ISU SEMASA | DURASI MEMBACA: 5 MINIT
Martabat Wanita: Menangkis Naratif Feminisme
- Penulis: Muhammad Iqwan Bin Ahmad Zaidi
Tulisan ini membincangkan salah faham yang sering dilemparkan terhadap kedudukan kaum wanita dalam Islam. Terdapat golongan yang terpengaruh dengan laungan hak persamaan dari Barat dan menuduh kononnya Islam merendahkan martabat wanita atau meletakkan mereka pada status yang hina seperti hamba kepada lelaki. Artikel ini bertujuan menjernihkan kekeliruan masyarakat dengan membandingkan realiti sejarah di Barat dan hakikat keadilan dalam syariat Islam.
Sejarah Gerakan Wanita Barat
Bagi memahami punca kekecohan ini, penulis ingin mengajak semua pembaca terlebih dahulu untuk bersama-sama meninjau sejarah pergerakan pembebasan wanita di Eropah yang sering dijadikan kiblat rujukan sebahagian masyarakat Timur. Pada zaman lampau di dunia Barat, wanita dipandang selaku makhluk yang tidak mempunyai sebarang nilai sehingga ahli falsafah berdebat sama ada wanita mempunyai roh kemanusiaan ataupun tidak. Mereka tidak diberikan hak, sering diabaikan, dan hanya dipandang sebagai alat pemuas nafsu atau pekerja abdi sejak dari zaman perhambaan dan feudal.
Keadaan kaum wanita di Barat menjadi lebih tragis dengan meletusnya Revolusi Industri. Struktur keluarga mula hancur apabila wanita dan kanak-kanak terpaksa keluar bekerja di kilang-kilang akibat tekanan ekonomi dan sikap kaum lelaki yang mengelak daripada menanggung sara hidup mereka. Di tempat kerja, mereka terus ditindas dan diperah tenaga dengan masa kerja yang panjang, namun dibayar dengan upah yang jauh lebih rendah berbanding kaum lelaki yang melakukan kerja yang sama.
Penderitaan wanita Eropah semakin memuncak selepas meletusnya Perang Dunia Pertama yang mengorbankan jutaan pemuda lelaki. Kekurangan golongan lelaki bagi menanggung nafkah memaksa para wanita untuk terus mencari rezeki, malah ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menggadai maruah diri demi mendapatkan pekerjaan dan mengelakkan kebuluran. Rentetan daripada sejarah penindasan dan ketidakadilan nilah, kaum wanita di sana terpaksa melancarkan mogok dan demonstrasi untuk menuntut hak persamaan upah serta penglibatan politik.
Islam Memberi Kebebasan Kepada Wanita
Berbeza dengan tragedi di Barat, ajaran Islam telah mengurniakan hak-hak kemanusiaan yang wajar kepada kaum wanita sejak ribuan tahun dahulu secara sukarela tanpa perlu mereka berjuang atau menitiskan air mata. Al-Quran secara nyata menegaskan bahawa lelaki dan perempuan diciptakan daripada jiwa yang sama (Adam dan Hawa), sekaligus membuktikan mereka berkongsi destinasi dan hak kemanusiaan yang setara.
Dari sudut ekonomi, Islam menjamin hak kebebasan mutlak bagi wanita untuk memiliki harta, menguruskan kekayaan, mendapat pusaka, serta menjalankan urusan sewaan, jualan, dan gadaian. Hak kewangan yang bebas ini membolehkan wanita Islam menyumbang kepada masyarakat secara langsung tanpa sebarang campur tangan lelaki, iaitu suatu penghormatan yang hanya berjaya dicapai oleh wanita Eropah belasan abad kemudian selepas menempuh pelbagai kepayahan.
Dalam hal pembinaan rumahtangga, Islam memuliakan martabat wanita dengan meletakkan persetujuan mereka sebagai syarat utama sebelum sesebuah akad nikah boleh dilangsungkan. Seorang wanita sama sekali tidak boleh dikahwinkan secara paksa, mempunyai hak yang sah untuk menolak perkahwinan, dan diberi kebebasan untuk meminang lelaki yang disukainya. Ketetapan ini membebaskan mereka daripada tradisi masyarakat jahiliah yang tidak memberi sebarang hak pemilihan jodoh kepada kaum perempuan.
