ghazali, al-Mustasfa, 1/152] Perbezaan penilaian terhadap kesahihan hadis Ada ulama menilai hadis itu sahih, manakala yang lain menilai dhaif. "الشكّ في ثبوت الحديث أو ضعفُ راويه من أسباب اختلافهم" Maksudnya: “Keraguan dalam kesahihan hadis atau kelemahan perawinya menjadi sebab khilaf.” [Dar al-Iftaa’, Jordan] Terlupa atau tidak mengingati riwayat tertentu Sebahagian sahabat meriwayatkan hukum berdasarkan ingatan mereka, dan ini juga kadang menghasilkan perbezaan. Perbezaan Dalam Pemahaman Nas Ini antara punca utama perbezaan mazhab — iaitu perbezaan cara ulama memahami ayat atau hadis. Perbezaan dalam tafsiran lafaz "اختلافهم في فهم النصوص بسبب تعدّد الدلالات والمعاني المحتملة" Maksudnya: “Mereka berbeza dalam memahami teks kerana pelbagai kemungkinan makna dan dalalah.” [Dar al-Iftaa’, Jordan] Contoh klasik: أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ Maksudnya: “…atau kamu telah menyentuh wanita…” [al-Nisā’, 43] Imam al-Syafi‘i memahami ia secara zahir — menyentuh membatalkan wuduk. Imam Abu Hanifah memahaminya secara majaz — hanya jimak yang membatalkan wuduk. [al-Amidi, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 2/305] Perbezaan dalam cara menggabung dan mentarjih dalil "اختلافهم في الجمع والترجيح بين الأدلّة المتعارضة" Maksudnya: “Mereka berbeza dalam cara menggabungkan dan mentarjih dalil yang tampak bertentangan.” [Dar al-Iftaa’, Jordan] Sebahagian ulama mendahulukan nas yang umum, sebahagian mendahulukan nas khusus — semua berasaskan disiplin ilmiah. Perbezaan Dalam Bahasa Arab Bahasa Arab sendiri mengandungi lapisan makna dan keindahan linguistik yang luas, menjadi sebab perbezaan hukum. Lafaz musytarak (berganda makna) "الاشتراك اللفظيّ من أسباب اختلاف الفقهاء" Maksudnya: “Lafaz yang memiliki lebih daripada satu makna menjadi sebab perbezaan fuqaha.” [Dar al-Iftaa’, Jordan] Contoh: Lafaz qur’ dalam ayat iddah wanita: يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang diceraikan itu hendaklah menahan diri (menunggu) selama tiga kali suci (atau haid).” [Surah al-Baqarah, ayat 228] Hanafi mentafsirkan quru’ = haid, manakala Syafi‘i mentafsirkannya = suci. Perbezaan antara hakikat dan majaz Sebahagian ulama mentafsir nas secara literal (hakikat), sebahagian secara metafora (majaz). Perbezaan qiraat al-Quran Perbezaan bacaan juga memberi implikasi hukum. Contohnya dalam ayat wuduk: وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ Sebahagian ulama mewajibkan basuhan seluruh kaki, sebahagian mengatakan cukup sapuan — bergantung pada qiraat yang diambil. Imam al-Zarkashi menghimpunkan semua faktor ini: وَمِنْ أَسْبَابِ الِاخْتِلَافِ اخْتِلَافُ مَبَانِي الأُصُولِ فِي قَبُولِ الأَدِلَّةِ كَالِاسْتِحْسَانِ وَالْمَصْلَحَةِ وَعَمَلِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ Maksudnya: “Antara sebab perbezaan ialah perbezaan asas usul dalam menerima dalil seperti istihsan, maslahah, dan amal penduduk Madinah.” [al-Bahr al-Muhit, 3/14] Dan al-Syatibi pula menegaskan: الْمَقْصُودُ مِنَ الشَّرِيعَةِ تَحْقِيقُ الْمَصَالِحِ وَدَفْعُ الْمَفَاسِدِ، وَاخْتِلَافُ النَّظَرِ فِي ذَلِكَ يُؤَدِّي إِلَى اخْتِلَافِ الْفُتْيَا Maksudnya: “Tujuan syariat ialah merealisasikan maslahat dan menolak mafsadah; perbezaan pandangan terhadapnya menyebabkan perbezaan fatwa.” [al-Muwafaqat, 2/67] Kesimpulan: Perbezaan mazhab bukanlah perpecahan, tetapi rahmat ilmu dan tanda keanjalan hukum Islam. Perpecahan yang sebenar ialah apabila seseorang menolak wahyu, menghina ulama, atau berdebat atas dasar emosi, bukan ilmu. Renungan akhir: Islam tidak menuntut semua orang berfikir sama, tetapi menuntut semua hati tunduk kepada wahyu yang sama. Mazhab ialah hasil keikhlasan ulama dalam mencari kebenaran, bukan tembok pemisah umat — dan sesiapa yang memahami usul fiqh, akan tahu bahawa khilaf yang berasaskan ilmu itu rahmat, bukan bencana.

