SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

AL-QURAN IKTIRAF REMAJA

Soalan & Jawapan: Al-Quran Iktiraf Remaja
Soalan 1
Dalam sejarah Islam, remaja seperti Usamah bin Zaid diberikan peranan besar sebagai panglima perang. Apakah gambaran sebenar dan ibrah peranan pemuda dan remaja yang boleh diambil?
JAWAPAN :

Peranan pemuda dan remaja dalam Islam adalah penting dalam kebangkitan dan perkembangan ummah. Kisah Usamah bin Zaid yang dilantik sebagai panglima perang pada usia 18 tahun oleh Rasulullah SAW menjadi bukti bahawa pemuda bukan sekadar penyokong, tetapi pemimpin masa depan yang bakal membentuk dunia.

Pemuda adalah aset utama dalam gerakan Islam. Rasulullah SAW tidak hanya membentuk pemuda sebagai individu soleh, tetapi juga memberi mereka tanggungjawab besar sejak usia muda. Dalam konteks Usamah bin Zaid, walaupun terdapat sahabat senior yang lebih berpengalaman, Rasulullah SAW tetap memilihnya untuk memimpin tentera kerana Baginda melihat kemampuan, keimanan, dan kebijaksanaan yang ada pada Usamah.

بَعَثَ النَّبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ بَعْثًا، وأَمَّرَ عليهم أُسامَةَ بنَ زَيْدٍ، فَطَعَنَ بَعْضُ النَّاسِ في إمارَتِهِ، فقالَ النَّبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: أنْ تَطْعُنُوا في إمارَتِهِ، فقَدْ كُنْتُمْ تَطْعُنُونَ في إمارَةِ أبِيهِ مِن قَبْلُ، وايْمُ اللَّهِ، إنْ كانَ لَخَلِيقًا لِلْإِمارَةِ، وإنْ كانَ لَمِنْ أحَبِّ النَّاسِ إلَيَّ، وإنَّ هذا لَمِنْ أحَبِّ النَّاسِ إلَيَّ بَعْدَهُ.
Maksudnya : Jika kamu meragui kepimpinannya, sesungguhnya sebelum ini kamu juga telah meragui kepimpinan bapanya (Zaid bin Harithah). Demi Allah! Dia (Zaid) memang layak untuk menjadi pemimpin, dan sesungguhnya dia adalah antara orang yang paling aku cintai. Dan sesungguhnya (Usamah) ini adalah antara orang yang paling aku cintai selepasnya. [HR Bukhari, 3730]

Pembangunan pemuda juga dalam Islam tidak berlaku secara spontan, tetapi melalui proses tarbiah yang berterusan. Usamah bin Zaid dibentuk sejak kecil dalam suasana iman dan jihad, menyaksikan sendiri keperibadian Rasulullah ﷺ dan terlibat dalam perjuangan Islam sejak awal.

Pemuda sentiasa menjadi penggerak utama kebangkitan ummah. Usamah bin Zaid, beliau mengetuai pasukan tentera Islam menentang Rom ketika umurnya baru 18 tahun, menunjukkan bahawa pemuda bukan sekadar pendokong perjuangan, tetapi pelaksana perubahan.

Hari ini, pembentukan pemuda sebagai kepimpinan berkualiti adalah penting. Keupayaan, kematangan, dan keperibadian mereka perlu difokuskan lebih dari sekadar melihat tahap umur. Tarbiah Islam yang kukuh perlu diterapkan sejak awal agar mereka bersedia memikul amanah besar dengan penuh keberanian dan komitmen pada masa hadapan terutamanya dalam perjuangan Islam dan negara.

Pemuda juga harus diberi ruang untuk berkembang sebagai pemimpin yang berperanan aktif dan matang dalam memimpin perubahan masyarakat. Oleh itu, masyarakat perlu memberi kepercayaan serta bimbingan kepada pemuda agar mereka dapat mewakafkan dirinya untuk ummah.

