SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT
WATAK BAPA DALAM AL-QURAN
- Penerbit : Adib
Firman Allah SWT:
Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyebutkan dalam tafsirnya, terdapat dua faktor bagi sebab-sebab kepimpinan lelaki ke atas wanita:
- Penciptaan lelaki: Penciptaan struktur tubuh lelaki mempunyai kelebihan berbanding wanita. Pancaindera dan akalnya lebih kuat, emosinya stabil, dan tubuhnya lebih kuat. Oleh sebab itu, Allah mengkhususkan kaum laki-laki untuk menerima tugas sebagai pembawa risalah, nabi, pemimpin tertinggi (al-imamah al-kubra), qadhi, pelaksana syiar-syiar agama seperti azan, khutbah, solat jumaat dan jihad.
- Kewajipan lelaki untuk menyediakan nafkah buat wanita dan mereka yang berada dibawah tanggungannya. [Rujuk: Tafsirt al-Munir, jld. 3, hlm. 78-79]
Berkata Imam at-Tobari makna bagi ayat lelaki ialah pemimpin ke atas wanita dalam tafsirnya:
Jika dikaitkan sifat qawwamah seorang lelaki dalam menjalankan peranan sebagai seorang bapa dan suami dalam sebuah keluarga, terdapat beberapa titik penting yang perlu diperhatikan:
- Kedudukan qawwam yang sebenar bagi seorang lelaki ialah mempunyai kekuatan tubuh badan seorang lelaki, kematangan emosi seorang suami dan kecantikan tauladan seorang bapa.
- Qawwam bukan hanya wujud jika isteri lemah dalam pengurusan keluarga, namun sifat qawwam ialah kemestian bagi setiap ketua keluarga walaupun isterinya seorang yang mampu berdikari dan mempunyai segalanya.
- Qawwamah tidak akan berhasil dengan sendiri sekiranya sudah berkahwin. Nilai qawwamah bagi seorang lelaki ialah sebuah pencapaian yang disasarkan bersama oleh sepasang suami dan isteri. Apabila setiap seorang dari suami dan isteri memahami peranan dan kekuatan diri masing-masing dalam menjalankan tanggungjawab dalam keluarga.
Antara bentuk praktikal seorang bapa yang mengemudi keluarga dengan sifat qawwam:
- Bapa menjadi figura penting dalam keluarga dalam usaha memahami dan mengamalkan agama dalam kehidupan seharian.
- Meluangkan masa untuk makan bersama. Untuk bersifat qawwam tidaklah menuntut seorang bapa untuk ada setiap masa bersama keluarga, namun masa yang ada digunakan untuk menyantuni keluarga sebaiknya.
- Tidak bersuara atau berkarakter keras di rumah. Melakukan teguran dengan cara yang mendidik dan menta’dib isteri dan anak-anak. Menjauhkan diri dari caci-maki dan menggunakan perkataan kesat kepada ahli keluarga.
- Peka dengan perkembangan dan potensi anak. Mengambil berat dan hargai setiap pencapaian walaupun kecil.
- Bapa bertindak sebagai pelindung (melindungi dari sudut keselamatan dan kehormatan keluarga), penyedia segala keperluan keluarga (menafkahi keluarga) dan pembuat keputusan.
Hakikatnya, sebuah keluarga yang tidak dikemudikan oleh seorang yang bersifat qawwam akan berdepan dengan masalah dan kecelaruan halatuju sebuah keluarga muslim. Banyak masalah sosial rumahtangga dan keluarga yang berlaku berpunca dari kegagalan seorang suami dan bapa menjadi seorang bersifat qawwam, serta seorang isteri dan ibu yang bersifat nurturer (merawat, mendidik dan memberikan kasih sayang).
Nabi Ya’qub mengajarkan bahawa kesabaran terbaik adalah kesabaran yang tidak disertai keluhan kepada manusia tetapi menyerahkan sepenuhnya kepada Allah. Kesabaran seperti ini disebut dalam Al Quran sebagai “Sabar yang Indah”. Ia juga sebagai formula untuk pengurusan emosi yang matang dan keteguhan jiwa dalam menghadapi kesukaran.
Walaupun Nabi Ya’qub diuji dengan kehilangan Nabi Yusuf dan kemudian Bunyamin, Baginda tidak pernah hilang keyakinan kepada Allah. Perkara ini mengajar tentang nilai harapan dan optimisme walaupun berada dalam keadaan yang paling sukar. Sikap ini penting bagi ibu bapa dalam menghadapi cabaran yang datang daripada anak-anak.