Di samping itu, Islam mengangkat darjat kemanusiaan wanita melalui pendidikan dengan menjadikan usaha menuntut ilmu pengetahuan sebagai satu kewajipan (fardu) kepada semua penganutnya tanpa mengira jantina. Galakan Islam agar kaum wanita mempertingkatkan taraf pemikiran jelas menolak dakwaan bahawa agama ini menganggap wanita sekadar hamba kelas kedua yang tidak masuk dalam perhitungan masyarakat.
Perbezaan Tanggungjawab Antara Lelaki Dan Wanita Dalam Islam Adalah Suatu Keadilan
Walaupun Islam mengiktiraf persamaan hak asasi antara lelaki dan wanita, sistem hidup Islam amat realistik dan bertindak mengikut ketetapan fitrah manusia. Namun dari sudut fisiologi, biologi, dan psikologi kaum lelaki dan wanita adalah jelas berbeza, maka sebarang laungan yang menuntut persamaan mutlak dalam segala tindak-tanduk dan fungsi kehidupan merupakan satu tuntutan yang di luar keupayaan praktikal.
Kaum wanita dilengkapi dengan emosi yang halus, sentimen kasih sayang yang melimpah, dan kesabaran teliti yang selari dengan kejadian fizikal mereka bagi memikul tugas yang besar iaitu menjadi ibu. Sebaliknya, kaum lelaki pula diciptakan dengan kelebihan tenaga fizikal dan ketabahan minda intelektual bagi membolehkan mereka berjuang mencari sumber rezeki, mentadbir rancangan yang teliti, dan melindungi ahli keluarga daripada sebarang ancaman.
Perbezaan fitrah dan tanggungjawab ini mendasari ketetapan perundangan pembahagian pusaka, di mana lelaki menerima bahagian dua kali ganda berbanding bahagian perempuan. Pembahagian ini bertunjangkan keadilan yang jitu kerana Islam mewajibkan kaum lelaki menanggung sara hidup keluarga secara keseluruhan, sedangkan harta yang dimiliki wanita adalah hak peribadi mereka yang sama sekali tidak wajib dibelanjakan untuk suami atau anak-anak.
Begitu juga dengan penetapan kesaksian, di mana keterangan dua orang saksi wanita disamakan dengan seorang saksi lelaki. Keputusan ini bukan bertujuan menilai wanita separuh daripada lelaki, sebaliknya merupakan langkah cermat bagi memelihara keadilan perbicaraan memandangkan emosi dan sentimen wanita yang mudah tersentuh mungkin boleh menyelewengkan fokus kes yang dibicarakan, melainkan dalam perkara yang menjadi kepakaran kewanitaan mereka.
Bagi memastikan kelancaran institusi rumahtangga, Islam menyerahkan tanggungjawab ketua keluarga kepada kaum lelaki kerana mereka lebih cenderong bertindak berlandaskan fikiran logik berbanding emosi. Sungguhpun begitu, kepimpinan ini bukanlah bersifat diktator yang boleh digunakan sesuka hati, malah suami sangat dituntut mentadbir isteri dengan saksama, semangat kerjasama, sikap saling menghormati, dan kebaikan budi bicara.
Apabila timbul konflik perselisihan atau isteri bertindak nusyuz (derhaka), al-Quran menyediakan kaedah mendisiplin yang berperingkat bagi menyelamatkan ikatan perkahwinan. Suami perlu memulainya dengan nasihat yang baik, diikuti dengan hukuman pemisahan tempat tidur, dan akhirnya sekiranya kedegilan berterusan, kebenaran memukul ringan yang tidak mencederakan dibenarkan sebagai jalan terakhir, walaupun secara praktikalnya Rasulullah mengecam tindakan memukul isteri.
