SOAL JAWAB | DURASI MEMBACA: 13 MINIT

MENANTU SYURGA, MERTUA BAHAGIA

Soalan & Jawapan: Menantu Syurga, Mertua Bahagia
Soalan 1
Bagaimana pendekatan Islam dalam mendidik ahli keluarga agar menerima menantu daripada latar belakang budaya atau status sosial yang berbeza?
JAWAPAN :

Pada asalnya, pernikahan hendaklah dari dua pihak yang sekufu. Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). [al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690]

Konsep sekufu ini boleh jadi dari aspek agama atau kesolehan, pekerjaan dan juga tidak cacat. Sekufu dalam perkahwinan ialah hak isteri dan wali-walinya. Walaupun kufu bukannya syarat sah nikah, tetapi ia perlu untuk mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri.

Hal yang demikian adalah kerana pasangan yang sekufu mempunyai cara hidup yang tidak berbeza dan boleh diterima. Justeru itu, seorang daripadanya tidak terpaksa mengubah kebiasaannya kerana mereka telah mempunyai persamaan.

Namun, bakal isteri dan walinya boleh menggugurkan syarat sekufu ini. Sekiranya seorang perempuan telah dikahwinkan oleh walinya dengan seorang lelaki yang tidak sekufu, tetapi dengan kerelaannya, perkahwinan itu adalah sah. Hal ini kerana sekufu merupakan hak perempuan dan walinya. Sekiranya mereka redha menggugurkannya, maka ia tidak perlu dipertikaikan. [al-Fiqh al-Manhaji, 2/520-525]

Oleh itu, sekiranya hak sekufu ini telah digugurkan dan reda untuk melangsungkan perkahwinan sekalipun tidak sekufu, maka hendaklah mengambil kira beberapa pendekatan agar ahli keluarga dapat menerima ahli baharu dari latar belakang dan sosial yang berbeza.

  • Menekankan Persaudaraan dan Kesetaraan dalam Islam
    Islam mengajarkan bahwa semua manusia diciptakan dari satu asal dan tidak ada kelebihan satu etnik atau status sosial atas yang lain. Hal ini ditegaskan dalam al-Quran, misalnya pada Surah al-Hujurat ayat 13, yang mengingatkan bahwa perbezaan manusia adalah tanda kekuasaan Allah dan bahwa yang paling mulia di sisi-Nya adalah yang paling bertakwa.
  • Pendidikan dan Dialog Keluarga
    Mengadakan diskusi dalam keluarga mengenai nilai-nilai Islam yang mendukung keadilan, persaudaraan dan kasih sayang dapat membantu menghilangkan prasangka. Pendidikan tentang bagaimana perbezaan budaya sebenarnya memperkaya pengalaman dan pengetahuan juga dapat menjadi bahagian dari dialog ini.
  • Mengedepankan Teladan Nabi Muhammad SAW
    Nabi Muhammad SAW menunjukkan sikap inklusif dan penerimaan terhadap perbezaan. Banyak riwayat yang mencontohkan beliau menghargai dan merangkul berbagai suku dan budaya, sehingga menjadi contoh bagi umat Islam untuk tidak membiarkan perbezaan menghalang terbentuknya hubungan yang penuh kasih dan saling menghormati.

Pendekatan Islam dalam mendidik keluarga untuk menerima menantu yang berasal dari latar belakang berbeza menekankan pada kesetaraan, keadilan dan nilai-nilai kebaikan. Dengan mendidik keluarga melalui dialog, penekanan pada ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW, serta membangun hubungan yang berasas pada penghargaan terhadap perbezaan, maka perbezaan budaya atau status sosial tidak akan menjadi penghalang, melainkan dapat memperkaya kehidupan bersama.

Soalan 2
Bagaimanakah cara Rasulullah melayani menantunya? Adakah terdapat kisah yang menceritakan perihal tersebut untuk dijadikan teladan buat masyarakat?
JAWAPAN :

Menyantuni menantu merupakan satu perbuatan yang terpuji kerana ia dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara keluarga dan membentuk ikatan kekeluargaan yang lebih utuh.