Selain itu, baginda tidak menyalahkan anak-anaknya secara berlebihan walaupun mereka telah merancang pengkhianatan terhadap Nabi Yusuf. Pendekataan yang diambil adalah pengendalian konflik secara empati tanpa memperburukkan situasi.
Nabi Ya’qub merasakan kesedihan yang mendalam sehingga kehilangan penglihatannya, namun hal itu tidak melemahkan keimanannya. Baginda tetap bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Tangisan Baginda adalah tanda kasih sayang, bukan keluhan terhadap takdir. Ini mengajarkan bahawa kesedihan adalah fitrah manusia, tetapi perlu diurus dengan baik melalui doa dan keimanan.
Kesimpulannya, dari kisah Nabi Ya’qub AS, kita belajar bahawa kesabaran, doa, optimisme, dan pengendalian emosi adalah kunci utama dalam menghadapi ujian, khususnya dalam konteks keluarga. Dengan mengambil pelajaran ini, ibu bapa dapat menghadapi cabaran dalam mendidik anak-anak dengan jiwa yang tenang dan keyakinan kepada Allah SWT.
Nabi Ibrahim tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang penuh kasih sayang. Perintah Allah untuk menyembelih Nabi Ismail bukanlah petanda kekurangan kasih sayang Baginda terhadap anaknya, tetapi suatu ujian iman yang amat berat.
Baginda mengambil cara komunikasi secara terbuka dan penghormatan antara ayah dan anak. Pendekatan yang dilakukan adalah memupuk rasa tanggungjawab memikul perintah Allah secara rela, faham dan reda.
Jika Nabi Ibrahim tidak mengasihi Nabi Ismail, Baginda tidak akan berusaha mendidiknya untuk memahami kepentingan ketaatan kepada Allah. Ujian ini memperlihatkan kasih sayang yang lebih tinggi kerana keimanan adalah hadiah terbaik yang dapat diberikan seorang ayah kepada anaknya.
Nabi Ibrahim menunjukkan bahawa ketaatan kepada Allah SWT adalah puncak cinta dan keikhlasan. Sebagai seorang bapa, Baginda tahu bahawa anaknya adalah amanah daripada Allah, dan pemilik sebenar Nabi Ismail adalah Allah. Allah SWT menguji Nabi Ibrahim untuk memperlihatkan bahawa cinta kepada makhluk tidak boleh melebihi cinta kepada Pencipta.
Kesimpulannya, kisah ini mengajarkan bahawa kasih sayang seorang bapa harus selari dengan ketaatan kepada Allah. Kasih sayang berlandaskan keimanan melahirkan hubungan matang, komunikasi baik, dan pengorbanan ikhlas. Ketaatan kepada Allah juga melengkapkan tanggungjawab seorang bapa, menjadikannya lebih adil dan bertanggungjawab.
Seorang bapa bukan sekadar pencari rezeki, tetapi dia adalah pemimpin, pendidik, dan pelindung bagi keluarganya. Dalam Islam, bapa ada tanggungjawab besar yang perlu dipikul kerana dia akan dipersoalkan oleh Allah tentang keluarganya:
- Menjadi pemimpin dan pelindung keluarga.
Bapa adalah ketua rumah tangga yang bertanggungjawab memastikan keluarganya berada dalam keadaan selamat, terjaga, dan dipandu dengan nilai agama. Allah SWT berfirman:
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚMaksudnya: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka telah memberikan nafkah dari harta mereka." [Surah al-Nisa’, Ayat 34] - Memberikan nafkah dan keperluan ekonomi.
Bapa wajib memastikan ahli keluarganya cukup makan, pakai, tempat tinggal, dan pendidikan. Rasulullah ﷺ bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُMaksudnya: Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila dia mensia-siakan tanggungjawab memberi nafkah kepada orang-orang yang berada di bawah tanggungannya. [HR Abu Daud, 1692) - Mendidik anak-anak dengan Ilmu dan Akhlak Islam.
Bapa adalah madrasah pertama anak-anak, dan dia wajib memastikan mereka dibesarkan dalam suasana yang baik. Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا نَحْلًا أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍMaksudnya: Tidak ada pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya melainkan pendidikan yang baik (adab). [HR al-Tirmizi, 1952] Hadith Da’if - Memberikan kasih sayang dan menjadi contoh tauladan.
