SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

RAYA DAN ADAB KELUARGA

Soalan & Jawapan: Raya dan Adab Keluarga
Soalan 1
Bagaimanakah Islam melihat menyambung silaturrahim di kalangan ahli keluarga merupakan suatu tuntutan terutama Hari Raya. Ada ahli keluarga yang putus pertaliannya disebabkan krisis hingga tiada ziarah walau di hari raya..
JAWAPAN :

Silaturrahim di kalangan ahli keluarga harus dijaga kerana ia adalah tuntutan agama dan langsung tidak boleh dipandang ringan.

Pada Hari Raya, keluarga biasanya berkumpul, menjadikannya waktu terbaik untuk menyambung silaturrahim, bermaaf-maafan, dan mempereratkan hubungan sesama mereka.

Menjaga dan menyambung hubungan silaturrahim dapat membawa keberkatan rezeki dan umur di dalam hidup. Sabda Nabi SAW:

‌مَنْ ‌أَحَبَّ ‌أَنْ ‌يُبْسَطَ ‌لَهُ ‌فِي ‌رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin dilapangkan pintu rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaknya ia menyambung hubungan silaturrahim.”[HR Bukhari, 5640]

Antara kelebihan menjaga hubungan silaturrahim adalah dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga Allah SWT. Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

‌تَعْبُدُ ‌اللهَ ‌لَا ‌تُشْرِكُ ‌بِهِ ‌شَيْئًا، ‌وَتُقِيمُ ‌الصَّلَاةَ، ‌وَتُؤْتِي ‌الزَّكَاةَ، ‌وَتَصِلُ ‌الرَّحِمَ، ذَرْهَا
Maksudnya: “Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim.” [HR. Bukhari, 5983]

Daripada hadis ini, kita dapat memahami betapa pentingnya apabila Nabi SAW menyebut tentang tauhid dan dua rukun Islam, kemudian disusuli dengan menyambung silaturahim.

Di dalam realiti kehidupan, setiap perhubungan semestinya mempunyai cabaran dan liku-likunya, kerana Allah SWT menciptakan kepelbagaian dalam ragam, fizikal, sifat manusia, serta seluruh alam ciptaan-Nya, kerana melalui kepelbagaian tersebut, kemuliaan, keindahan, dan kebesaran Allah SWT semakin terserlah.

Putusnya tali silaturrahim disebabkan oleh krisis dan pergaduhan yang lalu mungkin disebabkan:

  • Kegagalan dalam mengurus perbezaan pendapat.
  • Ketidakmampuan untuk menghormati pandangan yang berbeza.
  • Emosi yang melampau, hatta dalam menegakkan kebenaran.

Di atas apa sebab sekalipun, seseorang harus menjaga hubungan silaturrahim kerana tindakan tidak menjaga silaturrahim akan mengudang bala dan bercanggah dengan tuntutan agama.

Allah SWT bersabda:

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحامَكُمْ (22) أُولئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمى أَبْصارَهُمْ
Maksudnya: (Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya. [Surah Muhammad, ayat 22-23]

Imam Tabari mentafsirkan ayat diatas:

"أُولئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ" أَيْ طَرَدَهُمْ وَأَبْعَدَهُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ." فَأَصَمَّهُمْ" عَنِ الْحَقِّ." وَأَعْمى أَبْصارَهُمْ" أَيْ قُلُوبَهُمْ عَنِ الْخَيْرِ
Maksudnya: “Merekalah yang dilaknat oleh Allah” iaitu diusir dan dijauhkan dari rahmat-Nya. “Ditulikan pendengaran mereka” iaitu daripada kebenaran. “Dan dibutakan penglihatannya” iaitu hati-hati mereka daripada kebaikan.”[Rujuk: Tafsir at-Tabari, jld. 16, hlm. 246]

Rasulullah SAW juga memberi amaran tentang hal tersebut:

لا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعُ رَحِمٍ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.”[HR Muslim, 2556]

Maka, ganjaran besar bagi mereka yang menyambung silaturahim, manakala orang yang memutuskan hubungan silaturahim akan menerima hukuman.

Adalah menjadi kewajiban bagi adik-beradik, rakan-rakan, serta kenalan untuk berusaha memperbaiki hubungan antara satu sama lain. Kita perlu mengutamakan komunikasi yang baik, saling memahami, dan memaafkan kesilapan, agar hubungan yang retak dapat diperbaiki.

Antara cara menjernihkan hubuungan ialah dengan bantuan pihak ‘pengikat’ seperti ibu dan ayah, ayah saudara atau ibu saudara, atau sesiapa yang dihormati oleh kedua-duanya. Maka apabila pihak yang dihormati menjadi pengikat jalinan silaturrahim keduanya akan menjadi lebih mudah.

Soalan 2
Bilakah waktu yang dilarang bagi ahli keluarga untuk memasuki ruang bilik ibu dan ayah tanpa izin? Bagaimana cara untuk praktikkan dalam konteks ziarah ketika hari raya?
JAWAPAN :

Terdapat tiga waktu dilarang untuk ahli keluarga memasuki ruang bilik ibu dan ayah:

  • Sebelum solat Subuh
  • Sekitar sebelum waktu Zuhur.
  • Selepas Isyak

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِيَسْتَأْذِنْكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنْكُمْ ثَلاثَ مَرَّاتٍ مِنْ قَبْلِ صَلاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُمْ مِنَ الظَّهِيرَةِ وَمِنْ بَعْدِ صَلاةِ الْعِشَاءِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba sahaya (lelaki dan perempuan) yang kamu miliki dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu meminta izin kepada kamu tiga kali, iaitu sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)-mu di tengah hari, dan setelah solat Isya’.”[Surah an-Nur, ayat 58]

Dalam ayat ini, Allah SWT mengajarkan kita hukum dan adab dalam berinteraksi sesama ahli keluarga di rumah, seperti meminta izin sebelum memasuki bilik ibu bapa dan orang dewasa. Jika anak-anak yang dewasa dan sudah baligh tentulah lebih perlu lagi menjaga dan meminta izin.

Tiga waktu ini merujuk kepada waktu di mana ibu bapa atau orang dewasa biasanya sedang berehat, dan pada masa ini aurat cenderung terbuka lebih banyak berbanding waktu biasa.

Ibn Abi Hatim menjelaskan ayat surah an-Nur diatas:

كَانَ أُنَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُمْ أَنْ يُوَاقِعُوا نِسَاءَهُمْ فِي هَذِهِ السَّاعَاتِ، لِيَغْتَسِلُوا ثُمَّ يَخْرُجُوا إِلَى الصَّلاةِ، فَأَمَرَهُمُ اللَّهُ أَنْ يَأْمُرُوا الْمَمْلُوكِينَ وَالْغِلْمَانَ أَنْ لَا يَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ فِي تِلْكَ السَّاعَاتِ إِلا بِإِذْنٍ.
Maksudnya: "Sebahagian daripada sahabat Rasulullah SAW suka untuk bersama dengan isteri-isteri mereka pada waktu-waktu ini, kemudian mereka mandi dan keluar untuk menunaikan solat. Maka, Allah memerintahkan mereka supaya memerintahkan para hamba dan anak-anak kecil agar tidak masuk menemui mereka pada waktu-waktu tersebut kecuali dengan izin."[Tafsir Ibn Abi Hatim, jld. 8, hlm. 2634]

Adapun cara untuk praktikkan dalam konteks ziarah ketika hari raya:

  • Sebagai tanda hormat, ahli keluarga perlu meminta izin sebelum memasuki bilik ibu dan ayah, terutama ketika mereka sedang berehat atau tidak bersiap, termasuk ketika ziarah pada hari raya.
  • Pilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan elakkan memasuki bilik orang tua tanpa izin, terutama pada waktu sensitif atau ketika mereka memerlukan ruang peribadi.
  • Sebelum melakukan ziarah keluarga, berbincang dengan ahli keluarga seperti anak-anak mengenai adab dan aturan yang perlu diikuti semasa ziarah agar tidak mengganggu privasi pihak tertentu.
Soalan 3
Bolehkah ustaz terangkan batasan bertepuk tampar dan berpelukan antara adik-beradik berlainan jantina? Bagaimana hukumnya berubah seiring usia, terutama setelah mereka dewasa?
JAWAPAN :

Secara umum, bertepuk tampar dan berpelukan antara adik-beradik berlainan jantina adalah diharuskan kerana mereka adalah mahram muabbad. Mahram bermaksud:

والمحرم: من حَرُمَ نِكاَحُهاو ويكون تحريمها على التأبييد بسبب مُبَاح لا لاحْتِرَامِهاَ ولا لِعَارِض يَزُول
Maksudnya: Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” [Rujuk: Kasyifah al-Saja, hlm. 114]

Sebelum baligh - Tidak dianggap menyalahi hukum kerana mereka masih dianggap sebagai kanak-kanak. Namun, adalah baik jika mereka diajar menjaga adab sejak awal agar mudah mengamalkannya apabila dewasa.

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak tercatat dosa dan pahala: orang yang tidur sehingga dia bangun tidur, kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan orang yang gila sehingga dia kembali berakal.”[HR Abu Daud, 4403]

Selepas baligh - Adik-beradik berlainan jantina dianggap sebagai individu yang sudah matang dan boleh terdedah kepada fitnah atau godaan. Oleh itu, berpelukan dan bertepuk tampar secara berlebihan harus dijauhi.

Memeluk mahram jika disertai dengan syahwat (biasanya tidak) atau menyentuh batas aurat dan sentuhan bahagian fizikal yang tidak patut disentuh, maka ia jelas tidak diperbolehkan kerana ia boleh membawa kepada perkara yang haram. Kaedah fiqh menyatakan:

‌ما ‌أدى ‌إلى ‌الحرام ‌فهو ‌حرام
Maksudnya: “Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.”

Bergurau senda dengan memeluk atau bertepuk tampar secara tidak terkawal sehingga boleh membangkitkan ghairah dan keseronokan nafsu boleh membawa kepada pengharaman. Hal ini lebih dekat kepada kaedah Sad al-Zarai’ iaitu menutup wasilah ataupun jalan yang membawa kepada kerosakan.

Dr Basri Bin Ibrahim Al-Azhari menjelaskan tentang Sad al-Zarai’: “Perbuatan yang mengundang kerosakan tidak sunyi sama ada zatnya itu mengandungi kerosakan yang diharamkan atau zatnya diharuskan.”[Rujuk: Usul Fiqh Asas Penting Perundangan Islam, hlm. 198]

Berdasarkan data terkini, kes sumbang mahram di Malaysia menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Pada tahun 2022, sebanyak 235 kes sumbang mahram dilaporkan, meningkat 5.9% berbanding 222 kes pada tahun 2021. Statistik yang lebih baru menunjukkan bahawa jumlah kes terus meningkat, dengan 996 kes dilaporkan sejak 2021 hingga Oktober 2024 [Rujuk, Jabatan Perangkaan Malaysia - https://www.dosm.gov.my/uploads/release-content/file_20231101114930.pdf?utm_source]

Kesimpulannya, ia dibolehkan namun harus menjaga batas aurat dan sentuhan fizikal pada bahagian yang sensitif dan boleh membangkitkan nafsu seseorang. Tegahan dan ajaran ibu bapa tentang pergaulan anak-anak berlainan jantina perlu diutamakan agar dapat mengelak dari kes dan jenayah rogol dalam kalangan ahli keluarga atau sumbang mahram.

Soalan 4
Apakah batas aurat bagi sepupu sejenis atau berlawanan jenis tidur dalam satu ruang yang sama? Adakah wajib memakai stoking kaki sepanjang masa, termasuk ketika berada di dapur? Mohon pencerahan ustaz..
JAWAPAN :

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah disebutkan bahawa aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. [Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44]

Allah SWT telah menetapkan batas aurat bagi lelaki dan perempuan. Setiap umat Islam wajib menjaga aurat dan kehormatan di mana sahaja dia berada. Firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [Surah al-Nur, ayat 31]

Dalam Islam, batas aurat antara sepupu hendaklah dipelihara sama ada dengan sejenis jantina atau berlawanan jantina terutamanya menjelang musim perayaan di mana berkumupul sanak-saudara di kampung bersama-sama.

Hukum menutup aurat bergantung kepada hubungan antara individu, sama ada mereka mahram atau bukan mahram. Oleh itu, perlu memahami perbezaan batas aurat antara sepupu sejenis (sesama jantina) dan sepupu berlawanan jantina (bukan mahram).

Kategori Batas aurat
Mahram (Sejenis)
LELAKI
PEREMPUAN

antara pusat hingga lutut.
antara pusat hingga lutut.
Bukan Mahram (berlawanan jenis)
LELAKI SESAMA PEREMPUAN
PEREMPUAN SESAMA LELAKI

antara pusat hingga lutut.
Seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Melihat dan memandang aurat orang lain secara sengaja juga diharamkan oleh Islam. Rasulullah SAW melarang orang yang beriman supaya tidak melihat aurat antara satu sama lain, Baginda SAW bersabda:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ
Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki (lainnya), dan janganlah pula seorang wanita melihat aurat wanita (lainnya). Seorang lelaki tidak boleh bersama lelaki lain dalam satu kain, dan tidak boleh pula seorang wanita bersama wanita lainnya dalam satu kain.” [HR Muslim, 38]

Maka dalam persoalan ini, jelas bahawa aurat sesama sepupu perlu dijaga dengan sebaiknya kerana sepupu adalah bukan mahram dan boleh dikahwini.

Seterusnya tentang memakai stokin, adalah disarankan supaya kaum perempuan melabuhkan seluar atau kain yang dipakai agar dapat menutupi kaki dan mengurangkan aurat kaki yang terdedah walaupun dalam keadaan yang sukar seperti berkumpul di kampung atau berada di rumah menyambut tetamu datang dan dalam menyediakan masakan dan hidangan.

Hal ini terpakai dalam kaedah fiqh:

إذا ضاق الأمر اتسع، وإذا اتسع ضاق
Maksudnya: “Apabila sesuatu perkara menjadi sempit, ia akan menjadi luas, dan apabila ia menjadi luas, ia akan menjadi sempit.”

Lafaz yang lain bagi kaedah ini ialah:

كل ما تجاوز عن حده انعكس إلى ضده
Maksudnya: “Segala sesuatu yang melampaui batasnya akan berbalik menjadi kebalikannya.”

Keluasan yang keringanan yang diberikan hendaklah tidak melampaui batas. Jika tidak, ia akan kembali kepada hukum asalnya. Maka, tidak boleh bermudah-mudah terhadap aurat bagi perempuan kerana ia perlu dipelihara dengan sebaiknya agar hindar dari fitnah pada diri.

Soalan 5
Adakah wajar bagi ahli keluarga bertanya soalan yang bersifat sensitif seperti jodoh, pendapatan, dan hal peribadi yang lain?
JAWAPAN :

Dalam Islam, menjaga adab dalam pergaulan dan pertuturan adalah satu perkara yang sangat ditekankan.

Firman Allah SWT:

وَقُلْ لِّعِبَادِىۡ يَقُوۡلُوا الَّتِىۡ هِىَ اَحۡسَنُ​ؕ اِنَّ الشَّيۡطٰنَ يَنۡزَغُ بَيۡنَهُمۡ​ؕ اِنَّ الشَّيۡطٰنَ كَانَ لِلۡاِنۡسَانِ عَدُوًّا مُّبِيۡنًا‏  ٥٣
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku supaya mereka berkata dengan kata-kata yang lebih baik (benar dan bersopan santun), kerana sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka…” [Surah al-Israk, ayat 53]

Pertuturan yang baik akan membawa keharmonian, manakala kata-kata yang kasar atau tidak beradab boleh menimbulkan permusuhan dan ketidakselesaan. Hal ini kerana tidak semua perkara tentang peribadi perlu diketahui oleh orang lain. Sabda Nabi SAW:

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ ‏
Maksudnya: “Sebahagian daripada tanda baiknya Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.” [HR al-Tirmizi, 2317]

Maka, bertanya tentang hal-hal peribadi seseorang tanpa sebab yang munasabah boleh dianggap sebagai mencampuri urusan orang lain, yang boleh menyebabkan seseorang rasa terganggu atau tertekan.

Jika benar-benar ingin bertanya, gunakan pendekatan yang lembut dan elakkan nada yang menekan seperti menghina dan merendahkan orang tersebut supaya tidak menginggung perasaannya. Oleh itu, lebih baik mendoakan orang tersebut tentang urusan hidupnya supaya Allah SWT mudahkan dan mengurniakan perkara yang baik ke atasnya.

Soalan 6
Bagaimanakah berhias pada Hari Raya mengikut syariat? Adakah wanita boleh memakai dan memperlihatkan emas di hadapan ahli keluarga? Selain itu, bagaimana adab bercakap agar tidak menyakiti perasaan orang lain?
JAWAPAN :

Tanpa mengira hari raya atau tidak, tatacara berpakaian dan berhias adalah sama sahaja menurut syariat. Hal berkenaan ini lebih terpakai ke atas kaum wanita kerana faktor auratnya yang lebih ketara.

Oleh itu, pakaian wanita muslimah hendaklah bersopan sebagaimana yang diajarkan oleh Islam. Manakala pakaian ala Islam ialah kesemua pakaian yang terkumpul padanya sifat-sifat ini:

  • Pakaian itu hendaklah menutup aurat semua badan wanita kecuali apa yang dibolehkan oleh al-Quran dan anggotanya yang ternampak yang menurut qaul yang diberatkan, iaitu wajah dan kedua tapak tangan sahaja.
  • Pakaian itu bukan dari jenis yang jarang, sehingga dapat menampakkan apa yang dibelakangnya. http://103.233.160.120/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/1915-irsyad-fatwa-ke-73-hukum-perempuan-berpakaian-menampakkan-bentuk-tubuh-dan-hukum-bagi-orang-yang-sengaja-melihat-aurat-orang-lain

Berkenaan pemakaian emas oleh golongan wanita, perhiasan pada asalnya adalah diharuskan sekiranya tiada dalil yang mengharamkannya seperti berlebihan dan melampaui batas dan mendatangkan fitnah. Syeikh Sadiq Hassan al-Qinnauji menakalkan daripada Abu Sa’ud, menyebut, “Sesungguhnya setiap perhiasan itu diharuskan melainkan apabila didatangkan dengan dalil (melarangnya)” [Fathul al-Bayan fi Maqasid al-Quran, 4/335]

Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-A’raf, ayat 31]

Namun begitu, sebahagian wanita memakai perhiasan itu demi menarik perhatian kepadanya yang mana ia dilarang oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [Surah al-Nur, ayat 31]

Imam Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan: “Sesiapa yang melakukan perbuatan berikut (menghentakkan kakinya) bertujuan untuk bermegah-megahan dengan perhiasannya maka perbuatan itu adalah makruh. Dan sesiapa yang melakukannya bertujuan tabarruj serta menarik perhatian lelaki maka perbuatan itu adalah diharamkan dan dikeji. Begitu juga perbuatan menghentakkan kasut bagi lelaki, sekiranya dilakukan dengan perasaan ujub mmaka diharamkan keran ujub merupakan dosa yang besar, dan sekiranya seseorang lelaki melakukannya kerana tabarruj maka tidak diharuskan.” [Tafsir al-Qurtubi, 12/238]

Untuk memastikan perbualan tidak menyakiti perasaan orang lain, kita boleh mengamalkan beberapa adab bercakap berikut:

  • Pilih Kata-kata dengan Hati-hati: Gunakan bahasa yang sopan dan elakkan ungkapan kasar atau menyakitkan. Pertimbangkan kesan kata-kata terhadap perasaan pendengar sebelum menyatakannya.
  • Gunakan Nada Suara yang Lembut: Nada suara memainkan peranan penting. Nada yang lembut dan tenang boleh membantu menyampaikan mesej dengan lebih baik tanpa menimbulkan salah faham.
  • Elakkan Menggunakan Sindiran atau Merendahkan: Sindiran dan kata-kata merendahkan boleh dengan mudah menyinggung perasaan. Pastikan setiap komen disampaikan dengan niat untuk membantu, bukan untuk menyakitkan hati.

Dengan mengamalkan adab bercakap yang berhati-hati dan penuh hormat, kita bukan sahaja dapat menyampaikan pendapat dengan jelas tetapi juga menjaga hubungan baik dengan orang lain.

Soalan 7
Sejauh mana pemberian wang kepada ibu bapa pada Hari Raya dituntut dalam Islam? Jika seorang anak tidak mampu memberi kerana kesulitan kewangan yang tidak diketahui ibu bapanya, adakah wajar dia tidak pulang beraya kerana hal tersebut?
JAWAPAN :

Pada asalnya, para ulama’ menyebut bahawa furu’ (seperti anak-anak) wajib memberi nafkah kepada usul, iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas. Antara dalilnya adalah firman Allah SWT:

وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” [Surah Luqman, ayat 15]

Perintah bergaul dengan baik dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa oleh anak-anak tidak dapat dilaksanakan kecuali mereka mengambil tanggungjawab memberi nafaqah kepada mereka berdua ketika diperlukan. [al-Fiqh al-Manhaji, 3/110]

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:

إِنَّ مِنْ أَطْيَبِ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ وقَالَ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْتَ وَمَالُكَ لِوَالِدِكَ إِنَّ أَوْلاَدَكُمْ مِنْ أَطْيَبِ كَسْبِكُمْ فَكُلُوا مِنْ كَسْبِ أَوْلاَدِكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik harta yang dimakan oleh seorang lelaki ialah harta yang diperolehi daripada hasil usahanya sendiri. Begitu juga anaknya adalah daripada hasil usahanya sendiri. Baginda bersabda lagi: “Dirimu dan hartamu adalah milik kepunyaan bapamu. Anak-anakmu adalah sebaik-baik hasil usahamu. Oleh itu, makanlah hasil usaha anak-anakmu.” [HR Abu Daud, 3528 dan al-Tirmizi, 1358]

Ibn al-Munzir telah menyebut kesepakatan ulama’ tentang kewajiban anak-anak memberi nafaqah kepada ibubapa yang fakir, jelas beliau: “Telah sepakat kesemua ulama (ijma’ ulama) bahawa nafkah dua ibu bapa yang fakir dan tiada mata pencarian dan harta, adalah wajib dari harta anak.” [al-Isyraf ‘ala Mazahib al-‘Ulama’, 5/167]

Jika kedua-dua ibu bapa fakir dan mempunyai furu’ (anak-anak) yang setaraf (dari sudut kerabat) dalam kalangan mereka, kesemua furu’ itu mesti memberi nafaqah kepada ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana mereka mempunyai sebab wajib nafaqah. Bahagian nafaqah yang perlu dikeluarkan oleh perempuan adalah setengah bahagian lelaki, sebagaimana pembahagian pusaka. Sekiranya mereka berbeza dari sudut hampirnya – seperti anak dan cucu – maka nafaqah wajib kepada furu’ yang lebih hampir, sama ada mereka berhak mewarisi atau sebaliknya, sama ada lelaki atau perempuan. Hal ini demikian kerana hubungan kerabat yang hampir adalah lebih utama untuk diambil kira. [al-Fiqh al-Manhaji, 3/110] https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4150-irsyad-al-fatwa-siri-ke-409-nafkah-ibubapa-tanggungjawab-anak-lelaki-atau-anak-perempuan

Oleh itu, tiada perbincangan khusus berkenaan pemberian duit raya kerana ia adalah suatu adat yang diharuskan, namun perbincangan mengenai nafkah kepada ibubapa yang miskin adalah sebagaimana di atas. Maka, tiada isu berkenaan kepulangan raya atau tidak kerana ia juga termasuk dari adat yang diamalkan, bukan suatu kemestian untuk pulang beraya.

Soalan 8
Dalam situasi kekurangan bilik ketika pulang ke kampung, manakah yang lebih utama seperti menyewa hotel demi keselesaan keluarga atau mengutamakan tujuan asal beraya dengan berkumpul bersama ibu bapa untuk meraikan suasana?
JAWAPAN :

Dalam situasi kekurangan bilik ketika pulang ke kampung, kita sering dihadapkan pada dilema antara memastikan keselesaan keluarga melalui penginapan seperti hotel atau mengekalkan tujuan asal beraya, iaitu berkumpul bersama ibu bapa dan keluarga tersayang.

Isu ini bukan sahaja melibatkan aspek praktikal seperti bajet dan ketersediaan ruang, tetapi juga berkait rapat dengan nilai tradisi, emosi, dan kepentingan hubungan kekeluargaan. Pendekatan yang seimbang diperlukan agar kita dapat menghargai keindahan perayaan serta memastikan kesejahteraan semua ahli keluarga dalam suasana yang harmoni.

Mantan Mufti Pulau Pinang berpandangan tidak menjadi satu kesalahan jika anak-anak mahu menyewa di hotel atau inap desa selagi mereka boleh menyambut hari raya bersama-sama. Jelas beliau, ia kerana ada sesetengah rumah sesak jika kesemua ahli keluarga pulang beraya. https://www.sinarharian.com.my/article/627063/berita/nasional/tak-salah-sewa-hotel-jika-rumah-sesak---mufti-pulau-pinang#google_vignette

Kebiasaan situasi tinggal bersama antara lelaki dan perempuan dalam tempoh yang singkat ini kerap berlaku dalam keluarga yang mempunyai ahli yang ramai seperti sewaktu hari raya dan sebagainya. Dalam situasi ini, terdapat hadis Rasulullah SAW berkaitan keperluan seorang lelaki berjaga-jaga ketika masuk bertemu perempuan lebih-lebih lagi dalam hubungan antara ipar-duai yang merupakan mahram sementara sebagaimana disebutkan dalam hadis berikut:

إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: الحَمْوُ المَوْتُ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda SAW bersabda: Ipar adalah maut.” [HR al-Bukhari, 5232]

Walaupun ipar-duai adalah keluarga, namun pergaulan antara mereka perlu dijaga lebih-lebih lagi jika tinggal sebumbung kerana fitnah dalam kalangan ahli keluarga lebih besar kesannya. https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5790-al-kafi-1965-hukum-sewa-homestay-bercampur-lelaki-dan-perempuan-bukan-mahram

Scroll to Top