Rasulullah SAW mempunyai beberapa menantu yang berkahwin dengan anak-anak perempuan baginda. Antaranya ‘Ali bin Abi Talib suami Fatimah al-Zahra’, ‘Uthman bin ‘Affan suami kepada Ruqayyah dan Ummu Kaltsum, dan Abu al-’As bin al-Rabi’ suami Zainab.

Rasulullah SAW menunjukkan akhlak dan teladan yang terpuji ketika berinteraksi dengan menantunya. Terdapat beberapa petunjuk nabawi tentang cara baginda menyantuni mereka:

Memuliakan menantunya.
Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:

عليٌّ مني وأنا مِنْ عليٍّ ولا يُؤدِّي عني إلا أنا أوْ عليٌّ
Maksudnya: “Ali daripada aku dan aku daripada Ali. Dan tidak ada yang boleh mewakiliku (dalam hal membatalkan atau menetapkan suatu perjanjian) kecuali aku atau Ali.” [HR al-Tirmizi, 3719]

Hadis ini menunjukkan kelebihan ‘Ali di sisi Rasulullah SAW dan baginda menegaskan bahawa selain baginda, hanya ‘Ali dibenarkan untuk membuat keputusan berkaitan perjanjian sebagai wakil kepada baginda. Ia menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW memuliakan menantunya dengan memberitahu sahabat akan kedudukan ‘Ali.

Membantu keluarga menantunya
‘Ali RA berkata:

أن فاطمة اشتكت ما تلقى من الرحى في يدها. وأتى النبي صلى الله عليه وسلم سبي. فانطلقت فلم تجده. ولقيت عائشة. فأخبرتها. فَلَمَّا جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أخبرته عائشة بمجيء فاطمة إليها. فجاء النبي صلى الله عليه وسلم إلينا. وقد أخذنا مضاجعنا. فذهبنا نقوم. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ "عَلَى مكانكما" فقعد بيننا حتى وجدت برد قدمه على صدري. ثم قال "ألا أعلمكما خيرا مما سألتما؟ إذا أخذتما مضاجعكما، أن تكبرا الله أربعا وثلاثين. وتسبحاه ثلاثا وثلاثين. وتحمداه ثلاثا وثلاثين. فهو خير لكما من خادم
Maksudnya: "Sesungguhnya Fatimah mengadu tentang kesakitan yang dialaminya pada tangannya akibat menggiling (tepung) dengan alat penggiling. Dan pada waktu itu Nabi ﷺ telah menerima tawanan (hamba). Maka Fatimah pun pergi (untuk meminta bantuan), tetapi tidak menemui Baginda. Dia bertemu dengan Aisyah dan memberitahunya.
Apabila Nabi ﷺ datang, Aisyah memberitahu Baginda tentang kedatangan Fatimah. Maka Nabi ﷺ pun datang kepada kami, sedangkan kami telah berada di tempat tidur kami. Kami hendak bangun, tetapi Nabi ﷺ bersabda: ‘Tetaplah di tempat kamu berdua.’ Lalu Baginda duduk di antara kami berdua sehingga aku (Ali) merasakan sejuknya kedua kaki Baginda di dadaku.
Kemudian Baginda bersabda: ‘Mahukah aku ajarkan kepada kamu berdua sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu minta? Apabila kamu berdua masuk ke tempat tidur kamu, maka ucapkanlah: Allahu Akbar 34 kali, Subhanallah 33 kali, dan Alhamdulillah 33 kali. Maka itu adalah lebih baik bagi kamu berdua daripada seorang khadam.” [HR Muslim, 2727]

Hadis ini menunjukkan baginda SAW mendidik dan membantu menantu dan anaknya untuk bersabar apabila menghadapi kesulitan. Ia dilakukan dengan hikmah dan menunjukkan kasih sayang baginda kepada menantu dan anaknya.

Maka, ikutilah petunjuk Rasulullah SAW dalam menyantuni menantunya dengan memuliakan mereka dan membantu mereka untuk membentuk hubungan erat antara keluarga.

Soalan 3
Dalam keluarga yang ada isu harta pusaka, bagaimana hubungan menantu dan mertua boleh terjejas? Apakah peranan menantu dalam menjaga keharmonian dan keadilan?
JAWAPAN :

Dalam konteks keluarga yang diwarnai oleh isu harta pusaka, hubungan antara menantu dan mertua boleh terjejas dengan beberapa cara seperti ketegangan akibat persepsi terhadap keadilan dalam menguruskan harta pusaka.

Hal ini termasuklah seperti:

  • Perasaan Tidak Diutamakan: Jika salah satu pihak merasa diperlakukan tidak adil—misalnya, adanya persepsi bahawa hak-hak masing-masing ahli keluarga tidak dihormati—ia boleh menyebabkan jurang perasaan antara mertua dan menantu.
  • Salah Faham dan Kecurigaan: Isu harta pusaka sering kali membawa kepada salah faham, di mana salah satu pihak mungkin curiga kepada niat pihak lain atau adanya pengaruh luar yang mengganggu keadilan.
  • Pertikaian Antara Ahli Keluarga: Pertikaian ini bukan sahaja menjejaskan hubungan menantu dan mertua, tetapi juga boleh mencetuskan konflik dalaman antara ahli keluarga yang lain.

Menantu memegang peranan penting dalam mencipta suasana keluarga yang harmoni walaupun terdapat isu pusaka, antaranya:

  • Pendekatan Berdialog dan Terbuka: Menjadi fasilitator dalam perbincangan secara baik dan terbuka adalah kunci. Menantu yang bijaksana akan berusaha untuk mendengarkan pandangan kedua-dua pihak dan mencari penyelesaian yang adil tanpa memihak.
  • Memelihara Hubungan dengan Sikap Hormat: Menjaga hubungan yang penuh hormat antara mertua dan menantu amat penting. Sikap menghargai jasa mertua, terutamanya dalam menjaga ikatan keluarga, boleh meredakan ketegangan dan membina kepercayaan bersama.
  • Bertindak Sebagai Penengah: Dalam situasi konflik, menantu yang bijak akan berusaha untuk bertindak sebagai penghubung atau penengah antara pihak-pihak yang terlibat. Ini termasuk menyarankan rundingan atau perbincangan bersama bagi mencapai penyelesaian yang tidak memihak kepada mana-mana pihak.

Isu harta pusaka dalam keluarga berpotensi mencetuskan konflik, termasuk menjejaskan hubungan antara menantu dan mertua. Namun, dengan mengamalkan nilai-nilai keadilan, dialog terbuka, dan pendekatan yang berlandaskan prinsip Islam, menantu dapat memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian dan keadilan.

Soalan 4
Jika seseorang anak selalu menceritakan hal rumahtangga kepada ibunya, dan kadangkala timbul salah sangka ibu terhadap menantunya. Bagaimana untuk menangani situasi sebegini sedangkan dalam hal rumahtangga kita dituntut untuk menjaga aib pasangan? Apa komen ustaz?
JAWAPAN :

Dalam sebuah perkahwinan, tidak dapat dinafikan akan berlakunya ketidaksefahaman antara kedua-dua pasangan walaupun pada hal-hal yang kecil. Konflik ini kemudiannya akan menimbulkan rasa tidak senang bahkan boleh menyebabkan rasa tidak percaya antara satu sama lain. Lebih buruk lagi apabila hal yang kecil itu diperbesarkan sehingga seseorang individu sanggup membuka dan menyebarkan rahsia dan keburukan pasangan yang bersifat peribadi.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Menurut Ibn Kathir, Allah SWT melarang hamba-hambanya yang beriman daripada bersangka buruk iaitu dengan menuduh sembarangan dan berlaku khianat kepada orang lain mahupun ahli keluarga terdekat. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar kerana jelas larangannya. Para ulama juga bersepakat atas pengharaman membuka aib seseorang kecuali atas maslahat-maslahat tertentu mengikut saluran yang sepatutnya. [Tafsir Ibnu Kathir, Ed: Sami bin Muhammad al-Salamah. (Dar Toyyibah, 1999M), 7/377]

Daripada Abu Sa’id al-Khudriy, beliau berkata bahawa Baginda Rasulullah bersabda:

إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِندَ الله مَنزِلَةً يَومَ القِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفضِي إِلَى المَرْأَةِ وَتُفْضِي إِلَيه، ثُمَّ يَنشُرُ سِرَّهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut. [HR Muslim, 1437]

Berdasarkan keumuman hadis ini, Nabi SAW mencela orang yang mendedahkan rahsia pasangannya dengan mengatakan bahawa mereka berada pada seburuk-buruk kedudukan di sisi Allah SWT. Terutamanya pada perkara-perkara sulit yang berlaku antara kedua pasangan seperti hal-hal istimta’ (keseronokan antara suami isteri). Justeru, ini menunjukkan bahawa membuka aib pasangan adalah perbuatan yang ditegah di sisi syarak kecuali terdapat terdapat beberapa keperluan dan hajat yang mendorong salah satunya untuk berbuat demikian. Ia sesuai dengan tuntutan ajaran Rasulullah SAW supaya berkata perkataan yang baik-baik atau berbuat senyap sekiranya tiada keperluan. [Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ Turat al-Arabi), 10/8]

Walau bagaimanapun, Islam mempertahankan hak asasi manusia yang teraniaya dan menentang sebarang bentuk kezaliman di atas muka bumi. Sungguhpun demikian, agama Islam menetapkan batasan dan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ini adalah kerana menyebarkan berita atau kesalahan seseorang individu kepada masyarakat umum atau kepada saluran yang salah juga termasuk dalam kategori yang melakukan kezaliman.

Oleh itu, perbuatan menceritakan aib pasangan bagi tujuan penyelesaian terhadap kezaliman adalah harus.

Menurut Imam al-Nawawi [Riyadh al-Solihin, (Beirut: Dar Ibn Kathir, cetakan 1, 1428H – 2007M), 425], terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang:

  1. Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.
  2. Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.
  3. Meminta fatwa daripada mufti.
  4. Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.
  5. Menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan. Namun haram membuka aibnya berserta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan, kecuali atas tujuan tertentu seperti yang dinyatakan di atas.
  6. Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram.

Oleh itu, jika tujuan sebutan aib itu dengan tujuan mencari penyelesaian dan ditujukan kepada pihak yang berautoriti maka ia adalah harus, namun jika sekadar bahan bualan, maka ia ditegah dan haram.

Soalan 5
Sejauh mana campur tangan mertua dalam urusan rumahtangga anak-anak boleh dikategorikan sebagai ‘prihatin’ atau ‘mengganggu’?
JAWAPAN :

Seorang mertua sudah semestinya inginkan yang terbaik bagi rumahtangga anak-anaknya, namun haruslah dijaga prinsip asas dalam hubungan manusia seperti adab, batas dan akhlak.

Campur tangan mertua dalam isu berkait tentang tuntutan agama adalah dibenarkan, kerana ia termasuk dalam amar makruf nahi munkar. Agama Islam mementingkan nasihat, Nabi SAW bersabda:

الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ
Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat.”[HR Muslim, 55]

Syarak membenarkan campur tangan keluarga mertua apabila berlaku konflik suami isteri yang hampir membawa kepada penceraian, meskipun penceraian adalah halal yang paling dibenci Allah. Allah SWT memberikan keharusan untuk adanya campur tangan keluarga mertua. Allah berfirman:

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: ”Dan jika kamu khawatirkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang hakam (orang tengah) dari keluarga lelaki dan seorang hakam (orang tengah) dari keluarga perempuan. Jika kedua orang tengah itu bermaksud mengadakan perbaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada suami-isteri itu.”[Surah al-Nisa, ayat 35]

Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini di dalam kitabnya:

فإن تفاقم أمرهما وطالت خصومتهما، بعث الحاكم ثقة من أهل المرأة وثقة من قوم الرجل ليجتمعا فينظرا في أمرهما ويفعلا ما فيه المصلحة مما يريانه من التفريق أو التوفيق
Maksudnya: “Jika perselisihan mereka semakin meruncing dan pertikaian berlarutan, maka pemerintah hendaklah menghantar seorang yang dipercayai dari kalangan keluarga isteri dan seorang yang dipercayai dari kalangan keluarga suami untuk duduk berbincang, meneliti urusan mereka, dan melakukan mengikut apa yang mereka lihat sebagai maslahat apa yang terbaik sama ada membawa kepada perdamaian atau penceraian.”[Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, jld. 2, hlm. 259]

Contoh lain campur tangan mertua yang dibenarkan ialah apabila anak menantu mengabaikan solat. Dalam hal ini, mentua bertanggungjawab menegur. Allah berfirman:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”[Surah Taha, ayat 132]

Manakala, campur tangan mertua dalam urusan kehidupan seharian adalah satu perkara yang tidak patut. Hal tersebut akan mengganggu privasi dan sistem kekeluargaan. Tindakan terlalu mengawal cara seperti menentukan cara anak menantu mengurus rumah tangga, makan minum, pakaian, atau kerjaya. Hal ini akan menghilangkan ketenangan di alam rumah tangga.

Selain itu, mengkongsikan hal rumah tangga menantu kepada orang luar boleh menimbulkan syak wasangka terhadap menantu tersebut dengan tindakan mengadu domba. Nabi SAW bersabda:

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).”[HR Muslim, 105]

Oleh itu, mertua perlu menjaga batas-batas Islam agar tidak merosakkan keharmonian keluarga dan menghindari daripada membuka pintu fitnah.

Soalan 6
Apakah nasihat Islam untuk mertua yang terlalu mengharapkan ‘kesempurnaan’ daripada menantu, dan apakah kesan tekanan ini terhadap kebahagiaan rumahtangga anak mereka?
JAWAPAN :

Seseorang harus memahami realiti bahawa manusia tidak terlepas daripada kesalahan dan kekurangan, bahkan melalui kesalahan itu, ia menjadi proses pembelajaran.

Nabi SAW bersabda:

كلُّ بني آدم خَطَّاءٌ
Maksudnya: “Setiap anak adam melakukan kesalahan.”[Ibn Majah, 4251]

Dengan hadis ini, kita fahami setiap insan pernah dan akan melakukan kesalahan di dalam kehidupan, sama ada kekeluargaan pekerjaan, dan kehidupan. Sikap terlalu mengharapkan kesempurnaan dari seseorang akan menyebabkan kekecewaan kerana tidak ada individu yang sempurna.

Islam menekankan pentingnya kesabaran dalam berhubungan dengan orang lain. Allah SWT mengingatkan umat Islam untuk bersabar dalam menghadapi ujian dan cabaran hidup. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”[Surah al-Baqarah, ayat 153]

Islam mengajarkan pentingnya komunikasi yang baik dan sesuai dengan kadar pemikiran mereka, kerana itu adalah hikmah dalam berkomunikasi. Allah SWT mengarah setiap manusia untuk berlaku adil dan ihsan, jangan disebabkan kebencian mendorong kita melakukan ketidakadilan. Allah SWT berfirman:

اِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْاِحْسَانِ وَاِيْتَاۤئِ ذِى الْقُرْبٰى وَيَنْهٰى عَنِ الْفَحْشَاۤءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat kebajikan, dan memberikan bantuan kepada kerabat. Dia (juga) melarang perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pelajaran kepadamu agar kamu selalu ingat.[Surah an-Nahl, ayat 90]

Tekanan berlebihan daripada mertua untuk menantu mencapai kesempurnaan boleh menjejaskan hubungan suami isteri dan mertua. Jika menantu merasa tidak dapat memenuhi harapan mertua, mereka mungkin merasa tidak dihargai, yang boleh mengurangkan motivasi mereka. Rasulullah SAW mengajarkan untuk menghargai usaha, bukan hanya hasil, dalam hubungan mertua dan menantu.

Kesan tekanan yang dilalui melahirkan suasana yang tidak harmoni dan tenang, kerana menantu tersebut sentiasa berada di dalam tekanan yang tidak patut. Oleh itu, penting bagi mertua untuk menghargai usaha, bukan hanya hasil, dan membina hubungan yang penuh kasih sayang agar kebahagiaan keluarga dapat tercapai.

Soalan 7
Apakah pendekatan terbaik dalam menyantuni mertua yang berbeza agama, budaya atau cara hidup, terutamanya dalam kes pasangan mualaf?
JAWAPAN :

Islam memberi petunjuk untuk kita bergaul dan menyantuni semua manusia tanpa mengira bangsa mahupun agama. Islam tidak keras dan tidak berat sebelah dalam menyebarkan kebaikan hanya kepada penganut agamanya.

Allah SWT berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” [Surah al-Anbiya’, 107]

Islam mengajar kita untuk menyebarkan kebaikan ke seluruh dunia termasuk kepada mereka yang tidak beriman sebagai manifestasi ajaran Islam dan keluasan rahmat Allah SWT.

Dalam kehidupan berkeluarga yang mempunyai individu-individu yang berbeza agama, budaya dan cara hidup, situasi ini merupakan cabaran yang mungkin menyulitkan diri serta dapat merenggangkan hubungan kekeluargaan antara mereka. Pasangan mualaf khususnya sering kali dilihat sebagai pencetus kebencian dan keretakan sesebuah keluarga kerana menukar agamanya daripada agama anutan keluarganya dan berkahwin dengan individu daripada agama lain.

Islam tidak menafikan atau mengetepikan keperluan dalam menjaga hubungan kekeluargaan walaupun berbeza agama. Sememangnya soal iman dan akidah itu antara mereka dengan Allah SWT, tapi soal interaksi kita dengan manusia itu adalah antara sesama kita.

Islam memberi petunjuk tentang bagaimana ingin berinteraksi dan menyantuni ahli keluarga yang bukan Muslim atau yang berbeza budaya dan cara hidup:

Berkata dengan sopan dan lembut
Allah SWT berfirman:

يَا أَبَتِ لَا تَعْبُدِ الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلرَّحْمَٰنِ عَصِيًّا
Maksudnya: “Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.” [Surah Maryam, 44]

Ayah Nabi Ibrahim AS merupakan penyembah berhala dan baginda tidak memarahi mahupun berkata kasar kepada ayahnya, bahkan memanggilnya dengan gelaran yang sangat indah. Allah menggunakan perkataan abati (أَبَتِ) untuk menunjukkan bagaimana Nabi Ibrahim memanggil ayahnya. Perkataan tersebut sama makna dengan perkataan ab (أب) iaitu ayah, tapi perkataan abati itu lebih lembut dan menunjukkan kasih sayang dan penghormatan baginda yang mendalam terhadap ayahnya walaupun dia bukan orang yang beriman.

Memberi bantuan dan mengurangkan kesulitan
Dalam sirah nabawiyyah, diceritakan tentang kisah Abu al-’As bin al-Rabi’ suami Zainab binti Muhammad SAW. Mereka telah berkahwin sebelum perutusan Nabi Muhammad SAW. Setelah kemenangan kaum Muslimin dalam perang Badar, Zainab mendapat tahu keadaan suaminya yang masih belum beriman menjadi tawanan umat Islam. Zainab berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membebaskan suaminya. Dia menebus suaminya dengan sebuah kalung yang diberikan oleh arwah ibunya Khadijah RA sewaktu perkahwinan Zainab dan Abu al-’As. Hal ini membuatkan Rasulullah SAW berasa belas kasihan kepada Zainab. Kisah ini memperlihatkan pengorbanan Zainab untuk membebaskan suaminya yang tidak beriman. Ia menunjukkan kasih sayang pasangan yang tinggi tanpa mengira agama.

Bersikap adil dan menyambung silaturrahim
Allah SWT berfirman:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [Surah al-Mumtahanah, 8]

Ayat ini menunjukkan tiada larangan untuk berlaku adil dan membuat kebaikan kepada mereka yang tidak memerangi kita daripada golongan tidak beriman. Bahkan, hak-hak mereka ke atas kita perlu ditunaikan. Sepertimana Islam menyuruh kita untuk taat kepada ibu bapa dan juga memberi hak-hak kepada kaum kerabat, kaum miskin dan ibnu sabil tanpa mengira agama. Kisah Asma’ binti Abu Bakar yang diziarahi oleh ibunya yang musyrik. Dia bertanya kepada Rasulullah SAW adakah perlu dia menyambung silaturrahim dengan ibunya dan baginda menjawab ya.

Jelaslah bahawa Islam sangat syumul dan menitik beratkan hubungan manusia dan kekeluargaan walaupun berbeza agama apatah lagi berbeza bangsa dan cara hidup. Rahmat Islam terbuka luas kepada semua umat manusia dan ini dapat dilihat daripada amalan yang diajarkan di dalam Islam.

Scroll to Top