Seorang bapa bukan hanya ‘tegas’, tetapi juga mesti penyayang. Rasulullah ﷺ adalah contoh bapa terbaik. Baginda bermain dengan anak-anak, mencium mereka, dan memberi perhatian penuh. Sabda Nabi SAW:
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِيMaksudnya: Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku. [HR al-Tirmizi, 3895]
Bila seorang bapa tidak menjalankan tugas dengan baik, keluarga akan menghadapi pelbagai kesan negatif dan ia bukan hanya dari segi kewangan, tetapi juga dari sudut emosi, akhlak, dan kestabilan keluarga. Antaranya:
- Anak-anak hilang arah dan mudah terpengaruh.
Jika bapa gagal menjadi idolanya di rumah, anak-anak akan mula mencari ‘idola’ lain di luar. Kebanyakan idolanya adalah dalam bentuk kawan yang salah, trend media sosial, atau budaya negatif. Allah SWT berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭاMaksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari neraka..." [Surah al-Tahrim, Ayat 6]Fakta: Sebanyak 17,646 remaja belum berkahwin hamil anak luar nikah sejak (tahun 2020-2024) DAN sebanyak 331,463 remaja terlibat dengan penyalahgunaan dadah (tahun 2020-2023). - Isteri tertekan dan rumah tangga tidak bahagia.
Apabila bapa tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pencari nafkah dan pemimpin keluarga, maka beban tersebut akan jatuh kepada ibu. Akhirnya, isteri menjadi semakin stress, rumah tangga menjadi tegang, dan pergaduhan mudah berlaku. Allah SWT berfirman:
وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚMaksudnya: Dan para isteri mempunyai hak yang seimbang dengan kewajiban mereka menurut cara yang patut..." [Surah al-Baqarah, Ayat 228]Fakta: Sebanyak 154,068 kes cerai telah direkodkan di Malaysia sejak tahun 2020-2022. - Hilangnya kasih sayang dan ikatan kekeluargaan.
Bapa yang jarang luangkan masa dengan anak-anak akan merosakkan hubungan emosi dalam keluarga. Anak-anak akan merasa jauh, tidak dihargai, dan akhirnya mencari kasih sayang di tempat lain. Sabda Nabi Muhammad SAW:
قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا. فَقَالَ الأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنَ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا. فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَالَ "مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ"Maksudnya: Rasulullah ﷺ mencium cucunya, Hasan bin Ali, dan seorang sahabat berkata, "Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka." Lalu Nabi ﷺ bersabda: "Barang siapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi." [HR Abu Daud, 5218]
Kaedah mendidik pastinya berbeza dengan berbezanya peringkat umur dan cara fikir. Anak yang sudah dewasa semestinya sudah mempunyai kecenderungan tersendiri dan sikap yang sudah menjadi kebiasaannya. Namun hal ini bukanlah alasan untuk ibu bapa tidak menegur anak ketika anak sudah melakukan kesilapan.
Terdapat beberapa contoh daripada al-Quran yang boleh digunakan dalam mendidik dan memberikan nasihat kepada anak. Antaranya ialah:
Menggunakan gelaran yang membawa makna dan roh kasih sayang dari seorang bapa kepada seorang anak.
Misalnya yang boleh dilihat dalam wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dengan menggunakan gelaran “Wahai anak kesayanganku”. Walaupun nasihat tersebut merupakan satu mesej yang berat dan signifikan maknanya, namun ia dimulakan dengan gelaran yang mentautkan hubungan antara bapa anak terlebih dahulu. Firman Allah SWT:
Mengaitkan nasihat dan teguran dengan perintah dan larangan Allah.
Kadang-kadang anak tidak merasa penting kerana melihat pesanan itu hanya datang dari ibu dan bapanya yang mungkin terzahir melakukan kesilapan. Maka kesannya anak hanya patuh di depan ibu bapa, tetapi ketika jauh dari ibu bapa dia bertindak sebaliknya. Maka, dari pesanan Luqman kita belajar untuk menyatakan sesuatu nasihat itu atas acuan agama, dengan menyatakan apa yang Allah cinta dan apa yang Allah murka. Firman Allah:
Menunjukkan contoh terlebih dahulu kepada anak.
Dakwah yang terbaik dan berkesan ialah dakwah dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik (dakwah bil hal). Kaedah ini hakikatnya lebih efektik berbanding dengan hanya berkata-kata. Misalnya jika seorang bapa ingin menegur anak yang selalu melewatkan solat, cara terbaik bukanlah dengan memarahi anak, namun yang terbaik ialah ajak anak untuk mendirikan solat bersama. Hal ini boleh dilihat dalam didikan Nabi Ibrahim AS kepada Nabi Ismail AS ketika menerima perintah dari Allah. Nabi Ibrahim menunjukkan kesediaan untuk patuh kepada perintah Allah, sehingga anaknya sendiri merelakan perkara tersebut. Firman Allah:
Percaya dan mengiktiraf potensi dan kelebihan anak, serta berlapang dada dengan kelemahan dan kekurangan anak.