Soalan 2
Bagaimana utk memberi panduan kepada remaja dalam memilih ikutan atau idola dalam hidup mereka?
JAWAPAN :

Dalam hadis Nabi telah memberi penjelasan bahawa di akhirat nanti seseorang akan bersama dengan siapa yang dicintainya. Sabda Nabi SAW:

الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Maksudnya: “Seseorang akan bersama dengan siapa yang dia cintai.” [HR al-Bukhari, 6168]

Bahkan dalam al-Quran juga menceritakan situasi tegang yang berlaku antara pengikut dan orang yang mengikut pada hari akhirat nanti. Firman Allah SWT:

إِذْ تَبَرَّأَ ٱلَّذِينَ ٱتُّبِعُوا۟ مِنَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ وَرَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ ٱلْأَسْبَابُ (166) وَقَالَ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوا۟ لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةًۭ فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا۟ مِنَّا ۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ ٱللَّهُ أَعْمَـٰلَهُمْ حَسَرَٰتٍ عَلَيْهِمْ ۖ وَمَا هُم بِخَـٰرِجِينَ مِنَ ٱلنَّارِ (167)
Maksudnya: “(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.” (166) Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!" Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.” [Surah al-Baqarah, ayat 166-167]

Orang yang diikuti akan berlepas diri dari pengikutnya, sedangkan orang yang mengikuti pula akan menyesal atas perbuatan mereka mengikut idola mereka yang sesat.

Justeru, dalam al-Quran Allah juga menyebutkan tentang cinta dan keampunan Allah buat mereka yang mengikuti junjungan mulia Nabi Muhammad SAW:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah ali-Imran, ayat 31]

Berdasarkan beberapa dalil ini, jelaslah bahawa jika kita memilih seseorang yang benar, soleh dan beriman kepada Allah sebagai idola atau qudwah yang hendak dicontohi maka ianya pasti memberikan kesan yang baik untuk kehidupan akhiratnya. Dan begitu juga sebaliknya.

Maka terdapat beberapa asas dalam memilih seseorang untuk diikuti:

  • Menjadikan al-Quran dan sunnah, perintah dan larangan Allah serta pesanan-pesanan Nabi sebagai dasar dalam menentukan siapakah idola atau contoh yang ingin diikuti.
  • Melihat kepada komitmennya terhadap agama. Komitmen dia menjaga diri dari perkara yang dilarang Allah dan melakukan perintahNya.
  • Melihat kepada akhlaknya. Kerana akhlak ialah buah dan cerminan daripada keadaan keimanannya kepada Allah.
  • Melihat kepada kecintaan dan kesungguhannya terhadap ilmu, tidak semestinya ilmu agama sahaja, apa sahaja ilmu yang bermanfaat. Hal ini menunjukkan dia seorang yang berwawasan dan boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi.
  • Melihat apa yang diusahakan dalam kehidupannya, hendaklah memberikan manfaat walau dimana dia berada. Kerana manusia yang dicintai Allah ialah mereka yang bermanfaat pada manusia lain.
  • Menjauhkan diri dari mengikuti seseorang hanya kerana ukuran kebendaan dan hiburan semata-mata, namun hendaklah mengikuti seseorang atas dasar nilai peribadi yang baik yang dapat dicontohi.
  • Melazimi orang yang sentiasa menyeru untuk melakukan kebaikan. Kerana umat yang terbaik yang disebutkan dalam Quran ialah mereka yang melakukan amar makruf nahi munkar.

Ingatlah, siapa yang kita jadikan ikutan, sudah pasti kita akan terkesan dan terikut dengan cara fikirnya, cara bergaulnya, akhlak dan peribadinya. Maka, pastikan kita memilih contoh ikutan yang tepat. Hal ini tidaklah membawa makna kita harus memutuskan hubungan dengan mereka yang mempunyai peribadi yang kurang baik, bahkan ianya ialah ruang dakwah bagi mengajak mereka ke arah yang lebih baik. Konteks idola ini ialah siapa yang kita ingin ikutu dan akan dipengaruhi olehnya.

Soalan 3
Dalam Surah Luqman, nasihat Luqman kepada anaknya menekankan kepentingan akhlak. Bagaimanakah remaja masa kini dapat membentuk sahsiah Islami yang kukuh dalam keadaan mereka sering terdedah kepada pelbagai pengaruh luar yang mencabar nilai-nilai keislaman?
JAWAPAN :

Tiga rekod semasa berkaitan keruntuhan akhlak remaja di Malaysia:

  • Kes Kehamilan Remaja Tidak Berkahwin: Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia, dalam tempoh lima tahun lalu, sebanyak 17,646 remaja yang tidak berkahwin didapati hamil.
  • Peningkatan Kes Buli di Sekolah: Data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan peningkatan kes buli di sekolah, daripada 326 kes pada tahun 2021 kepada 3,887 kes pada tahun 2022, dan meningkat lagi kepada 4,994 kes sehingga Oktober 2023.
  • Penglibatan Remaja dalam Penyalahgunaan Dadah: Statistik narkotik menunjukkan peningkatan tangkapan pelajar sekolah berkaitan dadah, daripada 467 tangkapan pada tahun 2017 kepada 577 tangkapan pada tahun 2018.

Sekolah pertama bagi seorang anak itu adalah sekolah ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلاَّ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam), maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [HR al-Bukhari, 1358]

Berdasarkan beberapa kajian, berikut adalah proses perkembangan kanak-kanak iaitu MEMERHATI (observe) dan MENIRU (imitate):

UMUR PERKEMBANGAN KAJIAN
0-3 Bulan
4-6 Bulan
6-12 Bulan
Meniru ekspresi wajah.
Menunjukkan reaksi terhadap emosi.
Menjadi pemerhati dan peniru aktif, terutama terhadap pergerakan dan perkataan.
Meltzoff & Moore (1977)

Bandura (1961)
1-2 Tahun
2-3 Tahun
Meniru perbuatan kompleks, seperti meniru gaya bercakap, cara makan, dan tindakan ibu bapa dalam kehidupan seharian.
Menjadi lebih selektif dalam pemerhatian, meniru orang yang paling rapat dengan mereka.
3-5 Tahun Bijak dalam memahami emosi dan reaksi sosial.
Mula meniru nilai moral dan etika
Kajian Harvard (2014)
5-7 Tahun Mula memahami konsep baik dan buruk dengan lebih jelas.
Meniru kepercayaan serta nilai keluarga.
Albert Bandura (1986)

Ini bermaksud, di peringkat awal lagi ibu bapa perlu:

  • Menjadi contoh terbaik untuk anak-anak dari segala aspek.
  • Kurangkan pendedahan kepada kandungan negatif seperti Tiktok dan media sosial kerana kanak-kanak akan meniru tanpa menyaring.
  • Memberi pendidikan agama supaya dapat membezakan perkara baik dengan buruk.

Apabila menjelang peringkat remaja pula, ibu bapa perlu bersikap lebih terbuka atau friendly dengan anak-anak. Mereka perlukan perhatian dan kasih sayang supaya rasa dihargai dan tidak lagi memerlukan penghargaan orang lain di luar. Bersikap terbuka akan menjadikan anak-anak selesa untuk bercerita tentang apa yang ada dalam fikiran dan hatinya.

Namun begitu sikap tegas masih perlu diaplikasikan bagi mengawal mereka dan ibu bapa mesti ada keberanian untuk bercakap ‘TIDAK’ dan ‘MESTI’ kepada anak-anak. Contohnya:

  • Tidak boleh keluar malam.
  • Tidak boleh melepak dengan kawan yang merokok.
  • Mesti solat penuh 5 waktu.
  • Mesti pakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.

Ibu bapa perlu faham bahawa bukti sayang itu bukanlah dengan memberikan segala yang anak minta, tetapi bukti sayang itu adalah dengan memberikan mereka ilmu dan didikan sebagai pelindung diri mereka apabila keluar ke dunia sebenar.

Soalan 4
Dalam Surah Al-Kahfi, kisah Ashabul Kahfi menunjukkan keberanian remaja dalam mempertahankan keimanan mereka. Apakah nilai-nilai utama yang boleh diambil daripada kisah ini, dan bagaimana ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan remaja Muslim hari ini?
JAWAPAN :

Kisah ashabul Kahfi adalah sebuah kisah yang masyhur dan sarat dengan pengajaran di dalamnya. Ini kerana, al-Quran juga terkandung di dalamnya kisah-kisah umat terdahulu untuk menjadi pengajaran kepada kita.

Berdasarkan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, pada kisah-kisah mereka itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.” [Surah Yusuf, ayat 111]

Kisah ini adalah sahih kerana ia disebut di dalam al-Quran iaitu di dalam surah al-Kahfi yang mana al-Quran adalah mutawatir. Walaubagaimanapun, di dalam al-Quran tidak diceritakan secara terperinci kerana al-Quran lebih mengutamakan pengajaran daripada kisah tersebut.

Nilai-nilai Utama dari Kisah Ashabul Kahfi:

  • Keimanan yang Teguh
    • Para pemuda ini tetap berpegang teguh pada tauhid dan menjauhi kesyirikan walaupun menghadapi risiko kehilangan nyawa.
    • Remaja Muslim perlu mempertahankan akidah mereka dengan tidak mudah terpengaruh oleh ideologi yang bertentangan dengan Islam, seperti hedonisme dan materialisme.
  • Keberanian dalam Menegakkan Kebenaran
    • Mereka memilih untuk berhijrah ke dalam gua demi menyelamatkan iman mereka daripada pengaruh pemerintahan zalim.
    • Para anak muda perlu berani menolak pengaruh negatif seperti rakan sebaya yang mengajak ke arah kemaksiatan atau budaya yang merosakkan moral.
  • Kesabaran dan Ketabahan
    • Ashabul Kahfi menunjukkan kesabaran dalam menghadapi ujian dan menggantungkan harapan kepada Allah.
    • Dalam menghadapi cabaran seperti tekanan akademik, media sosial, dan gangguan sosial, para belia perlu bersabar dan terus berusaha mengikut ajaran Islam.
  • Bertawakal kepada Allah
    • Mereka menyerahkan urusan mereka kepada Allah, yang akhirnya melindungi mereka dengan menidurkan mereka selama 309 tahun.
    • Remaja Muslim harus yakin bahawa setiap ujian ada hikmahnya dan berserah diri kepada Allah setelah berusaha sebaik mungkin.
  • Kepentingan Persahabatan yang Baik
    • Ashabul Kahfi terdiri daripada sekumpulan pemuda beriman yang saling menyokong dalam menegakkan kebenaran.
    • Anak muda perlu memilih rakan yang baik, yang membawa mereka kepada kebaikan dan menjauhi perkara yang boleh merosakkan iman.
Soalan 5
Al-Quran menceritakan kisah Nabi Yusuf AS yang berdepan dengan godaan dan cabaran di usia muda. Apakah pengajaran utama daripada kisah ini bagi remaja dalam menghadapi cabaran akhlak dan moral pada zaman kini?
JAWAPAN :

Kisah Nabi Yusuf AS yang diceritakan dalam Surah Yusuf mengandungi banyak pengajaran berharga, khususnya bagi remaja dalam menghadapi cabaran akhlak dan moral. Oleh itu, kisah yang dirakamkan dalam al-Quran bukan sekadar penceritaan sejarah semata, namun untuk dijadikan pengajaran.

Oleh itu, antara pengajaran yang berkaitan adalah:

Menjaga Kesucian Diri dan Menolak Godaan Maksiat
Nabi Yusuf AS diuji dengan godaan isteri al-Aziz yang berusaha merayunya, tetapi beliau tetap teguh sebagaimana dirakamkan:

وَرَٰوَدَتْهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيْتِهَا عَن نَّفْسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلْأَبْوَٰبَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ
Maksudnya: “Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu).” [Surah Yusuf, ayat 23]

Kesabaran dalam Menghadapi Ujian
Nabi Yusuf AS tetap bersabar walaupun difitnah dan dipenjara secara zalim. Beliau meyakini bahawa Allah akan membantunya. Beliau tetap teguh dan sanggup menghadapi ujian penjara:

قَالَ رَبِّ ٱلسِّجْنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدْعُونَنِىٓ إِلَيْهِ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّى كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ
Maksudnya: “Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” [Surah Yusuf, ayat 33]

Menjaga Keimanan dan Kepercayaan kepada Allah
Nabi Yusuf AS tidak berganjak daripada keimanan walaupun berada di istana penuh kemewahan atau dalam kesusahan di dalam penjara. Para remaja perlu memegang teguh prinsip Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika senang atau susah, serta tidak mudah tergoda dengan kesenangan dunia yang melalaikan.

Mengawal Nafsu dan Emosi
Nabi Yusuf AS menunjukkan keteguhan dalam mengawal nafsu walaupun berada dalam situasi yang mencabar. Sekalipun nafsu sentiasa mengajak ke arah keburukan, namun hendaklah berusaha mengawalnya serta memohon bantuan Allah SWT.

وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah Yusuf, ayat 53]

Mengampuni dan Tidak Berdendam
Walaupun abang-abangnya pernah menganiayanya dengan membuangnya ke dalam perigi, Nabi Yusuf AS tetap memaafkan mereka setelah berkuasa. Allah SWT merakamkan ucapan Yusuf AS:

قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ ٱلْيَوْمَ يَغْفِرُ ٱللَّهُ لَكُمْ وَهُوَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
Maksudnya: “Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.” [Surah Yusuf, ayat 92]
Soalan 6
Bagaimana sinergi pemuda dan orang lama dapat dimanfaatkan agar matlamat dan tujuan agama menjadi khalifah dapat dicapai?
JAWAPAN :

Sinergi antara pemuda dan orang lama adalah kunci utama dalam mencapai matlamat agama dan menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi. Dalam Islam, kedua-dua golongan ini mempunyai peranan tersendiri yang saling melengkapi. Pemuda memiliki semangat, tenaga, dan idea baru, manakala orang lama mempunyai hikmah, pengalaman, dan kebijaksanaan.

Hal ini sebagaimana pepatah Arab menyebut:

حکمة الشيوخ وحماسة الشباب
Maksudnya: “Hikmah orang tua dan semangat orang muda.”

Hal sinergi ini juga digambarkan di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat yang bersatu dan saling menyumbang kepakaran dan tenaga masing-masing walaupun berlainan peringkat umur dan usia.

Antara sahabat yang berusia dan berpengalaman ialah:

  • Abu Bakar As-Siddiq (r.a) – Lebih tua daripada Nabi ﷺ sekitar dua tahun.
  • Umar bin Al-Khattab (r.a) – Lebih muda sedikit daripada Abu Bakar tetapi tetap dalam kategori dewasa.
  • Uthman bin Affan (r.a) – Sekitar usia 34 tahun ketika masuk Islam.
  • Abu Ubaidah bin Al-Jarrah (r.a) – Salah seorang sahabat senior dalam kepimpinan.

Antara sahabat dalam kalangan golongan muda dan remaja ialah:

  • Ali bin Abi Talib (r.a) – Memeluk Islam pada usia sekitar 10 tahun.
  • Abdullah bin Abbas (r.a) – Sepupu Nabi ﷺ, masih kanak-kanak ketika Nabi ﷺ wafat.
  • Abdullah bin Umar (r.a) – Masih kanak-kanak ketika hijrah ke Madinah, tidak dibenarkan ikut serta dalam Perang Badar kerana terlalu muda.
  • Anas bin Malik (r.a) – Diberikan kepada Nabi ﷺ sebagai khadam pada usia sekitar 10 tahun.
  • Zaid bin Thabit (r.a) – Masih muda tetapi dilantik sebagai penulis wahyu.
  • Usamah bin Zaid (r.a) – Anak kepada Zaid bin Harithah, masih remaja tetapi dilantik mengetuai pasukan tentera.

Oleh itu, dalam mencapai matlamat tersebut, beberapa aspek dilihat amat penting seperti:

  • Pemuda sebagai Penggerak, Orang Lama sebagai Pembimbing
    • Pemuda sering kali mempunyai keberanian untuk membawa perubahan dan menegakkan kebenaran.
    • Orang lama pula berperanan sebagai penasihat yang memberikan panduan berdasarkan pengalaman hidup dan hikmah daripada ilmu yang diperoleh.
  • Penghormatan kepada Orang Lama dan Sokongan kepada Pemuda
    • Pemuda perlu menghormati orang lama sebagai sumber ilmu dan panduan, sementara orang lama pula perlu menyokong pemuda dengan memberikan ruang untuk mereka berkembang.
  • Gabungan Tenaga dan Pengalaman dalam Kepimpinan
    • Islam menggalakkan kepimpinan yang seimbang antara pemuda yang bertenaga dan progresif serta orang lama yang matang dan bijaksana.
    • Gabungan tenaga pemuda dan kebijaksanaan orang lama akan melahirkan sebuah masyarakat yang dinamik dan berdaya maju.

Dengan pemuda sebagai pelaksana perubahan dan orang lama sebagai pemberi bimbingan, matlamat Islam untuk melahirkan khalifah yang berwibawa dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Scroll to Top