Jika persefahaman gagal diselamatkan dan kedamaian hancur, Islam tetap memelihara hak isteri dengan menyediakan jalan keluar. Selain kuasa jatuhan talak yang dipegang oleh suami, isteri mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang untuk meletakkan syarat talak semasa akad, menuntut perpisahan atas alasan kebencian dengan melepaskan harta kahwin, atau memohon fasakh dari pihak mahkamah jika suami mengabaikan nafkah atau melayannya dengan buruk.
Berhubung amalan poligami, ia dihalalkan pula bukan sebagai peraturan pokok bagi memuaskan selera nafsu semata-mata, tetapi sebagai penyelesaian praktikal ketika berdepan suasana tertentu. Dalam situasi mendesak contohnya, seperti ketidakseimbangan jantina pasca peperangan, isteri yang menghidap kemandulan, atau lelaki berkehendak seks luar biasa, keharusan poligami terbukti lebih adil dan bersih berbanding membiarkan kaum wanita tanpa perlindungan yang akhirnya boleh menjurus ke lembah pelacuran.
Islam juga bersikap terbuka berkenaan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan jika dipaksa oleh keadaan seperti Ketiadaan tempat bergantung dari sudut kewangan, atau untuk memenuhi keperluan kepakaran sosial khusus seperti pendidik dan jururawat. Namun begitu, Islam menentang sistem materialisme Barat yang menggalakkan wanita keluar bersaing bekerja demi kemewahan peribadi lantas meninggalkan tugas terpenting dan asli mereka, iaitu sebagai suri teladan dan pengasuh generasi di rumah.
Kezaliman Yang Berlaku Terhadap Kaum Wanita Bukanlah Berpunca Daripada Ajaran Islam
Memang tidak dapat dinafikan wujudnya segelintir kaum wanita di negara Islam pada hari ini yang hidup menderita, dizalimi suami, dan dilingkungi kejahilan. Akan tetapi semua keburukan ini sama sekali bukan terbit daripada ajaran Islam, sebaliknya ia mungkin merupakan hasil tekanan daripada faktor kemiskinan hidup, kepincangan sistem politik yang menghimpit kaum lelaki di luar rumah sehingga mereka memindahkan tekanan tersebut ke atas isteri, serta keruntuhan moral di dalam kelompok masyarakat itu sendiri.
Masyarakat Islam disarankan agar tidak menjadi pengikut buta kepada ideologi kebebasan palsu Barat yang sering kali berselindung di sebalik agenda kelucahan dan kerosakan struktur kekeluargaan. Tradisi Islam mendidik wanita memelihara pandangan dan kehormatan bagi melestarikan maruah mereka, sekaligus menolak dakwaan kononnya mereka perlu bebas bergaul liar untuk mencapai kemajuan. Hakikatnya, kematangan dan pengalaman hidup yang sebenar perlulah ditimba secara terhormat melalui wahana pendidikan serta ikatan perkahwinan yang halal, bukannya dengan meruntuhkan batas-batas moral.
Sebagai kesimpulannya, jalan perubahan sebenar untuk membela kedudukan kaum wanita bukanlah dengan merombak fitrah ciptaan atau meniru sistem musuh, tetapi dengan menyeru seluruh umat manusia kembali berpegang teguh kepada sistem perundangan Islam yang sebenar. Hanya dengan menghayati pengajaran Islam dari sudut pembahagian kekayaan, keluhuran pentadbiran, dan kesucian akhlak, barulah keadilan serta kebahagiaan sejati dapat dinikmati oleh kaum lelaki dan wanita seluruhnya.
Rujukan:
- Allen, Prudence (1997). The Concept of Woman: The Aristotelian Revolution, 750 BC - AD 1250.
- Wiesner-Hanks, Merry E. (2019). Women and Gender in Early Modern Europe. Cambridge University Press.
- Burnette, Joyce (2008). Gender, Work and Wages in Industrial Revolution Britain. Cambridge University Press.
- Grayzel, Susan R. (2002). Women and the First World War. Longman.
- Yusuf al-Qaradawi (1960). Al-Halal wa Al-Haram fi Al-Islam
- Yusuf al-Qaradawi (1994). Fatawa Mu'asirah
- Wahbah al-Zuhayli (1985). Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh.