Kepercayaan dan keyakinan dari seorang bapa ialah satu nilai besar yang boleh mengubah personaliti dan cara fikir seorang anak. Misalnya, ketika Nabi SAW mempercayai dan memberi amanah kepada sahabat untuk mengetuai perang, atau melakukan sesuatu tugasan penting, maka ianya menjadikan sahabat lebih dekat dengan Nabi, bahkan merasa selamat dengan Nabi.
Biasakan perbincangan dan bukan arahan tanpa penjelasan.
Antara faktor kenapa anak tidak boleh menerima teguran atau nasihat keraan ianya diberikan dalam bentuk arahan tanpa penerangan yang hikmah. Sedangkan akal manusia sentiasa menuntut penjelasan, penerangan ilmu bgai menenangkan hak akal. Misalnya, dalam pengembaraan Nabi Ibrahim AS mencari kebenaran tentang Tuhan, kita melihat bahawa ianya berlaku atas kekuatan berfikir dan rasa ingin tahu yang ada pada Nabi Ibrahim. Maka, hal yang sama juga dalam mendidik anak-anak yang semakin membesar. Kekuatan berfikir dan akal mereka tidak boleh dipandang rendah. Bahkan sekiranya anak memahami dengan baik penerangan yang diberikan, pasti dia akan bertindak lebih baik dari yang kita sangkakan.
Maka, dengan beberapa kaedah ini, proses pendidikan anak-anak menjadi lebih efektif berdasarkan sumber dan dalil dari agama. Hakikatnya tiada jalan lain yang lebih membantu melainkan jalan agama, dan tiada cara lain yang lebih berkesan berbanding cara yang diajarkan oleh syariat.
Setiap anak adalah amanah Allah yang sangat besar, dan mendidik mereka memerlukan kesabaran, hikmah, dan kasih sayang. Kekerasan yang melampau mungkin mendisiplinkan mereka dalam jangka pendek, tetapi ia boleh meninggalkan kesan mendalam yang merosakkan hubungan dan keyakinan diri mereka terhadap bapanya sendiri.
Anak adalah amanah Allah yang perlu dijaga dengan kasih sayang. Sebagai ibu bapa, tanggungjawab utama kita adalah memastikan mereka berjaya di dunia juga di akhirat. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pendekatan kasih sayang perlu menjadi asas.
Rasulullah ﷺ sendiri adalah contoh terbaik dalam mendidik dengan penuh kasih sayang. Diriwayatkan dalam hadith dari Muadz Bin Jabal RA:
Kekerasan bukanlah cara yang berkesan dalam jangka panjang. Kekerasan yang melampau, walaupun dengan niat untuk mendisiplinkan, boleh membawa kesan yang tidak diingini seperti:
- Anak-anak menjauhkan diri kerana merasa takut, bukan hormat.
- Kehilangan keyakinan diri, kerana mereka sering dikritik atau dimarahi tanpa memahami sebabnya.
- Kemurungan atau rasa tidak dihargai, yang akhirnya boleh membawa kepada pemberontakan atau sikap memberontak secara senyap.
Rasulullah ﷺ bersabda:
Sebagai bapa, pendekatan yang lembut adalah tanda kebijaksanaan, bukan kelemahan. Anak-anak lebih mudah mendengar dan mengikut apabila mereka merasa dihormati dan disayangi.
Mendidik dengan teladan yang baik. Anak-anak memerhatikan dan mencontohi perbuatan ibu bapa lebih daripada apa yang mereka dengar. Nabi SAW bersabda:
Sebagai bapa, tunjukkanlah akhlak yang baik kepada anak-anak sejak mereka kecil seperti:
- Solat berjemaah di rumah atau di masjid bersama anak-anak.
- Membaca Al-Quran bersama-sama dan menjadikan ia rutin keluarga.
- Berkata baik kepada mereka, walaupun ketika menegur.
Gunakan pendekatan hikmah dalam disiplin. Ada saatnya anak-anak perlu ditegur, tetapi teguran harus disampaikan dengan hikmah. Dalam satu hadis, Baginda bersabda:
Apa yang boleh kita ambil dari Ibrah hadith di atas ialah:
- Teguran dilakukan secara bertahap: dimulai dengan arahan yang lembut, kemudian diberi peringatan.
- Jika perlu hukuman, ia hanya digunakan sebagai langkah terakhir, dan ia bukan kekerasan yang menyakitkan, tetapi lebih kepada mendidik.