Soalan 26: Assalamualaikum ustaz dan dai. Sekarang ni ada orang kata, “kebenaran tu ikut pandangan masing-masing, semua orang ada kebenaran sendiri.” Betul ke dalam Islam memang macam tu, ustaz?

Jawapan:

Dalam Islam, kebenaran bukanlah sesuatu yang boleh ditentukan oleh selera atau pandangan individu. Ungkapan seperti “setiap orang ada kebenaran sendiri” lahir daripada fahaman satu ideologi falsafah yang menolak kewujudan kebenaran mutlak. Ia berakar daripada cara fikir Barat moden yang mengagungkan kebebasan tanpa batas, menjadikan manusia sebagai penentu tunggal kepada baik dan buruk. Namun, dalam Islam, kebebasan manusia tidak mutlak; ia terikat dengan wahyu. Maka, fahaman sebegini bertentangan dengan asas aqidah Islam yang meletakkan Allah SWT sebagai sumber tunggal kebenaran. وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ ۖ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu. Maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman, dan sesiapa yang mahu kufur, biarlah dia kufur.” [Surah al-Kahfi, ayat 28] Fahaman ini percaya bahawa kebenaran itu tidak bersifat mutlak, bahkan berbeza bagi setiap orang. Ia sehaluan dengan Liberalisme, yang mengagungkan kebebasan tanpa batas sehingga tahap setiap orang bebas menentukan apa itu benar dan salah mengikut diri sendiri. Ia juga menganggap apa saja yang seseorang rasa baik, maka itulah yang dianggap moral, walaupun sebenarnya perbuatan itu salah di sisi agama. Apabila kebenaran dianggap berbilang-bilang, manusia akan merasa bebas melakukan apa sahaja termasuk membuat kerosakan dan menyebar fitnah tanpa merasa bersalah. Masing-masing akan beralasan, “dia ada sebab sendiri, siapa aku nak hukum.” Akhirnya lahirlah konsep husnudzon yang menyimpang, iaitu sikap membiarkan kemungkaran atas nama “berbaik sangka”. Sikap inilah yang pernah menjadi kebiasaan kaum Bani Israel dahulu. Mereka tidak menegur kemungkaran sesama sendiri hingga rosaklah masyarakat mereka. كَانُوا۟ لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍۢ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ Maksudnya : “Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan..” [Surah al-Maidah, ayat 79] Selain itu, al-Quran juga menggambarkan fahaman bahawa kebenaran itu berbilang melalui dakwaan kaum Bani Israel bahawa merekalah satu-satunya golongan yang berhak menjadi pemegang kunci syurga. وَقَالُوا لَن يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ Maksudnya : “Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar". [Surah al Baqarah, ayat 111] Akibatnya, orang yang berbuat jahat tetap menganggap dirinya benar. Masyarakat pula menjadi keliru dengan pelbagai dakwaan kebenaran palsu, hingga ada yang mencipta fahaman sendiri dan mendakwa dirinya pembawa kebenaran. Asas ilmu turut rapuh apabila umat Islam lebih banyak berhujah bukan lagi berpaksikan al-Quran dan hadis. Malah, mereka menjadikan logik pemikir Barat sebagai ukuran kebenaran, sehingga dosa dan maksiat pun dinormalisasikan atas nama kebebasan individu. Islam berbeza dengan cara fikir Barat. Islam menegaskan bahawa kebenaran itu mestilah bersifat tunggal, dan ia daripada Allah SWT Allah SWT menegaskan; قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَكُمُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَنِ ٱهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِى لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ۖ وَمَآ أَنَا۠ عَلَيْكُم بِوَكِيلٍۢ Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu.” [Surah Yunus, ayat 108] Kesimpulannya, al-Quran bukan sekadar mengisytiharkan dirinya sebagai kebenaran, tetapi juga membuktikannya secara rasional dan meyakinkan. Setiap hujah dalam al-Quran tersusun dengan logik dan bukti yang mampu menjawab akal manusia dari pelbagai peringkat dan lapisan.

Soalan 27: Assalamualaikum ustaz dan dai. Bagaimanakah kedudukan tarekat dalam gagasan al-Jama‘ah, memandangkan wujud pelbagai aliran tarekat yang berbeza di luar sana?

Jawapan:

Kedudukan tarekat dalam gagasan al-Jama‘ah sebenarnya tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan kepelbagaian aliran yang wujud, tetapi pada asas yang menjadi pegangan setiap tarekat itu. Jika tarekat tersebut berpaksikan al-Quran dan Sunnah, maka ia termasuk dalam jalan al-Jama‘ah. Kepelbagaian nama tarekat tidak bermakna perpecahan, sebaliknya menunjukkan kepelbagaian jalan mujahadah menuju kepada matlamat yang sama, iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT. الطرق الصوفية وسائل لتزكية النفس وتهذيب الخلق وتحسين السلوك، والسير بالمريد في طريق الاتباع العملى للرسول ﷺ ليكون مؤمنًا حقًا ومسلِمًا صدقًا. ولا يشعر أثر الطرق الصوفية إلا من مارسها بإخلاص، وهيأ الله له من وسائل الترقى ما يحقق له الوصول Maksudnya : “Tarekat-tarekat sufi merupakan jalan untuk menyucikan jiwa, memperelok akhlak, memperbaiki tingkah laku, dan membimbing murid menempuh jalan pengamalan sunnah Rasulullah SAW secara nyata, agar menjadi seorang mukmin yang benar dan Muslim yang tulus. Kesan dan keberkatan tarekat ini tidak akan dirasai melainkan oleh orang yang mengamalkannya dengan penuh keikhlasan, dan Allah akan menyediakan baginya jalan peningkatan rohani yang membawa kepada pencapaian makrifat dan kedekatan dengan-Nya.” [Lihat al-Fatawa Syeikh Abdul Halim Mahmud, jld. 2, hlm. 236] Para ulama besar seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Qusyairi, dan Syeikh Abdul Halim Mahmud menjelaskan bahawa tarekat yang sebenar hanyalah satu iaitu berpegang teguh kepada kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya. Apa jua nama atau susunan amalan dalam tarekat hanyalah wasilah (jalan pelaksanaan) bagi tujuan yang sama: tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) dan ma‘rifatullah (mengenal Allah). وكل طريقة صوفية سليمة إنما تدّعوا إلى التزام الكتاب والسنة، والطريقة التي تنحرف عن ذلك تكون فاسدة ضالة مضلة. فقد نزّل القرآن بيانًا للهداية الصادقة، ورسول الله ﷺ بقوله وعمله بأحوالها كلها فمن حاد عن ذلك فهو من الخاسرين Maksudnya : “Setiap tarekat sufiah yang sejahtera hanya menyeru kepada beriltizam dengan kitab dan dan sunnah, sedangkan tarekat yang menyeleweng daripada itu akan membawa kepada kerosakan, sesat lagi menyesatkan. Sesungguhnya al-Quran diturunkan sebagai petunjuk yang benar, dan Rasulullah SAW menjadi contoh melalui tutur kata, perbuatan serta seluruh kehidupannya. Maka, sesiapa yang berpaling daripada jalan ini, termasuklah dalam golongan yang rugi.” [Lihat al-Fatawa Syeikh Abdul Halim Mahmud, jld. 2, hlm. 391] Kepelbagaian tarekat yang berpaksikan wahyu sebenarnya memperkayakan khazanah rohani umat Islam. Ia memberi ruang kepada manusia dengan latar, fitrah, dan keupayaan berbeza untuk menemui cara terbaik mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, faham tarekat yang sahih membawa kepada perpaduan hati dan kelembutan akhlak, bukan kepada eksklusif atau perpecahan. Dalam konteks dunia moden, fahaman tentang tarekat sering disempitkan kepada bentuk kerohanian yang pasif dan terpisah daripada urusan sosial serta bergaul dengan masyarakat. Sejarah membuktikan bahawa tarekat sebenarnya memainkan peranan besar dalam mempertahankan agama, menegakkan keadilan, dan membela maruah umat Islam. Laporan “Sufism and Political Islam: A Viable Replacement?” menunjukkan bahawa tarekat seperti Qadiriyyah, Sanusiyyah dan Shaziliyyah pernah memimpin jihad menentang penjajahan serta menegakkan hak rakyat. “Vikor meneliti beberapa contoh peranan Sufisme berhadapan dengan pihak penjajah. Antaranya ialah Tarekat Qadiriyyah yang menentang penjajahan Perancis di bahagian barat dan tengah Algeria antara tahun 1832 hingga 1847, dengan membina struktur politik berasaskan legitimasi kesukuan dan rohani yang dipimpin oleh Amir al-Mu’minin Abd al-Qadir, yang mengetuai jihad sebagai “panglima orang-orang beriman”. [Sufism and Political Islam: A Viable Replacement?] https://medium.com/@Eipss_En/sufism-and-political-islam-a-viable-replacement-1-c16097520590 ] Namun kini, ada usaha halus untuk menjadikan tarekat sebagai simbol Islam yang “pasif” dan tidak membawa gerakan islah dan tajdid, iaitu dengan mempromosikan bentuk kesufian yang tidak bersosial dan terpisah daripada perjuangan menegakkan agama. Oleh itu, masyarakat mesti sedar bahawa tarekat bukan jalan melarikan diri daripada dunia, tetapi sumber kekuatan spiritual yang menggerakkan perubahan sosial dan politik secara beradab dan berprinsip. Maka, kesedaran ini perlu dibina agar umat memahami bahawa tarekat mesti berpaut kepada prinsip al-Jama‘ah iaitu berpegang kepada al-Quran dan Sunnah serta menegakkan maqasid Islam. Dengan kesedaran ini, tarekat akan kembali menjadi sumber kesatuan, kekuatan dan ketahanan rohani umat, bukan alat propaganda yang melemahkan Islam dari dalam.

Soalan 28: Assalamualaikum ustaz dan dai. Dalam dunia hari ini yang dipenuhi dengan maklumat yang tersebar begitu pantas, bagaimana cara kita nak pastikan ilmu agama yang kita terima itu benar dan sahih, supaya tidak bercampur dengan ajaran atau fahaman yang menyeleweng?

Jawapan:

Kita sedang hidup dalam zaman di mana maklumat tersebar lebih cepat daripada semakan. Hanya dengan satu klik, hadis boleh dikongsi kepada ribuan orang walaupun belum tentu sahih. Setiap hari muncul pelbagai video agama di media sosial; sebahagiannya mendidik, sebahagiannya mengelirukan. Fenomena ini tidak asing, bahkan juga telah diingatkan oleh Nabi SAW tentang keadaan akhir zaman berkaitan golongan Ruwaibidhah. Nabi SAW bersabda: سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibhidah ? maka baginda SAW menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar.” [HR Ibnu Majah, 4036] Imam al-Syatibi menyebutkan dalam kitabnya menyebutkan bahawa golongan al-Ruwaibidhah ialah: هُوَ الرَّجُلُ التَّافَةُ الْحَقِيرُ يَنْطِقُ فِي أُمُورِ الْعَامَّةِ، كَأَنَّهُ لَيْسَ بِأَهْلٍ أَنْ يَتَكَلَّمَ فِي أُمُورِ الْعَامَّةِ فَيَتَكَلَّمُ Maksudnya: “Orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap.” [Rujuk: al-I’tisam, jld. 2, hlm. 680] Nabi SAW juga telah memberikan peringatan agar berhati-hati dengan mereka yang mengada-adakan atau berdusta dalam agama, Nabi SAW bersabda: سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي أُنَاسٌ يُحَدِّثُونَكُمْ مَا لَمْ تَسْمَعُوا أَنْتُمْ وَلاَ آبَاؤُكُمْ فَإِيَّاكُمْ وَإِيَّاهُمْ Maksudnya: “Akan muncul pada akhir umatku beberapa orang yang akan menceritakan kepada kamu perkara-perkara (hadis) yang kamu dan bapa-bapa kamu tidak pernah mendengarnya. Maka, berhati-hatilah kamu dan jauhilah mereka.” [HR Muslim, 6] Peringatan-peringatan sebegini telah lebih awal disampaikan kepada kita dan mengingatkan kita bahawa dengan kemudahan teknologi yang ada, bukan hanya perkara baik mudah disebarkan, namun perkara palsu dan mungkar tidak kurang lajunya tersebar dan mempengaruhi masyarakat kita. Para ulama menyebutkan bahawa sesungguhnya kebinasaan datang dari arah golongan yang memberi fatwa tanpa ilmu. Daripada Imam Malik bin Anas bahawa suatu hari Rabi‘ah menangis dengan tangisan yang sangat kuat. Lalu ada yang bertanya kepadanya: ‘Adakah musibah telah menimpa kamu?’ Beliau menjawab: ‘Tidak! Tetapi (aku menangis) kerana orang yang tidak berilmu telah diminta memberi fatwa (berhukum).” [Rujuk: al-I’tisam, jld. 2, hlm. 680] Maka, dalam mendepani realiti akhir zaman yang mempamerkan orang-rang yang suka berdusta tentang agama, atau menyebarkan ilmu yang salah demi kepentingan peribadi masing-masing, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan: Konsep tabayun dalam setiap maklumat. Kaedah priktikal dalam membuat pengesahan dan semakan antaranya ialah: Semak sumber asal daripada kitab muktabar, atau sekarang terdapat website yang diyakini autoriti dan kesahihannya dalam mendigitalkan inti kitab agama seperti maktabah shamela, dan dorar.net (bagi menyemak status hadis). Rujuk pandangan mufti atau institusi berautoriti berkaitan pandangan tentang isu tertentu. Boleh layari lanjut di portal rasmi fatwa negeri atau JAKIM dll. Perhatikan dari siapa kita mengambil ilmu dan pilih guru yang benar dan mursyid. Imam Muhamad ibn Sirrin menyebutkan: إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِيْنٌ فَانظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.” [Rujuk: Muqaddimah Sahih Muslim, jld. 1, hlm. 11] Konsep sanad dalam setiap bidang ilmu. Sanad merupakan sandaran, pertalian dan persambungan ilmu bagi memastikan kesahihan ilmu dan maklumat. Abdullah Ibnu Mubarak menyebutkan: الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ لَوْ لَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ Maksudnya: "Isnad itu adalah sebahagian daripada agama, sekiranya tidak ada isnad maka berkatalah seseorang itu apa yang hendak dikatakannya (bergantung kepada hawa nafsunya).” [Rujuk: Muqaddimah Sahih Muslim, jld. 1, hlm. 12] Dalam perjalanan menuntut ilmu, penuntut ilmu hendaklah sentiasa bermuzakarah dengan para ulama dan membiasakan diri untuk bertanya apabila timbul keraguan dalam memahami sesuatu maksud. Amalan inilah yang menjadi budaya para salafus soleh agar kebenaran sentiasa terpelihara bersama mereka. Berwaspadalah dalam mengambil ilmu dari mereka yang memahami agama mengikut selera sendiri, serta mentafsirkannya bertujuan mencapai kepentingan tersendiri. Sekiranya berlaku kekeliruan dan percanggahan maka kembalilah merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah serta mereka yang berpegang teguh dengan kedua-duanya. Firman Allah SWT: فَإِن تَنَـٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ Maksudnya: “...Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.” [Surah al-Nisa’. Ayat 59]

Soalan 29: Assalamualaikum ustaz dan dai. Kita selalu berdoa tapi selalu rasa macam doa yang kita minta tu tak dikabulkan. Adakah ini tanda Allah SWT tak terima doa kita, atau ada cara lain Allah SWT kabulkannya?

Jawapan:

Dalam kehidupan seorang mukmin, doa adalah salah satu ibadah paling istimewa kerana ia merupakan saluran langsung antara hamba dan Pencipta. Namun, tidak jarang manusia merasa kecewa apabila doa yang dipohon seolah-olah tidak dikabulkan, atau jawapannya tidak datang seperti yang dijangka. Sebenarnya, doa bukan hanya tentang meminta sesuatu secara literal, tetapi juga tentang membina hubungan, menanam rasa bergantung sepenuhnya kepada Allah, dan melatih hati untuk bersabar, tawakal, serta sentiasa berharap kepada rahmatNya. Hakikatnya, Allah SWT sangat suka mendengar untuk kita berdoa kepadaNya dan meminta segala macam benda daripadaNya. Setiap doa yang dilafazkan dengan hati yang ikhlas sentiasa didengar oleh Allah SWT. Doa bukan sekadar amalan rutin, tetapi satu bentuk komunikasi rohani yang menunjukkan kebergantungan, keikhlasan, dan pengakuan bahawa segala sesuatu berada dalam kuasa-Nya. Allah SWT amat gembira melihat hambaNya berpaling kepada-Nya dalam setiap keadaan, sama ada dalam kesenangan mahupun kesusahan. Allah SWT menjamin bahawa setiap doa yang dilafazkan dengan ikhlas akan didengar dan dikabulkan. Allah SWT berfirman: وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.” [Surah al-Baqarah, ayat 186] Allah SWT berfirman: وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Surah Ghafir, ayat 60] Apabila Allah SWT menjamin untuk mengkabulkan doa kita, maka ia pasti berlaku kerana ia merupakan janji Tuhan. Namun, cara pengabulan itu tidak semestinya sama seperti apa yang kita jangka atau tafsirkan. Allah SWT mengetahui setiap permintaan, keperluan, dan harapan hambaNya, dan Dia mengatur jawapan kepada doa itu dengan hikmahNya yang tiada tolok banding. Allah mempunyai hikmah dan pengetahuan yang sempurna, dan setiap doa akan dijawab menurut cara yang terbaik untuk hambaNya. Dalam sebuah hadis, Baginda SAW menerangkan bagaimana Allah SWT mengkabulkan doa-doa hambaNya. Rasulullah SAW bersabda: مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو، لَيْسَ بِإِثْمٍ وَلَا بِقَطِيعَةِ رَحِمٍ، إِلَّا أُعْطِيَ إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ يُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يُدَّخَرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَدْفَعَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا. قَالَ: إِذَا نُكْثِرُ، قَالَ: اللَّهُ أَكْثَرُ Maksudnya: “Tiada seorang Muslim pun yang berdoa, bukan untuk melakukan dosa dan bukan memutuskan silaturahim, melainkan Allah akan memberinya salah satu daripada tiga perkara: sama ada doanya segera dikabulkan, atau disimpan untuknya di akhirat, atau Allah menjauhkan daripadanya kejahatan yang setara dengannya.” Apabila seseorang berkata: “Maka kita harus memperbanyakkan doa” Nabi SAW bersabda: “Allah lebih banyak (memberi).” [HR al-Bukhari (al-Adab al-Mufrad), 710] Pertama, doa itu boleh dimustajabkan segera mengikut apa yang diingini hamba tersebut, atau ditangguhkan kepada waktu tertentu di dunia mengikut hikmah Allah. Kedua, Allah SWT boleh menyimpan doa itu untuknya di akhirat, kerana Dia Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut lebih memerlukannya di sana. Ketiga, Allah SWT boleh menjauhkan hambaNya daripada perkara buruk atau musibah sebagai ganjaran bagi doanya. Namun, dalam hadis tersebut, dinyatakan bahawa Allah SWT akan mengkabulkan doa kita jika kita tidak melakukan dosa atau memutuskan silaturrahim. Terdapat syarat yang Allah SWT letakkan supaya doa itu termakbul seperti dalam firmanNya: أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ Maksudnya: “Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” [Surah al-Baqarah, ayat 186] Iaitu syaratnya adalah dengan beriman kepadaNya serta berpegang pada perintahNya dan menjauhi laranganNya. Oleh itu, rasa seolah-olah doa tidak dikabulkan bukanlah tanda ditolak, tetapi bukti bahawa Allah menguruskan setiap permintaan dengan hikmahNya. Namun, kita perlulah menilai diri dan menghalusi setiap amal perbuatan seandainya ada daripadanya yang menjadi penghalang kepada termakbulnya doa kita. Seorang mukmin yang memahami hakikat ini akan terus berdoa dengan harapan, keyakinan, dan rasa cinta kepada Allah, sambil menerima setiap jawapanNya dengan penuh syukur dan tawakal.

Soalan 30: Assalamualaikum ustaz dan dai. Boleh tak ustaz kongsikan beberapa doa para nabi yang boleh jadi inspirasi dan panduan untuk kita dalam kehidupan seharian?

Jawapan:

Doa para nabi merupakan sumber inspirasi dan panduan yang sangat berharga bagi setiap Muslim. Ia bukan sekadar ungkapan permintaan, tetapi juga cerminan keimanan, ketekunan, dan cara mereka mendekatkan diri kepada Allah dalam pelbagai situasi, sama ada ketika menghadapi ujian, memohon petunjuk, atau bersyukur atas nikmat. Salah satunya ialah doa Nabi Musa AS setelah melarikan daripada Mesir dalam keadaan diburu oleh pegawai-pegawai Fir’aun: رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ Maksudnya: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” [Surah al-Qasas, ayat 24] Doa ini dibaca oleh Nabi Musa AS di Madyan setelah menolong 2 orang perempuan untuk memberi air kepada ternakan mereka. Baginda kemudian berteduh dan mengadu dan meminta kepada Tuhannya. Akhirnya, Allah SWT memberi Baginda perlindungan, pekerjaan dan isteri setelah bertemu dengan bapa 2 perempuan tersebut. Faedah: Dalam keadaan kita tersempit, tertekan dengan tekanan hidup serta rasa lemas dengan dunia, berdoa dan berharaplah kepadaNya. InsyaAllah Dia akan membuka rezeki dan kelapangan selepas kesusahan. Seterusnya, doa Nabi Ayyub As ketika ditimpa penyakit: وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” [Surah al-Anbiya’, ayat 83] Ia menderita dalam tempoh yang lama dengan penyakit kusta di seluruh tubuhnya, sehinggakan hanya hatinya dan lisannya yang tetap sihat. Baginda juga kehilangan keluarganya dan hartanya, menghadapi ujian hidup yang sangat berat, namun tetap bersabar dan bertawakkal kepada Allah. Baginda hanya ditemani isterinya yang setia mengurusnya dan sanggup bekerja deminya. Faedah: Di saat kita ditimpa musibah, penyakit dan kehilangan segala macam perkara, berdoalah kepada Allah SWT dan jangan putus asa daripada rahmatNya. Selain itu, doa Nabi Musa AS ketika hendak menghadapi Fir’aun: قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي (25) وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي (26) وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي (27) يَفْقَهُوا قَوْلِي (28 Maksudnya: “Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; (25) Dan mudahkanlah bagiku, tugasku (26) Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku (27) Supaya mereka faham perkataanku.” [Surah Taha, ayat 25-28] Nabi Musa AS memikul tugas yang berat untuk berdakwah kepada Fir’aun yang keras kepala, bahkan ada risiko untuk dibunuh. Baginda memohon akan kelapangan hati daripada kegelisahan, meringankan kesulitan, memudahkan lisannya untuk berbicara agar mereka memahami kata-katanya. Faedah: Di saat kita berasa takut, cemas atau khuatir orang berlaku buruk kepada kita, atau diugut, atau risau tentang apa yang mendatang, berdoalah kepada Allah SWT agar hati kita berasa tenang dan dipermudahkan urusan, serta diberi kekuatan untuk menghadapinya. Dan juga, doa Nabi Yunus AS ketika di dalam perut ikan Nun: وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” [Surah al-Anbiya’, ayat 87] Baginda berasa tertekan dan marah tentang kaumnya yang enggan menerima dakwah Baginda. Maka, Baginda pergi meninggalkan kaumnya dan berlayar sedangkan Allah SWT tidak memberi perintah untuk Baginda pergi. Baginda diputuskan untuk terjun ke laut bagi menyelamatkan kapal daripada karam dan Baginda ditelan ikan yang besar. Akhirnya, Baginda mengakui kesilapannya lalu Allah SWT menyelamatkannya. Faedah: Ketika mana kita telah membuat kesilapan, keingkaran, serta kezaliman, akuilah kesilapan itu di hadapan Allah SWT dan mohonlah keampunanNya. Dengan meneladani doa-doa ini, kita dapat mempelajari cara berdoa yang ikhlas, penuh keyakinan, dan selari dengan syariat, sekaligus menjadikan doa sebagai panduan praktikal dalam kehidupan seharian.

Scroll to Top