Pujian dan Dorongan merupakan kunci membangunkan keyakinan diri anak. Pujian yang ikhlas dan dorongan membina adalah cara untuk mendidik dengan hati. Rasulullah ﷺ kerap memuji para sahabat dan anak-anak di sekelilingnya, seperti dalam hadis berikut:
Anak-anak yang sering dipuji dan dihargai akan merasa:
- Yakin dengan diri sendiri.
- Lebih termotivasi untuk berusaha menjadi lebih baik.
- Menjadi lebih rapat dengan ibu bapa kerana merasa disayangi.
Berdoa untuk kemenjadian anak-anak. Doa ibu bapa adalah senjata paling ampuh. Rasulullah ﷺ bersabda:
Setiap malam, doakanlah kebaikan untuk anak-anak:
- Mohon kepada Allah agar mereka menjadi anak yang soleh.
- Doa supaya mereka diberi keberkatan dalam hidup dan perlindungan daripada perkara buruk.
Sememangnya keutuhan hubungan antara ahli keluarga adalah tunjang dalam keharmonian rumahtangga itu sendiri. Sifat seorang bapa yang juga seorang lelaki dewasa sememangnya jarang menzahirkan emosi menjadikan anak-anak biasanya lebih rapat dengan ibu mereka. Sedangkan ia juga menjadi sebahagian tanggungjawab bapa itu sendiri dalam penjagaan anak.
Sabda Nabi SAW:
Namun begitu, bapa tidak sepatutnya membiarkan keadaan ini berterusan, sebaliknya hendaklah mengambil langkah untuk memulihkan keadaan ini. Antara cadangan adalah:
- Luangkan Masa Berkualiti: Jadikan masa bersama anak-anak sebagai satu keutamaan. Aktiviti seperti bermain, membaca, atau melakukan hobi bersama boleh membantu mengukuhkan ikatan.
- Komunikasi Terbuka: Galakkan anak-anak untuk bercakap tentang perasaan dan pengalaman mereka. Dengar dengan penuh perhatian dan tunjukkan minat terhadap apa yang mereka katakan.
- Sokongan Emosi: Tunjukkan sokongan dan kasih sayang. Beri pujian apabila mereka mencapai sesuatu dan sokong mereka ketika mengalami kesulitan.
- Pendengar yang Baik: Ketika anak-anak bercakap, berikan perhatian penuh dan jangan tergesa-gesa untuk memberi nasihat. Ini membantu mereka merasa dihargai dan difahami.
- Beri Ruang untuk Kemandirian: Beri anak-anak ruang untuk berkembang dan mengambil keputusan sendiri, tetapi sentiasa ada untuk menyokong dan membimbing mereka.
Ingatlah pesan Nabi SAW:
Komunikasi antara bapa dan anak-anak adalah aspek penting dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan, seperti yang dapat dilihat dalam kisah Nabi Yaakub AS dan Nabi Yusuf AS.
Antara sudut yang dapat dilihat adalah:
- Pentingnya Mendengar: Ketika Nabi Yusuf berkongsi mimpinya dengan Nabi Yaakub, ini menunjukkan bahawa komunikasi dua hala adalah penting. Nabi Yaakub mendengar dan memberi perhatian kepada perasaan dan pengalaman anaknya, yang menciptakan rasa dihargai dan difahami.
- Sokongan Emosi: Dengan berkongsi mimpi tersebut, Nabi Yusuf mendapat sokongan dan panduan daripada ayahnya. Ini menunjukkan bahawa komunikasi membantu dalam menyokong emosi anak dan membina keyakinan diri.
- Pendidikan dan Nasihat: Nabi Yaakub menggunakan peluang ini untuk memberi nasihat dan bimbingan kepada Yusuf. Ini menggambarkan bagaimana komunikasi dapat menjadi alat untuk mendidik dan membentuk karakter anak.
- Menghadapi Cabaran Bersama: Ketika cabaran datang selepas itu, hubungan yang erat antara mereka memudahkan mereka untuk berhadapan dengan kesukaran. Rasa saling memahami dan sokongan menjadikan mereka lebih kuat.
- Membangun Kepercayaan: Komunikasi yang terbuka antara mereka mengukuhkan ikatan kepercayaan. Yusuf merasa bebas untuk berkongsi mimpinya, menunjukkan bahawa dia mempercayai ayahnya.
Secara keseluruhannya, kisah Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf menggambarkan bahawa komunikasi yang baik antara bapa dan anak-anak bukan sahaja memperkuatkan hubungan kekeluargaan, tetapi juga menyediakan asas untuk menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih baik.
Maka benarlah firman Allah SWT:
